Tajuk:Aku Bukan Billy Milligan [770 MS]
Semenanjung:RM25.90
Sabah/Sarawak:RM28.90
ISBN:983-42115-5-4
“Encik Adam okey ke?”
Berlari-lari anak Laura keluar mendapatkan Adam. Dia memang terperanjat
apabila Adam menelefonnya sebentar tadi. Bahkan dia lebih terperanjat
lagi apabila Adam menyuruh dia mengambil lelaki itu di mahkamah.
Walau berat hatinya mahu mengambil kerana sekarang hampir waktu
puncak dan orang balik dari bekerja, tetapi dia datang juga berjumpa
dengan lelaki itu kerana bimbang jika sesuatu terjadi pada lelaki tersebut.
“Marilah Encik Adam, saya hantar Encik Adam balik.”
Ajak Laura, namun Adam langsung tidak memandang ke arahnya. Seolah-olah
kehadiran Laura itu, langsung tidak disedari oleh Adam.
Kenapa dengan lelaki ini?
“Encik Adam nak pulang ke pejabat ke?”
Tanya Laura lagi sambil menjenguk muka Adam yang kelihatan merah dan
basah pipinya. Lelaki itu menangis agaknya. Namun apabila Laura terus-
terusan memandang wajahnya, Adam bangun. Dan seperti dicucuk
hidungnya, lelaki itu mengikut Laura masuk ke dalam kereta.
Ketika melihat Adam membeku di tempat duduk, Laura ligat berfikir,
apakah dia mahu menghantar Adam pulang atau pergi ke satu tempat
supaya lelaki itu dapat menangis sepuas-puasnya.
Akhirnya Laura membuat keputusan membelokkan keretanya ke Tasik
Perdana. Tempat itu di waktu begini, sudah pasti tidak ramai orang.
“Kenapa awak bawak saya ke sini? Saya bukan nak berasmara dengan
awak.”
Sebaik sahaja Laura berhenti di tempat meletak kereta di Tasik Perdana itu,
Adam mengajukan pertanyaan.
Laura ketawa mendengar kata-kata dari mulut Adam yang dirasakan tidak
wajar itu. Lelaki ini kalau aku ikutkan perasaan, mahu sahaja aku lempang
dia.
Cakap tidak pernah berbahasa. Main sedap mulut saja. Kau ingat, aku ingin
sangat dengan kau? Kau yang telefon aku tadi menyuruh aku datang. Bila
aku datang, kau tunjuk lagak pulak.
Laura mencemuh dalam hati.
“Encik Adam, bukalah jaket Encik Adam tu. Encik Adam tak lemas ke
dengan tali leher dengan jaket? Sesekali jadilah orang yang bebas dengan
protokol. Malaysia ni panas, Encik Adam. Ini bukan Antartika.”
Tidak menghiraukan kata-kata Adam yang menghiris perasaannya, Laura
merenung lelaki itu atas bawah.
Aku yang melihatnya pun lemas. Mat salih pun taklah dua puluh empat jam
berjaket macam ni. Desis hati Laura.
Melihat Adam yang tidak berkutik, dengan berani Laura menarik baju
Adam. Membukakan jaket lelaki itu dan kemudian membuka tali leher Adam.
Jaket dan tali leher tersebut di letak di tempat duduk belakang.
“Jomlah kita duduk di tasik tu sekejap. Sekarang jam. Nanti saya hantar
Encik Adam balik rumah atau pejabat.” Ajak Laura.
Lelaki ini macam orang bingung. Apa yang berlaku di mahkamah syariah
tadi? Apakah lelaki ini baru sahaja bercerai?
Laura masih agak samar tentang hubungan Adam dengan isterinya. Dan
bertambah samar lagi apabila Rozita pernah datang ke pejabat dan
memberitahunya yang Adam masih suaminya.
“Awak selalu datang ke sini?”Pantas Laura menggeleng, menjawab
pertanyaan Adam itu.
“Taklah Encik Adam. Ada sekali dua. Bawak mak dengan kawan saya yang
datang dari Kota Bharu.”
Memang sudah lama Laura tidak ke Tasik Perdana. Kebetulan Mahkamah
Syariah terletak tidak jauh daripada Tasik Perdana, jadi itulah tempat
terdekat yang boleh dia bawa Adam yang seperti orang kebingungan sahaja.
“Awak ramai kawan agaknya...”
“Adalah juga, Encik Adam. Hidup dalam dunia ni memang kita perlukan
kawan. Kawan yang melengkapi kehidupan dan kekurangan kita. Dan kita
juga melengkapi kekurangan kawan-kawan kita.”
Balas Laura tenang. Dia berjalan beriringan dengan Adam, lelaki beku yang
selalu bercakap main sedap mulut itu.
“Awak tak pernah rasa sakit hati agaknya…”
Rasa sakit hati? Kenapa lelaki itu bertanyakan aku soalan yang agak aneh
itu?
“Kita manusia, Encik Adam. Mesti ada rasa sakit hati. Tapi kalau saya,
saya sakit hati sekejap aje, Encik Adam. Buat apa kita simpan rasa sakit
hati lama-lama kalau ianya menyakitkan kita sendiri...”
Balas Laura sudah mengambil tempat di kerusi yang tidak jauh dari tasik
itu.
“Awak tidak pernah rasa sedih?”
Pertanyaan tersebut tidak segera dijawab Laura. Dia melemparkan
pandangnya jauh ke tengah tasik. Beberapa minit kemudian, pandangan
matanya beralih pada Adam yang sedang melipat lengan bajunya hingga ke
siku.
Sebentar tadi memang Laura terasa mahu melakukan begitu terhadap
Adam. Lemas dia melihat lelaki itumembutang lengan bajunya hingga ke
pergelangan tangan. Tetapi dia tahu itu tidak wajar dilakukannya. Takut
dia jika Adam mengatakannya gatal
Dari Blog Norhayati Berahim
3 comments:
menariknya tajuk :D
tahniah kak yati. lambat lagi nak tunggu bulan 8 hehe
pergghhhh
buku baru kak yati
cerita sure letup kebaboom
:D
congrats kak yati
woaa ganteng banget cowok yg jd cover buku ni...msk list nih..:))
Post a Comment