Showing posts with label Azilawati Mat Angsar. Show all posts
Showing posts with label Azilawati Mat Angsar. Show all posts

Tuesday, September 21




SEKUDUS DOAKU - BAKAL TERBIT!
Harga: RM18.00
Halaman: 464
Penulis: Azilawati Mat Angsar
ISBN: 978-983-124-584-2

Sinopsis: KASIH seorang ibu tidak boleh dinilai dengan wang ringgit. Tetapi… ingatan dan doa anak-anak adalah satu rahmat. Bagi Hanin, pengorbanan ibunya tidak pernah dilupakan. Tapi TUHAN menduga keimanannya bila ibunya disahkan meng¬hidap kanser peringkat kritikal. Dia tekad berhenti kerja untuk menjaga ibunya dan diizinkan suaminya. Pelbagai dugaan yang ditempuhi. Emosi dan kesihatan ibu yang tidak stabil sering membuatkan air matanya tumpah. Hanya zikir dan istighfar dibisikkan dalam hati agar redha menerima ketentuan ini. Dan pada hari yang telah dijanjikan, si ibu pergi menghadap ILAHI.

Hanin terkilan kerana tidak sempat menyaksikan saat akhir ibunya menutup mata. Namun, surah al-Insyiraah me¬-nyedarkan dia. Kerana al-Insyiraah dia mendapat kembali ibunya walaupun wanita itu sudah tiada lagi di dunia ini.

Monday, October 12

Bintang Hati


Tajuk Buku : Bintang Hati
Penulis : Azilawati Nat Angsar
Penerbit : CESB
Harga : RM17.90
Cetakan Pertama : 2009
Genre : Drama & Romantik
Bintang : 3.5


------------------------------------------------------------
“ Jangan lepaskan apa yang ada berhampiran kita dengan bermimpi tentang apa yang berada jauh daripada kita …”

Apa Kata Saya

Kata pujangga “Rumah yang terbaik adalah dihati orang yang kita sayang” melestarikan fokus karya terbaru penulis senior ini dalam menyimpulkan naratif ini kepada khalayak pembaca. Mesej penulis cuba merungkai persoalan hati dan bagaimana elemen ini sewajarnya dilestarikan sebaiknya didalam kehidupan seseorang.

Bintang Hati(BH) membawa tema kesetiaan. Kesetiaan seorang wanita pada rasa cintanya pada bekas tunangan dan biarpun sepuluh tahun berlalu dan walau ada cubaan untuk menakluki hatinya, rasa setia pada yang satu itu mengatasi segalanya. Satu menifestasi cinta seorang wanita yang cuba digarap dengan cukup halus dan penuh emosi kewanitaan oleh sang penulis ini. Sub tema tentang nilai persahabatan juga dipersembahkan dengan baik. Sub tema ini cukup menarik kerana seringkali kita dimomokkan bahawasanya wanita dan lelaki tidak mungkin boleh menjadi sahabat baik jika melibatkan elemen perasaaan didalam persahabatan tersebut. Namun penulis berjaya membuktikan walau mungkin hubungan perasaan itu gagal, persahabatan itu akan tetap kekal berpanjangan.

Naratif kisah ini tidak sepenuhnya kronologi kerana penulis menyisipkan elemen imbas kembali didalam membantu pembaca lebih memahami sebab atau punca konflik yang tercetus didalam penceritaannya ini. Plot cerita agak baik dipersembahkan penulis biarpun sedikit meleret didalam penulis menyudahkan naratif ini. Gaya bahasa didalam naskhah ini tidak begitu melankolik dan puitis tapi tetap cantik persembahannya untuk dihayati pembaca.

Perwatakan Nurul Iman Rasyad Irsyad @ Iman yang diangkat sebagai tunjang cerita dipersembahkan dengan cukup baik oleh penulis ini. Iman dipotretkan sebagai anak dan kakak yang baik, wanita yang cukup sempurna bagi seorang lelaki. Personaliti Iman yang menjadi fokus naratif dipersembahkan penulis dengan sangat baik maka tidak hairanlah dia menjadi rebutan dalam diam oleh 2 jejaka di pejabat namun kesetiaan Iman pada bekas tunangan yang tidak jadi dikahwini sepuluh tahun lalu cukup mengagumkan. Cara penulis merungkai misteri penolakan Iman pada majlis perkahwinannya dahulu cukup mengujakan…tidak sabar mengetahui sebab musabab ia terjadi dan faktor apakah yang mendorong Iman bertindak sedrastik itu. Nafis adalah watak lelaki yang dipotretkan sebagai seorang sahabat yang cukup istimewa, seorang lelaki yang sewajarnya menjadi dambaan wanita namun gagal di mata Iman. Saya sukakan pembinaan perwatakan Nafis yang sederhana, prihatin dan bersifat pelindung. Harith biarpun muncul dalam lingkungan yang terhad, penampilannya cukup cantik dan cara dia dipenakan penulis membuktikan mengapa dialah idaman Iman…sayang sekali melihat hubungan mereka diakhirkan sedemikian. Watak pembantu seperti Ilhan, Nurul Izzah adalah pelengkap naratif ini dan konfik perasaan antara kedua-duanya dipersembahkan dengan baik oleh penulis dan watak Izzah yang berubah 100% hanya kerana kecewa dengan cinta begitu cemerlang dipotretkan penulis. Tiada watak bersifat antagonis yang ditampilkan di dalam naratif penulis kali ini.

BH menyusuri kehidupan seorang gadis yatim piatu berkerjaya di dalam dunia perakaunan; Nurul Iman yang mempunyai 2 orang adik yang masih menuntut di Universiti tempatan dan luar negara; Nurul Izzah dan Nurul Iffah. Iman menggalas tanggungjawab sebagai pengganti ibubapa kepada 2 adiknya dengan baik. 10 tahun dahulu Iman pernah bertunang dengan Harith namun disaat majlis akadnikah Iman menolak untuk diijabkabulkan. Hanya Iman yang tahu mengapa dia bertindak sedemikian…segalanya demi kebaikan Harith, namun Harith yang kecewa membawa diri merantau ke luar negara. Iman yang terpaksa menerima setiap kritikan keluarga terdekat atas tindakan tersebut dan kesannya, setiap kejadian yang menimpa insan–insan terdekat dengannya selepas itu dikaitkan dengan dirinya yang dikatakan "sial" biarpun ia tidak langsung ada hubungkait namun Iman redha dan mengharungi hidup dengan sebaik mungkin tanpa sedikitpun melupakan Harith. Kasih dan cintanya tetap satu untuk lelaki itu biar Nafis dan Ilhan cuba meraih cintanya. Kemunculan Harith yang secara diam-diam sudah lama menjejak Iman begitu memeranjatkan. Nafis, teman akrab yang sedari dulu tidak pernah berputus asa meraih cinta Iman akur dengan pilihan Iman yang tidak pernah berubah. Harith yang juga tidak pernah melupakan Iman ingin menyimpul kembali kasih mereka. Perancangan manusia tidak mampu menolak ketentuan-Nya. Begitu juga kasih Iman dan Harith.

Buat penulis ini, tahniah untuk naskhah terbaru ini. Semoga anda akan terus hebat melontar idea tentang kisah kehidupan untuk tatapan pembaca di masa hadapan.

Wednesday, March 25

TERBITAN MAC DARI CESB

Tajuk : Bintang Hati
Penulis : Azilawati Mat Angsar
Harga : RM17.90

Lebih sedekad Nurul Iman menutup pintu hatinya untuk mana-mana lelaki. Segalanya hanya kerana rasa kasih dan sayang pada sang arjuna hati yang tidak jadi dikahwini. Namun kehadiran Nafis, umpama cahaya yang menerangi malamnya yang suram tidak berbintang. Nafis, lelaki sempurna. Jejaka impian wanita. Namun kesempurnaan Nafis tidak berjaya membawa Nurul Iman ke alam cinta.
Lalu, Ilhan hadir mencuri ruang-ruang kosong yang gagal dipenuhi oleh Nafis. Dan perasaan sayang, diam-diam Ilhan anyam dengan harapan agar kasih mereka akan disatukan. Namun dalam diam-diam juga… Nurul Iman menolak kasih Ilhan. Cinta Nurul Iman hanya pada lelaki itu. Lelaki yang tidak jadi dikahwininya dahulu.
Kemunculan Harith yang tiba-tiba itu, benar-benar menguji kesetiaan Nurul Iman. Bintang di hatinya bersinar kembali. Namun, kehadiran Laura bagai membawa kasihnya pergi. Inikah dendam yang bertahun tersimpan di hati lelaki itu? Dan inikah masanya untuk Harith melihat dirinya sengsara? Sedang Nurul Iman tidak pernah sedar, hanya dia yang Harith cinta buat selamanya…




Tajuk : Mendung Semalam
Penulis : Irene Mojuru
Harga : RM25.90

Rasa itu, masih menghantui, membelenggu dan merantai seluruh kebahagiaannya. Dendam itu, sesuatu yang amat menyakitkan. Makin disimpan, makin membusung dan bernanah jadinya. Bak gunung berapi yang akan memuntahkan laharnya dan membinasakan seluruh alam.Lalu, perlukah rasa kasih dan sayang dianugerahkan untuknya? Sedangkan dialah pemusnah, penghancur dan peragut seluruh kebahagiaan ini. Persis haruan yang makan anak, dialah manusia sial yang bertopengkan binatang. Sehingga tergamak menjadikan anak sendiri santapan, demi memuaskan nafsu kebinatangan. Dan, haruskah manusia yang bergelar ayah ini terus dibiarkan bernafas dengan selesa, tenang… sedang hati-hati yang memandang, terus sakit dan menderita.Lizam, Tonny dan Laila… terus diburu trauma di dalam menanti sinar bahagia. Lalu, kehadiran Tina bagai sebuah mimpi yang baru bermula, membawa bersamanya episod bahagia. Meninggalkan duka lara, bersama harapan, moga tiada lagi mendung semalam mengekori kisah silam.