Showing posts with label PTS One Sdn Bhd. Show all posts
Showing posts with label PTS One Sdn Bhd. Show all posts

Friday, July 3

Detektif Bertudung Hitam


TAJUK: DETEKTIF BERTUDUNG HITAM
PENULIS : BAHRUDDIN BEKRI
PENERBIT : PTS ONE SDN BHD
HARGA : RM17.90
GENRE : REMAJA & THRILLER RINGAN
BINTANG: 4



--------------------------------------------------------

“…Tak ada yang salah. Memang saya sengaja letak jawatan awak sebagai ‘Penyiasat Persendirian’ kerana bekerja di syarikat penyiasat membuatkan awak menjadi penyiasat. Takkan saya hendak letak kerani pula?Kerani buat apa ada kad bisnes?Jadi secara tidak langsung awak dapat mempromosikan syarikat ini..Faham?”

Apa Kata Saya:
Sekiranya orang yang amat kita sayang, orang yang amat bererti di dalam hidup kita ditimpa ujian dari-Nya yang memerlukan kita menjana usaha bagi membantu meringankan ujian tersebut, maka sejauh manakah kita sanggup bertindak demi merealisasikan harapan tersebut. Sejauh manakah sanggup kita berkorban deminya?. Inilah tema dan intipati yang ditampilkan di dalam Detektif Bertudung Hitam garapan penulis muda berbakat besar, Bahruddin Bekri.

Walau tema naskhah kali ini nampak serius dan berat namun penulis seperti juga 2 naskhah sebelumnya; Dunia Ini Sederhana Kecil dan Doa Untuk Aku bijak memanipulasi kisah yang diutarakan hingga akhirnya diadun menjadi hidangan cukup enak untuk dinikmati, santai, bersahaja penuh unsur humor spontan yang begitu mencuit rasa namun cukup kaya dengan mesej-mesej kehidupan yang diselitkan untuk dikutip buat renungan para pembaca.

Detektif Bertudung Hitam (DBH) menemukan pembaca dengan Az Zahra Idwan, seorang gadis berusia 20 tahun lulusan STPM yang mempunyai masalah sifat pemalu yang melampau. Disebabkan sifat tersebut dia sukar mendapat pekerjaan walaupun mempunyai tahap pencapaian akademik yang baik. Keadaan ayahnya yang sakit teruk dan memerlukan pembedahan dengan segera begitu menekan Zahra disamping masalah dirinya yang masih gagal mendapatkan sebarang pekerjaan. Saranan dari teman akrabnya Mia agar Zahra memasuki sebuah kelas bimbingan untuk mengurangkan sifat malunya itu menemukan Zahra dengan Jazzabel, Kamarul, Zamri, Hamidon juga Nico yang kemudiannya menjadi teman akrabnya. Zahra akhirnya diterima menjadi kerani yang juga perlu melakukan tugas-tugas lain dengan gaji RM800 sebulan di Syarikat Siasat Siasat Sdn Bhd yang dipunyai oleh Encik Zabidi . Apabila syarikatnya diupah untuk menyiasat kematian Tan Sri Azman, Zahra telah dilibatkan secara”paksa” oleh ketuanya itu untuk sama-sama turun padang menyiasat dengan disertai oleh seorang lagi penyiasat di syarikat itu; Ram @ Muharam. Walau mulanya Zahra agak keberatan namun bila dia ditawarkan bayaran bonus RM50,000 jika mereka berjaya menyelesaikan kes itu, Zahra merasakan itu adalah peluang untuknya menyelesaikan masalah bayaran pembedahan ayahnya. Bermula dari saat itu, Zahra melangkah menjadi penyiasat dan dengan dibantu oleh teman-teman dari kelas bimbingannya mereka merangka strategi untuk menangkap pembunuh Tan Sri Azman.


Pelbagai insiden juga kejadian lucu yang terjadi di sepanjang tempoh siasatan tersebut memperlihatkan bagaimana penulis bagi saya cukup kreatif didalam mengadun cerita, di dalam kita suspen,kita teruja, kita masih boleh tersenyum dan ketawa dengan aksi-aksi dan dialog humor yang ditampilkan. Bukan mudah untuk mencipta situasi sebegini di dalam penulisan. Naratif ciptaan penulis kali ini cukup menghiburkan sekali. Penggunaan laras bahasa yang cukup ringkas, mudah menjadikan irama naratif ini cukup segar hingga ke akhirnya.

Teknik penyampaian dan pengolahan yang cukup santai membolehkan penulis mengadaptasikan tema yang agak kompleks ini menjadi lebih mudah dihadam oleh minda pembaca. Mesej-mesej yang disampaikan penulis juga cukup santai di mata pembaca biarpun makna yang disisipkan cukup tersirat. Mesej tentang nilai kasih sayang antara anak dan bapa, nilai persahabatan, ketamakan manusia yang akhirnya mengundang padah dipaparkan penulis dengan cukup bersahaja sekali tapi penuh personifikasi yang mewarnainya.

Perwatakan Zahra DBH dipotretkan dengan sebaiknya oleh penulis. Saya tertarik dengan watak Zahra yang mengalami proses asimilasi dari seorang yang pasif kepada yang seorang yang optimis. Dari seorang yang pemalu, tiada keyakinan diri wataknya dikembangkan sedikit demi sedikit menjadi seorang yang punyai semangat dan keyakinan diri hingga berjaya menyelesaikan siasatan kes yang dipertanggungjawabkan kepada dirinya. Perwatakan Zahra yang lurus, tulus sungguh menarik sekali ditangani penulis. Watak Nico paling membuatkan saya tersenyum dengan aksi dan dialog bersahajanya. Penciptaan nama-nama watak sampingan yang cukup unik, juga lucu begitu mengambarkan daya kreativiti penulis yang sangat mengagumkan. Setiap kali berpapasan dengan nama-nama ini, sering kali saya tersenyum sendiri. Kelakar sungguh!

Pergerakan plot cerita dibina penuh sifat kronologi yang cukup santai dan segar laluannya bagi memberikan pembaca peluang menikmati perjalanan naratif ini dengan penuh rasa keseronokan di jiwa.

Sekalung tahniah buat penulis untuk sebuah persembahan yang cukup baik di dalam Detektif Bertudung Hitam. Teruskan usaha anda ini dan semoga terus cemerlang menghasilkan karya-karya unik , hebat dan bermutu di masa hadapan buat pencinta novel tanahair.

Bagi anda yang belum mendapatkan naskhah yang cukup berintisari dengan mesej-mesej kehidupan yang diadun dengan begitu cantik dan bersahaja ini, anda tidak akan sekali-kali kecewa memilikinya. Di samping anda tersenyum, anda ketawa, minda anda disogokkan dengan pengajaran yang baik buat bekalan kehidupan.


Tuesday, February 17

Detektif Bertudung Hitam




Tajuk: Detektif Bertudung Hitam
Harga: RM17.90
Penerbit: PTS One

Blurb:
"Ini saya tempah kad bisnes untuk awak."

"Encik Zabidi letak nama jawatan saya 'Penyiasat Persendirian'? Saya hanya kerani, encik salah tempah," persoal Zahra.

"Tak ada yang salah. Memang saya sengaja letak jawatan awak sebagai 'Penyiasat Persendirian' kerana bekerja di syarikat penyiasat membuatkan awak jadi penyiasat. Takkan saya hendak letak kerani pula? Kerani buat apa ada kad bisnes? Secara tidak langsung, awak dapat mempromosikan syarikat ini. Jadi, jangan simpan sahaja kad itu, berikan kepada orang. Faham!" terang Encik Zabidi panjang lebar.

"Faham!" jawab Zahra keras. Tidak semena-mena dia menjadi penyiasat pula. Hati Zahra bergetar memikirkan dunia baru yang perlu ditempuhnya.

Zahra gadis pemalu yang selalu tampil bertudung hitam. Gadis pemalu yang mendapat kerja sebagai kerani di syarikat penyiasatan kerana sanggup bekerja dengan gaji yang rendah. Gadis pemalu yang memerlukan wang bagi membiayai kos pembedahan ayahnya. Menyiasat kes pembunuhan? Ganjaran RM50,000? Mampukah Zahra yang pemalu ini menyelesaikan kes itu?

Monday, October 20

DOA UNTUK AKU


TAJUK: DOA UNTUK AKU
PENULIS : BAHRUDDIN BEKRI
PENERBIT : PTS ONE SDN BHD

CETAKAN PERTAMA : 2008
HARGA : RM22.90
GENRE : REMAJA DEWASA & KOMEDI RINGAN



------------------------------------------------------------------------------------
“…Doa itu Allah makbulkan dengan pelbagai cara…Allah sudah menjelaskan dalam Al-Quran. Berdoalah kepada-Nya, Dia akan tunaikan. Paling penting, jangan putus harapan dengan rahmat Allah. Selagi kita bersangka baik dengan Allah, selagi itu rahmat Allah terbuka luas...”

Apa Kata Saya:

Sejak kecil kita sering mendengar ia disebut, ia dilafaz.… 3 huruf yang membentuk perkataan hikmat ini, dal wau ain sering kali singgah dan dibisik di telinga, ditanam di hati, disemai dijiwa.tentang kuasa yang dimiliki disebalik perkataan itu.Akan.tetapi sejauhmanakah pemahaman kita tentang pengertian, konsep dan amalannya. Mungkin tidak semua di kalangan kita benar-benar memahami kaedah sebenar dan tertib yang betul tatkala mengamalkannya agar ia benar-benar “berkuasa”. Dalam naskhah setebal 436 mukasurat ini, penulis membentangkan kepada kita sesuatu yang mungkin kita terlepas pandang atau mungkin kita juga tidak tahu sebelum ini tentang apa itu Doa dan makna disebalik perkataan ini.

Dengan mengekalkan resipi dan ramuan dari bukunya yang pertama; Dunia Ini Sederhana Kecil, Doa Untuk Aku (DUA) ditangan penulis yang sama cemerlang diterjemahkan dilayar cetak. Aplikasi formula cerita yang menggabungkan unsur humor spontan yang begitu mencuit hati walau dipenakan secara cukup bersahaja sudah cukup mengundang senyum dan tawa pembaca samada secara langsung mahupun tidak.

Melihat pada tema dan mesej cerita tentang misi pencarian 40 Doa watak utamanya; Adly yang kemudian dipisahkan mengikut sub golongan sasaran bukanlah suatu tema yang ringan namun kebijaksanaan penulis muda berbakat besar ini nyata berjaya menggarap tema yang sedikit berat ini kepada lebih santai dan menarik menerusi teknik penceritaan yang bersahaja dengan sisipan dialog dan kata-kata komedi tanpa sedikitpun mengurangkan matlamat asal cerita. Penilaian terhadap sesuatu karya yang baik dari kacamata saya mudah sahaja. Penulis yang baik akan mampu mengadaptasi satu cerita yang berat atau kompleks tema/mesejnya menjadi satu cerita yang cukup ringan dan mudah diterima pembaca menerusi teknik penyampaian dan laras bahasa yang dipilih. Penulis naskhah ini bagi saya telah berjaya mencapai misi tersebut.

Perwatakan dalam DUA banyak mengingatkan saya pada karya penulis yang pertama. Ada banyak persamaan yang terpalit dalam Adly dan Syamir. Sebagai peneraju utama watak Adly ternyata dimanipulasi semaksimanya oleh penulis. Sebagai peneraju utama, Adly hebat ditangani penulis. Misi pencarian 40 doa oleh Adly begitu cantik dilayarkan penulis walaupun secara bersahaja dan insiden-insiden lucu yang tercipta samada secara sengaja atau tidak dalam perjalanan Adly mencapai misi tersebut cukup hidup digambarkan penulis.Begitu juga watak-watak pembantu yang lain; Kassim, Amin bin Damit, Sarah, Zulaikha, Jefri, Elizabeth yang turut cemerlang dipaparkan bagi memantapkan lagi jalan cerita DUA ini. Penggunaan lenggok bahasa yang mudah difahami pembaca memudahkan kisah ini diikuti. Penulis ternyata memahami apa yang dimahukan pembaca dalam karya-karya sebegini kerana penggunaan laras bahasa yang kurang tepat akan mempengaruhi mood pembaca untuk menghayati sesuatu cerita.

Plot cerita dibina dengan cukup kronologi dengan sedikit sisipan teknik imbasan kembali. Kesegaran plot yang dicipta banyak membantu pergerakan cerita yang disampaikan penulis dalam merealisasikan mesejnya kepada pembaca. Walau ada sedikit kesilapan cetakan nama watak yang menuturkan dialog ia tidaklah menjejaskan jalan cerita Cuma diharap pihak editor lebih peka kerana perkara yang sama pernah terjadi dalam karya pertama penulis ini.

Dari saya, sekalung tahniah buat penulis atas kelahiran novel kedua anda ini dan ternyata banyak peningkatan telah anda pamerkan. Teruskan usaha anda. Semoga terus cemerlang menghasilkan karya-karya hebat dan bermutu di masa hadapan buat tatapan, renungan dan pedoman buat kami semua, pencinta novel tanahair.

Buat pembaca, buat pencinta novel tanahair sesungguhnya banyak yang dapat dikutip, direnung dan difikirkan dalam naskhah kecil tapi padat dan mampat isinya ini. Dua Untuk Aku ternyata tidak akan sesekali mengecewakan anda kerana sebagai pembaca anda lebih tahu. Hanya Jauhari yang lebih mengenal Manikam.