Showing posts with label Iman Xara. Show all posts
Showing posts with label Iman Xara. Show all posts

Wednesday, March 28

Cari-cari Buku Jemari Seni :)

gambar-gambar dari google-ing blog publisher, penulis, mph dan lain-lain :) terima kasih semua :)



Mr. Right buat Ann
Penulis: Ruby Hazri
ISBN: 978-967-5118-84-5
Harga: RM20.00 (Sem. Malaysia)/RM23.00 (Sabah/Sarawak)
Pesanan Online: Diskaun 20% - mulai 9 April 2012


“Aku janji Ann, insya-Allah umur tiga puluh nanti kita berumah tangga. Okey.”

Usia Ann sudah mencecah 31 tahun, tapi masih bujang. Adiknya pun sudah punya dua orang anak. Orang keliling dah mula bising. Masalahnya, Ann masih belum jumpa Mr Rightnya, meskipun banyak calon yang menunggu borang permohonan mereka diluluskan.

Calon-calonnya ialah:

A.Hanif – Cinta hati Ann sejak zaman belajar lagi, tapi asyik sibuk dengan kerjayanya di Dubai sana, sehingga Ann terkapai-kapai sendirian.
B.Khairil – Kenalan sepupunya yang berkarisma. Duda, tapi kacak dan bergaya.
C.Desmond – Senior sepejabat yang tak habis-habis membulinya.
D.Tuan Haji Kamil – Duda anak tiga yang sudah berusia.
E.Arman Faiz – Lelaki yang dikenali secara tak sengaja, sering terserempak di mana-mana.
Antara semua calon ini, yang manakah Mr Right buat Ann agaknya? Akan berakhirkah pencarian Ann, atau dia masih perlu mencari calon yang lain?

Kadangkala kamu tidak menghargai orang yang mencintai kamu sepenuh hati,
sehingga kamu kehilangannya.
------------------



Seadanya Kamu
Penulis: Iman Xara
ISBN: 978-967-5118-80-7
Harga: RM20.00 (Sem. Malaysia)/RM23.00 (Sabah/Sarawak)
Pesanan Online: Diskaun 20% - mulai 9 April 2012


Segunung debu pun, andai jatuh di kelopakmu, tetap dapat kucium harummu.

Julia, si gadis manis yang sentiasa mencuri perhatian Wafiy. Namun Julia tidak mahu rasa cinta mengaburinya. Lalu, huluran cinta Wafiy dibiar sepi. Baginya, biarlah dia mencapai cita-citanya dahulu.

Dek kerana dendam seorang teman, hidup Julia tercalit sejarah hitam. Dia hilang arah. Lalu, Julia meninggalkan segala-galanya termasuk Wafiy tanpa sebarang kata. Dia ingin melupakan semua itu.

Di tempat baharu ini, Julia mengenali hati seorang Firas. Tapi, hatinya cukup takut untuk diharap dan mengharap. Malah, mawar putih pemberian Wafiy itu seolah-olah mengikat hatinya daripada menerima cinta yang lain.


Pilihan diberikan kepadanya oleh Firas, sama ada kurung biru itu dipakai atau dikembalikan ke pangkuan keluarganya. Apa yang harus dipilih? Haruskah dia memberi harapan kepada Firas? Atau dia perlu terus meneguhkan hatinya untuk Wafiy? Dan, dapatkah mereka menerima memori hitamnya dahulu?

***

IMAN XARA menulis dengan bahasa dan susunan kata yang cantik untuk menelusuri kisah Julia dalam menempuh dugaan hidup dengan tinta yang berbeza dalam Seadanya Kamu.


-------------------------

Bawah Pohon Sena
Penulis: Nisyah
ISBN: 978-967-5118-82-1
Harga: RM20.00 (Sem. Malaysia)/RM23.00 (Sabah/Sarawak)
Pesanan Online: Diskaun 20% - mulai 5 Mac 2012


Kata mama, cinta itu pelik. Cinta akan hadir tanpa kita duga.

Memang betullah cinta itu pelik. Cinta takkan pernah hadir jika tiada izin daripada-Nya.


Tiga tahun Lili cuba membina istana kasihnya bersama Harith, namun takdir menentukan sebaliknya. Lantas dia pergi mengundurkan diri mencari tenang di lorong belakang Pasar Seni. Di situ dia bertemu dengan Gibran, si pemuzik jalanan yang mengubat hatinya dengan Ghazal Asmara.


Hati Lili baru sahaja ingin sembuh dengan kehadiran Gibran. Namun dia diuji lagi dengan permintaan Suraya untuk menjadi ibu kepada Puteri Diyana. Dia rela atas dasar simpatinya pada seorang teman. Lalu Gibran ditinggalkannya tanpa sebarang ucapan.


Gibran, ibaratkanlah dia seperti bumerang...

Tapi, kalau dia jadi bumerang sesat?


Harith cuba untuk meraih kembali cinta Lili namun hati Lili telah dibawa jauh ke Norway. Benarkah dia akan menemukan impiannya di sana? Atau bahagia itu menantinya di sini.


***

Kini NISYAH membuai perasaan kita dengan bahasa yang indah dalam melakar cinta bersama mereka di Bawah Pohon Sena.
-------------------------


Dapur Wawa .
Penulis: Ika Madera
ISBN: 978-967-5118-81-4
Harga: RM18.00 (Sem. Malaysia)/RM21.00 (Sabah/Sarawak)
Pesanan Online: Diskaun 20% - mulai 5 Mac 2012


Semua orang suruh kahwin dan Wawa tidak pernah peduli. Wawa sudah penat bercinta, mencari, mengejar dan lebih suka bercinta dengan buku sahaja. Hinggalah bonda dan Kak Pah serahkan padanya fail ‘Encik Abu’.

“Apa ni?” Fail biru dengan kod 100789 terletak di hadapan Wawa.
“Ini fail klien Kak Pah. Cuba Wawa lihat.” Jawab Kak Pah.


Dalam fail itu, tertera biodata bujang trang tang tang ‘Encik Abu’ Abdullah, yang bonda yakin sangat-sangat, secocok dengan Wawa. Haah? Drebar mahu dicalonkan dengan Wawa, pekerja kelas atasan? Hesy, bonda! Tak sesuai langsung!

Tapi, jodoh itu di tangan Tuhan. Biarpun pada mulanya Wawa menolak, ternyata ‘Encik Abu’ itu jodohnya. Masalahnya, Wawa ni jarang sekali masuk ke dapur! Nanti nak kasi anak lelaki orang tu makan apa?

Maka berpencaklah Wawa di dapur, belajar memasak; belajar mengemudi kehidupan baharu; belajar menyesuaikan diri dengan kejutan-kejutan dalam hidup baharunya.

****

IKA MADERA, penulis dari Kota Singa ini kembali memaparkan kisah kehidupan yang penuh suka-duka. Dapur Wawa diadun dengan cukup rencah dan perasa oleh penulisnya, berserta resipi-resipi yang membuka selera!
-------


Si Mangkuk Tingkat
Penulis: Faziela
ISBN: 978-967-5118-78-4
Harga: RM20.00 (Sem. Malaysia)/RM23.00 (Sabah/Sarawak)
Pesanan Online: Diskaun 20% - mulai 13 Feb. 2012


Seandai dirinya tercipta untukku, rela kumenjadi miliknya.


Impiannya satu dalam seribu.

“Nampak tak apa yang aku nampak, ni?”
Huh?
“Budak perempuan tu.”
“Yang tadi? Jadi?”
“Dia pakai baju kurung la.”
Eh, haah la!
“Benda yang aku cakap tadi bukan mustahil kan?”
Senyap.
“Kau nampak benda yang dia bawa tadi?”
Geleng.
“Mangkuk tingkat.”


Sejak dari itu, hatinya sudah terpaut pada Si Mangkuk Tingkat. Namun, pertemuan kedua mereka tak seindah yang diimpikan.


Sreeeeet!
Malaun mana nak mati melintas jalan macam rombongan orang kahwin ni???
“Cik adik manis, tak tahu lintas jalan ke?”
“Encik ni tak tahu bawa kereta ke? Ni dapat lesen terbang ke?” Suaranya memetir.
“Cik, lain kali kalau nak melintas, buat cara melintas. Bukan macam rombongan kahwin Cik Kiah.”


Takdir menemukan mereka atas jodoh keluarga. Apabila hati mula menerima, ada saja yang cemburu dan dengki menyelit di tengah kehidupan mereka.


Andai takdir Allah tertulis jodohmu itu dia, datanglah seribu orang sekalipun merebutnya, dia akan tetap menjadi milikmu.

+++

FAZIELA senang bercerita tentang kisah si juruterbang ini. Maklumlah, inilah impiannya dahulu. Pelajar tahun akhir jurusan Sains Gunaan ini menulis dengan bahasa yang santai dan membuat kita senyum, menangis dan ketawa hingga ke akhirnya.
---------------------


Jula Juli Bintang Tujuh
Penulis: Adileah
ISBN: 978-967-5118-79-1
Harga: RM20.00 (Sem. Malaysia)/RM23.00 (Sabah/Sarawak)
Pesanan Online: Diskaun 20% - mulai 13 Feb. 2012

Jadilah seperti pasir yang hanya sebutir. Kecil, halus dan tenggelam hingga ke dasar. Tetapi pasir yang hanya sebutir ini tidak akan pernah hancur.

Kehidupannya penuh dengan kegembiraan. Impiannya untuk menjadi dayang di istana juga kesampaian apabila dia berjaya menempatkan diri di Kediaman Aris. Namun kehidupan di istana bukanlah semudah dan seindah yang diimpikannya. Entah kenapa, ada sahaja yang tidak kena.


“Hei, jaga-jaga!”

Prang!!!

“Alamak mati aku!”

“Awak ni buat kerja ke berkhayal?”

“Maaf encik, tuan, datuk, tengku.”

“Tuan Ilham.”


Pada Ilham, dia tidak layak bekerja di Istana Seri Gemilang. Gadis itu minah kelam-kabut. Namun, setiap kali dia ingin memarahi Suria, seperti ada sesuatu pada Suria yang membuatkan dia tidak boleh hendak marah. Dia lain daripada gadis-gadis yang lain. Tanpa sedar, matanya sentiasa mengekori langkah Suria. Seolah-olah Suria itu adalah tanggungjawabnya.


Setelah kematian kedua-dua ibu bapanya, Suria seakan dikejar oleh sesuatu. Malah dia hampir-hampir dibunuh. Apa yang mereka inginkan? Dia bukanlah anak jutawan yang ditinggalkan harta yang berkoyan-koyan.


+++

ADELIAH menghadiahkan Jula Juli Bintang Tujuh kepada anda sebagai teman kala kepayahan. Ayuh melangkah ke ‘istana’ dan sokonglah Suria kala hatinya keseorangan di situ.

----------------------


Lukisan untuk E-ah .
Penulis: Aryusz
ISBN: 978-967-5118-77-7
Harga: RM20.00 (Sem. Malaysia)/RM23.00 (Sabah/Sarawak)
Pesanan Online: Diskaun 20% - mulai 18 Jan. 2011


Faiq: Akan kukejar bayanganmu selagi termampu!

Fathiah: Bengong! Gila! Itulah perkataan yang paling sesuai untuk Faiq tiga suku ni!


Faiq:

Akan kukejar bayanganmu selagi termampu!


“Hei, mamat tiga suku! Jaga sikit mulut kau tu ye. Cakap ikut sedap mulut kau aje.”


“Mestilah aku cakap ikut sedap mulut aku. Takkan nak ikut sedap mulut kau pula. Apa pun, aku pun belum rasa mulut kau lagi. Jadi, aku tak tahulah rasa sedap ke tidak.”


Fathiah:

Bengong! Gila! Itulah perkataan yang paling sesuai untuk Faiq tiga suku ni!


Pantang berjumpa, pasti akan tercetus perang mulut antara mereka berdua. Nurul Fathiah dan Faiq Ezwan kenal sejak bergelar siswa di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Segamat. Faiq suka buli Fathiah, dan Fathiah pula jenis yang tidak mahu mengalah. Tiba-tiba Faiq berubah laku. Kata teman-temannya, mungkin lelaki itu sudah jatuh cinta dengan diri Fathiah.


Selama ini segala yang dilakukan oleh Faiq dipandang serong oleh Fathiah. Baginya, cinta kampus tidak menjamin apa-apa. Apatah lagi Faiq pernah menggelarnya ‘pengkid’ satu ketika dulu. Namun begitu, segala ketentuan Ilahi tidak dapat dielakkan. Pertemuan selepas tamat belajar berlangsung secara tidak diduga. Dapatkah Fathiah membuang segala egonya untuk tunduk dan akur lagi kepada cinta seorang lelaki? Dan berjayakah Faiq meraih hati perempuan yang pernah dia hina dulu?


* * *

Lukisan untuk E-Ah, dilukis dengan cantik oleh ARYUSZ. Anak kelahiran Melaka ini membawa pembaca ke kehidupan kampus yang penuh cabaran dan kenangan indah suka duka.

-------------------

Ros Biru untuk Dia .
Penulis: Ijazati Habib
ISBN: 978-967-5118-76-0
Harga: RM20.00 (Sem. Malaysia)/RM23.00 (Sabah/Sarawak)
Pesanan Online: Diskaun 20%


Tanpa rela, Lyanna menjadi isteri Fakhrul. Daripada benci, Fakhrul jatuh cinta pada Lyanna. Demi cinta, Adam pasrah melepaskan Lyanna. Akan adakah bahagia untuk mereka bertiga?


Eh, ingat aku nak kahwin dengan kau? Aku nak kahwin dengan orang lain tau! Bukan kau. Perasan. Macam kau kacak sangat. ~ Lyanna

Suami? Ya, dia isteri aku. Tapi, sayang. Aku tak pandai menghargai. Aku buta. Sekarang baru aku nampak. Aku tak nak sia-siakan dia lagi. ~ Fakhrul

Adam tak nak tahu kenapa Lyanna berkahwin dengan orang lain. Yang Adam nak cuma Lyanna hidup bahagia. Adam tahu lelaki cacat macam Adam tak mampu nak berikan apa-apa. ~ Adam


Kehidupan bukanlah sesuatu yang boleh direncana. Kadang-kadang Allah temukan kita dengan orang yang kurang sifat penyayang, supaya kita sedar cinta hakiki hanya daripada Allah. Kadang-kadang Allah pisahkan kita dengan orang yang kita sayang, supaya kita belajar erti menghargai. Kadang-kadang Allah ambil apa yang kita sayang, supaya kita mengerti kepada-Nya kita akan kembali.

****

IJAZATI HABIB melakarkan perjalanan cinta Lyanna, Adam dan Fakhrul yang penuh emosi di samping mengenalkan kita ke dunia arkitek. Ros Biru untuk Dia buat kita memahami erti cinta sejati.

----------------------



MENCARI TAMAN DI HATI
Penulis: Aidah Bakri
ISBN: 978-967-5118-75-3
Harga: RM22.00 (Sem. Malaysia)/RM25.00 (Sabah/Sarawak)
Pesanan Online: Diskaun 20%

Aku menipu hatiku sendiri… benarkah?
Aku bahagia apabila dekat dengannya?

Kerana sepotong janji, Syuhada menjadi tunangan orang. Malangnya, lelaki itu ‘lari’ daripadanya. Lima tahun jugalah Syuhada terkapai-kapai dalam ikatan tiada makna; lalu Syuhada nekad memutuskan ikatan janjinya.


Lelaki yang tak kenal erti putus asa itu memang merimaskan. Tak faham-faham langsung orang tak suka. Tetapi jika benar tak suka, mengapa ada rasa lain yang bertunas dalam taman hati? ~ Syuhada

Redup sinar mata itu pernah mencuit hati. Kini, sinar mata yang sama masih mendatangkan getar yang hebat di hati. Tetapi, mengapa sinar itu sayu? Terlalu beratkah deritanya?~ Shahrul Riezman

Saat hati mula diulit bahagia, dia terheret ke perkahwinan tanpa rela. Mampukah kita mengecap bahagia, Syu?

Tertikam di sudut kecil sekeping hati… bukan salah sesiapa, cuma aturan takdir-Nya!


****

AIDAH BAKRI membawa kita menyelami hati Syuhada yang terperangkap oleh janjinya sendiri. Setiap orang berhak bahagia; kenapa tidak mahu Mencari Taman di Hati yang membawa kita ke puncak bahagia yang hakiki?

Thursday, April 22

Rumput Masih Hijau


Tajuk Buku :Rumput Masih Hijau
Penulis : Iman Xara
Penerbit : Jemari Seni Publishing
Harga : RM20.00
Cetakan Pertama : 2010
Genre: Romantik
Bintang : 4

------------------------------------------------------------
“dia hanya segumpal rumput yang hanyut di sungai, tersangkut sebentar di ranting kasih...”

Apa Kata Saya:

Akan patahkah hati saat cinta yang begitu didamba selama ini beralih arah. Pungguk yang disangka turut merindu rupanya mengejar bulan yang lain. Bulan yang lebih tinggi. Bulan yang lebih memahami. Rasa malu usah dihitung. Rasa sedih pilu sudah selaut. Kata pepatah takdir penentu segala. Kalau sudah jodoh tidak akan kemana. Hikayat cinta penyudahnya belum tentu manis sebagaimana yang terawang di mata, terbayang diminda. Inilah saya kira mesej yang ingin digambarkan penulis pada naskhah ketiga beliau ini.

Rumput Masih Hijau (RMH) melankolik yang menyusuri hidup seorang Wafa Rashdan; gadis yatim piatu yang bertugas sebagai pegawai analisis darah. Status diri menjadi punca pertunangan dengan teman sepengajian; Ikram kala di univertiti terputus. Keturunan diri dipertikai lalu terlerai sebuah ikatan. Mimpi ngeri ini menghantui sepanjang perjalanan hidupnya lalu diri jadi sangat takut dihampiri insan bergelar lelaki. Tidak mahu lagi duka lama tercarik kembali. Cukuplah sekali maruah diri dipijak sewenangnya tanpa mampu diri bangkit untuk menangkis. Dikuburkan rasa itu kejap-kejap. Namun siapalah diri mahu menolak takdir. Rasa itu menjelma kembali tanpa diundang. Naim hadir bersama si comel Nurul Asikin. Hati gadisnya terpaut. Sungguh-sungguh terpaut. Lirikan mata juga bahasa tubuh sang arjuna menyakinkan diri tangan tidak bertepuk sebelah. Lalu salam sang adam yang lain tidak diendah. Hatinya sudah bulat pada yang satu. Makin pasti saat lamaran dari ibu sang arjuna yang sangat menyukai dirinya datang ke riba. Padang rumput yang disangka tiada penghuni lalu menjemput dirinya datang mencemar duli rupanya hanya impian zahir semata. Bukan dirinya yang dinanti selama ini.

RMH, sebaris kata yang ditinta pada tajuk mengukir tema kisah cinta yang cukup melankolik. Meruntun perasaan. Lara hati yang dicipta penulis begitu menjadi. Saya sendiri terasa tempias pilu, malu dan duka jiwa Wafa. Kisah cinta yang nampak klise, tapi berpusing 360 darjah di penghujungnya. Kalau ditanya pedapat saya, tidak mahu penamat begini, lebih rela tragis Wafa dibiarkan sahaja, pasti akan diingati minda sampai bila-bila...tapi apalah daya, hidup mati naratif ditangan penulis penentunya.

Pergerakan plot RMH kronologi yang begitu linear persembahan naratifnya bijak ditangani penulis dengan begitu baik agar tumpuan pembaca tidak menjadi bosan. Dari satu bahagian ke bahagian yang lain, kesinambungan cerita nampak cukup kemas ditangani, disunting. Penggunaan laras bahasa mudah dengan sesekali sisipan elemen-elemen bahasa cantik cukup mewarnai naskhah ini.

Wafa Rashdan menguasai keseluruhan naratif dengan begitu baik sekali. Emosi gadis malang ditangani dengan begitu cemerlang oleh penulis. Keluh kesah, gelodak jiwa wanita, rasa yang membalut jiwa dikuasai dan dilayarkan dengan sebaiknya oleh penulis. Naim menguasai naratif dengan misteri dan kesenyapan tersendiri. Sang arjuna yang cukup memikat diawal tapi ternyata penulis cukup berjaya menimbulkan rasa benci yang melampau pada Naim kesan tindakannya pada Wafa. Saya sukakan watak Hajah Naimah. Keibuannya cukup mendamaikan jiwa. Wataknya dilukiskan dengan begitu indah sekali. Rasa kesal yang bermukim di jiwa, rasa bersalah yang menggunung di lubuk hati direalisasikan penulis sebaiknya. Pilu jiwa , malu dan bersalah yang bermukim di jiwanya bagai dapat saya selami. Humairah saya kira watak sampingan yang cantik dibina penulis. Jiwa wanitanya nan halus dipotretkan dengan begitu harmoni. Perwatakan kanak-kanak juga ditangani sebaiknya oleh penulis. Keletah Asikin begitu hidup dipenakan, keceriaannya nampak jelas dibayangan mata. Aisyah, Raihana adalah penambah perisa cerita. Safuan hadir dihujung pena sebagai pelengkap cerita.

Buat penulis, tahniah atas persembahan yang cukup menarik dalam naskhah terbaru anda ini. Semoga akan terus cemerlang menghasilkan karya-karya yang baik juga hebat di masa hadapan.

Thursday, February 18

Review: Rumput Masih Hijau by Iman Xara




Rumput Masih Hijau
Penulis: Iman Xara
Terbitan Jemari Seni
Cetakan Pertama 2010
isbn: 9789675118326
RM20.00
sabah/sarawak RM23.00
516 mukasurat


Last minit decision utk baca novel ni. So akibatnya, pukul 2 pagi baru aku tido. Dah la esok nya keja. TAk dak pasai cari pasai. haha.


Memang tak rugi aku berjaga habiskan buku ni. Nasib baik ending dia membuat aku tersenyum puas. hehe.


Dgn tajuk yg ada perkataan rumput dan cover yg ada gambar tumbuhan, skali tengok macam buku halaman pertanian lah pulak. Kalau terserempak kat rak kedai, memang gerenti aku tak sambar la buku nih. Nasib baik lah ianya keluaran publisher yg dlm senarai favourite aku.


TAk ada cerita cara2 nak tanam rumput sebagai tanaman tutup bumi atau rumput hiasan, ia cuma membayangkan harapan yg lebih baik sentiasa ada.


Permulaan cerita yg mungkin kita rasakan tipikal bg seorg gadis menaruh hati pada seorg lelaki yg segak berketrampilan serta baik hati. Cerita ini menyediakan arah tuju yg tidak tipikal. Membuat kita sama-sama memikirkan apa yg terbaik utk Wafa, siapa yg terbaik utk Wafa. Bagi saya, tiada sapa yg bersalah dalam kisah ini (ermm kecuali Ikram sekeluarga, hehe) semuanya permainan takdir yg menduga hati-hati insan yg terlibat dalam lingkungan takdir Wafa.


spoiler ahead: kalau tak nak tau mengenai jalan cerita kisah ini, boleh skip part bawah ni ya. kot2 la nak simpan suspen. ;)


Seorg ibu takkan pernah silap menafsir isi hati anak lelakinya, tetapi Naim sebenarnya menimbangkan apa yg lebih baik dan layak utk dirinya seorg duda beranak satu, tentulah yg sesuai dgnnya adalah janda beranak satu yg juga merupakan sahabat baik arwah isterinya. Dia cuba utk tidak pedulikan Wafa supaya rasa cinta tidak berbunga utk gadis itu. Saya amat senang hati dengan pilihan Naim walaupun itu tanpa sedar telah memalit malu pada Wafa yg sudah terlanjur menyatakan persetujuan pada ibu Naim yg pernah merisiknya.


Wafa memang seorg gadis yg sangat kuat mentalnya. Demi ibu Naim yg penyayang itu dia menghadirkan diri ke majlis perkahwinan mereka walaupun hatinya hancur luluh. Wafa ni anak yatim yg menumpang kasih seketika dgn ibu Naim dan anak Naim, Asyikin.


Separuh dari novel ini akan membuat air mata bercucuran. Ha tu dia ayat, 'bercucuran' tuuuu... Memang tangkap nangis lah mengenangkan Wafa yg anak yatim piatu, ditemani hati lara menempuh hidup. Pertemuan dgn Murni telah membawanya ke pangkuan pakciknya yg kaya raya. Walaupun kebetulan yang agak keterlaluan tapi ianya manis.


Watak Adam tu memang kelihatan sangat pemalu apabila bersama-sama dgn Wafa. Aisyah pun kata Adam tu pemalu sgt dgn perempuan, tapi aku tak nampak pulak sikap pemalu tu bila dengan Mona. Macam tak ada pulak sifat malu-malu kucen dia.


Hujung2 cerita yang bakal membongkar pilihan Wafa sama ada menerima tawaran menarik Humairah atau jejaka setia pilihan keluarga membuat aku jadi tak sabar nak perabih, i kinda hoping aku ada kemahiran membaca dan memahami setiap baris dengan sngat pantas. Kedua-dua pilihan yg terbentang di depannya adalah ending yg tidak tipikal utk sebuah novel :)

Wednesday, January 13

Rumput Masih Hijau - Iman Xara




Tajuk : Rumput Masih Hijau

Penulis : Iman Xara

Penerbit : Jemari Seni

Harga: RM20.00 (Sem. M'sia)/RM23.00 (Sabah/Sarawak)

Harga pembelian melalui pos: RM18.00 (mulai 25 Jan. 2010)


tidak pernah malam itu berpanjangan

tidak juga siang itu hadir tanpa penghujung


Satu demi satu lelaki yang dia kenal selepas Ikram tidak pernah diizinkan bertamu di hati, sehinggalah Naim menjadi ‘tawanan’ kalbunya. Sejak awal, kenapa tidak Adam Ashraf yang menjadi pilihan? Kenapa Doktor Safuan sentiasa dipandangnya sepi tanpa rasa? Bukankah mudah memilih yang masih bujang, daripada memilih ‘bekas’ orang? Apatah lagi untuk memikul tanggungjawab sebagai ‘ibu segera’!

Perempuan berhati konkrit ke dia, untuk tidak memahami kerlingan Safuan mahupun senyuman Adam. Kenapa hanya lelaki beranak satu itu yang dia suka?

Malu, kan sesudah berkata ‘ya’ pada pinangan ibu si dia, sedangkan si dia pandang sebelah mata kepadanya pun tidak. Tiada sesiapakah yang simpati pada perempuan yatim piatu sepertinya ini tatkala pilu melanda bertimpa-timpa?

Wafa, bukankah rumput itu hijau di mana-mana, kenapa harus memandang pada padang yang sudah dimiliki orang lain?

* * * *

Bacalah rahsia rasa sanubari Wafa daripada pena IMAN XARA dan tanya pada hati sendiri... benarkah Rumput Masih Hijau di mana-mana?



Friday, January 23

Tanya Pada Hati


Tajuk Buku :Tanya Pada Hati
Penulis : Iman Xara
Penerbit : Jemari Seni Publishing
Harga : RM20.00
Cetakan Pertama : 2009
Genre: Romantik
Bintang : 4


--------------------------------------------------------------
“bisakah kau berdiri tanpaku disisimu lagi?..
bisakah kau sendiri mengubati luka dihati?…

jika ditanyakan pada diri, masih mampu ia dinafi...
jika ditanyakan pada akal, masih mampu ia dibohongi...
tapi...jika ditanyakan pada hati,mampukah realiti disembunyi?.”


Apa Kata Saya:

Tanya Pada Hati(TPH); seindah tajuk yang diberi pada karya ini, secantik itu juga isi didalamnya. Jika dilihat pada tajuknya sahaja mungkin sudah cukup klise untuk pembaca meramalkan isi didalamnya. Saya juga tidak terkecuali.Kisah Cinta!...betul, ia memang kisah cinta..tapi kisah cinta yang bagaimana?, disinilah kelainan jalan cerita yang diangkat sang penulis ini untuk tatapan pembaca kerana ia tidak “seklise“ yang anda sangkakan.

Saya dimaklumkan bahawa penulis; Iman Xara sebelum ini pernah menghasilkan karya bersama Rhythm Publishing (Sepohon Rindu Terlerai) dengan nama pena Iyza Amyza. Saya tidak berpeluang menatap karya tersebut, namun menerusi TPH ia sudah cukup untuk pembaca menilai potensi yang ada pada penulis muda ini...sangat berbakat !

Aktifkan minda anda sebelum menyusuri kisah nan penuh mesej tersirat ini kerna ia memerlukan sekelumit kudrat untuk berfikir, tapi ini bukan bermakna ia sangat berat untuk dihadam minda pembaca kerna TPH sebenarnya perlukan anda sama-sama “berlakon“ untuk mengetahui jawapan pada persoalan hati yang menjadi fokus penceritaan. Dalam menangani sebuah naskhah yang baik seperti TPH ia bukan sahaja terletak pada betapa baiknya ia ditulis, sokongan elemen suntingan juga kerja-kerja “dibelakang tabir“, namun yang lebih utama adalah memberi kefahaman kepada pembaca dalam menghayati mesej serta nilai sebenar yang cuba ditonjolkan menerusi naskhah berkenaan menerusi jalan cerita dan kesinambungannya, susunan plot juga watak-watak yang dicipta.

TPH menyusuri perjalanan hidup insan-insan yang dihimpit permasalahan yang memerlukan jawapan dari dalam ..jawapan hati. Menerusi naskhah ini, penulis memaparkan dengan penuh emosi kemelut perasaan yang dialami oleh insan yang tidak berani berterus terang hanya kerna takut dengan satu kemungkinan yang akan mengheretnya dengan penyesalan seumur hidup. Kerna berpegang pada konsep teman yg baik susah dicari, lebih sukar ditinggalkan & mustahil untuk dilupakan selamanya, baik Farisya mahupun Fitri mereka berdua lebih rela membuang rasa hati demi kerna tidak mahu menggadai ikatan persahabatan yang terbina sekian lama...mereka berdua sebenarnya adalah antara lambang/contoh insan-insan yang takut dengan kemungkinan yang sebenarnya tidak akan memudaratkan jika ditangani dengan bijaksana.

Pergerakan naratif TPH yang tidak kronologi bijak ditangani penulis dengan begitu baik agar tumpuan pembaca tidak tersasar . Dari satu bahagian ke bahagian yang lain, kesinambungan cerita nampak cukup kemas ditangani, disunting..molek sekali.Penggunaan laras bahasa mudah dengan sesekali sisipan elemen-elemen bahasa cantik cukup mewarnai naskhah ini.

Perwatakan yang dibina di dalam TPH begitu seimbang antara Farisya dan Fitri Hidayat, tidak membayangi antara satu sama lain. Saya melihat pembinaan watak Idayu juga Shima bersesuaian dengan keadaan sosial masyarakat remaja masa kini yang sudah hilang jatidiri ,maruah dan pegangan agama..kerapuhan diri mempertahankan sifat-sifat ini akhirnya memakan diri sendiri!. Begitu juga watak Iskandar yang nampak sungguh tidak terduga sifatnya...namun inilah realiti yang cukup baik dipersembahan penulis buat semua...manusia, sama hitam rambutnya, hati tidak dapat kita tentukan warnanya.

Jodoh itu boleh hadir dalam pelbagai bentuk dan cara, yang penting fahami bahasa hati sendiri…kerna ia tidak mampu untuk menidakkan kebenaran.

Buat saudari Iman Xara, tahniah atas persembahan yang cukup menarik dalam Tanya Pada Hati. Ternyata anda punya bakat yang cukup besar untuk diekplotasi di dalam dunia penulisan kreatif tanahair. Semoga akan terus cemerlang menghasilkan karya-karya yang baik juga hebat di masa hadapan.

Buat anda pembaca jika anda tiada jawapan didalam menangani masalah hati, Tanya Pada Hati ada jawapannya…dan ia pasti tidak mengecewakan anda, selamat menghayatinya.

Wednesday, December 24

Akan Datang Dari Jemari Seni...Januari 2009

Tanya pada Hati oleh Iman Xara
kata orang jodoh pun kena dicari...
kata orang jodoh tertulis sukar sudah untuk dialih...
kata orang gadis yang menawan mudah saja menemui jodohnya...

Banyak betul kata orang. Inilah dilema seorang akauntan, Farisya Ibrahim. Kerjanya yang berdepan dengan angka-angka membuat dia terlupa pada ‘angkanya’ sendiri. Sedar-sedar umur sudah melangkah ke ambang 30-an!Lalu, kenapa pula dia harus berlengah waktu, bilamana pilihan sudah menunggu?

Farisya Ibrahim! Tidak pernah sekali pun dia pernah bercinta, apatah lagi untuk pernah putus cinta. Namun, kenapa pula hatinya sukar ditembusi? Sakit apakah ini? Apa yang menyukarkan dia memilih?

dia bukannya tidak cantik dia bukannya tidak menarik dia gadis periang yang sangat disenangi!

Jadi, kenapa hatinya harus dibiarkan terkatup tertutup?

Tanyalah pada hati... lalu apa jawabnya hati?

* * **
Tanya pada Hati, bukannya tulisan pertama IMAN XARA. Kematangan IMAN XARA terserlah pada keupayaannya membina watak utama yang mantap dalam novelnya ini.

++++++
ISBN: 978-967-5118-14-2
Harga: RM20.00
Harga pembelian melalui pos: RM18.00 (mulai 10 Januari 2009)



Notapipi:

hmm...tajuk yang cukup menangkap, sinopsis yang cantik olahan kata-katanya!...hadiah tahun baru yang cukup menarik dari Jemari Seni untuk semua peminat novel melayu, jadi...jom jom lah kita tit tit kaksu n kak yah...psst kaksu n kak yah...me in da list k..hikhikhik