Wednesday, November 19

Selagi Bintang Masih Di Langit


TAJUK BUKU : SELAGI BINTANG MASIH DI LANGIT
PENULIS : ZARYL AMZARI
PENERBIT : PTS PUBLICATIONS & DISTTRIBUTORS SDN BHD
HARGA : RM24.00
CETAKAN PERTAMA : 2008
GENRE : PERSAHABATAN & KEKELUARGAAN
* * * * * * *
“ Walau di mana kita berada, walau apa yang kita lakukan, kita masih di bumi Tuhan, masih menatap bintang yang sama. Saya umpamakan Belt of Orion adalah kita…Ingat, walau di mana kita berada, walau beribu batu jarak antara kita, selagi bintang itu masih berkelip, saya tak akan lupakan awak..”

“..manusia tidak pernah berubah melainkan dia hanya menerima perubahan. Masa juga tidak pernah berlalu melainkan dia hanya mengikut laluan..”
------------------------------------------------------------------------------------

Apa Kata Saya :

Buku ini sedari awal sudah mencuri perhatian saya. Selain warnanya kulitnya yang merupakan warna favourite saya, petikan di belakangnya cukup menangkap minda..mesti belinya, kata hati ketika itu. Dan seperti dapat dibaca gerak hati saya itu, buku ini dihadiahkan pada saya oleh seorang rakan penulis yang amat saya kagumi bakatnya, seronoknya saya tika itu...terharu pun ada. Terima kasih saya padanya yang menghadiahkan buku ini. Ternyata gerak hati saya benar, selesai membacanya hanya satu kesimpulan yang dapat saya coretkan….buku ini benar-benar telah mencuri hati saya. Ia sebuah naskhah yang cukup baik dan cukup indah sekali.

Selagi Bintang Masih Di Langit (SBMDL) membawa tema yang sangat dekat dengan hati nurani kita. Dengan menggabungkan genre persahabatan dan kekeluargaan, kisah yang digarap cukup hampir dengan kehidupan seharian kita. Penulis ternyata cukup peka, cukup arif dengan persekitaran kehidupan yang digambarkan beliau menerusi SBMDL ini.

Nor Dalina @ Nora D, Rafiq @ Musafir Zaman & Faiz adalah peneraju utama yang menjadi nadi kekuatan naskhah SBMDL ini. Saya cukup tertarik dan jatuh hati dengan perwatakan mereka biar putih atau hitam warnanya. Ia dibina dan diperhalusi penulis dengan cemerlang sekali. Tersua juga senyum bila mengenang cetera mereka tatkala di Tadika.

Dalina si gemuk yang garang:
“..letak balik kuih tu!..Itu Faiz punya..“
“…Apa ni..kami tak ajak awak main pun!!”


Dalina yang sedari kecil terperangkap dengan rasa kerendahan diri yang melampau kerana rupa bentuk fizikalnya yang agak berisi ditambah dengan momokan sepupunya; Nadia yang berjaya menjatuhkan keyakinan dirinya ke lantai. Perwatakan Dalina dikembangkan dengan begitu berhati-hati dari peringkat kanak-kanak hingga menginjak remaja dewasa dan kita sebagai pembaca turut sama menyelami perasaannya disepanjang tempoh tersebut. Penulis bagi saya cukup berjaya mencuri hati pembaca dengan perwatakan Dalina yang cukup istimewa ini.

Rafiq, jika dilihat secara kasar, dia memang bukan calon pilihan. Perwatakannya yang menjengkilkan itu cukup mengundang amarah dan rasa meluat…namun tiada sapa menduga ada cerita suram, cerita pahit disebalik sikapnya itu. Dia hanya seorang Rafiq yang malang dan itulah cara dia menarik perhatian.

Rafiq si nakal yang tak pernah serik:
“…Hoi, budak baru!..”
“…pinjam pensel warna!!”
“…Ikut suka akulah, nak main di mana pun.."

Faiz, si kecil bongsu yang sering diperisai Dalina tatkala dibuli Rafiq, Faiz yang sedari kecil cukup mempersonakan sesiapa sahaja dengan perwatakannya yang putih salju. Mendamaikan sesiapa yang mendekatinya. Dia umpama si pelengkap Dalina, teman akrab yang menjadi pencetus semangat, pemujuk dan pendengar yang baik juga kekasih yang setia . Kemana mereka pasti berdua sehinggalah Dublin memisahkan mereka...selama-lamanya.

Faiz si keding yang lembik:
“.Ra..Rafiq ambil kuih saya, lepas tu..lepas tu Rafiq kena simbah dengan air"
“…Faiz lembik! Faiz lembik! Faiz lembik!..."

Pembinaan watak pembantu utama yang antagonis, Nadia cukup hebat dan berkesan sekali perwatakannya biarpun kemunculan yang hanya sebentar-sebentar sahaja, namun berperanan penting didalam mencorakkan perwatakan Dalina di kemudian hari. Tersayat hati juga bila mengenang butir bicara lidahnya yang tajam menikam.

Nadia yang sinis :
“...kalau dah gemuk tu, pakai baju apa pun tak lawa"
“...anak badak jangan berangan dengan Fakhrul..aku yang tulis nota tu.."
“...sebab awak sudah gedempol. Kalau awak makan lagi, nanti hendak masuk bilik pun tak muat, tersangkut pada pintu.."

Perwatakan Hairi yang dibina secara misteri cukup mendebarkan bagi saya. Kita dikelirukan sebentar oleh penulis dengan kesopananan Hairi tanpa menduga dia berjaya memukau pandangan mata dengan kebaikan dan rupa fizikalnya yang sedemikian…, tetapi dia sebenarnya api di dalam sekam…membakar dalam diam!!

Kedewasaan mereka penuh personifikasi dilayarkan penulis. Saya sesungguhnya cukup tertarik dan jatuh cinta dengan perwatakan Rafiq. Dalam diam suaranya, dalam redup pandangan matanya dia penuh pesona, penuh aura..cukup berkarisma. Dia menyimpan segala duka, segala ketidakpuasanhati tanpa siapa tahu. Dia membiarkan dirinya disalahtafsir oleh semua orang. Dia tetap hitam dimata setiap yang memandang.

Kita juga akan turut tersayat dengan kesedihan Dalina bila Faiz mula menjauhkan diri sedangkan Faiz sudah berjanji…namun Faiz bukan sengaja, ketentuan yang sudah tersurat buat dirinya tidak boleh diubah. Di saat ini kita diperlihatkan warna sebenar diri Rafiq…amanah yang digalas dibahu harus dilaksana lebih-lebih lagi Dalina adalah insan yang telah lama bertakhta di hati…sedari kecil hingga kini. Mampukah dia mendapatkan Dalina dan mampukah Dalina menerima dirinya dan melupakan Faiz dan kenangan serta janji yang telah termeterai sekian lama. Pemergian Dalina ke Dublin membongkar segala-galanya…rahsia yang disimpan kemas oleh Rafiq tentang Faiz terlerai akhirnya.

Plot cerita dibina tidak berorientasikan jajaran kronologi dan setiap imej imbasan kembali yang disingkap, ia disampaikan dengan cukup kemas, berhati-hati tanpa sedikitpun menghilangkan tumpuan pembacaan. Pergerakkan plot yang selari dengan mood penceritaan telah menambahkan lagi keindahan warna SBMDL. Di sinilah kehebatan sang editor terserlah, dan ternyata kerja-kerja suntingan telah diperhalusi dengan cukup baik sekali ke atas naskhah ini.

Penggunaan laras bahasa yang mudah yang kadangkala disulami susunan ayat-ayat yang indah, puitis namun penuh bermakna sangat memberi kesan kepada mood pembacaan. Saya cukup senang dengan bahasa dalam naskhah ini...cukup memikat!!.

Buat penulis, sekalung tahniah atas persembahan hebat anda dalam Selagi Bintang Masih Di Langit. Semoga akan terus menghasilkan karya-karya yang cemerlang di masa hadapan.

Buat anda pembaca di luar sana, zaman kanak-kanak adalah suatu masa yang cukup istimewa, akan dikenang selama-lamanya biar apa-apapun catatannya...manis mahupun pahit, suka atau duka. Naskhah ini akan membawa anda kembali pada zaman tersebut...sangat manis perjalanannya, Maka naskhah ini wajar anda miliki kerana catatan kisahnya sangat istimewa.

No comments: