PENULIS : IMAENPENERBIT : JEMARI SENI PUBLISHINGHARGA : RM20.00HALAMAN : 472 MUKA SURATGENRE : DRAMA/AKSI/ROMANTIK*****
-------------------------------------------------------------------
"hidup saya sebenarnya cukup mudah...""saya melihat hidup begini sahaja, manusia hanya memiliki apa-apa yang tidak tenggelam daripada sebuah kapal karam"...Apa Kata Saya;
Mengesankan.Bohemian, buah tangan terbaru Imaen masih mengekalkan format sama lewat Vendetta juga Labyrinth...format yang menjadi satu tagline buat penulis hebat ini. Pengumpulan lebih dari satu cerita ke dalam satu pertembungan yang berkembang kepada isu masing-masing yang akhirnya dipertemukan di titik akhir ia ternoktah.
Jalinan plot cerita ini cukup cantik melalui pengolahan isu-isu yang cukup mengesankan dan disokong dengan teknik suntingan yang baik, jalan cerita ini berkembang dengan teratur tanpa kecelaruan yang akan menjejaskan pembacaan dan faktor jalinan cerita dan suntingan yang hebat akan menampakkan kekemasan persembahan keseluruhan cerita yang akan mengheret pembaca untuk terus terpaku di hadapan naskhah ini hingga ke titik akhir ceritanya.
Imaen yang sebelum ini cemerlang menerusi Vendetta, Labyrinth, sekali lagi mengulangi kehebatan penanya merakamkan kisah hidup seorang pemuzik jalanan/"busker" yang sangat jitu mempertahankan prinsip hidup di zaman yang sangat melihat kejayaan material sebagai indek penunjuk kejayaan individu.
Untungnya, watak utama Bohemian, Fadlan ternyata bagus sekali. Biarpun dengan stail ala2 ustaznya tetapi ia cukup memenuhi keperluan perwatakannya dilengkapkan pula dengan Nadira yang cantik, tegas tapi adakalanya keliru...dua insan yang berbeda latar, kedudukan dan prinsip tapi bersatu atas tiket; penyatuan hati.Tidak ketinggalan persembahan watak-watak pembantu yang lain, Suhaimi, Nufail, Detektif Kamal,Fariza, Marina..semua ini melengkapkan keindahan Bohemian.Apa-apapun Bohemian akan diingati menerusi bagaimana pertemuan dan insiden dicipta sebagai pembuka tirai ke arah penyelesaian konfliknya.
Disamping sub cerita lain yang turut diketengahkan beliau sebagai pelengkap naskhah ini, kenikmatan sebenar dari naskhah ini adalah menerusi rangkaian bahasa-bahasa falsafah yang diisi oleh Imaen untuk diketengahkan buat tatapan juga renungan bersama. Penulisan yang cukup ikhlas dari beliau dengan strategi serampang 2 mata ternyata cukup menjadi dan membawa erti yang bukan sedikit kepada pembaca.Begitu terasa tamparannya!!!
Bohemian mengukir sekali lagi nama Imaen untuk diangkat sebaris penulis terbaik tanahair. Bohemian seharusnya dibaca untuk menyedarkan kita yang negara ini ada seorang penulis hebat.
Buat penulis, jutaan terima kasih atas karya yang sangat bermakna ini. Kedalaman falsafah juga nasihat yang diberi cukup bererti buat saya yang selama ini mungkin jahil tentang sesuatu. Sekalung tahniah buat anda dan semoga terus cemerlang di masa hadapan.
Kisahnya...
Bohemian menyajikan seorang Fadlan, "busker" lulusan kejuruteraan yang ingin memperjuangkan cita-cita diri sebagai pemuzik..pemuzik yang berlandaskan prinsip dan peraturan hidup yang tidak tersasar. Dalam meniti perjalanan hidup sebagai pemuzik jalanan dia dipertemukan secara tidak sengaja dengan si copper blonde celup; Nadira sang peguam muda nan cantik, moden..lewat pertemuan demi pertemuan, mereka saling mengenali, saling memahami bicara rasa, bicara hati antara mereka...titik keserasian tercipta walau secara dasar beda antara mereka bak 2 citra warna..namun warna, tetap memerlukan antara satu sama lain untuk mencipta sebuah lakaran.
Kisah diperluaskan dengan pembabitan secara tidak sengaja Fadlan dalam permasalahan rakan seuniversitinya, Suhaimi yang diburu sekumpulan manusia rakus, kejam demi mendapatkan bukti kejahatan mereka yang disimpan Suhaimi yang sebenarnya terlepas ke tangan Fadlan secara tidak sengaja. Rentetan penglibatan inilah membawa jauh keterlibatan Fadlan ke lembah manusia-manusia keji yang bertopengkan kemegahan kedudukan sosial untuk menutup kemungkaran tingkah laku mereka.
Babak aksi yang membabitkan Fadlan juga watak2 pembantu yang lain ditonjolkan dengan cukup menarik...kita seperti sedang menonton sebuah filem aksi pulak rasanya. Teknik penceritaan serta olahan yang menarik terbukti berjaya menghidupkan suasana sesuatu babak aksi dengan lebih sempurna.
Paling menginsafkan tatkala mengikuti tazkirah Fadlan pada "buah hati"nya, Nadira, biar dalam bahasa yang cukup tersusun indah, tertib penuh beralaskan personifikasi...namun kita yang membaca, bukan sekadar terbias tapi tersungkur dengan makna yang tersirat di sebalik...well, sapa yang makan mangga muda, dialah yang rasa masamnya...hehehe
Buat penggemar kisah-kisah sebegini, Bohemian wajib berada dalam carta pembelian anda...Selamat menghayati Bohemian.