Showing posts with label Liza Zahira. Show all posts
Showing posts with label Liza Zahira. Show all posts

Thursday, January 14

Trionovel Alaf Tahun Baru


Harga: RM19.90
Halaman: 512
Penulis: Liza Zahira

Sinopsis: SHAKIRA terumbang-ambing akibat kemiskinan hidup dan hilang tempat bergantung. Airil yang hadir dengan perspektif negatif terhadap gadis itu, akhirnya berubah mencintainya dalam diam.

Sukar bagi Shakira untuk bahagia, lantaran ada hati yang dengki dan merancang balas dendam. Hati hitam milik Anida berjaya membuatkan cinta Shakira dan Airil ter halang hingga lelaki itu membawa diri meninggalkan Shakira terkapai-kapai keseorangan. Sejak itu, satu per satu badai datang melanda hingga hidup gadis itu tidak menentu.
Di universiti, Shakira menemui cinta baru, tapi malangnya dia sudah jadi milik orang lain. Demi kasih pada ibu, dia rela berkorban biarpun hatinya hancur bagai kaca berderai ke bumi.
Shakira cuba menjadi SEINDAH SAKURA meskipun harapan untuk mendapatkan kembali cinta sejati semakin mustahil. Namun, dia perlu percaya pada jodoh yang telah tersurat untuknya. Mungkin kita sengaja dipertemukan dengan cinta yang salah agar kita bersyukur setelah mendapatkan cinta yang sebenar...


Harga: RM19.90
Halaman: 512
Penulis: Marwilis Hj Yusof

Sinopsis: MENEMPUHI alam perkahwinan menjadi impian setiap insan. Tidak kira sama ada teruna, dara, duda ataupun janda. Begitulah halnya dengan Pak Johari. Selaku bomoh jodoh yang terhebat, khidmatnya sering mendapat perhatian ramai. Biarpun dia boleh memilih di antara wanita yang datang berubat dengannya untuk dijadikan pengganti arwah isterinya, namun dia sama sekali tidak berbuat demikian. Sedangkan ramai yang datang mendapatkan khidmatnya kini bergelar ‘kucing Parsi’. Istilah yang merujuk kepada pengantin baru yang saling membelai dan dibelai.

Pada masa yang sama, penduduk kampung dikecohkan dengan kepulangan Leha, janda muda yang dahulunya menjadi kekasih seorang pemuda kampung bernama Jali. Sejak kepulangan Leha, Jali tidak sekalipun mengendahkannya. Terhina dengan sikap dingin Jali, Leha membuat percaturan untuk bernikah dengan orang lain. Namun, takdir tidak menyebelahinya.
Atas rasa bertanggungjawab kerana tidak memberitahu yang pilihan Leha iaitu Imam Dahlan sebenarnya telah mempunyai orang lain, Pak Johari cuba melamar Leha. Namun, ia tidak semudah yang disangka. Ada juga yang cuba memiliki Leha dan melaga-lagakan Pak Johari dengan Jali. Biarpun akhirnya Leha berjaya disunting, persoalannya siapakah yang berjaya menjadi ‘kucing Parsi’ Leha? Adakah Pak Johari ataupun Jali?


Harga: RM16.00
Halaman: 448
Penulis : Hasreeyati Ramli

Sinopsis: HARLINA seorang gadis yang tegas ketika bekerja. Bagaimana pun, sejak Ryan Iskandar mengetuai syarikat tempat dia bertugas, Harlina sering dibuli. Lama-kelamaan, lelaki itu mula jatuh cinta setelah mengenali hati budi Harlina. Namun, gadis itu bagaikan mawar berduri. Cantik dipandang, tetapi sukar didekati. Cinta yang mekar di hati Ryan Iskandar hanya dipandang sepi.

Kehadiran Eddie Firhan telah menawan hati Harlina yang sekeras kerikil. Belaian cinta lelaki itu menyebabkan dia rasa sangat dihargai. Tanpa disedarinya, Eddie Firhan mempunyai muslihat tertentu.

Ryan Iskandar yang mengetahui tentang kejahatan lelaki itu bertindak menyelamatkan Harlina. Dia sanggup menggadai nyawa demi Harlina biarpun huluran cintanya tidak disambut.


Wednesday, November 12

ALAF21 - TRIO-NOVEL NOVEMBER 2008







1. KAU TETAP DI HATI
Harga: RM19.90

Penulis: Liza Zahira
Halaman: 512 ISBN: 978-983-124-394-7


Sinopsis:
TERPERANGKAP di celah kemelut silam kakaknya, menjadikan Sophia gadis yang cekal. Kepulangannya dari New Zealand bukan membawa segulung ijazah tetapi terpaksa berhadapan dengan bekas abang ipar yang berdendam dengannya.

Lalu bermulalah episod baru yang datang silih berganti. Demi masa depan tiga orang anak saudara, dia menerima Nasmizan, rakan lama yang akhirnya menjadi suami.

Malangnya, musibah menimpa. Suami yang baru dinikahi menemui ajal di tangannya. Fitnah telah merosakkan segala harapan, apatah lagi dia dituduh bersubahat membunuh oleh ibu kandung sendiri. Segala dugaan terpaksa ditempuh sendirian hinggalah Benjamin, lelaki yang pernah singgah di hatinya muncul kembali. Tapi, bukan mudah untuk mendapat restu daripada seorang ibu lantaran kasih terhadap menantu yang telah tiada masih begitu utuh.

Sophia Basir... berpijaklah di bumi nyata! Di usia muda ini, mustahil terus-terusan mahu menjadi lilin, sedangkan diri sendiri berhak mengecap bahagia. Bukankah hidup mesti diteruskan?


2.KENANGAN TERINDAH
Harga: RM19.90
Penulis: Hezzy Azra
Halaman: 528 ISBN: 978-983-124-395-4

Sinopsis:
SANGGUP berkorban tanda cinta, tetapi Marisa tidak rela mempersiakan usia muda untuk berkahwin dengan Ridzwan. Apatah lagi selepas itu terpaksa berpisah kerana Ridzwan ingin melanjutkan pelajaran di luar negara.

Bukan bermakna cintanya tiada harga. Dia tahu, Ridzwan keliru dalam mengukur sejauh mana cintanya. Mustahil Ridzwan tergamak membiarkan diri berpaut pada yang lain, menabur duri pada cintanya. Namun, hati lelaki sememangnya sukar dijaga. Kesetiaannya pedih dicalar luka.

Kemudian, dugaan membadai lagi. Ayah tercinta pula pergi buat selamanya. Tanggungjawab pada keluarga dan syarikat digalas di usia muda. Kesabarannya berbalas, TUHAN hadirkan seorang insan untuk menghapuskan air mata, merawat lukanya dan berada di sisi... ketika suka atau duka.

Masa berlalu... Ridzwan kembali menagih cinta. Hati Marisa tidak pernah keliru, cintanya terhadap si dia semakin menebal. Namun, dirahsiakan nama si dia daripada pengetahuan Ridzwan, tidak mahu lelaki itu tersalah anggap. Ketika rahsia tersingkap, dapatkah Ridzwan menerima kenyataan yang dia kenal insan itu?


3. SETEGUH CINTA
Harga: RM19.90

Penulis: Durrah Fatiha
Halaman: 512 ISBN: 978-983-124-399-2

Sinopsis:
MAHLIGAI bahagia yang diimpikan Nurin bertukar menjadi igauan apabila tunangannya, Hadi mengalami kemalangan. Akibat lumpuh, Hadi terpaksa melepaskan Nurin agar tidak melangkah ke gerbang perkahwinan dalam derita. Namun, demi kasih terhadap Nurin, dia menyarankan gadis itu mengahwini sahabatnya, Adli. Kerana sayangkan Hadi, Nurin terpaksa akur meskipun dengan berat hati.

Perkahwinan yang terbina bukan atas dasar kasih itu mengakibatkan pasangan muda itu sering berkrisis. Kesabaran Nurin semakin teruji apabila Adli berhenti kerja dan menjadi ‘househusband.’ Untuk mengelakkan rumah tangga terus berantakan, Adli mengambil keputusan untuk menerima jawatan di Cape Town, Afrika Selatan.

Perpisahan itu mula menimbulkan kesunyian di hati Nurin. Kejauhan mula menggamit kerinduan. Rasa sayang mula singgah di hati. Akhirnya, dia tunduk dengan desakan naluri cinta yang mula menjalar di sanubari. Dia mesti menjejaki Adli untuk menyulam kasih yang hampir terlerai. Biarlah dia beralah demi menyelamatkan perkahwinan ini.

Namun, bersediakah Nurin menerima kenyataan andai Adli tidak punyai perasaan sepertinya?