Showing posts with label Nor Rafishah Md Hassan. Show all posts
Showing posts with label Nor Rafishah Md Hassan. Show all posts

Sunday, December 5

Terkini Daripada Fajar Pakeer


Tajuk Semakin Rindu Semakin Sayang
Penulis Umaira Dzul Widad
ISBN:978-967-365-028-6
Sem. Malaysia: RM22.90
Sabah / Sarawak: RM25.90

Puteri Elisya amat yakin bahawa cintanya terhadap Khyrul tidak pernah bermusim. Sayangnya setinggi puncak Himalaya. Walaupun telah terlalu banyak perkara melukakan perasaannya, cinta terhadap Khyrul melebihi segala. Dia rela buat-buat buta dan buat-buat lupa. Bagi Puteri Elisya, Khyrul satu-satunya lelaki yang berjaya menjuarai carta jiwanya. Namun, mengapa hati berbelah bahagi saat cinta itu bakal disatukan dengan sebuah ikatan perkahwinan? Sungguhkah rindunya sudah kehilangan bisa?

“Abang tak kisah kalau Elis dah ada kekasih. Walaupun abang sukakan Elis, in fact dah jatuh cinta pada Elis, tapi abang tak akan paksa Elis untuk cintakan abang.”

“Kalau boleh abang nak bawa Elis terbang di angkasa. Kita jelajah ke bintang, ke bulan. Waktu itu mungkin Elis akan sedar, bahawa perasaan abang kepada Elis tidak pernah terbatas. Seluas langit dunia, sesetia malam pada siang.”

Kalaulah dia belum ada Khyrul, mungkin sahaja dia membenarkan Syahmi menghuni hatinya. Bersama lelaki itu dia rasa bahagia. Sungguh dia rasakan Syahmi telah terlewat. Tetapi mengapa semakin dibiar, rindu itu terus bertindanan di jiwa, membenihkan sayang sehingga dia rasa sukmanya terseksa selepas pemergian Syahmi.

“Dia telefon, kamu tak layan, kamu telefon, dia tak jawab. Sampai bila nak selesai masalah kamu berdua ni? Kalau suka cakap ajelah suka. Tak payah nak main tarik tali.”

Benarkah perasaannya terhadap Syahmi telah mula bertukar makna? Sedangkan dia bimbang menjadi haloba sekiranya membiarkan cinta di hati beralih kepada Syahmi. Mampukah dia bertahan selepas ketiadaan lelaki itu?



Tajuk : Seharum Bunga Rampai
Penulis Wijdan Syauqina & Nor Rafishah Md Hassan
ISBN:978-967-365-036-1
Sem. Malaysia: RM19.90
Sabah / Sarawak: RM22.90

Adam tidak pernah menghargai Marissa selaku tunang. Layanan hatinya juga tidak selayak itu. Dia hanya tahu dingin. Luqman bertemu Aisyah dalam keadaan yang tidak terduga. Dan ia membenih benci di hati gadis itu.

Apabila tunangnya, Marissa, mengalami amnesia setelah terlibat dalam kemalangan kereta dan tidak dapat mengingati dirinya, Adam mula berasa bimbang jika situasi itu akan membuatkan dia tersingkir dari hati Marissa. Lebih-lebih lagi apabila Salman yang menyelamatkan Marissa semasa kemalangan itu cuba merapati tunangnya.

Pertemuan yang membibitkan cinta di hati Luqman malangnya benci di hati Aisyah. Perjalanan cinta ke hati Aisyah tidak semudah yang disangka, namun kalau jodoh itu di tangan Tuhan tiada siapa yang dapat menolaknya. Namun, rumah tangga yang di bina putus di tengah jalan.

Dan kini, niat dua lelaki ini hanyalah satu, mengejar semula cinta hati mereka. Adam sedar dia sebetulnya mencintai Marissa. Lupa Marissa menyedarkannya. Luqman pula tahu cintanya hanya untuk Aisyah. Hilang Aisyah memberitahunya. Seharum bunga rampai, mampukah kasih sebegitu jadi milik Adam dan Luqman dalam memenangi hati insan tercinta? Akankah ada peluang kedua daripada Marissa dan Aisyah untuk lelaki yang masih bertempat di hati?

Friday, June 19

Rinn's Review: Cinta Di Hati by Nor Rafishah Md Hassan


Cinta Di Hati by Nor Rafishah Md Hassan
Terbitan Fajar Pakeer
Cetakan PErtama 2009

"Kita merenung bintang yg sama, tetapi mengapa mimpi berbeza?"

Tak tau nak explain apa perasaan saya setiap kali selepas membaca karya2 NOr Rafishah Md Hassan. Dia sentiasa ada meninggalkan 'rasa' setiap kali saya menutup bukunya. Itu antara sebab kenapa saya tak lepas peluang utk baca karya2 beliau, kadang2 tak boleh nak teka arah ending yang hendak dibawanya, ada kejutan yg tak disangka :)

Cerita ini tentang Nashran. Anak muda yg menaruh hati pada Shana. Kematian ibunya mengundang hiba. Tapi hati itu lebih luluh bila Shana tu rupa2nya buah hati ayahnya. Ayahnya cuba menerangkan beza sayang dan cinta. Dia sayangkan ibu mereka tapi cintakan Shana. Hubngan dia dengan adiknya Seri semakin kekok apabila terburai rahsia yg Seri bukan anak kandung kerana sebelum itu mereka adalah adik beradik yg sangat mesra dan bebas bergurau senda. Kekecewaan terhadap Shana membuat Nash membawa diri ke utara. Menemukan dia dengan keluarga Pak Cik Shuib dan keluarga Noti.

Tanpa disangka dia membina hidup yang lebih bermakna dengan keluarga di kampung itu. Najwa putus tunang setelah dilarikan Zaki yg berniat memalit malu pada keluarga Noti & Myuji. Kesucian Najwa diragui, Noti meminta pertolongan Nash utk menyelamatkan maruah adiknya itu. Nash menerima dgn berat hati dan meletakkan Najwa sbg tanggungjwbnya.

Kekerapan kehadiran Seri menimbulkan cemburu di hati Najwa sehingga mereka berselisih faham. Nash lebih mesra dgn Seri berbanding Najwa. Najwa rasa terpinggir. Tragedi yg menimpa membuat Nash sedar ada rasa sayang buat Najwa tetapi segalanya sudah terlambat. Seri makin sedih dan rasa bersalah bila mendapati yg Najwa rupa2nya kakak kembarnya.

Bagi yg menyenangi kasih antara Nash & Seri mungkin menganggap ni pengakhiran yg terbaik, tapi saya dari awal cerita lebih pro kpd Najwa so saya meletakkan kisah ini sbg sad ending :(

Saya ingat ker tu jer kisahnya, tapi tak abis lagi.. kisah shana ngan bapa Nashran tu lagi terkejut wo! Bapa Nashran pernah terlanjur dgn seorang wanita ketika Nash berusia 3 bulan... and guess who's the woman yg bapa Nashran terlanjur tu??? aaaawwwduiiiiiiiiwuihhhh...

sure fine whatever
rinn

Sinopsis belakang buku:

Merajuk dgn ayah sendiri, merajuk dgn gadis yg dicintai, Nashran nekad membawa hati. Di tempat org, dia membina semangat baru dan belajar mengenali diri. Lebih daripada itu, dia menemui sebuah cinta baru.

Pleurotus sajor-caju.

Tetapi bahagia sebenar yg diimpikan masih jauh daripada genggaman tangan. Lalu, di manakah hendak dicari bahagia itu? Atau massihkah dia terlepas pandang pada kasih yg ada di hadapan mat?

RM22.90
Sabah sarawak: RM25.90
isbn: 9789833880423

Tuesday, June 2

Cinta Di Hati.


Tajuk Buku : Cinta Di Hati
Penulis : Nor Rafishah Md Hassan
Penerbit : Fajar Pakeer Sdn Bhd
Harga : RM22.90
Cetakan Pertama : 2009
Genre : Kekeluargaan
Bintang : 3.5


-------------------------------------------------------------
“…ada perkara yang hanya akan kita fahami apabila menempuhnya sendiri. Itu sebenar-benarnya pelajaran & pengajaran…”

Apa Kata Saya:

Apa bezanya antara sayang dan cinta?. Garis sempadan antara kedua-dua perasaan ini cukup tipis sekali jurangnya hinggakan kita adakala boleh tersasar, terjerumus, tersalah tafsir akan kedudukannya…tersalah anggap akan hati kita sendiri. Kata penulis, cinta itu datangnya dari mata dan rasa manakala sayang itu datangnya dari hati dan jiwa. Bersama dengan yang tersayang lautan menjadi tenang beralun dan bila bersama yang tercinta lautan sentiasa bergelora!, benarkah begitu?...lalu kata penulis lagi, tempuhinya dan alami sendiri untuk kita bisa menafsir dan membezakan kedua-dua perasaan ini.

Naskhah terbaru penulis ini; Cinta Di Hati (CDH) cuba membawa pembaca menyelami kedua-dua perasaan ini menerusi pengalaman dua watak utama yang mendukungi naratif beliau kali ini. Cinta dan sayang adakala bisa menghancurkan diri seseorang jika tidak dikendalikan dengan bijaksana. Lebih buruk ia juga boleh memporakperandakan sebuah kehidupan..kehidupan insan yang tidak bersalah!. Rasa sayang dan cinta ini kadangkala bisa membuatkan kita jadi manusia yang kejam, manusia yang memikirkan kepentingan dirinya sahaja. Dan kadangkala sebagai manusia kita seringkali gagal memanafaatkan juga menghargai anugerah yang dikurniakan oleh-Nya pada kita hinggalah ia diambil semula dari kita. Saat itu segala rasa penyesalan, kedukaan sudah tidak bererti lagi.

Sebagai sebuah kisah yang bertemakan kekeluargaan sebagai teraju utama dengan sisipan hubungan kasih sayang sesama keluarga dan rakan, CDH membawa pembaca menyusuri kisah Nashran seorang graduan yang merajuk atas sikap ayahnya yang dianggap curang pada ibunya; Aliza yang membawa kepada kemalangan yang meragut nyawa ibunya itu. Lebih tragis, kekasih ayahnya adalah Shana; gadis yang menjadi pujaan hatinya dalam diam!. Sukar untuk Nashran menerima hakikat yang Shana bakal bergelar ibu tirinya!. Masalah tambah rumit bila identiti adiknya terbongkar. Seri Shahirah rupa-rupanya cuma anak angkat dalam keluarganya. Kecewa dengan semua yang berlaku, Nashran nekad keluar dari rumah. Rajuk yang akhirnya membawa dirinya terdampar ke Kampung Tok Raja, Naka, Kedah. Disana kehidupan barunya bermula dengan menjadi anak angkat kepada Pak Shuib dan Mak Nab yang kebetulan tiada mempunyai anak. Disana jugalah dia diperkenalkan dengan kehidupan kampung yang serba serbi sederhana. Menerusi keluarga angkatnya dia diperkenalkan dengan keluarga Alang Adol dan Alang Bunga juga anak-anak mereka, Noti/Hanafi, Myuji/Tarmizi, Uzi/Fauzi dan Ain Najwa. Hubungan akrab antara mereka tambah mesra dengan penglibatan Nashran dalam projek penanam jagung yang diusahakan Noti. Musibah yang menimpa Ain Najwa ketika dalam tempoh bertunang angkara rasa tidak puas hati pada Myuji telah membabitkan Nashran secara tidak sengaja. Demi membalas budi juga rasa kasihan pada Najwa yang tidak bersalah, Nashran nekad mengahwini Najwa namun kesilapan Nashran didalam melayari kehidupan barunya sebagai suami membawa padah bila Najwa merasakan Nashran bagai enggan menerima diri, lebih buruk kata-kata yang terlepas dari mulut Seri saat mereka berdua bertengkar membawa kepada rajuk Najwa yang berakhir dengan tragedi. Tragedi yang akhirnya juga membongkar identiti sebenar Seri…identiti sebenar Shana!.

Plot cerita ini berpaksikan jajaran kronologi dengan sedikit sisipan teknik imbasan kembali yang digunapakai penulis di dalam mengimbau perjalanan watak-watak di dalam CDH ini terutama Nashran dan Seri .Plot cerita berkembang dengan cukup berwarna-warni didalam menyusuri pergerakan kisah hidup Nashran yang cukup dramatik ini. Paling menarik bila kisah sebenar terbongkar. Tabir di singkap satu persatu secara perlahan-lahan membuat pembaca cukup tidak sabar dan tidak menduga begitu rupa kisah sebenarnya...sangat menarik bagi saya cara yang diguna penulis di dalam merungkai kisah sebenar disebalik kemelut keluarga Nashran dan kisah cinta ayahnya...

Perwatakan Nashran sebagai teraju utama dipotretkan dengan baik oleh penulis. Wataknya sebagai anak muda yang pendiam namun punya sifat memberontak dalam diam digambarkan dengan baik sekali. Nashran adalah contoh pemuda yang kadangkala keliru dengan perasaan hatinya sendiri yang tanpa disedari telah menguris hati orang lain dan disaat dia menyedarinya, ia sudah terlewat. Saya sukakan watak Ain Najwa, biarpun cuma seketika, wataknya cukup berkesan dipenakan penulis…dia lambang gadis malang yang cuba berjuang mendapatkan hak dan kedudukannya sebagai isteri biarpun dipinggirkan suami…sayang sekali wataknya diakhirkan sedemikian. Watak Tuan Abdullah cukup mengundang perasaan yang pelbagai. Ada rasa meluat, menyampah, sakit hati juga simpati pada nasib dirinya. Dia adalah contoh lelaki yang kurang bijak mengendalikan kehidupannya…kekhilafan masa silam yang tidak dijejaki untuk diperbetulkan itu membawa padah pada diri sendiri akhirnya.

Buat penulis, tahniah atas penghasilan sebuah kisah yang cukup memberi tauladan, cukup mengujakan sekali. Semoga anda akan terus cemerlang memenakan kisah-kisah kehidupan yang menjadi pedoman dan panduan masyarakat seperti ini di masa akan datang.

Friday, March 6

Novel Baru: Cinta Di Hati



Tajuk: Cinta Di Hati
Penulis: Nor Rafishah Md Hassan
Penerbit: Fajar Pakeer Sdn. Bhd
2009

"Kita merenung bintang yang sama tapi mengapa mimpi berbeza?"

Merajuk dengan ayah sendiri, merajuk dengan gadis yang dicintai, Nashran nekad membawa hati. Di tempat orang, dia membina semangat baru dan belajar mengenali diri. Lebih daripada itu, dia menemui sebuah cinta baru.
Pleurotus sajor-caju.
Tetapi bahagia sebenar yang diimpikan masih jauh daripada genggaman tangan. Lalu, di manakah hendak dicari bahagia itu? Atau masihkah dia terlepas pandang pada kasih yang ada di hadapan mata?