Showing posts with label 4 bintang. Show all posts
Showing posts with label 4 bintang. Show all posts

Friday, April 22

Kucc Reviews: KaCa JenDeLa AinNuR...




"Masa itu adalah makhluk Allah yang tak pernah henti berdetik..."


Kata Kucc:


Ini kisah pilu anak yang dinafikan haknya. Penafian yang berpanjangan dari sejak dia lahir hingga ke usia remaja. Penafian yang berpaksi pada dendam yang menjadi sekam...membara dan membakar dalam diam. Tanpa belas ikhsan rentung akhirnya
hati anak yang tidak bersalah lalu menyeret jiwa yang pecah, lumat di henyak jauh..nun jauh.


Tema kekeluargaan yang menunjangi genre drama Kaca Jendela Ainnur (KJA) ini digarap dengan kemas. Penulis berjaya mengangkat dan menonjolkan dengan jelas tema ini disepanjang penceritaaannya. Tidak ketinggalan mesej utama yang diseret
penulis lalu dihamparkan dihadapan pembaca. Mesej yang cukup jelas tanpa selindung. Anak itu anugerah dan amanah Allah. Haknya sudah termaktub sejak didalam rahim lalu jangan sesekali khilaf didalam melaksanakan tanggungjawab ini. Padahnya bakal diusung jiwa seumur hidup.


Ainnur Shahirah memonopoli naratif ini secara keseluruhannya. Pemotretan watak Ainnur ternyata dipena dengan begitu teliti dan dijiwai dengan baik oleh penulis. Ainnur hidup dimata pembaca lalu segala sedih pilu juga beban jiwanya tiap kali dizahirkan bagai turut merengut jiwa pembaca. Ainnur mengoncang sanubari pembaca tiap kali dia disakiti. Zhafran Huwaidi tidak begitu menonjol. Pengaruh wataknya agak terbatas. Tidak begitu berkesan. Saya kira watak papa tiri Ainnur; Luqmanul Hakim lebih memberikan kesan kepada pembaca. Wataknya lebih memberi warna, memberi rasa dan roh pada naratif ini. Antagonis Syuhairah baik sekali dipenakan penulis. Biar tidak banyak adegan, dialog juga bahagian yang melibatkan watak ini, sesekali dialognya begitu menikam..tepat mengenai sasaran!


Melankolik lenggok bahasa penulis diilustrasikan dengan cukup menarik. Patah-patah katanya disusun dan dilukiskan dengan baik. Personifikasinya hidup, penuh warna dan berseni sekali.


Suntingan keseluruhan naskhah baik lalu membawa jalinan sebuah persembahan naratif yang mantap dan berkesan kepada pembaca.


KJA membawa pembaca menyusuri layar hidup seorang Ainnur Shahirah yang penuh lirih. Disisih ibu kandung sendiri, dinafikan kedudukan sebagai anak yang sah tarafnya lalu dibiarkan membawa persepsi negatif terhadap diri sendiri tanpa pembelaan. Ayah yang tidak pernah dikenal sejak kecil lalu bila diketahui kewujudannya, ia bagai memberi sinar untuk dia menumpang kasih. Sayang sekali. Ranap sekali lagi impiannya. Ayah tidak mengakui kewujudan. Dia dikata bukan anak ayah. Sampainya hati seorang mama...teganya hati seorang ayah! Ainnur mencuba segalanya demi merebut kasih mama namun setiap kali itu jugalah dia lukai. Dilukai dengan begitu dalam. Pengorbanannya pada zuriat ayah yang juga adiknya kandungnya sendiri tidak langsung dipandang. Biarpun mempunyai papa tiri yang tidak sedikitpun menyisihkannya tapi mana kan sama! Dia lelah. Dia sudah menyerah. Lalu seakan satu lorongan bila musibah yang menimpa mama membuatkan dia mengikrar janji. Janji yang membawanya jauh nun ke tanah Ratu!


Buat penulis, Ainnur anda hidup sekali dimata saya. Kaca Jendelanya menggapai jiwa untuk dijengah. Tahniah untuk sebuah persembahan yang menyentuh naluri. Buat pembaca, selusuri kisah ini untuk sama-sama merasai lirih jiwa seorang Ainnur Shahirah!

Rinn Reviews : 566 Hari Mencari Cinta


566 Hari Mencari Cinta
Penulis: Ilya Abdullah
Terbitan Kaki Novel Enterprise
Editor: Jabatan Editorial KNE
409 mukasurat
RM18.00
Sabah/Sarawak RM21.00
9789675067709


"Kerana satu perjanjian, aku mencari cinta.
Dan kerana perjanjian itu, aku menemui cinta."


566 Hari Mencari Cinta menawarkan kelainan dalam menghayati kisah cinta seorang wanita yang mencari kemewahan semata-mata. Firdayu mungkin sama dengan kebanyakan 'villain' perempuan dalam novel-novel melayu yang palsu cintanya dan kejam hatinya. Kecantikannya dapat memikat banyak lelaki dari pelbagai lapisan kehidupan; yang miskin, yang sederhana dan yang kaya raya. Tetapi Firdayu akan mengukur tahap kekayaan seseorang yang ingin dijadikan teman lelakinya.


Cabaran nenek yang dibencinya supaya mencari suami dalam tempoh 566 hari disambut Firdayu dengan penuh bangga kerana dia dijanjikan keseluruhan harta milik nenek sekiranya berjaya mencari cinta dalam tempoh tersebut. Huzair adalah pilihan utamanya kerana dia ada semua ciri yang Firdayu cari.


Kid mengambil masa untuk menyerlah dalam kisah ini. Pada pendapat aku perwatakan Kid tidak sesuai dengan namanya ringkasnya 'Kid'. Gaya 'nerd' Kid membuat dia kurang terserlah tetapi semakin jauh pembacaan Kid semakin menyerlah sebagai seorang yang sangat penting dan berpengaruh dalam hidup Firdayu.


Hanya kaki putar belit dan si mata keranjang seperti Firdayu sahaja yang dapat memerangkap Firdayu; iaitu neneknya sendiri. Segala tipu muslihat Firdayu ada dalam koceknya. ;) Rupa-rupanya nenek Firdayu itu pun lebih kurang juga ligatnya masa muda-muda dulu. Bukan senang Firdayu nak meruntuhkan egonya untuk mengucapkan terima kasih kepada neneknya yang telah membuat dia terperangkap dalam cinta sebenar :)


sure fine whatever
rinn


blurb/rinns/sinopsis


Firdayu: "Aku mencari cinta semata-mata kerana kemewahan yang bakal aku kecapi dan aku tidak akan biarkan diriku tunduk pada cinta!"


Kid: "Semua orang menggelarkannya 'poison ivy'. Cantik tetapi beracun. Tapi tak kisah kerana aku akan sentiasa melindungi dia dari sebarang ancaman. Kenapa? Itu adalah tugas yang telah diamanahkan untuk aku"


Ruzair: "Aku cuba bermain dgn 'si ular' ini namun akhirnya aku telah dipatuk. Semakin aku mengenali dia, semakin aku ingin memiliki dia"


566 hari... tempoh untuk Firdayu mencari cinta kerana satu perjanjian. Cinta senang dicari namun mudahkah untuk mencari cinta sejati? Apatah lagi Firdayu memilih lelaki seperti memilih baju. Yang berjenama lebih diutamakan. Tanpa jenama, dicampak ke tepi.

Tuesday, March 15

Kucc Reviews: Di Sini Luruhnya Musim Kasih


" hatinya luruh disini...lantas kasihpun gugur di luar musim yang silih berganti..."

Kata kucc:
Kepercayaan itu penting didalam sesebuah ikatan dan perhubungan. Jangan sesekali goyah. Jangan mudah prasangka kerana apa yang dilihat dimata tidak semestinya sama tafsiran realitinya. Inilah intipati tema utama yang diangkat didalam naskhah penuh melankolik ini.Tema ini ternyata begitu unggul ditangan penulis hebat yang saya kagumi ini.

Dipenakan dengan cemerlang menerusi garapan jalan cerita yang begitu berkesan sekali plot cerita bergerak dengan begitu lancar. Rantaian kisah diantara satu bab ke bab yang lain dijalin teliti, penuh sentuhan berjiwa. Kesinambungan kisah didalam naratif ini begitu membuai perasaan sehingga kita terikut-ikut merasakan tiap peristiwa yang terjadi didalamnya.

Perwatakan adalah tiang utama sesebuah naratif dan ia juga lah kunci keberkesanan seebuah karya. Watak yang kosong, tiada jiwa maka ia tidak akan berupaya memberikan kesan apatah lagi mempengaruhi pembaca agar sama-sama mengikut perjalanan naratif yang dipersembahan. Katsura Mizushima @ Mahsuri, pelajar dari negara matahari terbit. Menuntut di unversiti tempatan. Pemotretan watak Katsura sangat cantik ditangan penulis. Katsura yang tegas, Katsura yang berani, Katsura yang penuh santun digarap sebaiknya oleh penulis. Penghijrahan Katsura menjadi seorang Mahsuri adalah kemuncak naratif ini dan pengorbanan gadis ini begitu meruntun jiwa. sayang sekali dia gagal mencipta musim bunga yang berwarna-warni biarpun segala usaha dan daya dilakukan.

Iskandar Zakaria; wartawan senior ruangan politik Harian Kebangsaan. Ego lelakinya cukup terserlah. celuparnya menjengkelkan sekali namun jauh disudut hati dia sebenar sama sahaja seperti lelaki-lelaki diluar sana yang mendambakan perhatian dan belaian insan bergelar Hawa. Dianugerahkan Mahsuri yang cukup sempurna namun ego yang menguasai jiwa akhirnya memakan diri sendiri. Sekali tersilap langkah pasti sengsara seumur hidup padahnya. Perwatakan Iskandar adalah contoh yang ada didalam masyarakat. Isteri itu anugerah lalu jika dipersia-siakan maka pastinya akan diambil semula. Penyesalan tiada guna kerana terlajak kata dan perbuatan tidak mungkin boleh diundur.

Kamelia; bekas kekasih Iskandar. Diceraikan suami yang kaya lalu kembali memburu cinta Iskandar. Jala yang ditebar kala ikan yang diumpan sedang leka diamuk rasa yang menggila tepat kesasaran. Menggelupur lalu tersungkur juga Iskandar dikakinya.

Razif; kawan rapat Katsura diuniversiti, dicemburui Iskandar hanya kerana hubungan akrab antara kedua-dua. Perwatakan Razif sederhana namun sumbangannya didalam menghidupkan naratif ini tidak boleh dipertikaikan. Razif adalah kemuncak kegagalan Iskandar mengawal ego, mengemudi emosi lalu tercetus hamburan dan amukan perasaaan yang akhirnya merugikan dirinya sendiri.

DSLMK membawa kisah Iskandar, wartawan senior dari Harian Kebangsaan. Iskandar yang ditinggalkan kekasih; Kamelia kerana kealpaannya sendiri yang tidak prihatin dengan hubungan mereka. Pertemuan tidak sengaja dengan Katsura; gadis Jepun yang menuntut di universiti tempatan sentiasa menimbulkan ketegangan antara kedua. Prejudis dan sentimen Iskandar yang bencikan bangsa Jepun kesan sejarah penjajahan dahulu terpalit pada Katsura. Sinis dan celupar Iskandar ditangani dengan baik oleh Katsura. Kehebatan Katsura membuka mata Iskandar untuk mengenali gadis itu. Tanpa sedar dia jatuh hati pada si gadis yang pernah dimusuhinya itu. Kehilangan Katsura secara tiba-tiba menjadi Iskandar nanar lalu saban waktu gadis itu dirindui. Kepulangan Katsura sebagai Mahsuri yang juga mencintai Iskandar menjadi titik penamat lalu hubungan mereka disatukan walau tanpa restu ibu Iskandar.

Dialog dan lenggok bahasa didalam naratif ini penuh melankolik dengan alunan bahasa sastera yang puitis dan penuh simbolik. Personifikasinya ditangani dengan baik sekali oleh penulis.

Percaya pada pasangan adalah kunci keharmonian sebuah mahligai perkahwinan. Biar apa juga badai dan amukan gelombang kehidupan yang datang, jika rasa percaya itu teguh dan utuh tidak akan runtuh mahligai yang dibina. Ego dan emosi jika keterlaluan boleh memakan diri. Prasangka itu adalah syaitan yang mengheret manusia ke lembah kemusnahan. Saya kira inilah rangkuman mesej tersirat yang terzahir dari naratif hebat dan penuh bermakna ini.

Buat penulis, saya sentiasa mengkagumi sentuhan kreatif anda yang tidak pernah gagal mengoncang nurani tiap kali ia ditelaah, sekalung tahniah buat anda.

Monday, March 14

Rinn Reviews: Cinta Aku Seadanya by Murni Aqila


Cinta Aku Seadanya
Penulis: Murni Aqila
Editor: Ruzita Awaludin
Terbitan alaf 21 sdn bhd
RM19.90
sabah/sarawak: RM22.90
9789831245965
www.alaf21.com.my




"Jangan kau kata cinta andai tak bisa membahagiakan"




Bagi aku, ini adalah jenis buku yg aku baca tanpa sebarang ekspektasi kerana karya pertamanya membuat aku berhati-hati dalam memilih tajuk novel utk dibaca. Tapi Covernya yg menarik membuat aku membaca dan dari awal pagi lepas subuh, hingga petang. memang aku selamat habiskan cerita ini. Memang bila dah start tak boleh lepaskan. mesti baca sampai abis. Tahniah kepada penulis kerana peningkatan penceritaan dan penggabungan plot cerita yang sangat sangat membanggakan berbanding novel pertamanya dulu. Keep up the good work :)


Watak utama cerita ni adalah Syifa, seorg gadis yg membesar dalam dunianya yg tersendiri kerana dia takut menghadapi dunia luar yg memandang ngeri pada keadaan wajahnya yg bertempek tanda lahir. Cercaan dan sindiran yg diterima sejak zaman sekolah membuat dia menjadi seorg yg sangat merendah diri malah dia sanggup utk tidak ke universiti walaupun keputusan spm nya sangat membanggakan. Dia menampung hidup dgn mengambil upah menjahit manik dari sebuah butik milik Pn. Nafisah yg memandang Syifa sbg seorg gadis yg sangat istimewa malah memandang wajah Syifa membuat hati Pn. Nafisah menjadi sejuk. Setiap org ada sudut pandangan tersendiri. Ada yg memandang luaran, ada yg memandang dari sudut dalaman.


Watak Syifa menerima simpati tebal pembaca dgn bantuan watak antagonis seperti Luna dan Zahra. Watak antagonis memang berjaya memainkan peranan masing2 dgn baik utk membentuk character Syifa menjadi mudah berprasangka lagipun dia membesar dalam lingkungan kecil keluarganya. Zahra memang tak bleh tahan la tutur bicara dia. menusuk kalbu betul. Tapi revealation berkaitan layanan suaminya kpd dirinya dan anak2 membuat kita memahami mengapa amarahnya dicurahkan kepada Syifa. Pemutihan watak Syifa dilakukan dgn baik sekali :)


Pn. Nafisah membawa Muszahri bertemu Syifa dgn harapan Mus memandang Syifa sepertimana dia memandang Syifa. Pn. Nafisah lega apabila Mus menerima walaupun pada mulanya dia teragak-agak. Memang penerimaan Mus menimbulkan syak wasangka kepada sesiapa saja, termasuk kita sbg pembaca.


Mus seorg lelaki yg tidak membesar dalam kelompok yg ramai wanita. Di rumahnya dia hanya ada ibunya dan adik beradik dia adalah lelaki. Bila bersama Syifa dia jadi kaku, malah mungkin dia sama ja gementar seperti Syifa, tetapi semua itu disembunyikan kerana mungkin dia terlalu ego utk meluahkan masalah seperti itu kepada sesiapa.


Luna berjaya menyimbah syak wasangkan ke hati Syifa dan membuat dia meragui suami sendiri dan ibu mertuanya. Satu tragedi memaksa Mus utk menjadi lelaki yg berani utk mempertahankan cintanya.




sure fine whatever
rinn




blurb/novelcinta@multiply/sinopsis belakang buku


Andai manusia bisa memilih, tidak mungkin ada yg mahu dilahirkan serba kekurangan, apatah lagi penuh kecelaan. Akan tetapi, mana mungkin itu terjadi. Kuasa ALLAH membataskan segalanya. Kerana itu, Syifa menerima segala ketentuan ILAHI dgn penuh redha. Dipujuknya hati setiap kali dicaci hanya kerana mempunyai tanda lahir di pipi.




Apapun bagi Nafisah, Syifa adalah anugerah istimewa dari TUHAN dgn kelebihan tersendiri sehingga dia berhajat menyunting Syifa utk dijadikan isteri buat anaknya, Muszahri. dan Syifa, nyata terkejut dgn keputusan Muszahri yg sudi menerimanya.


Duka dan malang datang bertimpa. Entah apa silapnya, Muszahri langsung tidak menyentuhnya selepas mereka diijabkabulkan. Luna, gadis yg memuja Muszahri pula tidak jemu2 cuba meruntuhkan istana cintanya. Malah kakak kandungnya sendiri, Zahra sering mencurah bicara berbisa mencacinya.




Syifa kelelahan. Kalau bahagia bukan tercipta untuknya, apalah daya. Mungkin itu sudah takdirnya... dipandang tanpa hati, mencintai tanpa dicintai.

Thursday, February 24

Rinn Reviews: ...dan cinta pun tersenyum.


...dan cinta pun tersenyum.
Penulis Nora Ismail (a.k.a Rose Harissa)
Editor : Norhayati Berahim
Terbitan NBKara
630 mukasurat
RM23.90
Sabah/Sarawak: RM26.90
http://novelnbkara.blogspot.com/


Ervan
Indonesia

Surihani
Malaysia

"Sedangkan dua negara bisa berdamai, inikan pula dua hati..."


Lepas pegi majlis pelancaran baru lah aku perabis novel ni :) Nora menyatukan dua hati berlainan negara dalam kisah cinta menyentuh hati ni. Karya ini menggabungkan dua bahasa dalam satu naskah. Ianya sesuatu yg baru bagi aku. Tetapi Nora berjaya membuat kita berupaya mengasingkan lenggok bahasa melayu malaysia dgn lenggok bahasa melayu indonesia apabila membaca dialog watak berlainan negara dalam novel ini. Kedua-dua bahasa itu diintegrasikan dengan baik dan dibantu dgn maksud perkataan indonesia di penghujung setiap bab bagi memudahkan pemahaman pembaca malaysia.


Ervan adalah model metroseksual kaya raya dari Indonesia yg terpaksa tinggal di Pulau Besar, Johor atas perintah ibu dan ayahnya. Mak dia org Malaysia dan ayahnya orang Betawi. Resort Prima Sakti dibina dengan namanya yg gah. Ervan menurut tetapi pada masa yg sama dia cuba memberontak dari jauh. Sikap Ervan membuat ramai pekerja resort yg pelik dgn sikapnya. Dah la tak tahan panas, dengan nyamuk pun dia nak gaduh.


Surihani adalah gadis pulau yg berpendidikan luar negara. Bertahun di luar negara tidak pernah mengikis kemelayuan dalam dirinya. Setiap kali Ervan berbicara dlm bahasa Inggeris Amerika, Surihani akan sentiasa membalasnya dalam bahasa melayu. Tapi bila Ervan cakap melayu Indonesia, kerap juga Surihani salah faham sehingga percuma saja Ervan menerima tamparan wanita dari Surihani. Entah berapa kali lah Ervan tu merajuk, haha. Mau Surihani tak bara, nak jalan balik rumah pun Ervan guna payung! Aduih.


Separuh pertama cerita ini adalah dirancakkan dengan serangan balas membalas dialog antara Surihani dan Ervan. Dialog2 mereka menjadi penyeri cerita membuat kita tergelak-gelak dengan kerenah pasangan ini. Tragedi yg dicetuskan penulis di tengah-tengah cerita adalah cukup mengejutkan buat aku sbb memang tak sangka langsunglah tragedi sehebat itu datang menduga sedangkan mereka sedang membilang detik tibanya hari bahagia.


Watak Akhil yang sejak kecil dipandang tinggi oleh Surihani berubah menjadi watak negatif setelah pinangannya ditolak. Akhil tu memang bila cakap jer mesti ada ayat2 fitnah, ayat2 spekulasi dan ayat2 nak melaga-lagakan orang. Tak pernah nak bersangka baik. Memang sakit hati betul lah dgn Akhil tu. Penulis seperti menunjukkan perbezaan antara cinta yg menguasai akal dgn cinta yang dipandu akal melalui watak Akhil. Cinta antara manusia bukanlah yg paling utama dalam hidup kita. Cintai Allah dahulu, barulah menyintai orang lain.


Di awal cerita Ervan yg memburu cinta Surihani tetapi di akhir cerita, Surihani yang memburu cinta Ervan. Macam mana boleh jadi macam tu? hmm...


Tisu kena claim dgn Nora nih.


sure fine whatever
rinn





blurb/gengkicap/sinopsis


"Ervan... ini matahari pagi, bagus sbg vitamin D yg penting utk kekuatan tulang. Kamu tahu kenapa kamu tak tahan dgn cahaya matahari walaupun sedikit? Itu kerana kamu adalah org yg berambut keperangan asli dan kulit berwarna putih. Org yg paling tahan kena radiasi matahari adalah org yg berkulit gelap. Semakin gelap semakin terlindung dari sinar matahari. Tapi kamu, putih macam cicak! Manalah nak tahan dgn cahaya matahari!"


"What?" Ervan terpekik. "Kamu bilang aku seperti cecak?" Ervan merengus dgn mata terpelotot ke arah Surihani. Kalau tadi Surihani mengatanya sbg mannequin, sekarang sbg cicak pula! Eeii...! Ervan bergidik geli.


"Iya... cicak... ck... ck... ck..." balas Surihani sambil menggayakan bunyi cicak. Sengaja mahu menghangatkan hati Ervan. Tanpa mahu menunggu reaksi Ervan, Surihani meneruskan melangkah.


"Kurang ajar kamu! Dasar cewek jutek! Cuek!" maki Ervan dgn bengang.
..............

Aku mau pulih dari kesengsaraan ini. Yang kubutuhkan saat ini hanya cinta Tuhan bukan cinta darimu. Kerna secinta-cintanya manusia kepada manusia, kan nggak boleh cintanya lebih dari cinta kpd Allah? - Ervan


It's about love and hate. Never give up on someone you can't go a day without thinking about. Love like you've never been hurt. - Surihani.

Friday, February 18

Kucc Reviews: NokTah Di HuJunG RinDu...


kucc aprilsnow: NokTah Di HuJunG RinDu...


"hati memang cepat berbelah bahagi apabila kita mahu melakukan perkara baik..."

Kata Kucc:
Ini adalah novel pertama penulis namun merupakan karya ke-3 beliau yang saya baca. Walau ini merupakan novel pertama beliau akan tetapi berbekal pengalaman yang luas dalam bidang penulisan cerpen, karya ini cemerlang digarap penulis. Tidak terasa seolah-olah membaca karya penulis yang baru cuba-cuba menjengah ke dunia penulisan kreatif. Sentuhan beliau sangat melankolik menerusi adaptasi gabungan lenggok bahasa juga dialog yang dicipta. Keserasian dua elemen ini menjadikan naskhah ini segar dan menarik dibaca.


Naskhah Noktah Di Hujung Rindu (NDHR) ini membawa tema tentang kesetiaan dan kejujuran. Kesetiaan yang boleh diterjemahkan didalam rangkaian kisah-kisah dari watak-watak yang menjadi pendukung naratif ini. Kesetiaan dan kejujuran pada tunang, kesetiaan dan kejujuran pada kekasih, kesetiaan dan kejujuran suami pada isteri. Gabungan kisah-kisah yang disimpulkan atas tiket tema yang satu lalu terciptakan sebuah jalinan naratif yang cukup menyentuh perasaan.


Penciptaan watak didalam NDHR ini sangat cemerlang. Penulis begitu peka didalam memastikan tiap watak yang dicipta mampu memberi kesan pada pembaca dan ternyata beliau berjaya melakukannya. Irdina Zukhri; arkitek muda cantik bergaya. Pernah putus tunang dengan rakan sekolah kala ditahun akhir pengajiannya di universiti. Putus tunang yang tidak dapat dielakkan kala hati sudah dicuri sang arjuna yang sejak di hari pertama menjejak kaki ke menara gading. Sang arjuna yang bernama Nielham Abdullah itu tidak jemu-jemu memburu Irdina. Walau cuba bertahan, Irdina tidak dapat membohongi jiwa dan perasaannya sendiri. Cinta pada sang tunang nun jauh diseberang laut kian pudar lalu terus berkubur. Namun mungkinkah ini balasan tuhan padanya, jika dahulu dia tega memutuskan ikatan kasih yang sekian lama terjalin kerana panahan cinta sang arjuna sedangkan tunangnya setia dengan janji, kali ini dia pula perit merasakan bila cintanya dikhianati oleh sang arjuna. Watak Irdina cemerlang dipotretkan penulis. Setiap inci rasa dan gelora dijiwa watak ini disempurnakan dengan baik oleh penulis. Irdina adalah kisah duka gadis malang yang tersepit antara pertembungan cinta setia yang sedaya upaya dipertahankan. Saya sukakan watak Irdina dan tambah suka bila akhirnya dia berjaya juga membuat keputusan tepat bagi dirinya.


Nielham Abdullah. Watak ini sebaiknya diselami jiwanya oleh penulis. Bukan mudah untuk meneropong di lubuk hati insan bernama lelaki lebih-lebih lagi lelaki yang hatinya pernah lara ditinggalkan dan bila ia dinukil dari mata pena seorang penulis wanita tugas ini berat saya kira namun penulis saya kira berjaya melakukannya. Nielham; pensyarah muda yang pernah putus kasih dengan belahan jiwa berdarah inggeris kerana tentang ibu yang tidak mahu bermenantukan keturunan Yahudi. Kate yang tidak sanggup menunggu meninggalkan Nielham walau dahulu pernah berjanji sumpah setia. Watak Nielham sedari awal begitu mempesonakan sekali auranya. Kesungguhan didalam mengejar cinta Irdina sangat mengesankan; biarpun perlu menunggu hingga ke tahun akhir pengajian si gadis yang sungguh sukar dipikat, tekadnya tidak pernah pudar. Kecelaruan jiwa dan perasaan Nielham didalam membuat pilihan juga dipenakan sebaiknya oleh penulis. Sifat ketaatannya pada emak yang tertekan jiwa kerana perbuatan abah yang berkahwin muda juga dipenakan dengan baik sekali. Sebagai anak Nielham memang mendamaikan namun sayang sebagai lelaki dia gagal didalam mengatur perasaannya sendiri.


Suria. Wataknya yang tega berhadapan risiko demi mempertahankan haknya untuk menentukan jalan hidupnya sendiri. Saya sukakan ketegasan Suria walau tidak
setuju dengan jalan yang dipilih. Puan Sofiah dan Puan Zarina dua wanita, dua isteri, dua ibu yang berpijak pada tanah yang sama; dimadukan suami dengan wanita yang lebih muda. Namun mereka berbeza didalam menangani racun yang menjalar jiwa wanita. Pemotretan watak sampingan ini berkesan dipenakan penulis. Inilah rasa yang menikam kala jiwa tidak rela. Lalu jiwa lain pula menjadi mangsa amukan amarah dihati. Abdullah; suami yang terlalu mementing diri. Biar apapun alasan dan hujahnya benang yang terang-terang sudah basah manakan mungkin kering hanya dengan sekadar tiupan kata-kata manis, kesimpulannya disini cuma satu; jauhi lelaki begini.


Khalrizal. Lelaki yang ditinggalkan kerana kasih tunang berpindah pada jejaka lain. Watak Khal memang menyedihkan. Rasa kasihan pasti ada dihati pada watak ini kerana dia hanya mangsa pada kesetiaan yang dimungkiri. Saya sukakan watak Khal kerana kasihnya teguh, tidak pernah berpaling dan sanggup berkorban demi
kebahagiaan gadis yang dicintai sepenuh jiwa.


Plot naratif yang berpaksikan kronologi ini sangat tersusun. Persembahan dan jalinan antara satu bab ke bab yang lain baik dan tiada yang mengganggu pembacaan. Ini kesan dari kerja-kerja suntingan yang saya kira sebaiknya dilakukan demi memberi kepuasan pembacaan kepada pembaca.Kesetiaan dan kejujuran begitu mahal harganya lalu janganlah sesekali mensia-siakannya. Inilah saya kira mesej yang disimpulkan penulis daripada persembahan naratif berdurasi 384 halaman ini. Buat yang belum membaca naskhah ini, bacalah dan anda pasti tidak akan rugi. Layari lah kisah penuh melankolik yang mengusik jiwa ini.


Buat penulis, biarpun lewat mendapatkan karya sulung anda ini saya harap masih tidak terlewat untuk ucapan tahniah atas penghasilan sebuah naratif yang cukup
baik.

Rinn Reviews: Juara Carta Cinta by Lynn Dayana


Juara Carta Cinta
Penulis: Lynn Dayana
Editor: Mazuen Yahya
Terbitan Alaf 21 Sdn Bhd
RM19.90
Sabah/Sarawak: RM22.90
494 mukasurat
9789831246320


"Aku + Kamu = Cinta Atas Awan" - Haiqal


Kalau tengok kulit depan, kulit belakang, kita dah boleh teka siapa yg juaranya :) so, sedikit membunuh surprise cerita utk melihat penentuan juaranya.


Maya tu suka nyanyi lagu kanak2. sweet! tapi part dia nyanyi lagu injit2 semut tu buat aku terbayang2 muka 'hantu kak limah go back home'. huhu...


Kemunculan awal Haqiem dalam kisah ini cukup memikat, charming dan dia memang sangat pandai mengambil hati. Walau bagaimanapun, sikapnya terhadap Mimi yg over dan ngengada tu buat aku rasa Haqiem tu kelihatan seperti hero novel yg tipikal yang tak dapat menolak kehadiran wanita seperti Mimi dalam hidupnya. He let Mimi masuk control hidupnya/rumahnya at the same time he expect to tackle Maya's heart sedangkan semua tu berlaku depan mata Maya yg merupakan jiran sebelah rumahnya.


LD ada kelebihan menggarap watak antagonis yg cukup menjengkelkan. Memberi kita cukup rasa asam dan garam utk membenci watak2 seperti Mimi dan Nora. Malah Intan yg mulanya watak putih pun berjaya di twist menjadi watak agak antagonis yg menjengkelkan.


Maya Hanum adalah seorg novelis yg ada peminat2nya tersendiri. Dia membuka perniagaan cenderahati yg turut memasarkan novel2 tempatan. Maya ni kalau tengok taste dia, jenis suka lelaki hensem. Dari zaman sekolah, mudah saja dia tertarik dgn Reza yg hensem dan berkarisma. Semasa bertunang dgn Adnan, dia tidak dapat menolak rasa hatinya yg jatuh cinta kepada Haqiem. Maya bukanlah watak wanita sempurna yg sering kita jumpa dalam novel2. Dia adalah wanita biasa yg pernah tewas dgn perasaan. Pengalaman itu menjadikan dia lebih berhati-hati dalam memilih cinta. Dia tidak pernah mahu meniup semula bara cinta lama.


Adnan memang totally out of list la utk dijadikan pilihan. Dia tu sudah jadi suami orang dan apabila tahu isterinya, Intan tidak dapat mengandung, dia segera mengalihkan perhatian kepada bekas tunangnya, Maya. Haqiem juga turut menyesal kerana melepaskan gadis sebaik Maya. Dia berpisah dgn Maya kerana Maya tunangan orang dan menganggap dirinya tertipu sepanjang percintaan mereka. Apabila semua terlerai dan mereka bertemu semula sbg jiran tetangga, Adnan dan Haqiem cuba mengejar semula cinta Maya.


Kehadiran Haiqal menambahkan lagi peserta dalam perlumbaan itu. Kehadiran Haiqal menyebabkan kelebihan 'charming' Haqiem menjadi malap. Wataknya yg cute dan misteri menjadikan kita juga seperti Maya yang tertanya-tanya, siapa dia. Rasanya memang susah nak teka kerjaya Haiqal. Ada ke sesiapa yg dpt meneka dgn tepat? Saat kita mula merasakan manisnya cinta Maya-Haiqal, kilat datang menyambar. Ni bukan metafora, betul2 punya kilat sudah sambar itu heroin lah. Nasib baik la tak mati atau jadi hitam. Rentak cerita menambah debaran cinta bercampur debaran set2 seram tak seram sbb Maya tiba2 bleh nampak bayangan org yg mati tersiksa dlm keadaan yg kejam. ishhh Lynn Dayana, ko memang kejam. huhu...


Dalam Jika Benar Cinta, LD banyak menggaul unsur komedi dalam penyampaiannya dan aku sangat suka. Hak Cinta Terpelihara menonjolkan kelebihan LD mengendalikan banyak watak dalam ceritanya. TArikh Luput cinta dan Cinta Edisi Terhad menyerlahkan kelebihannya dalam mengalunkan kisah cinta-thriller. dan kehadiran Juara Carta Cinta menunjukkan bagaimana LD menggabungkan cinta-komedi-thriller sbg satu kisah yg sangat menarik :) Tahniah atas kelahiran novel ke5 ni. Lahirlah seorang lagi penulis prolifik Alaf 21. Semoga terus aktif berkarya.


sure fine whatever
rinn


blurb/gengkicap/sinopsis


"Mari Raikan Cinta!" - Haqiem
"Kembali sayangi aku" - Adnan


Ini kisah kejiranan yang gila. Ada pokok yg disiram air panas. sampai kiamat pasti tidak subur! Ada karipap yg berintikan julap, maka penatlah berulang-alik ke bilik termenung. Maya tersepit umpama inti sadwic yg dihimpit rapat oleh roti panas.


Jiran sebelah kiri selalu membuatkan dadanya terasa mahu pecah. Bekas kekasih yg tidak faham makna tidak. Kata hati Maya, sejarah lama tidak akan berulang kembali. Kata hati Haqiem, sejarah mengajarnya utk tidak melepaskan wanita idaman hati. Maka, remuklah jiwa Maya bila kerap diasak.


Jiran sebelah kanan pula membuatkan Maya pening. Besarnya bumi Malaysia, mengapa lelaki itu memilih utk membeli rumah di situ juga? Sudah beristeri, mengapa masih mencuri pandang pada dia?


Kehadiran lelaki yg tidak diketahui namanya itu membuatkan Maya gila! Lelaki ini kaya dgn teori.


Dunia Maya kacau bilau bak diserang garuda. Siapakah juara di dalam carta cintanya? Yang kanan? Yang kiri? Atau yg sering singgah di dalam hati?

Friday, December 24

Rinn Reviews: Rayyan Fantasi by Ramlee Awang Murshid


Rayyan Fantasi
Penulis: Ramlee Awang Murshid
Editor: Mazuen Yahya
Terbitan Alaf 21 Sdn. Bhd
Cetakan Pertama 2010
RM19.90
Sabah/Sarawak: RM22.90


"Apa yang terfikir... itu ada!"


Lebih kepada kisah misteri dan science fiction. Bagi penggemar genre sci-fi, memang wajib baca novel ni. Sentuhan thriller RAM yg disulam sci-fi adalah sesuatu yang menarik :)


RAM membuka cerita dengan misteri siapa Ibrahim? Siapa Aiddin? Apabila dia menyembuhkan bapa mertuanya, aku ingat ker dia ni dari future. Dia datang ke zaman sekarang bersama ubat/penawar yg diguna pd masa akan datang. but i was totally wrong. Bunian? lagi lah bukan! Persoalan-persoalan begini membuat aku tak sabar nak abiskan novel ni, biar semua persoalan tu terungkai. Bacaan menjadi fast-phased kerana rasa ingin tahu yg dijana oleh cara penceritaan RAM. Bila dikatakan diorang ni mungkin dari Alam Fantasi, ni buat aku terfikir pulak, diorang ni tak real? tapi memang langsung tak meletakkan diorang sebagai alien dari planet lain. Bacaan ini akan lebih menghiburkan kalau anda mengenepi persoalan bahasa pertuturan. Diorang tak da masalah nak blend dalam bahasa di sana dan bahasa melayu di sini :)


Kisah ini tentang Ibrahim dan Aiddin yg terpaksa melarikan diri dari tempat asal mereka setelah rampasan kuasa berlaku. Nama org Melayu tu dikutip Mij Gillion (Ibrahim) ketika menumpang kenderaan yg dipandu Ibrahim dan Maidin. Aku terfikir jugak, nasib baik la dia tak bubuh nama anak dia Maidin! hehe Aiddin yg dipilih :) Kalau tak, sah2 la nama hero citer ni MAIDIN. Ibrahim dan Aiddin datang dari suatu tempat yg tak pernah kenal Allah. Pak Markum dan Supinah menjadikan hidupnya bahagia dalam naungan Islam.


Aiddin meningkat dewasa dan menjadi anak yg baik. Konco2 dari tempat asal mereka berjaya menjejak mereka, malah mereka yg tertindas di sana turut menjejak Aiddin utk membantu mereka menewaskan kekejaman yg semakin bermaharajalela. Sempat la Aiddin ni bertunang sebelum disahkan mengidap barah tahap kritikal. Impiannya utk menakluki gunung kinabalu berjaya tetapi pada hari yg sama dia lenyap dari muka bumi secara misteri. Feena (tunangnya) mulanya tu memang setia menanti tapi biler dah lebih tigapat tahun tu, dia terpaksa memutuskan pertunangan.


Zaidan memang watak yg sgt menjengkelkan. Kesian la Feena dpt suami mcm tu. Zaidan ni memangla sygkan Feena sepenuh hati tapi kalau tercetus rasa cemburunya, memang makan hati la Feena. Dan cemburu yang diimaginasi sendiri. Adus.


Mika adalah watak warrior princess yang sgt menarik. tapi action dia tak der la banyak sangat dan aku rasa dia memang saaaaaaaaaangat padan dgn Rayyan/Aidin. Aku suka Mika.


Aku sebenarnya tak tau nak citer yg mana satu kat sini. Memang padat kisah dlm novel ini. Cerita dunia realiti (bumi) dan dunia fantasi dipecahkan kepada dua bahagian menjadikan penceritaan lebih kemas dan selari antara satu sama lain.


Kemunculan semula Aiddin 5 tahun kemudian menimbulkan misteri baru apabila satu demi satu kematian ngeri berlaku apabila Aiddin ada di situ. Endingnya membuatkan aku rasa semuanya di reset semula. Realiti yg sebelum ini sangat kental menjadi fantasi yg samar2 dalam ingatan. Aiddin lebih selesa di bumi. Pak MArkum dgn Supinah tu jadi awet muda lah ye? :)


sure fine whatever
rinn





sinopsis/novelcinta.multiply/blurb


Rahsia susur galur Aiddin sengaja dirahsiakan oleh ayahnya, Ibrahim. Justeru... dia memiliki sebuah keluarga yg bahagia. Bagaimanapun kehidupan manusianya yg gembira dan ceria, tercalar apabila disahkan mengidap barah otak tahap 4. Doktor meramalkan Aiddin hanya mampu hidup dlm tempoh yg sangat singkat. Jiwanya terganggu dan sejak itu, Aiddin suka bersendirian.


Aiddin yg berduka cita ditenteramkan oleh tunangnya, Feena yg berjanji akan setia pada ikatan cinta. Impian terakhir sebelum kematian meragut kehidupannya adalah utk mendaki Gunung Kinabalu. Impian itu terlaksana, tetapi Aiddin hilang di kawasan hutan pergunungan.


Selepas 5 tahun, Aiddin muncul semula di kawasan tersebut. Sejak itu, beberapa siri pembunuhan ngeri berlaku. Manakala Aiddin sendiri sering mendengar bisikan suara perempuan.


RAMLEE AWANG MURSHID berjaya mewujudkan sebuah rahsia dlm lingkaran saspens, seram dan misteri dlm novel ini. Faktor cinta pula adalah pengikat, tetapi tidak semestinya tersimpul mati. Rayyan Fantasi merupakan genre berbeza dlm karya Ramlee kali ini. Ketika membaca novel ini, pastikan di sekeliling anda adalah realiti kerana fantasi begitu bijak menipu fikiran.

Thursday, November 18

KuCc Reviews: Suka Saya, Ya? Suka Saya, Tidak? by Manjlara


"Allah pinjamkan dia buat aku mengenal cinta. Allah temukan dia untuk aku
mengenal kaca dan permata. Andai bersua lagi, akan aku kotakan janji padanya.
Tetapi benarkah, dialah pilihan hati?.."

Kata Kucc:


Tema & Mesej
Saya kira mesej penulis didalam naskhah kedua beliau ini mudah difahami pembaca. Persoalan jodoh yang sememangnya urusan dan rahsia Allah diangkat sebagai mesej utama naratif yang begitu melankolik ini. Mesej ini disimpulkan penulis dengan cantik bersaksikan sebuah garapan kisah yang indah terlakar dikanvas kertas putih. Persoalan kasih sayang yang disulami suntikan unsur ukhuwah kekeluargaan mewarnai tema naratif ini. Terselit juga pengajaran yang ditinggalkan penulis untuk renungan pembaca.


Plot
Persembahan dan olahan plot naratif ini sangat menarik dimata saya. Tersusun, kemas garapan dan suntingannya. Gaya kronologinya menguasai keseluruhan teks. Teknik imbas kembali yang disisip sekadar penambah seri cerita.


Perwatakan
i. Qisya Amni - Ya, saya suka dia! Gadis yatim piatu ini cukup mengundang simpati dan hiba pembaca dengan dirinya yang malang. Latar wataknya digarap cemerlang oleh penulis. Memang ada waktunya sifat mengalahnya yang sedikit keterlaluan mengundang rasa geram saya padanya. Saya kira penulis berjaya mengusik hati pembaca dengan sifat dan keperibadian Qisya nan menawan ini.


ii. Azam Jufry - Ya, saya suka dia! Ketulusan, kesabaran dan kematangan watak ini begitu memikat. peribadinya cantik dipotretkan penulis. Figura hero ini ternyata punya karismanya yang tersendiri dan cukup menyerlah! Yang pernah membaca naskhah pertama penulis; Persis Sebutir Pasir pasti kenal siapakah hero ini..


iii. Wafi Ilya - Ya, saya tak suka dia! Penulis berjaya mencipta rasa misteri pada watak ini dengan kemunculan awalnya yang tampak "baik".


iv. Julia, Pak Long Mukri - Ya, saya suka dia! Watak pembantu ini sangat mewarnai dan signifikan dengan keseluruhan cerita.


v. Mak Long Ainun - Ya, saya tak suka dia! Anatagonisnya sangat menjadi dan terserlah!


Cameo Widya @Kasih dan Syed Irwan Zahir yang sudah berstatus Dr. pasti mengembalikan nostalgia romantis Persis Sebutir Pasir. Solo lagi Irwan rupanya...hehehe


Gaya Bahasa
Melankolik dan estetikanya cukup berseni. Indah digambar dan digarap. Metafora kehidupan watak-watak utama diterjemahkan dengan begitu baik menerusi suasana sekeliling.Alam, persekitaran memainkan peranan didalam menghidupkan mood perjalanan cerita.


Buat penulis, tahniah! Kisah cinta garapan anda kali ini nampak seperti klise namun dari sisi yang lain anda bijak mengajak pembaca menyorot definisi cintaitu sendiri dari sudut Keluhuran dan ketulusannya.

Tuesday, November 9

Rinn Reviews: Jauh Kau Pergi by Dhiya Zafira


Jauh Kau Pergi
Penulis: Dhiya Zafira
Terbitan Alaf 21 Sdn. bhd
Cetakan pertama 2010
RM19.90
Sabah/Sarawak: RM22.90
isbn: 9789831245699
528 mukasurat


"Daerah paling sepi di dunia adalah hati tanpa cinta"


Aku rasa ni antara buku yg ramai pembaca yg ada blog suka baca sebab sangat mudah mencari review novel ni di internet dan kesemuanya adalah review yg sangat positif. Bagi aku Dhiya Zafira sudah berjaya meletakkan namanya di kelas yg tersendiri dalam penulisan novel action thriller.


Dhiya Zafira meneruskan kecemerlangannya dlm melagukan cerita melayu berentak romantis-thriller. Memang menyediakan perisa berbeza dalam penghasilan novel melayu Malaysia. Dalam timbunan cerita2 cinta yg mendayu-dayu, Jauh Kau Pergi memberi denyutan berbeza kepada pembaca. Kadang2 kalau cerita cinta semendang pun buat kita bosan juga, sekali sekala terselit cerita sebegini, memang membangkitkan mood utk membaca.


Hero yg diangkat dalam novel ini adalah seorg askar komando. Seperti melengkapkan pulak koleksi hero melayu beruniform di laut, udara dan darat :p Kalau Jemari Seni ada Mazni Darwisya's Amru si mat selam, KarnaDya pulak ada Aina Emir's Arash si wira angkasa dan terbaru Alaf's Dhiya Zafira mengangkat Rif, si mat teyrap sbg hero;) Bagi aku ketiga-tiga hero beruniform ini mempunyai perwatakan yg menarik dan terserlah aura 'heroism'nya.


Di sebalik perwatakan macho, Rif sebenarnya adalah seorg lelaki yg sensitif dan penuh emosi. Afi menjadi buruan setelah kematian abgnya, seorg komando yg menjalankan operasi sulit. Rif dan kawan2nya cuba menghulurkan bantuan sebaik mungkin utk Afi yg sebatang kara gara2 dibuang keluarga sejak ayahnya berkahwin dgn ibunya, seorg omputeh. Mulanya aku heran naper Rif spent too much time dgn Afi sedangkan dia ada tugas rasmi yg tersendiri, rupa2nya Afi tu adalah sebahagian dari tugasnya. Bagi yg pernah baca karya Dhiya Zafira, watak yg disangka mati tapi masih hidup bukanlah sesuatu yg baru kerana beliau pernah menggunakannya dalam novel sebelum ini. Ini mengurangkan sedikit elemen kejutan semasa membaca kisah ini.


Cerita yg penuh aksi ini terasa tidak susah utk membayangkan aksi lasaknya mungkin kerana aku selalu jugak tengok cerita2 action packed dan penulis menggunakan bait2 kata yg terbaik utk membayangkannya dgn mudah kepada pembaca.


Kenapa ya Jimmy meninggalkan klue kepada AFi utk disampaikan kepada Rif? Itu sudah terang-terangan akan meletakkan Afi dalam bahaya. Nasib baik nenek diorang tak kena pulak sebab dialah org pertama yg memegang amanat Jimmy. hmm ni kena tanya penulisnya nih. Dgn kepakaran Jimmy dan Rif, mereka tentu boleh mengelakkan Afi dari terlibat dalam semua ni. TApi kalau tak disebabkan semua tu, tak merasa la Afi lari turun bangunan dgn menggunakan tali atau shopping baju baru dlm keadaan memakai seluar bercetak gambar popeye. hehe...


sure fine whatever
rinn





blurb/sinopsis belakang buku:


Aku tidak pernah memilih dia sbg pelindungku. Aku tidak pernah menganyam impian utk hidup bersamanya. Kasih terhadapnya tidak pernah lebih daripada yg sepatutnya. Sesungguhnya, dia tidak pernah ada dalam perancangan masa depanku. Dia hanya seorg sahabat.


Namun, sesuatu berlaku menyebabkan haluan kami bertemu. Tiba-tiba aku memilih dia. Aku mula mengait benang rindu buatnya. Aku kasihkan dia lebih daripada segalanya. Tetapi dia ternyata bukan utk ku. Aku bukan pilihan dia! Menyerah kepada takdir bukannya bererti menyerah kalah kerana manusia ditakdirkan utk menang, bukan?


Rif - Muliakah hubungan yg dipenuhi pendustaan? Sucikah cinta yg tercemar keraguan? Untuk dia... aku sanggup hadapi semuanya. Kerana dia, aku rela mempertaruhkan nyawa. Hanya utk dia... aku redha. Ada apa dengan dia yg menjadikan semuanya serba tidak kena?


Afi - aku tidak mampu bersaing dgn masa silam utk terus melangkah ke hadapan. Betapa Jauh Kau Pergi, namun aku tetap setia menanti...

Wednesday, October 20

Kucc Reviews: TuHan Masih MencinTaiku...


Resensi Saya:

Tema & Mesej;
Sekuel Mencari Cinta Tuhan ini menjurus pada persoalan kemanusiaan sejagat yang sentiasa melingkari kehidupan. Pasang surut, naik turun carta diri adalah lumrah dunia. Berada dipuncak suatu ketika lalu dipuja dan saat tersungkur dipinggir itu hukum alam ciptaan manusia rakus. Dipersembahkan dengan begitu baik demi membawa mesej indah ini kepada khalayak pembaca.

Perwatakan;
Azrul Rasyid nadi pada Tuhan Masih Mencintaiku. Perubahan diri yang berputar 360 darjah dari kedudukan asal; persoalan sikap dan peribadinya yang tiba-tiba bagai dihembus bayu firdausi mengejutkan seisi pejabat dipotretkan dengan sebaiknya oleh penulis. Namun berhijrah dari kelaziman yang jahil kepada sesuatu yang baru, segar dan lebih putih tidak akan semudah yang disangkakan. Perwatakan Azrul yang mengalami tranformasi diri ini sebaiknya dilayarkan penulis demi menyampaikan mesejnya pada seisi pembaca. Saat mengetahui siapa diri yang sebenar bila terbongkar kisah silam penuh hitam keluarga dipenakan dengan baik oleh penulis. Kita bagai boleh merasakan perasaan hati juga cetusan naluri Azrul dan ibunya saat berdepan kebenaran ini tersingkap juga tohmahan masyarakat sekeliling.

Khalida Atikah yang selamba! saya sukakan cara wataknya dipenakan penulis. Sikap lurusnya, tulus hatinya yang polos, tanpa secubit curiga malah kelam kabutnya yang melucukan dipotretkan dengan cemerlang oleh penulis.

Antagonis Azee dan cik Latifah yang kembali tidak begitu menggugat pada naskhah kali ini. Bagi saya, Cik Latifah lebih cemerlang pada Mencari Cinta Tuhan.

Gaya Bahasa;
Penerapan dan pengaplikasian lenggok bahasa pertuturan harian dengan kemasukan terma-terma moden pad dialog-dialog tertentu yang diterapkan penulis bersesuaian dengan jalan juga latar cerita. Gaya bersahaja yang digunakan begitu kena dan menangkap!

Plot;
Kaedah kronologi yang menguasai hampir seratus peratus perjalanan juga persembahan cerita. Persembahan dari satu bab ke bab yang lain dijalin dengan baik dan pembaca saya kira lancar tanpa sebarang gangguan yang boleh memjejaskan mood pembaca.

Buat penulis, tahniah untuk sebuah sekuel yang sangat indah dari penaan anda. Dari Azrul dan Khalida anda menyalurkan sebuah mesej sejagat yang begitu dekat dalam kehidupan seharian. Azrul dan Khalida lambang ujian juga anugerah Dia pada
hamba-Nya yang sabar dan beriman.

Friday, October 15

Rinn Reviews: Sayang Sepenuh Hati by Eka Fahara


Sayang Sepenuh Hati
Penulis: Eka Fahara
Terbitan Alaf 21 Sdn. Bhd
RM19.90
sabah/sarawak: 22.90
503 mukasurat


"Bukakan ruang hatimu dengan kalimah cinta kita"



Aku mengikuti buku2 penulis ni dari novelnya yg pertama hingga novel nya yg ketiga. Baru2 ni aku berkesempatan membaca karyanya yg kelima. Aku rasa penulis ini menunjukkan peningkatan positif dalam setiap karyanya. Karya pertamanya, Kabus Kasih, aku rasa ceritanya agak plain dan biasa2 saja. Karya keduanya, Nilai Cintamu, mungkin agak slow di permulaan cerita tetapi towards the end cerita ini sangat menarik. Belaian Jiwa, karya ketiganya memang menarik. Karya ke4nya aku blum sempat nak baca. Karya ke5 ni memang well improved dengan rentak cerita yg tidak dilengah2kan. Start baca memang tak letak dah sehinggalah ke muka surat terakhir novel ini. SSH yg hadir sebagai novel kelima penulis ini adalah sangat bertepatan. Tahniah buat Eka Fahara :)


Tonggak cerita ini adalah Aira. Seorang setia dlm cinta tetapi tunangannya menyemai cinta dgn gadis lain, teman baiknya sendiri. Bila Fauzien (tunangnya) gagal membuat pilihan antara dua, Aira mengambil keputusan memutuskan pertunangan dan kembali ke New Zealand utk menyambung pengajian dan merawat hati yg luka.


Kesetiaannya terasa seperti dipersenda Fauzien. Di New Zealand dia bercampur dgn kelompok yg baru, tidak lagi memencilkan diri seperti dulu. Adin jatuh cinta pandang pertama dgn Aira. Banyak yg dia tidak ketahui tentang Aira tetapi dia cuba memahami walaupun diorang selalu end up bergaduh bila cuba berbual-bual. Nini menjadi pengaman antara mereka. Belum ada ikatan rasmi, Adin sudah mula cemburu. Adin mengambil langkah pertama menawarkan diri utk merawat hati Aira yg pernah terluka. Dia cuba mengubah sikap Aira yg sudah pandai bersuka ria di luar. Cemburunya membuat dia mahu mengikat Aira sebagai isteri walaupun ibu bapa di tanah air tidak mengetahui perhubungan mereka.


Janji Adin pada keluarga di Malaysia utk menjaga saudara sepupunya membuat Adin merasa terikat utk menyelamatkan maruah Suri. Rahsia yg cuba ditutup Adin dan Nini akhirnya terbongkar apabila Suri hadir di hadapan Aira. Hati Aira terluka lagi akibat lelaki lalu membawa diri balik ke Malaysia. Dia tidak lagi terfikir utk menerima kasih lelaki. Sikapnya membuat ibu bapanya bimbang. Kehadiran Adin di rumah mereka pada hari Aira bakal dirisik org lain membuatkan ibu bapa dan adik Aira kehairanan kerana dalam benci Aira melayan Adin kelihatan seperti pasangan yang sedang meleraikan rindu. Aira dan Adin akhirnya kantoi big time dan terpaksa menjelaskan segala-galanya kepada ibu dan bapa Aira.


Rahsia diorang ni terbongkar akibat terkantoi ja. Dengan mak pak heroin pun kantoi ngan mak hero pun kantoi :) tapi macam comel ;)


sure fine whateverr
Rinn


sinopsis/blurb belakang buku:


Kalaulah Aira tahu lidah Fauzien tidak bertulang, dia tidak rela bertukar cincin dan bergelar tunang saat berangkat ke New Zealand. Kesetiaannya tidak dihargai bila Fauzien beralih kasih pada Izzi, teman baiknya sendiri. Memutuskan tali pertunangan adalah keputusan muktamad yg diambil agar dirinya tidak dibelenggu sakit hati dan benci.


Dalam merawat luka di hati, Aira berkenalan dgn Adin. Perkenalan singkat itu tidak bermakna buatnya. Namun tidak bagi Adin. Dia gila bayang pada gadis berkulit mulus itu. Puas dia cuba memikat tetapi Aira ibarat merpati makan di tangan. Jina, tetapi lari bila ingin dipegang.


Laksa Kedah ala New Zealand membuatkan kasih Aira pada Adin mula berputik. Dia mula belajar bercinta lagi. Akhirnya termeterailah hubungan suci yg didambakan. Namun kemunculan tiba2 Suri yg mengaku dia isteri Adin membuatkan jiwa Aira separuh mati.


Andai itu kenyataan yg tersurat, Aira tega membawa diri. Dia akur walaupun hidup ini sesekali berlaku kebetulan. Hanya suratan takdir melengkapi sebuah kehidupan.