Friday, June 28
SNEAK PEEK: Cintaku Luruh di Oxford by Noor Suraya & Imaen
Friday, March 1
Ronda-Ronda PWTC: Pesta Buku 1 Malaysia
Wednesday, June 29
Kucc Reviews: Langsir Biji Remia by Noor Suraya

kucc aprilsnow: LanGsiR BiJi ReMia...
"apa yang saya hendak kata ini, tak perlu tulis. Sudah ada dalam hati, lama
sudah."
Kata Kucc:
Membaca dan menikmati hasil karya adalah dua perkara yang berbeza. Membaca secara biasa hanyalah sekadar memerhati dan memahamkan apa yang tertulis pada lembar kertas. Sementara menikmati hasil sesuatu karya ialah membaca secara memahamkan makna naskhah berkenaan dengan penuh perasaan dan membuat kesimpulan tentang isi karya yang dibaca. Dan bagi saya, sesuatu yang merugikan jika karya penulis ini sekadar dibaca sahaja oleh para pembaca tanpa mahu menikmati hasil karyanya. Terlalu banyak yang dapat dikutip setiap kali kita menikmati karya penulis hebat ini. Segala yang dizahirkan begitu dalam maknanya untuk kita renungkan didalam kehidupan seharian.
Sastera itu adab persuratan,
Pelbagai makna serta tafsiran,
Namun bakat serta indah penulisan,
Tentang Tuhan, makhluk-Nya dan pemikiran. (petikan pidato SN ke 10)
Karya terbaharu penulis; Langsir Biji Remia(LBR) sekali lagi mengangkat tema kehidupan didalam skop yang begitu indah tafsirannya. Setiap sisi karya ini biarpun diolah dengan mood santai tetapi penulis seperti biasa tidak akan pernah gagal memanfaatkan kuasa pena beliau didalam menyalurkan pemikiran tentang metafora kehidupan untuk dikongsi bersama para pembaca. Menerusi watak utamanya Duha Hafa, naratif ini menggarap makna kasih sayang dan hubungkaitnya didalam kehidupan manusia juga masyarakat. Duha Hafa selaku subjek utama diadun penuh indah didalam versi yang tersendiri. Indah dan cantik Duha Hafa perlu dihayati dan difahami. Mesej penulis biarpun bersulamkan personifikasi, saya kira jika anda sudah biasa dengan karya beliau tidak sukar menjejaknya.
Plot sesebuah karya adalah cermin jiwa dan perasaan seseorang pengarang dalam apa juga keadaan. Saya rasa kenyataan ini tepat. Menghayatinya bagaikan kita mendalami hati budi pengarang itu sendiri yang terpancar cahayanya didalam karya tersebut. LBR tidak terkecuali. Jiwa dan rasa penulis dicurahkan sepenuhnya kala dia bercerita didalam naskhah ini. Lihat sahaja sebagai contoh perjalanan watak Duha Hafa dan babahnya; prof Hud ke tanah suci untuk mengerjakan umrah. Pengalaman penulis ke sana saya kira digunakan sepenuhnya didalam menzahirkan perasaan mengerjakan ibadah tersebut kepada pembaca. Indah dan tertib penceritaan penulis pada bab-bab ini berjaya membuatkan pembaca bagaikan merasa turut berada disana. Biarpun plot linear dan imbas kembali saling beriringan, perjalanan LBR ternyata lancar sahaja tanpa sebarang komplikasi yang memungkinkan mood pembaca terganggu. Suntingan yang baik, teliti adalah antara faktor kejayaan ini.
Persuratan itu mengandungi ilmu,
Juga mendidik tiadalah jemu,
Mutiara kata dapat ditemu,
Yang indah-indah dan merdu turut diramu. (petikan pidato SN ke 10)
Bila memperkatakan tentang bahasa dan penggunaan sistem juga peraturannya didalam naratif ini, maka kesimpulannya mudah sahaja. Tiada apa yang perlu diperkata. Bahasa dan segala hukum juga susunaturnya adalah dunia penulis ini. Beliau orang bahasa maka apa yang ditemui didalam LBR ini adalah jalinan bait-bait yang memukau. Lihat sahaja bait yang ini; "kalaulah hati ini memang sebatang pena, tintanya tentulah daripada pelangi tujuh warna". Sisipan Doa Duha saya kira antara yang paling indah dititipkan penulis buat pembaca. Saya tidak akan menulisnya disini. Bagi yang mahu menghayati keindahan doa ini dan bahasanya, maka sila dapatkan LBR ye.
Perwatakan LBR memberikan satu jalinan rasa yang begitu berkesan. Penulis hebat didalam mencipta, membangun dan menggerakkan tiap watak agar peranan mereka tidak kira besar atau kecil, utama atau sampingan memberikan persembahan yang mantap agar diri mereka akan diingati pembaca sampai bila-bila. Bukan setakat berhenti disini sahaja. Habis baca, maka hilanglah bayang mereka.
Duha Hafa Hud. Si pemilik mata cantik sayu persis unta dipadang pasir. Si cantik berdarah Melayu-Gujerati yang lahir kala renyai menimpa bumi diwaktu duha. Si cantik yang diduga hidupnya didalam satu kejadian lalu berselindung disebalik purdah demi menyembunyikan. Cantik itu dinilai dari mata hati dan Duha Hafa, dia tetap cantik dengan hati yang luhur. Perwatakan utama LBR garapan penulis ini cukup mempersona sekali. Sisi pilunya kala dilagukan penulis begitu menyentuh hati. Duha yang bangkit dari persembunyian teliti sekali dipenakan penulis. Duha yang bersemangat baru, Duha yang lebih redha, Duha yang tenang. Semuanya dipotretkan dengan cemerlang.
Ahmad Muhsin Hj Amiruddin. Si peguam syarie ini punya aura yang tersendiri. Watak ini walau tidak banyak ceritanya didalam LBR namun kemunculannya yang sedikit itu terlalu besar maknanya. Perwatakan Ahmad Muhsin buat kita sedar diri. Buat kita bersyukur. Bilah kata-katanya penuh bermakna. Ahmad Muhsin lambang lelaki yang melihat keindahan itu dengan mata hati dan tidak mudah terpesona dengan kilauan kaca. Duha Hafa dan Ahmad Muhsin adalah mesej penulis bahawasanya manusia itu tidak sempurna.
Umair Johan. Akauntan berpangkat penolong pengarah ini sukakan kecantikan dan kesempurnaan. Melihat kesempurnaan itu satu kemestian tanpa memikirkan manusia itu tiada yang sempurna selain Dia. Perwatakan Umair yang memikat diawal namun mengundang benci dipertengahan cerita dan menerbitkan rasa kasihan pembaca padanya dipenghujung kisah dijalin denga baik sekali oleh penulis. Hebatnya penulis mempermainkan pembaca. Namun itulah mesejnya. Jangan mudah terpesona pada lelaki sebegini. Umair ini ramai diluar sana.
Prof Hud, Puan Taslima, Dadi juga Tok begitu mewarnai LBR. Biar sekadar pembantu, merekalah pelengkap yang tambah mengindahkan LBR. Watak-watak begitu hidup dimata.
Aduhai, kemunculan Ain Najwa dan Nik Adam bagai ditunggu-tunggu sekian lama. Sedihnya membaca kisah mereka bertiga. Cameonya bagai penamat Kebun Mimpi yang tergantung. Maka tahulah kita apa yang sudah terjadi pada pasangan ini.
Bakat dan karya ada tanggungjawab,
Berbuat di dunia balasannya di alam baqa,
Diingatkan Allah menjadi khalifah-Nya,
Bantu membimbing umat manusia. (petikan pidato SN ke 10)
LBR menyusuri kisah dua insan yang bersahabat sejak kanak-kanak. Duha Hafa dan Umair Johan. Persahabatan mereka yang mula terjalin dari bicara dijendela membibitkan rasa indah dihati Umair terhadap Duha. Umair suka pada Duha! dan rasa itu dia semai hingga ia mekar. 10 tahun berlalu, Umair masih teguh rasa sukanya pada Duha. Tidak sedikit berubah. Melihat Duha yang tidak seperti dahulu, jiwa Umair jadi tidak keruan. Duha harus didekati...mesti! Umair tidak tahu sepanjang 10 tahun ketiadaannya, si buah hati masa kecilnya itu sudah tiada. Dia bukan Duha yang dahulu. Dia Duha yang sudah berubah. Perubahan yang terselindung disebalik purdahnya!
Penulis sebenarnya bukan sekadar mencipta ceritera semata-mata bersandarkan bakat yang dianugerah atau yang digilap. Lebih dari itu, penulis juga ada tanggungjawab kepada pembaca menerusi karya yang dicipta. Penulis ini saya kagumi kerana beliau adalah antara penulis yang tidak pernah lupa tanggungjawabnya kala berkarya. Sejak dahulu karya-karya beliau penuh ilmu dan pengisian berguna. Langsir Biji Remia meneruskan kecemerlangan legasi beliau didalam melaksanakan tanggungjawabnya sesama manusia. Moga usaha beliau ini yang disandarkan daripada bakat istimewa anugerah dari-Nya ini akan sentiasa diberkati. Insyaallah.
Buat penulis yang saya panggil kaksu, sekalung tahniah untuk sebuah lagi naskhah hebat dari anda yang begitu saya kagumi sejak dahulu. Moga-moga kaksu akan terus berkarya demi mendidik anak bangsa untuk menghargai dan menggagumi hasil seni sastera kreatif tanahair.
Psst : Kaksu, kisah Ain dan Nik Adam dah ada penamat, kisah Kamal bila nak buat, hehehe...
Tuesday, April 12
Akan Datang daripada Jemari Seni







Wednesday, April 7
Damai

Tajuk Buku : Damai
Penulis : Saidatul Saffaa, Noor Suraya & Syud
Penerbit : Jemari Seni Publishing
Harga : RM21.50
Cetakan Pertama : 2010
Genre : Cinta & Kekeluargaan
Bintang : 4

--------------------------------------------------------------
Apa Kata Saya:
Ceritera I: Damai oleh Saidatul Saffaa
“Damai itu kan dalam hati…”
Selepas novel pertama beliau; Kemilau Mutiara Raudhah kali ini penulis mempersembahkan sebuah catatan kembara seorang Naseema di bumi Turki yang menunjangi sejarah kegemilangan empayar islam Uthmaniyyah . Melayari naskhah ini seumpama membaca sebuah journal sejarah islam bergerak yang memfokus kepada maklumat, fakta serta tinggalan silam empayar Uthmaniyyah di negara Turki. Tidak ketinggalan selingkar kisah para syuhada juga para sahabat junjungan besar kita, nabi Muhammad S.A.W yang turut sama mencurah bakti didalam menegakkan syiar islam di bumi Turki.
Saya sendiri secara jujur sudah ingat-ingat lupa tentang empayar kerajaan Uthmaniyyah ini sewaktu mempelajarinya ketika di tingkatan enam suatu masa dahulu namun yang pasti naskhah ini lebih mendalam kupasannya. Satu pendedahan berbentuk maklumat yang saya kira cukup baik untuk tatapan para pembaca khusus kepada mereka yang kurang tahu tentang susur galur pembentukan empayar Uthmaniyyah ini. Naskhah yang saya kira boleh mendidik pembaca tentang betapa gemilangnya sejarah islam suatu masa dahulu.
Sebuah naskhah yang bertema kisah kasih sayang biasa. Sangat biasa dari kacamata zahir pencinta kisah cinta kerana plot utama naratif ini begitu dominan terarah kepada penjejakan sejarah empayar Uthamniyyah sebagai pelengkap kertas ilmiah Naseema lalu kisah lain sudah menjadi sub plot sahaja didalam naratif ini.
Plot kronologi mendominasikan hampir keseluruhan naskhah ini. Suntingan yang cukup teratur. Perwatakan saya kira adalah dominan kepada Naseema dan watak-watak lain hanyalah sampingan. Saya kira Zubeyda sudah menjadi watak kedua terpenting didalam naskhah ini lalu menenggelamkan si Yusuf Islam Naseema . Sayang sekali watak Sadiq si Yusuf Islam ini begitu terbatas peranannya didalam naskhah ini. Cameo Raudhah yang kini sudah punya puteri; Maryam pasti mengubat rindu pembaca pada si cantik bermata hijau ini.
Gaya bahasa mudah yang diterapkan penulis dalam naskhah beliau ini cukup bersesuaian dengan corak persembahan naratifnya.
Buat penulis tahniah dan semoga akan terus memperbaiki mutu persembahan and auntuk karya akan datang . Buat pembaca, hayatilah sebuah momentum kegemilangan sejarah islam dari kembara seorang Naseema.
Ceritera II: Yang Jauh di Pulau oleh Noor Suraya
“saya juga tidak ingin berkahwin jika bukan dengan d ia yang memanggil saya “pyar”…”
Kata pepatah tiada kata seindah bahasa, tiada cantik seindah rupa. Inilah Noor Suraya. Jemari saktinya pasti tidak sesekali mengecewakan para pembaca juga pencinta beliau. Dari sebuah catatan Ceritera Cinta Marhaen dengan Tajuk Piyah & Piyan, di blog penulis ,naskhah indah ini akhirnya dipindahkan ke versi cetak dengan judul baru; Yang Jauh di Pulau.
Tajuk ini sebenarnya mengingatkan saya pada sebuah puisi nukilan Chairil Anwar; Cintaku Yang Jauh Di Pulau. Sebagaimana indahnya puisi ini ditangan Chairil Anwar, begitu juga indahnya kisah Yang Jauh di Pulau ini ditangan Noor Suraya. Penulis yang saya kagumi ini sentiasa berjaya melakar kisah yang pasti menyentuh jiwa dan perasaan hati pembaca. Perincian beliau sangat menakjubkan. Naskhah ini buktinya.
Yang Jauh di Pulau membawa pembaca mengenali jiwa halus milik seorang Piyah/ Piya/Pyar atau nama lengkapnya Ainnul Suffiah Syuhada Burhan. Gadis manis yang menanti keputusan STPM ini dikirim ayahnya ke kampung toknya nun jauh di pulau lagenda. Misi untuk belajar menjadi seorang perempuan dibawa seliaan tok cik Nahnya menemukan dirinya dengan si penjual ikan nan kacak; Piyan aka Sophan Sophian. Lalu di sinilah bermulanya sebuah kisah antara Piyah dan Piyan. Sebuah jalinan kasih sayang marhaen yang begitu menyentuh naluri biarpun dipersembahkan dengan rentak yang begitu santai. Inilah kehalusan karya Noor Suraya.
Naskhah yang di warnai ilmu masakan sebagai sub plotnya ini diperhalusi dengan penuh teliti tanpa sedikitnya menjejaskan plot utamanya. Ternyata pengalaman penulis berjaya mencorakkan naskhah ini dengan begitu indah sekali.Pelbagai tips masakan diperturunkan penulis untuk dikongsi juga sebagai pengetahuan kepada para pembaca.
Genre cinta dari air tangan penulis hebat ini sentiasa lain dari yang lain. Bukan lah cinta yang asyik masyuk tapi cinta yang tulus di jiwa! Cinta yang digarap dengan penuh susila, penuh adab bertunjangkan adat dan berteraskan hukum yang dijunjung.
Perwatakan yang dilakar penulis begitu cemerlang sekali. Penulis begitu hebat memberi jiwa pada tiap watak yang dicipta didalam naskhah ini tidak kiralah sama ada watak utama atau watak sampingan. Ainnul Suffiah sebagai tunjang naratif sangat cemerlang dipotretkan penulis. Halus jiwa perempuannya diangkat dengan penuh emosi, sifat diri wanitanya diserlahkan dengan begitu cantik dan memikat sekali. Pelarian diri tatkala salah sangka menguasai jiwa lantaran kekasih hati disangka mempermainkan kasih sucinyaditerjemahkan ke teks dengan penuh melankolik. Syahdu sekali! Perwatakan Piyan sedari awal sudah terserlah kematangannya. Saya sukakan cara penulis membina watak hero nan manis ini. Sopan dan santunnya cukup menawan hati. Siapa sangka ye dia penjual ikan berstatus jurutera berijazah! Tok cik Nah adalah watak yang saya kira sangat penting didalam naskhah dan watak nenek kesayangan Piyah ini dipotretkan dengan cukup teliti hingga saya kira berjaya mencetuskan rasa kekaguman pembaca padanya. Liciknya Busu sungguh tidak disangka!
Kalau berbicara tentang penulis ini, tidak lengkap rasanya tanpa membicarakan alunan gaya bahasanya. Bahasa dan kaksu ibarat aur dan tebing. Gaya bahasa yang penuh personifikasi, elemen bahasa tersusun indah rima dan ritmanya adalah identity Noor Suraya. Maka tiada apa yang perlu saya diperkatakan lagi tentang keindahan laras bahasa yang diaplikasikan beliau untuk karya terbaru ini. Saya sentiasa terbuai dengan keasyikan lenggok bahasa kaksu yang memukau. Suntingan pada naskhah ini cemerlang direalisasikan kepada pembaca demi memberikan sentuhan yang lebih sempurna pada pembaca.
Bermesejkan kasih sayang sebagai paksi cerita, plot naratif penulis bergerak dengan cukup teralun, kemas digarap. Kasih sayang yang diterjemahkan dengan dimensi yang lebih halus, lebih sensitif namun cukup bermakna didalam kehidupan manusia sekeliling.
Buat penulis tersohor yang amat saya kagumi ini, tahniah dan terima kasih kerana mempersembahkan sebuah jalinan sebuah kasih sayang yang sangat indah .
Ceritera III: Langit Tetap Biru oleh Syud
“dia yang aku hampir-hampir lupakan kewujudannya…dia yang telah bermastautin diingatan tanpa aku sedari…”
Menerusi Langit Tetap Biru, penulis muda ini membawa pembaca menerjah ke dasar hati seorang Nurul Zahra. Rasa yang sekian lama terpendam , rasa yang begitu kejap tersimpan di ujana hatinya tiba-tiba mekar bila tersua kembali si dia yang pernah suatu waktu dahulu menyentuh hati perempuannya dan hingga ke saat ini si dia masih kejap merantai pintu hatinya dari diketuk oleh arjuna yang lain.
Tema cinta yang dilayarkan penulis di dalam naratifnya kali ini begitu santai namun saya kira inilah cara penulis menyampaikan mesej naratifnya kepada pembaca. Tidak keterlaluan dengan unsur-unsur yang memualkan mata juga telinga, konflik jiwa remaja Zahra berjaya diterokai penulis sebaiknya.
Plot naratif ini konsisten pergerakannya dari mula hingga ke akhir cerita. Persembahan yang baik ditambah susunan teknik olahan dan suntingan yang cukup teliti membuatkan naskhah ini tampak indah dimata. Gaya bahasa penulis ini semudah dirinya yang sangat santai dimata saya. Laras bahasa yang dipilih saya kira tepat untuk kisah remaja sebegini.
Perwatakan di dalam Langit Tetap Biru memfokuskan pada dua watak utama Nurul Zahra Abd Malik juga Fikri Adlan Ahmad Ismail. Watak Zahra dibangunkan dengan cukup santai kepada pembaca. Zahra adalah simbol perempuan yang saya kira bijak menyimpul rasanya dari pengetahuan luar, hanya yang rapat sahaja tempat dia mencurah rasa itu. Fikri Adlan yang misteri begitu mengujakan, juga memikat! Umaira, Azri juga Banie bagaikan percikan warna yang mengindahkan lagi naskhah ini.
Buat penulis, tahniah untuk sebuah kisah yang begitu tenang, setenang langit nan biru di atas sana.
Tuesday, March 9
JuMpa "MereKa " Di PWTC; 19 - 28 MarcH nanTi...

Harga: RM21.50 (Sem. M'sia)/RM24.50 (Sabah/Sarawak)
Dapatkan di Pesta Buku Antarabangsa KL 19-28 Mac 2010.
Pesanan melalui pos hanya boleh dibuat mulai 1 April 2010.
Tiga Ceritera dalam Sebuah Damai...
Ceritera 1: Damai ~ Saidatul Saffaa
“Kamu orang mana?” “Malaysia.” Sekarang ni musim sejuk, tetapi dia rasa... panas. “Panas ke?” ‘Pakcik’ muda ni boleh baca hati orang? Kemudian...Telinga sayup-sayup mendengar. Mata cuba fokus. Baju tu... topi tu... sesusuk tubuh itu. Ya Allah... apa yang terbentang di hadapan matanya ini?Benarkah Tun Fatimah bukannya untuk al-Fatih?
Ceritera 2: Yang Jauh di Pulau ~ Noor Suraya
“Terima kasih,” kata Piyan.“Bukannya buku ilmiah pun!” Dia merendah diri.Piyan membaca catatan dia...
Sophan Sophian,Selamat memasak! ~ Syuhada
“Formalnya.”“Itulah yang saya tulis kepada setiap peminat.”Kononnyalah dia pernah ada peminat selama ini. Inilah himpunan rasa sayangnya pada arwah tok dan ‘dia’ – si penjual ikan.Cinta rahsianya!
Ceritera 3: Langit... Tetap Biru ~ Syud
Kata orang menunggu itu satu penyeksaan.Kata Zahra pula, dia bukan menunggu. Cuma ‘dia’ sentiasa ada di situ, pada ingatannya.Kata orang juga, bagaimana langit itu tetap biru...jika ada awan yang meliputinya?tika remang oren menjengah setiap senja?Entahlah.... kerana pada Zahra, langit tetap biru!
Harga: RM19.00 (Sem. M'sia)/RM22.00 (Sabah/Sarawak)
Dapatkan di Pesta Buku Antarabangsa KL 19-28 Mac 2010. Pesanan melalui pos hanya boleh dibuat mulai 1 April 2010.
Bukan mudah untuk berubah...
dari tanpa arah ke sejadah,
dari tepi jalanan ke sujud
menghadap Tuhan...
I
“Please, Minn. Bukak tingkap bilik you.”
“Huh?”“I’m freezing right outside your window. On the roof.”Minn tegak dari baringnya, telefon bimbit masih di tangan.
You what?”
"No kidding. Please...” balas Ashraff Omar.
Mata Minn menala ke tingkap yang ditutupi langsir. Putus fius ke apa mamat ni."
Enough of your tricks, AO.”
“Minn, I’m dead serious.”Ashraff Omar berdiri di atas bumbung porch rumah Minn Edina.
“Minn, you nak bagi I masuk atau you nak tengok I jatuh?”
II
“Not a step away from that spot, AO.” Keras suara Minn Edina.
“Minn, you tahu I takkan sentuh you pasal I hormati you.”
“Back. Off.”
Ashraff Omar akur. Langkahnya ditarik kembali ke belakang.
“I tak memaksa. I cuma meminta. I like you. I really really like you. I want to give us a chance. Permintaan I bukan untuk you terima I yang sekarang, tapi I yang akan change for good, for you and for me. For us. Boleh you bagi I peluang tu?”
Hujan masih belum berhenti.
Lihatlah bagaimana HLOVATE membawa watak-watak dalam Versus berubah 180 darjah. Bacalah jikalau anda juga ingin berubah menjadi lebih baik, insya-Allah!
Harga: RM20.00 (Sem. M'sia)/RM23.00 (Sabah/Sarawak)
tiada manusia yang berseorangan ...
Cinta ini menolak hukum alam. Seperti cuba mencampurkan air dengan minyak, mempersahabatkan malaikat dengan syaitan, menyatukan kehidupan dan kematian. Cinta ini cinta yang mustahil.
“Puteri Silfia... kita hamba Tuhan yang sama tetapi dunia kita berbeza...” Azmi merenung mata puteri kayangan di depannya. Di mata Azmi, Silfia amat cantik. Meski bersayap dan bertanduk kecil.
Sampai ke tahap manakah seseorang sanggup berkorban untuk cinta? Sesetengah orang mungkin sanggup kehilangan segala-galanya untuk cinta. Dan mungkin ada yang sanggup merenangi lautan api untuk cinta. Tapi berapa ramai yang sanggup berkelana ke dunia dimensi lain demi cinta?
Untuk cinta Azmi sanggup ke dunia jin! Kerana persahabatan pula tiga siswa USM sanggup ke sana untuk menyelamatkan Azmi dan terperangkap di medan yuda! Tapi bagaimanakah kesudahan perang antara dua bangsa jin itu?
Sebuah roman percintaan luar biasa, dipersembahkan dengan cara yang tersendiri oleh XARINE!

Harga: RM20.00 (Sem. M'sia)/RM23.00 (Sabah/Sarawak)
Kasihan itu salah satu cabang cinta!
I
Tanpa diduga tatkala hujan sedang turun pada suatu pagi, aku terpanah dek kasmaran untuk pertama kali.
Dia Bidadari Hujan yang memayungi aku dengan payung cintanya! Aku terpesona pada kejelitaannya.
“Harap-harap esok pagi hujan lagi!” kataku sambil menghadiahinya senyum.
Matanya memanah hatiku dengan busur arjuna. Lalu hari-hari selepas itu, aku bukannya lagi Raimy Haidar yang dulu.
II
Hujan mencurah lagi. Diberinya aku sekaki payung.
“Macam mana saya nak pulangkan?”
Langkah dia terhenti. Aku menanti. Perlahan-lahan dia berpusing kembali menghadap aku.
Oh, dia bukannya Bidadari Hujan aku yang dahulu. Tingkahnya penuh pekerti senyumnya penuh erti.
“Simpanlah andai awak rasa mahu menyimpannya. Buanglah andai awak rasa mahu membuangnya.”
Apa jawab hati aku pada saat ini?
Tulisan NOOR AZZAHRA buat yang mahu mentafsir cinta dari sudut yang lain. Benarkah lelaki tidak halus hatinya dalam menzahirkan cinta? Bolehkah cinta datang buat kali keduanya? Tanyalah kepada Bidadari Hujan, biarkan dia yang menjawab semua persoalan anda itu!
Monday, December 28
Jaja & Din

Tajuk Buku :Jaja & Din
Penulis : Noor Suraya
Penerbit : Jemari Seni Publishing
Harga : RM20.00
Cetakan Pertama : 2009
Genre: Kasih Sayang & Kekeluargaan
Bintang : 6

---------------------------------------------------------
“…tetapi hendak buat bagaimana kalau rasa itu hadir tanpa boleh dia usir pergi…”
Apa Kata Saya:
Saya pernah dilabelkan sebagai die hard fan penulis ini. Semuanya gara-gara “kasih” saya yang tidak berbelah bagi pada karya-karya beliau. Tak kisahlah hendak dilabelkan atau digelarkan apa saya ini kerana saya ada takal penilaian dan penanda aras saya sendiri pada tiap karya-karya yang saya baca dan ternyata karya-karya penulis yang saya panggil Kak Su ini tidak pernah sekalipun mengecewakan saya. Sentuhan sakti jemari beliau dari dahulu sentiasa membuatkan saya terpukau!
Naskhah terbaru beliau; Jaja & Din (JD) sekali lagi mengulangi keunggulan dan kehebatan penulis ini. Melayari naratif istimewa yang sangat hebat pengkisahan dan keindahan mesej kasih sayang yang diterapkan penulis pada naskhah ini membawa keinsafan yang cukup mendalam di jiwa!. Kelainan pendekatan naratif yang diperkenalkan penulis didalam JD inilah yang membezakan sekaligus menjadikan JD begitu unik dan tersendiri. Penulis tidak membentangkan naratifnya kepada pembaca secara mudah tetapi penulis dengan begitu halus dan bijaksana membawa pembaca sama-sama turut serta di dalam jaringan naratif yang dibinanya ini. Kaedah inilah yang saya kira mengangkat JD menjadi sesuatu yang sangat istimewa dan berada pada kelasnya yang tersendiri. Ia tidak digerakkan secara susun atur yang biasa tapi dikemudikan dengan kaedah yang sedikit bertentangan dari biasa namun ia tidak sesekali menyebabkan pembaca tersesat jalan biarpun berada dilatar masa dan peristiwa yang berbeza-beza.
Kebijaksanaan penulis memanipulasikan antara dua latar yang berbeza dan menggerakkannya secara bersama sangat menarik sekali dan dengan kehalusan juga ketelitian olahan juga sumbangan kerja-kerja suntingan yang cemerlang potensi untuk pembaca tersesat pada lohongan latar masa yang berbeza memang tiada langsung..kosong! Plot naratif ini biarpun dibina dengan sisi yang bercampur-campur tapi kebijaksanaan penulis yang begitu teliti menjaga sempadan aliran kisah di naskhah ini membuatkan pembaca sedikit pun tidak akan tergelincir didalam melayari naratif ini.
Kisah ini memang ditunggu-tunggu kemunculannya. Dimulakan di blog penulis dengan e-novel bertajuk Jaja Menantu Che’Pa lalu kemudian diversicetakkan dengan menggunakan judul Jaja & Din yang sudah melalui proses rombakan dan tambahan sana sini dari teks asalnya. Ia membawa pembaca mengikuti pengkisahan tentang riwayat kisah cinta Jaja @ Faiza yang cukup unik dan menerusi pengkisahan itu pembaca ditarik ke dalam pengembaraan Jaja yang cukup istimewa, tersendiri dan terselit juga insiden lucu didalam misinya “memburu dan menangkap” si dia yang bernama Din @ Burhanuddin Al –Helmy, sang guru sastera arab lulusan Al-Azhar yang menjadi jejaka pertama berjaya membuatkan jantung Jaja terhenti seketika tatkala melihat gambar polosnya yang dirakam lensa teman sepejabat. Tidak disangka bukan gambar si dia yang cuma berkopiah putih dan duduk penuh takzim di pusara itu bisa buat Jaja nanar…nanar peringkat jingga tau! Jaja si media planner yang moden tatacara hidupnya, rambut coklat lurus cantik bak pembaris, kening terbentuk nan cantik menawan, yang punya syarat-syarat ketat untuk panduan mencari teman hidup akhirnya tersungkur pada Din yang bukan siapa-siapa dan tak punya apa-apa! Hebatkan aura sang guru sastera arab ini?.Din membuat Jaja berpusing 360 darjah, berubah dari norma biasa yang sudah menjadi kebiasaannya. Dan kerana Din, Jaja tega menongkah arus adat dan budaya yang kejap dijunjung. Semuanya kerana Din…demi mendapatkan Din! Bunyinya memang seperti Jaja ini perempuan spesies tak malu sahaja tetapi selagi tidak melanggar hukum agama apa salahnya bukan?, lagipun Din itu satu dalam sejuta tau!
Naratif ini mengupas dan mengulas mengenai tema cinta yang bukan sekadar falsafah murahan mengikut dorongan nafsu dan kasih sayang luaran semata-mata tetapi yang lebih utama rasa cinta yang jujur ikhlas kerana Dia. Cinta itu sendiri anugerah dari-Nya dan hanya dengan kefahaman itu baru rasa cinta itu dapat dihayati dengan setulus hati. Manisnya rasa cinta dan dicintai itu ditangani dengan begitu berhemah, bersempadankan agama sebagai tiang serinya.
Perwatakan Jaja adalah nadi yang mendominasikan naratif ini dan ternyata penulis bijak memusatkan watak Jaja untuk cemerlang beraksi di layar ini. Watak Jaja menguasai keseluruhan naratif dan pada tiap ruang yang ada Jaja @ Faiza yang punya pelbagai variasi warna sifat ini cukup mencorakkan wataknya secara tersendiri. Sikap polosnya cukup memikat, selambanya buat senyum tawa pembaca tercetus juga namun yang lebih indah pastinya semangat juang dan keikhlasan dirinya yang saya kira cukup cemerlang sekali dilakarkan penulis. Jaja ibarat permata yang tersembunyi sinarnya dan mata Din lah yang berjaya melihat cahaya itu. Din @ Burhanuddin ini wataknya cukup cantik dipenakan penulis. Din; si guru sastera arab sekolah agama rakyat yang pendiam, tiada apa-apa kelebihan material, naik bas ke sana sini, tiada telefon bimbit pulak tu, cukup serba sederhana sifat dirinya tapi peribadinya cukup terpuji sekali dan hebatnya aura Din ini bisa membuatkan kita gila bayang padanya! Watak-watak sokongan tidak kurang hebatnya. Kehadiran mereka turut memberi sumbangan mengukuhkan naskhah ini. Lala yang kelakar, Nini yang comel, Doktor Haslinda si mama yang polos, Doktor Badrul Hisyam abah yang baik hati, Wassim si bongsu yang cukup lurus juga tidak ketinggalan hero “lama” pujaan saya yang sudah ada gelaran Dato’ di depan namanya; Dr Aqmar Aziz. Warna-warni persembahan mereka cukup mengindahkan lagi naskhah yang sudah sedia cantik ini.
Bahasa dan pesona kepuitisannya mana mungkin dipisahkan dengan Kak Su dan ternyata Kak Su semakin handal memanipulasi kelebihan ini lalu lihat sahaja hasilnya pada naskhah ini. Kehalusan mainan bahasa penulis ini memang tidak boleh dipertikaikan. Ritmanya tersusun indah biarpun format cerita ini bersifat sebuah pengkisahan semula. Sisipan sirah dan kisah-kisah tauladan terpilih adalah irama yang cukup indah diterapkan penulis dengan cara tersendiri. Kesedaran yang secara halus disematkan penulis pada para pembaca untuk teladan juga renungan bersama. Jika tersasar jalan, kembalilah ke pangkal semula!
Buat penulis yang saya kagumi bakatnya, yang saya sanjungi kehalusan budi perkertinya dan yang saya sayangi ukhuwah persaudaraannya sekalung tahniah atas persembahan paling manis ini. Ternyata perit jerih pengorbanan dalam menghasilkan naskhah ini berbalas sudah. Semoga kaksu yang amat saya kasihi ini akan terus gigih berkarya, terus mencurah ilmu dan berkongsi cerita indah dengan kami, para pencinta dan pengagummu.
Buat anda pembaca diluar sana, sesungguhnya Jaja dan Din boleh dinobatkan sebagai Book of the Year!..ia adalah penutup tirai 2009 yang paling indah dan paling manis dilakarkan oleh seorang penulis hebat bernama Noor Suraya.
Orang dayak ke Indragiri,
Kapal kelok muatannya serai,
Hendak cari lelaki terpuji,
Akhlaknya elok, bijak dan pandai…
Kalau mahu ketemui “lelaki” ini, carilah “dia “ di dalam Jaja & Din dan anda pasti “jatuh cinta” padanya nanti..kerat jari beb kalau tak percaya kata-kata saya ini!
Saturday, November 21
Jaja & Din - Noor Suraya

Tuesday, July 21
Jadual Penulis Jemari Seni di Pesta Buku Selangor 2009

Thursday, March 26
Buku Baharu Di Pesta Buku Dari JS

Ini bukan cinta tiga segi! Dia dan dia bersahabat. Mereka berkongsi cerita. Namun rahsianya
Ajaibnya dalam derita masih ada lagi cahaya, jalurnya memandu arah. Anehnya dalam pijar
Jiwamu bagai ombak di tengah laut, pabila datang menderu kau usung segala beban ke gigi




Pada waktu yang sama, artifak dari Gua Cha pula hilang! Siapa pula yang mencurinya? Apa yang harus mereka lakukan?
Telah aku kuburkan dalam-dalam persahabatan bersama kau. Telah aku cuba simpan peristiwa aib itu dalam hati sampai mati. Bertahun aku menghilang, dan tidak pernah aku sangka waktu telah menemukan kita lagi. Malang apa yang menanti, pabila aku dan kau terperangkap dalam ikatan yang tidak pernah kita impikan?
Benarkah hati perempuan itu, kerasnya bagaikan kerak nasi? Percik air lembutlah ia...!Benarkah hati perempuan itu dalamnya tak terduga? Sentuh dasarnya, lunaklah ia...!Benarkah begitu...?
Ya, perempuan lain mungkin, tetapi tidak aku untuk lelaki seperti kau!Kau tidak pernah mengenali lagi aku Fir, kau tidak pernah lagi memahami aku Fir, kau tidak pernah sekalipun menyelami hati seorang aku!
Bahtera ini, arah kita tak serupapadamu... aku dendam yang tak terungkai, padaku... kau sahabat yang melukakan
Mengapa tidak kita akhiri sahaja tali ini, kalau kita tidak pernah endahkan ijab kabulnya, Fir?
***Bacalah hati perempuan NAZAWATI dalam Teluki Itu untuk Aku. Bandingkan dia dengan hati anda sendiri!