Wednesday, January 14

Gapura


Tajuk : Gapura
Penulis : Zehann Ur Rakhie
Penerbit : Pekan Ilmu Publication Sdn Bhd
Harga : RM22.90
Cetakan Pertama: 2007
Genre : Thriller
Bintang : 5


------------------------------------------------------------------
“ Gapura?…”
“ Gapura tu pintu gerbang,".
“Ooo..."


Apa Kata Saya :

Tatkala enak melayan naskhah yang cukup mengujakan ini, saya dikejutkan dengan satu pertanyaan “ Gapura itu apa dik?..”..Menoleh kearah suara yang bertanya, saya melihat seorang petugas di kantin Sekolah Rendah Gombak (2) memandang saya. “Ntah kak, saya pun tak tau..”balas saya sambil tersenyum padanya. Dia tersenyum sama lantas berlalu. Saya membawa naskhah ini menemani saya ke sekolah anak saudara yang baru memulakan alam persekolahan tahun ini. Selain menjalankan tugas “spy’ di situ, masa yang terluang boleh juga diisi dengan aktiviti yang menyegarkan mata. Soalan yang diajukan kakak kantin itu membuatkan saya terfikir lantas membawa saya menyelongkar kamus usang di rumah…ha jumpa!

Gapura dari istilah bahasa bermakna pintu gerbang namun dari konteks naskhah penulis, saya fikir ia membawa pengertian pertubuhan atau gagasan persendirian… (maaf Zehann kalau saya silap....hehehe). Ya, Gagasan yang dibina dan diasaskan oleh seorang bernama Stephen dan Man Jai a.k.a Man Chai...Gagasan yang membina empayar dadah terbesar di Kuala Lumpur yang mempunyai rangkaian ejen-ejen dan sub-sub pengedar yang berantaian di seluruh pelusuk ibu kota.


Usai membaca naskhah ini, terasa benar kelainannya. Bukan kerana penulisnya yang pertama kali saya tatap karyanya tetapi jalan cerita yang ditampilkan mengkagumkan...sangat-sangat mengkagumkan!.Dunia Gangsterisme, dunia jenayah sindiket dadah penuh selut, lumpur diiringi istilah, terma mahupun jargon dunia jenayah yang diperincikan dengan setelitinya penulis lalu dilayarkan ke naskhah bercetak ini... seumpama kita menonton sebuah filem..hebatnya!

Suatu yang paling menarik tentang Gapura adalah pendekatan pembinaan naratifnya yang sangat jarang dibuat oleh penulis-penulis kita. Pembinaan naratif yang dibina penulis ini telah membezakan sekaligus menjadikan Gapura unik sekali. Sesetengah novel membentangkan naratifnya kepada pembaca dan pembaca pula mendapat laluan dengan mudah sekali. Ini tidak terjadi pada Gapura. Jangan bermimpi jika ada fikir akan berjumpa kaedah begitu di dalam naskhah ini. Gapura tidak membentangkan secara percuma pada pembaca tetapi mengheret pembaca sama di dalam jaringan naratifnya yang mungkin bagi sesetengah pembaca mengganggapnya sangat kompleks…mencabar bukan?, tetapi cabaran inilah sebenarnya suatu yang sangat menghiburkan!. Permainan inilah justeru yang mengangkat Gapura menjadi sesuatu yang baru dalam dunia penulisan kreatif tanahair.

Gapura digerakkan secara tidak linear. Penulis menggerakkan Gapura secara bertentangan dari kebiasaan yang acapkali kita temui dalam karya-karya lain di pasaran. Maka, sekiranya pembaca membaca tanpa persiapan fikiran yang sedikit dalam, tersasar tumpuan mereka pasti tersesat di dalam manipulasi Gapura. Sebagai sebuah karya yang naratifnya dibina secara bukan linear, sememangnya Gapura kelihatan agak menyukarkan kepada pembaca yang mencari hujung dan pangkal secara teratur.Malahan tanpa penumpuan yang khusus, terlepas pula tanda-tanda atau “clue” pembaca pasti akan hilang pertalian naratif yang dibina dalam naskhah hebat ini. Penulis bagi saya memberikan banyak papan penunjuk arah supaya pembaca tidak tersesat jalan.

Gapura bukanlah sebuah kelas pendidikan am atau kelas sivik yang memberitahu pembaca tentang bahaya dadah, jenayah dan apa juga urusan yang bersangkutan dengannya. Pesanan itu memang ada diselitkan penulis tetapi tidak berupa sekeping nota penting atau sepucuk telegram yang disampaikan secara langsung dan dengan kaedah yang paling tidak menarik. Gapura ada kenyataan sosialnya tentang amalan buruk dan keji ini tetapi yang lebih besar, lebih utama adalah bagaimana menerusinya pembaca dibawa meneroka dan mengetahui akibat dari perbuatan dan amalan berkenaan. Dibentang secara langsung..di depan mata.

Gapura memaparkan 1 cerita yang mempunyai 2 plot utama yang dibahagikan pula kepada 3 frasa penceritaan. Plot ini dibina supaya bergerak secara berasingan antara satu sama lain dan ditemukan pada satu titik penyelesaian yang dramatik. Frasa penceritaan yang dibahagikan kepada 3 bahagian cukup kemas digarap penulis. Kita melihat tranformasi watak Man Jai di setiap frasa dipersembahkan dengan cukup cemerlang oleh penulis.


Elemen-elemen suspen, aksi hingga ke kehidupan desa di pulau diolah dan digarap penulis dengan cukup cantik sekali. Penulis nyata banyak menaikkan mood suspen apabila setiap babak pembunuhan digambarkan ringkas tetapi cukup teliti dan ia ternyata cukup membuatkan pembaca berhenti seketika dan menarik nafas semula..fuhh!.Garapan “sinematografi’nya sangat-sangat hebat, berkesan dan nampak sangat hidup biarpun cuma di lembaran kertas putih yang bercetak!. Ia memberikan satu rasa, satu perasaan yang cukup nikmat buat pembaca.

Man Jai a.k.a Man Chai atau Jaiko juga dikenali sebagai "a NTLG; a nothing to lose guy "merupakan nadi utama yang menggerakkan Gapura secara total. Perwatakannya yang agak misteri diasimilasikan penulis dengan cukup cemerlang. Tranformasi dari perwatakan Man Jai ke Mansyah sangat cantik digarap penulis.Perwatakan Man Jai cukup mengisi ruang tuntutan gambaran wataknya, dari segi imej, bahasa tubuh, perlakuan juga riak wajah. Saya juga tertarik dengan watak Eddie, Ujang, Bruno juga Acoi. Biar sebentar, cuma seketika namun cukup meninggalkan kesan. Antagonis Andy Loo dan Cheah cukup berjaya dihitamkan penulis. Saya cukup meluat dan geli dengan perwatakan Harun…tapi kenyataannya spesies sebegini memang bersepah di luar sana.

Kebijaksanaan penulis memanipulasi jalan cerita yang secara zahir nampak klise cukup mengkagumkan saya. Acapkali saya terperangkap dengan telahan sendiri yang jauh tersasar dari yang sebenarnya...tidak terduga di minda apalagi merasakan di naluri begitu sudahnya kisah nan cukup mengujakan ini dinoktahkan. Penyudah cerita biarpun ringkas namun cukup meninggalkan kesan yang cukup mendalam..puasnya menatap karya ini!.

Buat Zehann...Gapura anda sungguh hebat, idea dan kreativiti dari penaan anda juga hebat ..anda juga sungguh hebat. Tahniah atas kecemerlang anda memotretkan sebuah karya nan cukup bagus ini buat tatapan kami pembaca sekalian. Semoga anda akan terus menghasilkan karya sehebat ini dimasa akan datang.Terima kasih juga pada rakan kentalan Geng Kicap ;nick dan silencez yang tidak putus asa mempromosi dan menyuruh saya membaca naskhah anda yang hebat ini...thks beb!

Buat anda diluar sana yang belum menatap naskhah ini...anda masih tidak terlewat untuk mendapatkannya...anda perlu membaca Gapura. Ia suatu yang cukup sukar saya gambarkan dengan kata-kata tentang keindahan, tentang nilai estetika kehidupan di dalam naskhah ini. ..yang saya pasti..anda tidak akan sama sekali kecewa membelinya.



6 comments:

Welma La'anda said...

saya juga tidak pernha membaca karya penulis ini. Saya kenal namanya pun melalui ulasan pembaca-pembaca lain. Baru sebentar tadi, saya membelek-bel naskhah Vamprha. Saya merasakan ada sesuatu pada buku itu tetapi saya tidak tahu apakah itu.

Membaca resensi saudari/saudara membuatkan saya tidak sabar-sabar mahu membaca Vamphra. Saya mahu menyelami "pembinaan naratif cerita" yang berlainan itu seperti yang saudari/saudara ulaskan tadi :)

kucc_aprilsnow said...

welma...saya belum menatap Vamphra juga bahagian 1 nya; RAAH-Kelahiran Mufrad w/pun kedua2nya sudah tegak dirak buku di rumah...yg pasti saya akan membacanya nanti...penulis ini unik ideanya..pasti kelainan juga akan saya temui 2 naskhah tersebut

Sulela said...

Karya penulis ni memang hebat. Hati saya puas lepas baca karya Zehann ur Rakhie ni. Sekarang tengah ulang baca RAAH 1 sebelum nak mula baca RAAH 2...

Saya sendiri tertanya2 Gapura tu apa. Tapi kat bahagian akhir novel ni ada diterangkan makna Gapura tu. Memang menarik novel ni. Tak rugi la baca...

Welma La'anda said...

saya baru perasan ...Vamprha yang saya miliki itu siri 2....

NickyAzrai said...

Kuc..
Aku suka Gapura
Aku suka Zehann
:D
terima kasih utk review hang
yg bukan sahaja meletop
tapi sudah sampai ketahap
KEBAAAAABOOOOOOOM

muah muah muah

kucc_aprilsnow said...

nick,

1. hang suka Gapura...ok, aku pun..muaahh

2. hang suka Zehann...erk???...tang ni aku musykil sgt kat frasa ayat hang tu..

p/s: cantek, jom main meriam buluh versi cyber beb...ajak Upin&Ipin br dushh dushh kebabooooommmm