Showing posts with label Mia Khaidina. Show all posts
Showing posts with label Mia Khaidina. Show all posts

Thursday, December 8

Terbaru Daripada Jemari Seni


Tajuk : Sehiris Bulan
Penulis: Hafizah Iszahanid a.k.a Mia Khaidina
ISBN: 978-967-5118-71-5
Harga: RM21.00 (Sem. Malaysia)/RM24.00 (Sabah/Sarawak)

Hidup ini pelik, dan bahagia itu subjektif.
Sesetengah orang mentafsirkan bahagia letaknya pada cinta. Sesetengah pula bahagia itu adalah kemuncak kerjaya. Sesetengahnya pada membahagiakan keluarga.
Lili Julia, wartawan muda yang hatinya terpaut pada jejaka berjiwa seni, Adlan Huzairi. Malangnya pula lelaki itu berkongsi rasa dengan Zaira. Nota cinta Adlan Huzairi sentiasa menghujani hati Julia namun bagi Zaira, Julia itu bagai ahli sihir yang menghalang segala kehendak hatinya pada Adlan.
Hati, sebenarnya apa yang kau mahu?
Hati, sebenarnya masihkah engkau dihambat rindu?
Engku Effendi masih mengharap cinta tidak kesampaian daripada Kassandra Pullman, namun bondanya Engku Mahani, mahu dia teguh membina perasaan terhadap Lili Julia.
Sehiris bulan di langit mengumpul selaut rasa tulus perasaan seorang manusia dalam pengembaraan rasa untuk menemui cinta. Lili, Zaira, Adlan, dan Engku Effendi, mereka adalah pemain wayang di bawah cahaya bulan berona perasaan!

* * *
HAFIZAH ISZAHANID menukangi Sehiris Bulan dengan bahasa yang indah dan sedap dibaca. Pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2009 kategori cerpen ini tahu apa yang perlu untuk anda ‘lihat’ dan ‘dengar’ dalam karya terbaharunya ini.

Friday, February 18

Kucc Reviews: NokTah Di HuJunG RinDu...


kucc aprilsnow: NokTah Di HuJunG RinDu...


"hati memang cepat berbelah bahagi apabila kita mahu melakukan perkara baik..."

Kata Kucc:
Ini adalah novel pertama penulis namun merupakan karya ke-3 beliau yang saya baca. Walau ini merupakan novel pertama beliau akan tetapi berbekal pengalaman yang luas dalam bidang penulisan cerpen, karya ini cemerlang digarap penulis. Tidak terasa seolah-olah membaca karya penulis yang baru cuba-cuba menjengah ke dunia penulisan kreatif. Sentuhan beliau sangat melankolik menerusi adaptasi gabungan lenggok bahasa juga dialog yang dicipta. Keserasian dua elemen ini menjadikan naskhah ini segar dan menarik dibaca.


Naskhah Noktah Di Hujung Rindu (NDHR) ini membawa tema tentang kesetiaan dan kejujuran. Kesetiaan yang boleh diterjemahkan didalam rangkaian kisah-kisah dari watak-watak yang menjadi pendukung naratif ini. Kesetiaan dan kejujuran pada tunang, kesetiaan dan kejujuran pada kekasih, kesetiaan dan kejujuran suami pada isteri. Gabungan kisah-kisah yang disimpulkan atas tiket tema yang satu lalu terciptakan sebuah jalinan naratif yang cukup menyentuh perasaan.


Penciptaan watak didalam NDHR ini sangat cemerlang. Penulis begitu peka didalam memastikan tiap watak yang dicipta mampu memberi kesan pada pembaca dan ternyata beliau berjaya melakukannya. Irdina Zukhri; arkitek muda cantik bergaya. Pernah putus tunang dengan rakan sekolah kala ditahun akhir pengajiannya di universiti. Putus tunang yang tidak dapat dielakkan kala hati sudah dicuri sang arjuna yang sejak di hari pertama menjejak kaki ke menara gading. Sang arjuna yang bernama Nielham Abdullah itu tidak jemu-jemu memburu Irdina. Walau cuba bertahan, Irdina tidak dapat membohongi jiwa dan perasaannya sendiri. Cinta pada sang tunang nun jauh diseberang laut kian pudar lalu terus berkubur. Namun mungkinkah ini balasan tuhan padanya, jika dahulu dia tega memutuskan ikatan kasih yang sekian lama terjalin kerana panahan cinta sang arjuna sedangkan tunangnya setia dengan janji, kali ini dia pula perit merasakan bila cintanya dikhianati oleh sang arjuna. Watak Irdina cemerlang dipotretkan penulis. Setiap inci rasa dan gelora dijiwa watak ini disempurnakan dengan baik oleh penulis. Irdina adalah kisah duka gadis malang yang tersepit antara pertembungan cinta setia yang sedaya upaya dipertahankan. Saya sukakan watak Irdina dan tambah suka bila akhirnya dia berjaya juga membuat keputusan tepat bagi dirinya.


Nielham Abdullah. Watak ini sebaiknya diselami jiwanya oleh penulis. Bukan mudah untuk meneropong di lubuk hati insan bernama lelaki lebih-lebih lagi lelaki yang hatinya pernah lara ditinggalkan dan bila ia dinukil dari mata pena seorang penulis wanita tugas ini berat saya kira namun penulis saya kira berjaya melakukannya. Nielham; pensyarah muda yang pernah putus kasih dengan belahan jiwa berdarah inggeris kerana tentang ibu yang tidak mahu bermenantukan keturunan Yahudi. Kate yang tidak sanggup menunggu meninggalkan Nielham walau dahulu pernah berjanji sumpah setia. Watak Nielham sedari awal begitu mempesonakan sekali auranya. Kesungguhan didalam mengejar cinta Irdina sangat mengesankan; biarpun perlu menunggu hingga ke tahun akhir pengajian si gadis yang sungguh sukar dipikat, tekadnya tidak pernah pudar. Kecelaruan jiwa dan perasaan Nielham didalam membuat pilihan juga dipenakan sebaiknya oleh penulis. Sifat ketaatannya pada emak yang tertekan jiwa kerana perbuatan abah yang berkahwin muda juga dipenakan dengan baik sekali. Sebagai anak Nielham memang mendamaikan namun sayang sebagai lelaki dia gagal didalam mengatur perasaannya sendiri.


Suria. Wataknya yang tega berhadapan risiko demi mempertahankan haknya untuk menentukan jalan hidupnya sendiri. Saya sukakan ketegasan Suria walau tidak
setuju dengan jalan yang dipilih. Puan Sofiah dan Puan Zarina dua wanita, dua isteri, dua ibu yang berpijak pada tanah yang sama; dimadukan suami dengan wanita yang lebih muda. Namun mereka berbeza didalam menangani racun yang menjalar jiwa wanita. Pemotretan watak sampingan ini berkesan dipenakan penulis. Inilah rasa yang menikam kala jiwa tidak rela. Lalu jiwa lain pula menjadi mangsa amukan amarah dihati. Abdullah; suami yang terlalu mementing diri. Biar apapun alasan dan hujahnya benang yang terang-terang sudah basah manakan mungkin kering hanya dengan sekadar tiupan kata-kata manis, kesimpulannya disini cuma satu; jauhi lelaki begini.


Khalrizal. Lelaki yang ditinggalkan kerana kasih tunang berpindah pada jejaka lain. Watak Khal memang menyedihkan. Rasa kasihan pasti ada dihati pada watak ini kerana dia hanya mangsa pada kesetiaan yang dimungkiri. Saya sukakan watak Khal kerana kasihnya teguh, tidak pernah berpaling dan sanggup berkorban demi
kebahagiaan gadis yang dicintai sepenuh jiwa.


Plot naratif yang berpaksikan kronologi ini sangat tersusun. Persembahan dan jalinan antara satu bab ke bab yang lain baik dan tiada yang mengganggu pembacaan. Ini kesan dari kerja-kerja suntingan yang saya kira sebaiknya dilakukan demi memberi kepuasan pembacaan kepada pembaca.Kesetiaan dan kejujuran begitu mahal harganya lalu janganlah sesekali mensia-siakannya. Inilah saya kira mesej yang disimpulkan penulis daripada persembahan naratif berdurasi 384 halaman ini. Buat yang belum membaca naskhah ini, bacalah dan anda pasti tidak akan rugi. Layari lah kisah penuh melankolik yang mengusik jiwa ini.


Buat penulis, biarpun lewat mendapatkan karya sulung anda ini saya harap masih tidak terlewat untuk ucapan tahniah atas penghasilan sebuah naratif yang cukup
baik.

Thursday, January 14

Andainya Kukembali



TAJUK BUKU : ANDAINYA KUKEMBALI
PENULIS : MIA KHAIDINA
PENERBIT : BUKU PRIMA SDN BHD
HARGA : RM17.90
CETAKAN PERTAMA : 2009
GENRE : DRAMA
BINTANG : 5


---------------------------------------------------
“Tanya pada diri sendiri, apa yang kau mahu. Dan apabila kau temui jawapannya, itulah yang kau perjuangkan. Jangan lakukan perkara yang membahagiakan orang lain tetapi membuat diri sendiri sengsara. Pengorbanan harus bertempat.”

Apa Kata Saya:

Sukarkah kalau bergelar perempuan yang sudah terlebih usia tapi masih memegang status anak dara?. Stigma masyarakat seringkali menidakkan hak golongan ini dan paling utama bukankah ini sebahagian dari qada’ dan qadar yang mungkin sudah tertulis buat empunya diri. Bukan dipinta begini namun siapalah kita untuk menolak takdir yang sudah tersurat di loh mahfuz. Adakala bila tekanan datang dari tiap dimensi hidup tanpa sedikit pun memberi ruang dan ikhsan pada empunya diri, tidak boleh tidak kebarangkalian tuan empunya diri ini silap percaturan di dalam membuat keputusan adalah tinggi. Inilah kisah, inilah fenomena kehidupan yang diangkat didalam naskhah terbaru penulis muda yang saya kagumi bakatnya.

Andainya Kukembali (AKK) mengangkat tema perjuangan. Perjuangan seorang wanita; Azlin Kamarulzaman yang pernah kalah di medan cinta setelah 8 tahun menyemai kasih membaja sayang. Dia bangkit mencari dan mahu memilih kehidupan baru yang terbaik buatnya. Kekalahan dahulu membuat dirinya makin kuat, semangat jiwanya makin kental didalam mengharungi cabaran. Namun jiwa yang kental, semangat yang kuat tewas juga dengan tekanan sekeliling. Harapan mak ayah tegakah dihancurkan?. Tegakah dia membelakangkan semua demi kepentingan dirinya semata-mata?.Inilah dilema yang dibentangkan penulis didalam naratif terbaru beliau ini. Naratif ini sesungguhnya sarat dengan kritikan sosial nan sinis iramanya terhadap masyarakat tatkala mendepangi situasi begini. Kenapa harus mendesak?, kenapa perlu melempar kata-kata sinis?, kenapa perlu gurauan kasar yang mengaibkan?. Kenapa perlu menekan? Memaksa secara halus? Tidakkah golongan sebegini punya hak untuk menentukan masa depannya sendiri?. Terlalu banyak teladan dan renungan buat semua yang dititipkan penulis untuk sama-sama kita hayati dan fikir-fikirkan.

Membuat keputusan tentang masa depan, tentang pasangan hidup sudah termeterai garis panduannya didalam islam. Sebagai hamba kita mampu merancang, pelaksana hanya yang maha Esa. Allah menguji dengan pelbagai cara. Kita dipertemukan dengan orang yang salah sebelum bertemu jodoh yang sudah ditetapkan sejak azali. Ibu bapa janganlah memaksa dan mendesak. Masyarakat pula janganlah sinis dan serong pada golongan seperti Azlin. Siapa yang mahu berkeadaan begini. Takdir dan hidayah bukan ditangan manusia, tapi Dia. Inilah saya kira rangkaian mesej-mesej tersirat dan tersurat yang ditinggalkan penulis untuk teladan pembaca.

Persembahan plot AKK bergerak pantas namun cukup kemas digarap. Kronologinya cantik digarap, flashbacknya sangat memikat dipenakan. Dari satu peristiwa ke peristiwa yang lain naratif dijalinkan dengan cukup baik, tiada lompang yang ditinggalkan yang mampu menggugat mood pembacaan. Kekemasan suntingan naskhah ini cemerlang ditangani editor juga penulis membuatkan persembahan kisah berjalan dengan cukup lancar dan teratur ritmanya biarpun berubah latar peristiwa dan masa. Lenggok bahasa penulis cukup santai, bersahaja, adakalanya cukup selamba tetapi gaya yang dipilih sangat menarik sekali . Tiada suntikan elemen yang melankolik juga bahasa bunga-bunga yang adakala melelahkan mata telinga namun naskhah ini tetap berupaya memukau dengan kekuatan isi dan perjalanan kisahnya yang cukup mengesankan. London dan Malaysia adalah latar utama yang menjadi medan cerita AKK, latar sisipan yang membawa pembaca ke daerah bergolak di Pakistan bagaikan cukup hidup sekali. Ternyata penulis bijak mengaplikasikan pengalamannya di bidang kewartawanan bagi memberikan satu gambaran sinematografi yang sangat hidup biar cuma dilayar kertas yang kaku.

Watak dan perwatakan adalah kunci kehebatan sesebuah naratif. Jatuh bangun sebuah cerita banyak bergantung kepada keberkesanan mereka menerajui cerita. Azlin Kamarulzaman, wanita 30 tahun, lulusan Leeds, United Kingdom. Sederhana cantik tapi punyai personaliti yang menarik, bijak dan ceria. Watak Azlin adalah tunjang utama naskhah ini. Azlin yang tegas, Azlin yang sabar, Azlin yang penyayang, Azlin yang yakin memilih agama dari hidup disamping dia yang tercintai tanpa berteraskan agama yang satu. Azlin lambang wanita moden dan berpelajaran. Biar hidup di benua yang punya perspektif yang negatif tentang islam namun dia masih teguh mempertahankan status diri sebagai gadis muslim. Saya sukakan semangat dan jiwa wanita Azlin. Saya sanjungi kasih sayangnya pada keluarga hingga tega membelakangkan bahagia untuk diri sendiri. Watak Azlin cukup cemerlang dipotretkan penulis. Perjuangannya memperolehi bahagia yang akhir muncul jua begitu menyentuh nurani. Marc Darcy @ Umar, peguam lulusan Leeds, kekasih Azlin selama 8 tahun di London, prejudis pada islam, keliru antara agama dan budaya lalu menjatuhkan hukuman islam tu menakutkan cemerlang dipenakan penulis. Wataknya yang penuh keliru, was-was berjaya dilayarkan dengan baik oleh penulis. Begitu juga kala dia sudah menjadi Umar, keteguhan iman diri dan kesungguhannya menebus kesilapan pada sang ratna hati yang jauh di seberang benua dilukiskan dengan indah sekali. Bak kata Umar “Allah pernah mengurniakan aku Azlin yang sempurna dahulu, tapi aku membuangnya jauh, justeru jika aku perlu kembali ketika keadaan kau sudah begini, aku sangat redha.”Amri, antagonis yang cemerlang ditangan penulis. Disebalik wajah yang sempurna, kerjaya yang mantap, tutur kata dan tingkah yang tertib siapa menduga dia rupanya jembalang tanah berwajah manusia. Sesak nafas kala mengingatkan watak yang satu ini. Jujurnya saya tidak puas hati penulis “melepaskan” dia begitu sahaja dipenghujung cerita. Hilang begitu sahaja. Perbuatan yang setara syaitan itu patut dibalas setimpal juga. Rasanya jika penulis ada perancangan mahu menyambung kisah ini pada bahagian kedua nanti saya pasti antara yang terawal akan membelinya. Pastikan Amri terhukum dengan pembalasan paling setimpal. Sakit sungguh hati saya dengan perbuatan “jantan keparat” ini. Asiah, Anita, Ahmad Syukri, Hanafi, Asma adalah rangkaian si watak pembantu yang membantu melengkapkan citra hebat ini.

AKK menjejaki seorang Azlin Kamarulzaman, PR di Royal London Hospital. gadis manis yang menghabiskan 8 tahun usianya berkelana di tanah Ratu. Saat kekasih hati; Marc Darcy masih enggan memberi kata putus tentang hala tuju hubungan mereka kerana berbeza pegangan agama, Azlin nekad berhenti kerja dan pulang ke Malaysia. Kecewa dengan sikap tidak bersungguh Marc tentang hubungan mereka, Azlin melangkah keluar dari hubungan yang sudah 8 tahun terjalin itu. Marc yang nanar cuba mencari diri dan kebenaran dari lewat kata-kata Azlin dahulu. Di Malaysia Azlin bertukar angin memilih menjadi wartawan di syarikat Surat Khabar. Sikap yang ceria, pintar beserta pengalaman luar di bidang perhubungan awam tidak menyukarkan Azlin menyesuaikan diri dengan suasana baru. Perkenalan dengan Amri yang berlangsung secara tidak sengaja ketika bertugas membenihkan rasa cinta Amri tapi tidak Azlin. Amri bersungguh mahu memiliki Azlin. Azlin yang masih dibayangi cinta pertama sukar melupakan Marc. Marc terlalu istimewa buatnya. Kian hari, Amri kian melemaskan. Azlin cuba rasional, cuba memberi ruang pada diri mahu masa untuk lebih mengenali Amri namun desakan mak dan tekanan dari ayah membuatkan Azlin dalam dilema. Dorongan Anita dan Asiah membuat Azlin mahu membuka hatinya pada Amri. Di saat hampir diijab kabul, Azlin pilu bila dimaklumkan Marc sudah bertukar menjadi Umar. Umar mahukan Azlin, dihati Azlin juga begitu namun demi mak dan ayah dia berkorban… meneruskan perkahwinan dengan harapan yang tinggi, sayang sekali suami pilihan mak dan ayah rupanya bukan manusia, tapi syaitan!

Buat Mia Khaidina, Andainya Kukembali anda ini cukup hebat, bagus sekali..tahniah diatas kecemerlangan anda melayarkannya dengan cukup berkesan...semoga akan terus berjaya berkarya di masa hadapan.

Saturday, January 2

Januari daripada Buku Prima







Tajuk : Aku Kan Novelis
Penulis : Nurul Syahida
Penerbit : Buku Prima
Harga : RM17.90
Tarikh Terbit : 15 Jan 2010


Buat Iza, cintanya pada Hisham hanya akan menjadi indah jika si pemuda melafazkan kata-kata itu terdahulu kepadanya. Seorang perempuan tidak patut memulakannya. Tetapi apakah Hisham juga menyimpan perasaan yang sama?

Buat Helmi, Jia Huey adalah segala-galanya yang dimahukan dalam seorang wanita dan gadis itu jelas seperti menyimpan perasaan yang sama. Cuma dia mengesyaki ada sesuatu yang disembunyikan wanita Tionghoa itu darinya.

Buat Safiah, menyelesaikan masalah percintaan sahabat-sahabatnya adalah satu kepakaran. Menghubungkan hati dua insan adalah satu kehebatan. Sebagai seorang novelis kisah cinta, dia tahu semuanya. Sehinggalah masalah muncul dalam bentuk seorang pemuda dengan rambut yang lebih merah dari api.




Tajuk : Cinta Untukmu
Penulis : Siti Nur Dhuha
Penerbit : Buku Prima
Harga : RM22.90
Tarikh Terbit : 1 Jan 2010

Syahiman lelaki berwajah tampan cuba menyembunyikan kelebihannya itu dengan berpenampilan selekeh semata-mata untuk mendapatkan cinta sejati. Dia mahu mencari wanita yang benar-benar dapat menerima kekurangan dirinya. Akhirnya cintanya diterima Fazira. Fazira menghina paras rupa, kekurangan dan kerjaya Syahiman yang tidak menjamin masa depan. Akibat penghinaan itu, Syahiman membawa diri jauh dari Fazira, Tiara dan Haizul. Hidupnya telah berubah serta-merta. Kini dia adalah seorang lelaki tampan dan hidup mewah.

Tiara yang turut menaruh hati pada Syahiman terseksa kerana terpaksa memendam cinta dan perasaan dengan tabah. Tiara sanggup bekerja sebagai pembantu rumah di rumah Syahiman.

Fazira pula kian berubah dan menaruh dendam yang tidak berkesudahan kerana marah cintanya ditolah Haizul. Fazira nekad untuk memburu setiap insan yang mengecewakannya.
Tajuk : Andainya Kukembali
Penulis : Mia Khaidina
RM 17.90
Penerbit : Buku Prima
Tarikh Terbit : 12 Disember
Halaman : 432 hlm

Azlin meninggalkan Marc Darcy selepas lapan tahun bercinta kerana lelaki itu tidak mahu memeluk Islam. Walaupun sudah berusaha mendekatkan lelaki itu dengan Islam, Azlin gagal mengIslamkan dia. Azlin pulang ke Malaysia, memulakan hidup baru dengan memilih kerjaya baru iaitu wartawan. Dia jatuh hati pada rakan siber tetapi tidak percaya pada pertemuan di alam tidak nyata. Azlin akhirnya memilih Amri untuk mengakhiri sindiran orang keliling terhadap dirinya yang masih bujang pada usia lewat. Bagaimanapun, hidup bersama Amri tidak seindah dijangka.


Monday, November 24

Kala Hujan Menitis


TAJUK BUKU : KALA HUJAN MENITIS
PENULIS : MIA KHAIDINA
PENERBIT : BUKU PRIMA SDN BHD
HARGA : RM17.90
CETAKAN PERTAMA : 2008
GENRE : DRAMA & ROMANTIK

* * * * * * *
“…love will leads the way if she really belong to you…”

“…sudah berapa lama kau berkurung dalam bilik?Sudah berapa lama kau hanya pergi kuliah dan terus berkurung dalam bilik. Sudah berapa lama kau tak jumpa kawan-kawan lain? Kau ni apa hal? Jiwang karat!. ”

“Cerita apa? Cerita awak gigolo belaan? Lelaki simpanan?...”
-------------------------------------------------------------------------------------------------------
Apa Kata Saya:
Kala Hujan Menitis (KHM) sebuah persembahan yang cukup baik dari penulis yang baru pertama kali saya tatapi karyanya. Menerusi ruang kacamatanya yang cukup hebat, beliau menurunkan pena mencoret sebuah kisah, sebuah tragedi yang sudah acapkali kita baca dan harungi ceritanya dalam masyarakat. Kisah hitam yang maha jijik namun tidak sekelumitpun memualkan para pengamalnya.

Tema sebegini bukanlah baru di mata para penggemar novel tempatan namun istimewanya KHM di tangan Mia Khaidina adalah cara persembahan keseluruhan cerita yang cukup menarik dengan kesan-kesan khas yang ternyata cukup merencahkan cerita ini hingga kita terbuai tanpa menyedari kita sudah sampai ke penghujung cerita.

Watak dan perwatakan seringkali menjadi kunci kehebatan sesebuah cerita. Jatuh bangun sebuah kisah banyak bergantung kepada keberkesanan mereka menerajui cerita. Nadia, Khairil, Ahmad Danial, Tan Sri Borhan & Puan Seri Aishah adalah penggerak utama KHM dan mereka sangat berjaya ditangani penulis. 5 wajah, 5 kisah yang berbeza tapi tersimpul antara satu sama lain…

Nadia a.k.a Nad – tunangan Khairil yg terperangkap dengan muslihat Ahmad Danial lantas terjebak dengan dunia pura-pura Ahmad Danial, menjadi pertukaran sebuah urusan perniagaan yang membawa dirinya bergelar isteri kedua Tan Sri Borhan…si tua kutuk yang layak bergelar bapa pada Nadia.

Khairil a.k.a Kay - tunangan Nadia yang kecewa dengan ikatan yang terputus, hilang arah, tersasar haluan hidup lantas terjebak dengan dunia gigolo dan mengikat diri menjadi lelaki simpanan seorang isteri kenamaan bergelar Puan Seri…Puan Seri Aishah/Aish, isteri pertama Tan Sri Borhan yang tiba-tiba jatuh hati padanya dan tega melakukan apa sahaja untuk memilki dirinya..milik yang mutlak.

Ahmad Danial – teman rapat Nad dan Kay yang tega mengkianati kawan..hanya kerna irihati…menjerumuskan Nad yang tidak bersalah, mempermainkan hati dan perasaan Nad yang ikhlas… akhirnya memakan diri sendiri.

Tan Sri Borhan – “pakcik” tua yang sudah biasa dengan maksiat…namun di tangan Nadia, akhirnya dia bergelar insan.

Puan Seri Aishah/ Aish – si tua 60an yang tidak pernah puas dengan kurnia yang ada, tidak ada istilah bersyukur dalam dirinya…namun terlupa Dia lah yang maha segala-galanya, bukan wang, bukan jua dukun Suparman.

Plot cerita berkembangan dengan cukup tersusun, segar biarpun tidak berkonsepkan kronologi. Saya sangat sukakan persembahan plot KHM ini. Ia dibina untuk mengujakan pembaca agar berada dalam situasi yang tidak sabar untuk mengetahui kisah seterusnya tanpa sedikitpun menjejaskan tumpuan pembacaan. Plot diteliti dengan sebaik mungkin dengan mengambil kira mood dan sensitiviti pembaca.

Dia yang maha ar-Ghafur, maha ar-Rahman dan ar-Rahim.. Justeru itu peluang kedua sentiasa ada dan terbuka pada setiap hamba-Nya yang insaf, bertaubat dan sungguh-sungguh ingin berubah. Inilah mesej yang terkandung di sebalik naskhah sang penulis berbakat ini. Setiap yang terjadi, setiap yang terbentang di depan mata, ada hikmah yang tersirat...maka bijaklah menbuat perhitungan, baik dan buruk bukan takdir tapi kita sendiri yang memilihnya.

Buat Mia Khaidina...anda cukup hebat, bagus sekali..tahniah diatas kecemerlangan anda melayarkan Kala Hujan Menitis dengan cukup berkesan sekali...semoga akan terus berjaya berkarya di masa hadapan.

Buat rakan pembaca di luar sana...ada banyak yang dapat anda kutip disepanjang kisah ini, memilikinya tidak akan sia-sia kerna ia cukup bagus dan berhak berada dikelompok karya-karya berstatus 4 Bintang anda yang lain.