Showing posts with label Azra Aryriesa. Show all posts
Showing posts with label Azra Aryriesa. Show all posts

Sunday, October 23

Trionovel November - Buku Prima


Bersatu Dalam Cinta
AZRA ARYRIESA
RM 25.90
ISBN: 978-967-0342-12-2
~688 hlm

Setelah kehilangan isteri tercinta, Isma bertemu dengan Damia yang merupakan sepupu kepada arwah isterinya. Raut wajah seiras Kamilia menyebabkan Isma terkenang pada arwah isterinya. Perbezaan sikap dan tingkah Damia berjaya memutikkan cinta Isma terhadap Damia dalam diam.

Sementara Wafi, seorang wanita pendiam pula telah membuatkan Faris, jiran sebelah rumahnya jatuh hati padanya. Namun huluran cintanya disambut dingin.

Manakala, mampukah perbalahan antara Ainul dan Alia pasangan suami isteri yang telah bercerai dipulihkan oleh keluarga mereka? Adakah akhirnya mereka mampu bersatu dalam cinta?




Kasih Tak Kesampaian
NIESYA HANIE
RM 19.90
ISBN: 978-967-0342-08-5
~448 hlm

Mak Timah terpaksa bekerja keras membesarkan lima orang anak yang masih kecil. Kerana kesempitan hidup, Encik Elias terpaksa keluar dari kampung untuk mencari pekerjaan. Setelah bertahun-tahun berlalu, Encik Elias muncul semula. Mak Timah diceraikan dan Encik Elias enggan mengakui Nazmi sebagai anak bongsunya.

Sebagai anak sulung, Normah terpaksa mengorbankan masa depannya demi keluarga. Berbekalkan kegigihan, Normah terus meniti kejayaan demi kejayaan. Cinta yang dibina bersama Izzudin terus segar di ingatan biarpun lelaki itu semakin jauh meninggalkannya. Kehadiran semula Encik Elias sedikit sebanyak mengganggu ketenteraman hidup mereka.

Dapatkah Normah dan adik-adiknya menerima kehadiran Encik Elias? Bagaimanakah reaksi adik bongsunya, Nazmi dan apakah kesudahan cinta Normah?



Kembali Padamu
ZULFATI HANIS
RM 18.90
ISBN: 978-967-0342-07-8
~416 hlm

Bukan kehendak Nora Adline menerima Hadzwan hadir dalam hidupnya. Tapi kerana kasih pada papa membuatkan Nora Adline terpaksa. Namun kehadiran Hadzwan tidak mampu diterima oleh hati Nora Adline ketika itu.

Malah kematian papa lebih membuatkan mereka terpisah jauh. Namun ketentuan takdir siapa yang tahu. Jika itulah jodoh kita, mana mungkin kita menolaknya. Itulah yang terjadi pada Nora Adline. Setelah berpisah selama beberapa tahun, cinta mulai berputik di hati Nora Adline buat Hadzwan yang masih setia dengan cintanya.

Tapi kemunculan Rifqy, Khairul Nizam, Azrie tidak lupa juga Qistina dan Aida Nadiah mengeruhkan kembali cinta yang mula berputik di hati Nora Adline dan Hadzwan. Kekangan daripada keluarga Hadzwan turut membuatkan hati dan perasaan Nora Adline terluka.

Mampukah Nora Adline dan Hadzwan mengharungi semua dugaan dan rintangan itu demi menggapai sebuah cinta?

Sunday, November 28

Akan datang daripada Buku Prima



Tajuk : Setiaku Di Sini
Penulis : AZRA ARYRIESA
Harga : RM 25.90
ISBN: 978-967-0184-03-6
~624 hlm

Hadirnya Dhia Maihani hanya untuk membahagiakan hati-hati insan yang disayanginya. Malah rasa hatinya dipendam lantaran sedar, dia tidak mampu untuk membalas rasa cinta itu kerana hayatnya sudah ditentukan waktunya. Namun begitu, dia berusaha menyatukan Farhan insan yang dicintainya bersama Mahfuzah, wanita yang mendambakan kasih Farhan. Apakah yang terjadi pada Dhia yang berkorban kasih dan bagaimana pula penerimaan Farhan apabila mengetahui keadaan Dhia yang sebenar? Ikuti untaian kasih Dhia dalam Setiaku Di Sini.

Tajuk : Tika Cinta Berpaling
Penulis : ZULAILA ZAKARIA
Harga : RM 19.90
ISBN: 978-967-0184-05-0
Halaman : ~512 hlm

Malaikha percaya bahawa cita dan cinta akan bersatu dalam melayari perjalanan hidupnya di kemudian hari. Ibunya tidak merestui hubungan yang terjalin antara dia dan Daniel Chan kerana ingin bermenantukan Doktor Noah Najman. Demi melihat ibunya bahagia, Malaikha rela mengahwini Doktor Noah Najman. Malangnya hati dan diri tidak dapat menerima kehadiran lelaki itu dalam hidupnya. Akhirnya perkahwinannya terlerai, lalu dia membawa diri jauh dari keluarga. Setelah enam tahun, Malaikha kembali semula. Namun, sekali lagi dia terpaksa menghadapi konflik hati. Memilih lelaki yang pernah dia kahwini atau lelaki yang pernah bertakhta di puncak hati?.

Tajuk : Fantasi Cintaku
Penulis : FATINILAM SARI AHMAD
Harga : RM 19.90
ISBN: 978-967-5489-98-3
Halaman : 496 hlm

Percintaan antara Riya dan Alam tidak mungkin akan jadi nyata. Riya seorang manusia biasa dan Megat Dewa Alam, manusia vampira yang hidup hanya pada waktu malam. Demi kelangsungan hidup insan yang disayangi mereka harus berkorban, Pengorbanan itu bukanlah sesuatu yang mudah, memusnahkan sebuah jiwa yang penuh dengan rasa cinta dan kasih sayang.Apakah mungkin Riya akan kembali menikmati cinta sejati setelah Alam meninggalkannya.


Tajuk : Andai ku bermimpi
Harga: RM 19.90
Halaman: 480
Penulis: Mastura Abdullah
ISBN: 978-967-5489-96-9

Sinopsis: Idayu mencari dirinya yang hilang bersama dengan kesamaran jalan yang dilaluinya. Ketika jatuh, dia terlihat sejalur cahaya yang diyakini dapat membantunya meneruskan perjalanan hidup. Sedikit demi sedikit dia cuba bangun dari kepayahan dan apabila berjaya menemui dirinya kembali, jalur cahaya itu menghilang dengan tiba-tiba. Begitulah yang terjadi dalam hidup Idayu. Setelah kehilangan sahabat sejatinya, Nora Hashima, Idayu bagai mencari dirinya sendiri. Tuah menyebelahi dirinya apabila dia bertemu dengan Danish Ifwat. Hanya lelaki itu yang mempercayainya dan berbekalkan sedikit kepercayaan, dia mengharungi segala cabaran. Berbahagiakah mereka di akhir cerita atau derita itu sentiasa mengejarnya hingga ke titik penamat?


Tajuk : Hingga ke Akhirnya
Penulis : Siti Nur Dhuha
Harga : RM 25.90
ISBN: 978-967-0184-08-1
Halaman : 720 hlm

Mimi Atia gagal menerima Tengku Khuzairi sebagai suami kerana masih dihantui kenangan lalu. Tengku Khuzairi berubah, dia tidak lagi berperangai seperti dahulu. Namun, Mimi Atia telah menetapkan batas-batas pergaulan di antara dirinya dengan Tengku Khuzairi malah lelaki itu tidak diperlakukan selayaknya sebagai suami. Perkahwinan Mimi Atia dan Tengku Khuzairi telah memalitkan duka di hati Raja Isyirah, iaitu adik kepada Raja Irwan. Raja Isyirah nekad ingin menghapuskan mereka. Lalu, Tengku Khuzairi dan Mimi Atia diculik dalam suatu serangan yang dirancang oleh Raja Isyirah. Adakah insiden selanjutnya lebih teruk menimpa Mimi Atia?


Wednesday, November 4

Novel Terbaru BP - Semilir Cinta, Kejoraku Bersatu & Ku Berserah


Semilir Cinta
Qismina Quraisyya
RM18.90
ISBN: 978-967-5234-85-9
544hlm
Tarikh Terbit: 15 Nov 2009

Mengisahkan pergolakan jiwa seorang gadis bernama Maryam selepas diselamatkan oleh Delaila, tuan punya sebuah kelab hiburan. Atas budi baik Delaila, Maryam diterima bekerja sebagai pembantu rumah dengan keluarga tersebut. Suatu hari, Maryam mengenali Akbar, adik ipar Delaila. Maryam mengesyaki Akbar lah lelaki yang memperkosanya pada malam tersebut. Keadaan menjadi sukar apabila tunang Akbar, Tihani melarikan diri pada malam pernikahan dan ini membuatkan Delaila meminta jasa baik Maryam, bagi menggantikan tempat Tihani dengan sejumlah bayaran wang. Maryam terpaksa menerima memandangkan dia memerlukan wang. Perkahwinan tersebut menjadi masalah pada Maryam kerana Akbar mahu mengekalkan perkahwinan mereka sedangkan Maryam tidak bersedia menjadi seorang isteri. Dapatkah Maryam memegang tanggung jawab sebagai seorang isteri? Adakah perkahwinan Maryam dan Akbar menjadi bahagia sedangkan mereka masih lagi bergelumang dengan dosa?






KU BERSERAH
UMMI ARIZA
RM 17.90
ISBN: 978-967-5234-85-9
464 hlm


Tarikh Terbit: 14 Okt 2009


Perkahwinan yang dirancang oleh keluarga bukanlah sesuatu yang mudah diterima oleh Safiyah dan Fahrin. Berat hati menerima keputusan keluarga namun atas desakan dan tidak mahu menyakiti hati keluarga, mereka bersetuju menerimanya. Safiyah berasa amat tertekan dengan kemahuan keluarganya . Amylia, kekasih Fahrin adalah satu-satunya wanita yang diimpikan menjadi suri hidupnya terpaksa berkorban dengan membenarkannya berkahwin walaupun tidak merelakannya.



KEJORAKU BERSATU
AZRA ARYRIESA
RM 19.90
ISBN: 978-967-5234-89-7
656 hlm



Tarikh Terbit: 1 Nov 2009

Nina, seorang gadis bersikap kasar seperti lelaki dan mempunyai bengkel kenderaannya sendiri. Nina mencintai Datuk Rashdan, seorang ahli perniagaan yang berjaya dan jauh lebih tua dari ayahnya sendiri. Bagi Nina, cintanya terhadap Datuk Rashdan takkan mampu digugah oleh sesiapa pun.

Tengku Anuar, seorang pemuda yang bekerja di luar negara merupakan anak kepada Tengku Adnan, sahabat baik kepada Datuk Nasir, ayah Nina. Pertemuan pertamanya dengan Nina telah menerbitkan rasa cintanya terhadap gadis itu. Dalam diam, Tengku Anuar menyimpan hasrat untuk mengahwini Nina.

Kemalangan jalan raya yang berlaku pada Datuk Nasir dan Shahrul telah menyebabkan Nina terpaksa mengambil alih tugas ayah dan abangnya di syarikat keluarga mereka. Sekaligus merapatkan hubungannya dengan Tengku Anuar hingga menimbulkan harapan pada kedua-dua buah keluarga untuk menyatukan mereka. Datuk Rashdan kematian isteri dan anak perempuan tunggalnya suatu masa dulu menganggap Nina seperti anaknya sendiri dan ingin menjadikan Nina sebagai anak angkatnya.

Masih kekalkah cinta Nina pada Datuk Rashdan?

Thursday, March 19

Cinta Sejati



TAJUK BUKU : CINTA SEJATI
PENULIS : AZRA ARYRIESA
PENERBIT : BUKU PRIMA SDN BHD
HARGA : RM16.90
CETAKAN PERTAMA : 2009
GENRE : DRAMA & ROMANTIK
BINTANG : 4


-------------------------------------------------------

“ cinta sejati adalah cinta yang hanya hadir sekali seumur hidup. Cinta sejati itu datang dari hati yang ikhlas dan suci. Ianya lahir tanpa dipaksa-paksa. Dan cinta itu akan kekal utuh selama-lamanya biar apa jua yang berlaku…”

Apa Kata Saya

Saya melihat Cinta Sejati (CS) sebagai sebuah persembahan yang cukup baik dari seorang penulis yang baru pertama kali saya tatapi karyanya. Menerusi ruang kacamatanya yang cukup berseni, beliau mencoretkan falsafah cinta dari sudut pandangan peribadinya yang kemudian diterjemahkan menerusi watak-watak yang dicipta dalam naskhah sulungnya ini.

Tema cinta sudah acapkali kita temui dan bukanlah baru di mata para penggemar novel tempatan namun istimewanya CS di tangan Azra Aryriesa adalah cara penulis ini melontarkan ideanya dengan kaedah persembahan keseluruhan cerita yang cukup menarik dengan laras bahasa yang indah dan estetika sekali lenggoknya yang ternyata cukup merencahkan cerita ini hingga kita terbuai tanpa menyedari kita sudah sampai ke penghujung cerita.

Latar cerita yang menggunakan 2 lokasi sebagai latar cerita nampak sangat menarik. Dubai dan Melaka menjadi perantaraan penulis mencoretkan kisah manusia-manusia yang terperangkap dengan perasaan yang gagal diluah kesan dari pengalaman silam, tekanan sekeliling juga pengaruh dalaman diri mereka sendiri yang menjejaskan kemampuan untuk membuat keputusan.

Watak dan perwatakan seringkali menjadi kunci kehebatan sesebuah cerita. Jatuh bangun sebuah kisah banyak bergantung kepada keberkesanan mereka menerajui cerita. Dr. Zarif, Zara, Tengku Yashmaan, Mia Maisarah, adalah penggerak utama CS dan watak mereka sangat berjaya persembahkan sang penulis ini. 4 wajah, 4 kisah yang berbeza tapi terkait antara satu sama lain. Tidak ketinggalan Intan, Iskandar juga Laila dan Anas yang membantu mewarnai lagi catatan falsafah cinta dalam naratif sang penulis ini. Zarif dan Zara pasangan suami isteri yang berkahwin atas permintaan keluarga demi keeratan hubungan dua keluarga. Ketidakpastian tentang perasaan masing-masing kerana tidak merasakan wujud rasa cinta antara mereka mendorong mereka membuat perjanjian berpisah demi memahami perasaan terhadap satu sama lain. Yashmaan yang dihimpit rasa kesal dan bersalah terhadap dosa pada Mia tidak berupaya memadam ingatan pada gadis yang pernah dirosakkannya biarpun menyedari Mia tidak akan mampu dimiliki lagi kerana telah menjadi milik orang lain. 7 tahun menjadi simbol pengesahan perasaan antara mereka ber empat. Dan takdir membawa mereka bersatu semula… atas dasar cinta. Saya amat menyukai watak Dr Zarif yang begitu dalam rasa cinta dan kasih pada sang isteri yang akhirnya menjadikan dia seorang yang berani untuk berterus terang tentang rasa cinta itu. Cinta yang sekian lama cuba dinafikan, tapi kuasa-Nya yang menganugerahkan rasa itu tidak akan mampu disingkirkan oleh kita manusia.

Plot cerita berkembang dengan cukup tersusun, segar biarpun tidak berkonsepkan kronologi. Saya sangat sukakan persembahan plot CS ini. Ia dibina untuk mengujakan pembaca agar berada dalam situasi yang tidak sabar untuk mengetahui kisah seterusnya tanpa sedikitpun menjejaskan tumpuan pembacaan. Plot diteliti dengan sebaik mungkin dengan mengambil kira mood dan sensitiviti pembaca.

Mesej CS ini cukup jelas. Hargai sesuatu itu bila ia masih di depan mata, kala terlepas, hanya takdir yang menentukan samada ia akan kembali kita miliki atau tidak. Setiap apa yang tersurat ada hikmahnya. Yang kita fikirkan baik, tidak semestinya baik buat kita, begitu juga sebaliknya. Hanya Dia yang maha mengetahui.

Buat Azra Aryriesa...anda cukup berbakat dan bagus sekali..tahniah diatas kecemerlangan anda melayarkan falsafah cinta anda menerusi Cinta Sejati dengan cukup berkesan sekali...semoga akan terus cemerlang berkarya di masa hadapan.

Buat rakan pembaca di luar sana...falsafah cinta dalam naskhah ini cukup menarik untuk dihayati. Banyak yang dapat anda kutip disepanjang kisah ini, memilikinya tidak akan sia-sia kerana ia cukup bagus dan berhak berada dikelompok karya-karya berstatus 4 Bintang anda yang lain.