Showing posts with label Feb 2010. Show all posts
Showing posts with label Feb 2010. Show all posts

Wednesday, February 17

Jauhari Hatiku


Tajuk : Jauhari Hatiku
Penulis : Imias Farhani
Penerbit : Kaki Novel Enterprise
Harga : RM19.00
Cetakan Pertama: 2010
Genre : Drama & Kekeluargaan
Bintang : 3


------------------------------------------------------------
“umpama kemboja yang sentiasa setia teduh memberi rendang pada pusara, menabur wangi ke bumi…”

Apa Kata Saya :


Ikatan persahabatan yang dimulai dengan niat yang ikhlas dan dijalin dengan penuh batas persempadanannya akan kekal berpanjangan hingga ke akhir dan sukar tergugat biar apa juga halangan yang datang. Lalu bila status hubungan ini meningkat ke satu anak tangga, akan terlerailah ikatan persahabatan tersebut atau akan terus berpanjangankah ia. Inilah intipati juga mesej dalam naratif penaan penulis baru yang muncul dengan karya sulungnya; Jauhari Hatiku.

Selalu kita dengar orang berkata lelaki dan perempuan tidak boleh menjadi bersahabat baik kerana hubungan akrab berlainan jantina ini pasti mengundang pandangan yang pelbagai versi dari masyarakat sekeliling. Namun penulis saya kira cuba membawa dimensi lain dalam menilai erti keikhlasan didalam hubungan yang sebegini.Lalu wujudlah Farisa dan Daniel McCormick didalam penulis merealisasikan maksud beliau ini. Saya kira penulis sudah sebaiknya memotretkan kedua-duanya sebagai menjelaskan ya, lelaki dan perempuan boleh menjadi rakan paling akrab! Dan keakraban itu jugalah akan memberi peluang dan ruang kepada kedua-duanya untuk lebih saling mengenali dan memahami diri masing-masing didalam mencari titik keserasian. Bak kata orang hanya Jauhari yang lebih kenal Manikam. Antara kaca dan permata, sama indah, sama bercahaya namun hanya mata hati sahaja lebih tahu yang mana lebih bernilai.

Naskhah ini menyingkap kisah kehidupan seorang pengaturcaraan bebas; Farisa Othman yang diikat bekerja secara kontrak dengan Fortress Holidngs Berhad kepunyaan anak muda berdarah kacukan cina-inggeris; Daniel McCormick seorang duda anak satu. Sikap Farisa yang dedikasi pada kerja amat disenangi Daniel dan dari situ ia membina satu hubungan persahabatan yang akrab antara mereka berdua. Hubungan mereka makin erat bila Farisa secara ikhlas menawarkan diri menjaga Samantha, anak Daniel sementara Daniel mencari pengasuh buat anaknya. Biarpun ditentang oleh ibunya; Mak Piah kerana khuatirkan pandangan serong masyarakat Farisa tidak langsung tergugat dengan perkara itu kerana baginya niatnya ikhlas membantu. Sikap tegas Farisa amat mengharukan Daniel dan dalam diam dia makin tertarik pada kepribadian dan diri Farisa. Keakraban Farisa dan Samantha bagai sukar dipisahkan dan kasih sayang Farisa begitu sebati didalam diri anak kecil ini dan akhirnya membuatkan Mak Piah akur bahawa anaknya itu benar-benar ikhlas didalam menjaga Samantha. Saat Farisa jatuh sakit dan terlantar di hospital, Daniel membatalkan perkahwinan yang diatur keluarganya demi mahu berada disisi Farisa. Dan ketika itu jugalah terbongkar identiti baru Daniel yang sebenarnya.

Perwatakan dalam JH lebih memberikan tumpuan yang kepada tonggak utama cerita ini; Farisa Othman dan penulis menggarap perwatakan Farisa dengan sebaiknya. Bahasa tubuhnya juga baik dizahirkan penulis. Daniel McCormick adalah hero yang saya kira sangat sederhana dipotretkan penulis namun pergolakan dalaman diri Daniel didalam menzahirkan rasa kasihnya pada Farisa cemerlang ditangani penulis.Tiada watak antagonis yang mencabar didalam JH. Reeta dan Angela saya kira lebih kepada watak sampingan yang tidak langsung menggugat pada hubungan Daniel dan Farisa. Saya lebih menyukai peranan Samantha/ Siti Sarah yang memberi tranformasi watak yang sangat berkesan didalam naratif ini.

Pengolahan plot cerita sedikit lemah dan corak persembahan penceritaan penulis agak meleret. Saya kira penulis mempunyai isi cerita yang baik untuk diketengahkan cuma kelemahan garapan yang longgar ditambah kealpaan menjaga jalinan cerita agar tidak terlalu mendatar menjadi punca utama kelemahan ini. Saya kira jika editor bijak mengenalpasti kelemahan ini dan memberi maklumbalas pada penulis untuk diperbaiki nescaya naratif ini pasti lebih mantap. Gaya bahasa mengaplikasikan lenggok bahasa harian. Tiada unsur/ elemen melankolik juga personifikasi yang digunapakai penulis didalam naskhah sulung beliau ini.

Jauhari Hatiku merupakan satu percubaan pertama penulis baru ini yang saya kira agak baik persembahannya jika dinilai secara keseluruhannya. Sebagai karya pertama ditambah dengan latarnya yang saya fikir bukanlah dari daerah penulisan maka kekurangan yang ada pada naskhah sulung beliau ini diharap akan menjadi pemangkin untuk penulis lebih bersemangat untuk berkarya dimasa hadapan. Jadikan tiap komentar sebagai dorongan untuk terus maju ke hadapan.

Buat Imias Farhani, tahniah atas percubaan pertama anda ini.. Semoga anda akan terus gigih berusaha, mempertingkatkan kemahiran, memperbaiki kelemahan dan terus kreatif berkarya di masa hadapan dan memotretkan kisah-kisah masyarakat untuk dikongsi bersama dengan para pembaca sekalian.

Sepupuku Suamiku



Tajuk Buku : Sepupuku Suamiku
Penulis : Lynn Allyna
Penerbit :Kaki Novel Enterprise
Harga : RM19.00
Cetakan Pertama : 2010
Genre : Romantik & Kekeluargaan
Bintang : 3


--------------------------------------------------------

“Kehidupan ini seumpama bunga, maka cinta adalah madunya…”


Apa Kata Saya

Sepupuku Suamiku (SS) adalah nukilan penulis baru; Lynn Allyna yang pertama kali saya tatap karyanya. Karya yang bermula dengan format e-novel dan kemudiannya diversicetakkan ini memaparkan transformasi kehidupan juga suka duka seorang gadis muda; Nana yang bergelar isteri kepada sepupunya sendiri yakni doktor Hisham. Laluan pahit manis yang ditempuhi Nana selaku pendukung utama naratif disepanjang tempoh perkahwinan hingga ke kemuncak ikatan perkahwinan itu menjadi medan penulis melakar sebuah jalan cerita yang saya kira agak baik persembahannya dari seorang penulis baru.

Kisah ini merungkai tema cinta dan kasih sayang yang lebih menjurus pada cinta antara suami isteri. Kekuatan cinta mereka itu teruji tatkala rumahtangga mereka yang masih hijau itu dilanda badai yang yang membawa pada terlerainya ikatan itu. Dan kuasa cinta dan kasih sayang itu jugalah membawa mereka kembali bersatu semula. Sub tema juga merungkai hubungan kasih sayang antara ahli keluarga dan kalangan teman akrab. Talian hubungan antara kesemua ini kemudian digarap dan dijalin penulis didalam memaparkan hubungkait dan kekuatan nilai hubungan tersebut didalam kehidupan manusia. Inilah mesej yang saya kira cuba disampaikan penulis pada khalayak pembaca.

Naratif ini hampir sepenuhnya kronologi dan penulis ada menyisipkan flashback didalam membantu pembaca lebih mudah mengikuti penceritaannya ini. Plot cerita agak baik dipersembahkan penulis biarpun adakalanya ada bahagian penceritaan yang saya rasakan tidak penting sewajarnya boleh diabaikan penulis. Penceritaan yang sedikit meleret akan membosankan pembaca kerana perlu diingat fokus cerita yang terarah adalah kunci kepada sebuah persembahan naratif yang baik.

SS memaparkan rentetan perjalanan hidup Nana @ Diana Syakira yang menjadi pengantin gantian dan dikahwinkan dengan abang sepupunya; Hisyam disebabkan tunangan Hisyam memutuskan ikatan mereka disaat-saat akhir. Demi mengelakkan malu keluarga, jasa Nana amat diharapkan oleh mak longnya yang juga ibu Hisyam. Nana yang sememangnya sudah lama menyintai Hisyam dalam diam menerima perkahwinan itu dengan rela hati biarpun sedikit khuatir juga cuak akan penerimaan Hisyam terhadap dirinya. Nana beruntung kerana Hisyam belajar untuk menerima dan menyintai dirinya sebagai isteri biarpun sebelum ini menganggap Nana seperti adiknya sendiri dan keikhlasan mereka berdua didalam perkahwinan ini ditambah dengan restu kedua ibubapa membawa sinar bahagia didalam perkahwinan mereka. Kata orang tiada rumahtangga yang tidak diduga, begitu juga pasangan muda ini. Kemunculan kembali bekas tunangan Hisyam; Hani Marina yang mahu menjalin semula ikatan mereka begitu mengkucar-kacirkan perasaan Hisyam. Penolakan Hisyam menimbulkan sakit hati Hani lalu Nana yang begitu lembut dan rapuh dijadikan sasaran untuk perlaksanaan misinya merebut kembali Hisyam.

Perwatakan Nana yang diangkat sebagai tunjang cerita dipersembahkan sebaiknya oleh penulis ini. Nana dipotretkan sebagai gadis yang baik, anak manja, wanita dan isteri yang cukup sempurna bagi seorang lelaki. Sebagai wanita yang agak muda tatkala bergelar isteri, emosinya yang agak goyah tatkala rumahtangganya diuji dipamerkan sebaiknya oleh penulis dan kegopohan Nana tatkala mengambil keputusan tanpa mahu mempertahankan rumahtangganya adalah jawapan pada kelemahan sifat dirinya yang satu itu. Pengorbanannya saya kira sedikit lemah bertunjangkan alasan yang tidak kukuh. Hisyam bagi saya watak yang cukup stabil digarap penulis bersesuaian dengan latar diri dan kematangannya sebagai lelaki. Watak antagonis Hani Marina sedikit kucar-kacir dan tidak diolah dengan sekemasnya bagi menimbulkan darjah kebencian yang ketara pembaca padanya. Begitu juga watak Johan yang saya fikir tiada langsung sumbangannya didalam memberi makna didalam naratif ini.

Buat guru muda ini, tahniah untuk persembahan sulung anda ini. Semoga akan terus berusaha gigih mempertingkatkan mutu penulisan anda untuk karya-karya akan datang kerana saya kira anda cukup berbakat didalam melontar idea. Teruskan usaha anda untuk sama-sama menyemarakkan lagi dunia penulisan kreatif tanahair.

Thursday, February 4

NoVel FeB 2010 daRi BuKu PriMa...


Cinta Hatiku
PITTERIAH ABDULLAH
RM 19.90
ISBN: 978-967-5489-14-3
~672 hlm
Tarikh Terbit: 20 Feb 2010


Sinopsis

Arissa Putri ditukarkan dengan Syazwan Hafizi kerana ayah Arissa iaitu Tan Sri Badrol inginkan seorang anak lelaki bagi mewarisi empayar keluarganya. Tanpa pengetahuan Tan Sri Badrol, Puan Sri Sharifah tega menukarkan anak sendiri dengan Hamzah dan Puan Latifah. Arissa dibesarkan dengan penuh kasih sayang walaupun hakikatnya Arissa sudah diberitahu dia hanya anak angkat dalam keluarga Hamzah. Manakala Syazwan pula hidup dalam kemewahan dan kebahagiaan tetapi tidak dimaklumi dia hanyalah anak angkat Tan Sri Badrol. Rahsia ini hanya Puan Latifah, Puan Sri Sharifah dan Arissa saja yang tahu setelah Hamzah meninggal dunia.

Arissa yang jatuh cinta dengan Megat Rafiqin terpaksa menolak lamarannya kerana tidak mahu rahsia ini terbongkar. Wali adalah penting dalam penikahannya sedangkan wali yang sebenar tidak tahu dia mempunyai seorang anak perempuan. Arissa terpaksa berkorban demi orang lain sedangkan jiwanya sudah terseksa setelah berpisah dengan Megat Rafiqin yang membawa hati ke negara Dubai.




Jatuh Cinta Lagi
Hanny Syazwany
RM 19.90
ISBN: 978-967-5489-15-0
~602 hlm

Tarikh Terbit: 25 Feb 2010


Sinopsis

Percintaan membawa sejuta kebahagiaan tetapi percintaan juga membawa kepada derita dan penantian. Wishal Halifi merupakan seorang yang periang dan nakal telah jatuh cinta pada gadis yang sentiasa disakatnya di sekolah iaitu G-Na namun panas yang disangka hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari. Hubungan persahabatan mereka terputus di tengah jalan gara-gara orang ketiga.

Wishal kecewa sehingga membawa dirinya ke Amerika namun dia kembali semula ke Malaysia dengan karakter yang berubah dingin tidak ceria seperti dahulu. Pertemuan pertama membuatkan Rozy ingin meraih perhatian pemuda itu namun segalanya sia-sia kerana kenangan silam membuatkan Wishal memusuhi insan yang bernama perempuan.

Kehadiran gadis bernama Shayna Carmilla yang bekerja di syarikatnya membuatkan hari-hari yang dilalui Wishal berubah menjadi memori indah. Pada mulanya dia tidak menyedari hakikat bahawa dia telah jatuh cinta namun setelah tiga bulan bersama gadis itu barulah dia akui yang dia sudah jatuh cinta lagi. Hal itu membuatkan Rozy menyimpan dendam.