Showing posts with label Rynsa. Show all posts
Showing posts with label Rynsa. Show all posts

Sunday, October 3

October'10 Dari Jemari Seni

ISBN: 978-967-5118-48-7
Harga: RM21.50 (Sem. M'sia)/RM24.50 (Sabah/Sarawak)
Pesanan online mulai 13 Okt 2010.

Tiga buah ceritera dalam sebuah

WARNA

Warna I – Nazurah Aishah

Bukan Dipaksa

kabut ungu di hatiku tanda luka itu tidak pernah sembuh

Saatku terbuang jauh, aku masih mampu hidup. Biarpun dalam kepayahan. Biarpun tiada Affan di sisi. Affan yang berjanji akan menyerahkan jiwa dan raganya; Affan yang telah berjanji mahu berkongsi nyawanya dengan nyawaku.

Warna II – Rnysa

Hikari Ainori

the love ride of hikari

Kisah ini adalah kisah cinta mereka yang pernah hilang. Kisah ini adalah kisah pencarian diri mereka yang pernah tersasar jalan.

Mencari semula cahaya hidup yang pernah suram.

Mencari kembali makna diri yang pernah pudar.

Warna III – Nasz

Karamel

karamel itu benda hangus yang sedap

Jadi setiausaha taklah sesusah mana kalau bukan Encik+Tak+Berapa+Arif tu yang jadi bos.

“Bila pula saya suruh duduk?” dia tanya aku, keras.

“Laa... tak boleh duduk ke, encik? Saya pun nak cakap, sebenarnya saya ‘s-u-k-a’ berdiri. Entah apasal tadi saya terduduk pula.” Aku jawab, lembut.

Tapi... logik tak kalau aku pijak mulut dia?

Tuesday, December 9

Kebun Mimpi

Tajuk Buku : Kebun Mimpi
Penulis : Noor Suraya, Syud dan Rynsa
Penerbit : Jemari Seni Publishing
Harga : RM21.00

Cetakan Pertama : 2008
Genre : Cinta & Kekeluargaan
---------------------------------------------------------------------------------------

Apa Kata Saya:

Ceritera I: Kebun Mimpi oleh Noor Suraya.

“ hidup ini sebuah Kebun Mimpi…apa yang kita tanam hari ini, itulah yang kita akan tuai esoknya…”

Kebun Mimpi bermula dari sebuah e-novel penulis yang mengembangkan jalinan cerita lewat karya-karya beliau yang terdahulu; Keranamu Ain, Biru Ungu Cinta dan Nyanyian Tanjung Sepi.

Saya amat-amat terkejut tatkala mula-mula melihat cover buku ini ketika ia diemailkan kepada saya dulu kerana tidak menyangka sama sekali ia diversicetakkan kerna sang penulis sendiri pernah berkata “99% tidak akan dibukukan…” gimik ayat paling bombastik tu kaksu, hehehe…namun ia sangat dan sungguh menggembirakan tatkala melihat versi cetaknya dilayar dan akhirnya berada dalamn genggaman.

Dengan menampilkan Ain Najwa (Keranamu Ain) sebagai tonggak cerita dibantu oleh Nik Ahmad Adam ( Keranamu Ain), Kamal Hanif Khusyairi (Biru Ungu Cinta) serta watak-watak sokongan lain seperti Durrah, Haris Fadillah & Maizurah (Keranamu Ain), Seera Asqikin, & Abdul Fattah (Biru Ungu Cinta) & Dr Syarifah Nuur Khalida (Nyanyian Tanjung Sepi) ternyata Kebun Mimpi sebuah jalinan cerita yang sangat mengasyikkan sekali. Setiap watak diimbas kembali penulis dengan cukup ringkas tapi padat pengisiannya kerna pembaca sendiri bisa mengenang kembali cerita-cerita terdahulu yang membabitkan setiap watak yang ditampilkan. Saya cukup sukakan watak Durrah, malah berharap wataknya akan dapat dikembangkan penulis pada episod akan datang kerna Durrah berdiri dengan cara yang cukup istimewa…penuh misteri.

Bermotifkan tema kasih sayang, plot Kebun Mimpi berkembang dengan cukup teralun, kemas digarap , cukup berhati-hati dan selitan rima jua ritma indah tidak sesekali mengganggu perjalanan cerita. Itulah keistimewaaan pena sang penulis hebat ini. Cerita ini sarat dengan mesej kasih sayang yang sangat meruntun kalbu tidak kiralah ia membabitkan hubungan suami-isteri, antara rakan/sahabat tapi jua antara ahli keluarga.

Tahniah dan terima kasih buat sang penulis @ kaksu kerna sudi memversicetakkan Kebun Mimpi. Sebuah mimpi yang telah direalisasikan dengan cukup sempurna. Saya menantikan Kebun Mimpi Bahg 2 dari kaksu….haa, jangan lupa..dah janji taw kaksu…
----------------------------------------------------------------------------------------------------------



Ceritera II : Tas Merah Jambu oleh Syud.

“ apa diharap padi di ladang,
entah berbuah entahkan tidak,
entah di makan punai melayang,
apa diharap kasihnya orang,
entahkan sudi entahkan tidak,
entah-entah disambar orang... ”


Tas Merah Jambu sebuah cerita, sebuah kisah remaja yang klise namun cukup manis dan mempersonakan sekali. Penulis bagi saya cukup bijak membeli jiwa pembaca dengan persembahan bersahajanya namun cukup memikat.

Plot dan pergerakkan cerita bergerak seiring biarpun ia adakalanya menyelitkan unsur imbas kembali. Penggunaan bahasa yang mudah, ringkas amat bersesuaian dengan genre cerita. Perwatakan Nisa Mahfuzah dan Adif Kamaruzaman amat cantik dilayarkan penulis...setiap peristiwa bersifat kebetulan yang menimpa mereka dibina dengan cukup kemas tapi sangat mengujakan sekali. Saya juga sukakan watak Nini yang penuh keselambaan itu yang adakala mengundang tawa dihujung senyum.

Selain babak nyanyian Adif untuk Nisa, segmen teka silangkata 3-2-1 @ 1-2-3 di penghujung cerita paling mencuri hati. Sangat comel, secomel penulisnya. Ia bahagian yang mengundang senyum simpul pembaca. Sangat cantik.

Buat Syud, Tahniah…selepas Dhiya-Azril, Nisa-Adif juga sebuah buah tangan yang sangat comel dari anda.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------

Ceritera III – Albatros :Antara Langit & Bumi oleh Rynsa

“ Life is Drama”
“ gembira & sedih itu tanda nikmat daripada-Nya….”

Dalam ceritera ini, sang penulis membawa kita 2 kisah, 2 cerita, 2 perempuan dengan persepsi hidup yang subjektif rupabentuknya. Menerusi perwatakan Nurul Izzah seorang aquarist dan Adriena Ayuni seorang pelajar yang menafsir kehidupan bertunjangkan pemahaman tersendiri. Menerusi Albatros, kisah mereka disatukan biarkan dari dimensi yang berbeza.

Saya melihat kematangan penulis untuk karya beliau kali ini lewat karya terdahulunya RADHA (Relevankah Aku Dihatimu), satu peningkatan yang sangat mengagumkan. Menerusi dunia marin dan langit aviasi, penulis membawa pembaca menyusuri kehidupan yang sangat sarat dengan falsafahnya. Plot cerita bergerak seiringan dan sangat kemas garapannya ditangan penulis berbakat ini.

Saya paling tertarik pada kisah perjalanan roh di bahagian kedua ceritera ini. Perjalanan yang penuh debar, betapa kerdilnya kita pada kebesaran dan kekuasaan-Nya. Bahagian inilah yang paling mengujakan sekali kerna disinilah isi keseluruhan cerita bermula dan penulis berjaya mengungkap perjalanan sebuah kehidupan dari sudut prinsipnya dengan cukup berkesan di sini.

Buat Rynsa, tahniah untuk sebuah persembahan yang cukup mempersonakan sekali…saya menunggu karya anda yang seterusnya
.

Thursday, November 6

KEBUN MIMPI...akan datang dari Jemari Seni



PENGUMUMAN...

Jemari Seni ada buku 3 + 1 untuk bulan November tau... lihatlah sampul kulitnya yang cantik, lukisan ini dilukis oleh Syah dari Pulau Bali, Indonesia...(CHANTEKNYERRR...kan kan...)

Tiga penulis wanita Jemari Seni Publishing berbicara tentang cinta dalam sebuah Kebun Mimpi...

Ceritera I – Kebun Mimpi... oleh Noor Suraya
Masih ingat pada karya pertamanya, Keranamu Ain... ? Inilah lanjutan kisah Ain Najwa selepas itu.

Sudah Ain tanam, sudah Ain semai... namun tidak satu pun yang bertunas itu rupa-rupanya kembang menjadi bunga! Bagaikan kebun mimpi... apa yang hadir dalam hidup Ain ini sekadar sebuah kenang-kenangan.


Ceritera II – Tas Merah Jambu oleh Syud
Gara-gara sekeping kad raya yang ada gambar seekor kucing putih gebu, hidup Nisa tak keruan dibuat dek Anna, Lin dan Nini. Sementara kawan-kawan si penerima kad misteri itu, sedang menyenaraikan suspek: siapakah peminat rahsia Adif? Aiman terus menyiasat, Adif pula jadi resah gelisah.

Jomlah sama-sama ikut Syud membongkar misteri hati Nisa-Adif ini...!

Ceritera III – Albatros: Antara Langit dan Bumi oleh Rnysa
"Ya. Kalau sayapnya elok lagi, ‘dia’ boleh terbang..." balas Ehsan.
Izzah rasa dia yang perlukan sayap sekarang, mata Ehsan yang bening sedang mencuri pandang sejenak, menikam ke dalam tangkai jantungnya. Mata itu duta hati, dan jika mata dengan mata itu sudah bertemu, tentulah larutnya jiwa.

Encik Albatros, pinjamkan sebentar sayapmu itu! Aku mahu lari daripada terkena panahan cinta! bisik Izzah.

Membaca blurb pun, tentu anda semua sudah tertanya-tanya cerita yang bagaimana ya, buku kali ini? Apa yang boleh dikatakan, cuma satu saja... BELILAH, JANGAN TAK BELI WEIII!

Butiran Novel:

Judul: Kebun Mimpi
Penulis: Noor Suraya, Syud & Rnysa
Harga: RM21.50
Catatan: Mulai di pasaran: 20 November 2008
*Harga tawaran Jemari Seni – RM19.00 dan boleh dipesan secara online mulai 18 November 2008
Selamat membeli dan membaca...

Sedutan cerita:

1. Kebun Mimpi... daripada Noor Suraya

"Adam tak nak tidur lagi?"
"Nak mulakan juz baru ni... Ain tidurlah. Kalau sudah ke pelantar, tak tahu ada masa atau tidak." Kata Adam. Matanya bening... melihat Ain terbaring di sofa panjang, hatinya jadi terusik. Ain sudah tidak selesa untuk bergerak lagi, kasihannya. Tapi Ain ni... masih ada hati berbaring di sofa yang sendat ala-ala Cleopatra begitu.
Setiap kali melihat Ain yang termengah-mengah begitu, membuat dia juga rasa bersalah kerana pernah menggores hati uminya di rumah. Begitulah umi mengandungkannya dulu dengan bersusah payah... apabila dah besar panjang begini, dah nak jadi bapa orang pun, dia juga masih melawan kata-kata umi. Kalaulah ini Ramadan yang terakhir, masihkah dia sempat memohon ampun dan maaf daripada umi? Esok pagi-pagi di pejabat dia akan telefon umi dan abah minta ampun! bisik hatinya.

"Kenapa tengok Ain macam tu?"
"Sebenarnya selama ini saya tidak pernah tengok Ain betul-betul... kan? Ain tidak banyak berubah sejak zaman sekolah."
"Mujur tak tengok betul-betul, kalau tak mesti Adam dah pilih orang lain...! Hanya kerana salah pandang, Ain yang bertuah." Kata Ain, cuba mengiring sikit.



2. Tas Merah Jambu daripada Syud

Gadis itu sedang tercegat berdiri, seolah-olah sedang menunggu seseorang. Adif terkedu buat beberapa ketika, dan pantas fikirannya menimbang sama ada dia patut bangun dan menegur, ataupun duduk sahaja di sini dan melihat siapa yang ditunggu Nisa.

Pilihan pertama? Atau pilihan kedua? Atau... pura-pura berjalan di sebelahnya dan manalah tahu Nisa menegurnya....A, B atau C? Macam nak kena cari alternatif untuk pilihan D jek.

Dia berkeputusan untuk memilih A, namun belum sempat dia berbuat apa-apa, orang yang ditunggu Nisa sudah tiba. Dan orang yang ditunggu Nisa tidak lain dan tidak bukan lelaki berdarah campur itu, yang terus membuatkan Adif menjana pilihan untuk D.
D - Duduk dan tidak berbuat apa-apa kerana semua cadangan tiga pilihan di atas tidak sesuai dijalankan.

Terus dia mengalih pandang. Tidak mahu terus memandang. Namun matanya masih lagi degil mengerling, dan dia lihat Nisa mengambil sesuatu dari tangan lelaki itu. Dia nampak Nisa ketawa, dan tersenyum.

Adif menggeleng sendiri. Akhirnya dia bangun, dan memusingkan badannya menghadap dinding. There. Safe.


3. Albatros: Antara Langit dan Bumi daripada Rnysa

"Burung tu dapat ikut kapal-kapal selama beberapa hari. Selama tu ia melayang dengan tak turun dan hinggap di mana-mana." Terang Ehsan.
"Macam hati manusia juga..." sambung Ehsan bersahaja.
"Apa pula kaitannya albatros dengan hati?" pantas Izzah menyoal. Profesor Abu turut hairan dengan analogi anak didiknya itu.

"Ya lah, hati manusia... mengikut kita berhari-hari, berbulan-bulan, bertahun-tahun... tapi tak mahu turun dan hinggap di hati orang yang diikutnya. Terbang melayang-layang di atas sana. Entahkan bila akan singgah, kita pun tak tahu...." Pandangan mata Ehsan terhenti pada muka Izzah yang sudah kemerahan.

"Adakah bab ini termasuk dalam tesis awak, Ehsan?" usik Profesor Abu yang sudah dapat menangkap maksud yang tersirat. Bibirnya membunga senyuman. Anak muda dilamun cinta, bisik hati kecilnya.

"Ya, Profesor. Tesis yang tidak pernah selesai!" Mata Ehsan masih terarah pada Izzah yang kembali membaling roti kering ke dalam laut. Empat orang lagi pelajar Profesor Abu yang mengikut kajian hari ini hanya tersenyum sesama sendiri.