Thursday, April 22
Rumput Masih Hijau
Tajuk Buku :Rumput Masih Hijau
Penulis : Iman Xara
Penerbit : Jemari Seni Publishing
Harga : RM20.00
Cetakan Pertama : 2010
Genre: Romantik
Bintang : 4
------------------------------------------------------------
“dia hanya segumpal rumput yang hanyut di sungai, tersangkut sebentar di ranting kasih...”
Apa Kata Saya:
Akan patahkah hati saat cinta yang begitu didamba selama ini beralih arah. Pungguk yang disangka turut merindu rupanya mengejar bulan yang lain. Bulan yang lebih tinggi. Bulan yang lebih memahami. Rasa malu usah dihitung. Rasa sedih pilu sudah selaut. Kata pepatah takdir penentu segala. Kalau sudah jodoh tidak akan kemana. Hikayat cinta penyudahnya belum tentu manis sebagaimana yang terawang di mata, terbayang diminda. Inilah saya kira mesej yang ingin digambarkan penulis pada naskhah ketiga beliau ini.
Rumput Masih Hijau (RMH) melankolik yang menyusuri hidup seorang Wafa Rashdan; gadis yatim piatu yang bertugas sebagai pegawai analisis darah. Status diri menjadi punca pertunangan dengan teman sepengajian; Ikram kala di univertiti terputus. Keturunan diri dipertikai lalu terlerai sebuah ikatan. Mimpi ngeri ini menghantui sepanjang perjalanan hidupnya lalu diri jadi sangat takut dihampiri insan bergelar lelaki. Tidak mahu lagi duka lama tercarik kembali. Cukuplah sekali maruah diri dipijak sewenangnya tanpa mampu diri bangkit untuk menangkis. Dikuburkan rasa itu kejap-kejap. Namun siapalah diri mahu menolak takdir. Rasa itu menjelma kembali tanpa diundang. Naim hadir bersama si comel Nurul Asikin. Hati gadisnya terpaut. Sungguh-sungguh terpaut. Lirikan mata juga bahasa tubuh sang arjuna menyakinkan diri tangan tidak bertepuk sebelah. Lalu salam sang adam yang lain tidak diendah. Hatinya sudah bulat pada yang satu. Makin pasti saat lamaran dari ibu sang arjuna yang sangat menyukai dirinya datang ke riba. Padang rumput yang disangka tiada penghuni lalu menjemput dirinya datang mencemar duli rupanya hanya impian zahir semata. Bukan dirinya yang dinanti selama ini.
RMH, sebaris kata yang ditinta pada tajuk mengukir tema kisah cinta yang cukup melankolik. Meruntun perasaan. Lara hati yang dicipta penulis begitu menjadi. Saya sendiri terasa tempias pilu, malu dan duka jiwa Wafa. Kisah cinta yang nampak klise, tapi berpusing 360 darjah di penghujungnya. Kalau ditanya pedapat saya, tidak mahu penamat begini, lebih rela tragis Wafa dibiarkan sahaja, pasti akan diingati minda sampai bila-bila...tapi apalah daya, hidup mati naratif ditangan penulis penentunya.
Pergerakan plot RMH kronologi yang begitu linear persembahan naratifnya bijak ditangani penulis dengan begitu baik agar tumpuan pembaca tidak menjadi bosan. Dari satu bahagian ke bahagian yang lain, kesinambungan cerita nampak cukup kemas ditangani, disunting. Penggunaan laras bahasa mudah dengan sesekali sisipan elemen-elemen bahasa cantik cukup mewarnai naskhah ini.
Wafa Rashdan menguasai keseluruhan naratif dengan begitu baik sekali. Emosi gadis malang ditangani dengan begitu cemerlang oleh penulis. Keluh kesah, gelodak jiwa wanita, rasa yang membalut jiwa dikuasai dan dilayarkan dengan sebaiknya oleh penulis. Naim menguasai naratif dengan misteri dan kesenyapan tersendiri. Sang arjuna yang cukup memikat diawal tapi ternyata penulis cukup berjaya menimbulkan rasa benci yang melampau pada Naim kesan tindakannya pada Wafa. Saya sukakan watak Hajah Naimah. Keibuannya cukup mendamaikan jiwa. Wataknya dilukiskan dengan begitu indah sekali. Rasa kesal yang bermukim di jiwa, rasa bersalah yang menggunung di lubuk hati direalisasikan penulis sebaiknya. Pilu jiwa , malu dan bersalah yang bermukim di jiwanya bagai dapat saya selami. Humairah saya kira watak sampingan yang cantik dibina penulis. Jiwa wanitanya nan halus dipotretkan dengan begitu harmoni. Perwatakan kanak-kanak juga ditangani sebaiknya oleh penulis. Keletah Asikin begitu hidup dipenakan, keceriaannya nampak jelas dibayangan mata. Aisyah, Raihana adalah penambah perisa cerita. Safuan hadir dihujung pena sebagai pelengkap cerita.
Buat penulis, tahniah atas persembahan yang cukup menarik dalam naskhah terbaru anda ini. Semoga akan terus cemerlang menghasilkan karya-karya yang baik juga hebat di masa hadapan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
3 comments:
kucc cun la ending dia, takmo la sad ending. huhu.
rasa nak baca lagi skali. tapi kang nangih pulok.
RMH sebuah cite yg cukup menarik ...tahniah utk Iman Xara, semoga akan terus berkarya dan menghasilkan cite2 yg ada umphhhhh
p/s tp ending dia mmg rasa terkilan, lg suka klu naim ngan wafa....klu ada part2 bagi lah naim ngan wafa....huhuhu
Rinn - aku rasa sad ending untuk buku ni is the best...tragis wafa tu biar hang ja...cunnnn gilerr la beb!, hehehe...(sakit hati aku kt Naim tak hilang lg ni taw...mau ja aku lenyek dia..cekodok pisang punya mamat!)
Kak Ju'a - cun2 kak..ahaaks
Post a Comment