Showing posts with label Julai 2009. Show all posts
Showing posts with label Julai 2009. Show all posts

Tuesday, July 28

Bintang-Bintang ke Syurga


Tajuk Buku : Bintang-Bintang ke Syurga
Penulis : Xarine
Penerbit : Jemari Seni Publishing
Harga : RM19.00
Cetakan Pertama : 2009
Genre: Kehidupan
Bintang : 4


----------------------------------------------------------
"Cinta itu letaknya di dalam dada, semaraknya di hati…bukan di hujung bibir untuk jadi bahan jajaan merata-rata… "

Apa Kata Saya:


Kata penulis ini adalah perutusan cinta. Cinta dari kacamata seorang lelaki. Cinta yang penuh simbolik, cinta nan tulus . Pencarian cinta dari lelaki yang berpegang pada falsafah cinta-Nya. Cinta yang penuh berkat. Ikutlah apa yang disarankan-Nya, nescaya Dia pasti akan mencintai kamu kerana cinta Allah itu cinta yang kekal abadi. Carilah cinta-Nya sebelum mencari cinta manusia kerana dengan mencintai-Nya sepenuh hati, nescaya cinta pada manusia akan lebih sempurna dan dirahmati.

Sebagai hamba Allah yang penuh yakin bahawa peta kehidupan ini bukan ditangan kita untuk ditentukan topografinya, adakala kita berdepan dengan cabaran juga dugaan, maka apa yang terdaya hanyalah redhalah dengan apa yang tertimpa, tingkatkan usaha dan doa moga dengan limpahan kurnia-Nya apa yang kita harap-harapkan tertunai kerna kegagalan hari Ini bererti pendorong, namun kejayaan semalam bukan bererti kemegahan, oleh itu gantungkanlah cita-cita setinggi-tinggi bintang di langit, dan rendahkanlah diri serendah-rendah rumput di bumi. Begitu sarat sekali falsafah kehidupan yang diterjemahkan oleh sang penulis muda ini didalam karya pertama beliau yang saya rasanya cukup tersirat tauladannya.

Bintang-Bintang ke Syurga (BBKS) merupakan naskhah sulung penulis muda yang cukup berbakat ini. Naskhah ini sedikit berlainan dari yang biasa kita tatap. Konsepnya bersifat nasihat dalam tiap kisah yang dipaparkan menerusi tiap rangkaian bab pada naskhah ini. Satu persembahan yang saya rasakan sangat baik kerana disetiap kisah yang dinukilkan pasti ada rasa yang cukup menggamit jiwa, ada antara kisah itu mencetus panggilan dalam hati yang bagai mengesa kita melihat diri di cermin…bagaimanakah diri kita, begitukah atau beginikah?, tepuk dada, tanyalah diri!

Struktur plot BBKS agak berlainan sedikit dari yang biasa kita temui digarap dengan mainan emosi nan sangat indah, penuh melankolik serta dramatik dari awal hinggalah ke penghujung cerita. Cantik paparan dari tiap bab lengkap dengan tajuknya sekali bagi memberi gambaran tentang isi kisah yang diungkai penulis, cantik dan cukup berseni sekali. Sedikit terdapat teknik imbasan kembali ditampilkan penulis kala menjelaskan kisah yang lalu demi memberi gambaran yang sejelasnya pada pembaca. Satu konsep persembahan plot cerita yang cukup menarik sekali dan disunting dengan cukup berhemah sekali. Kesinambungan kisah dari tiap bab bagaikan jalinan mutiara yang perlu cukup bilangan biji mutiara itu dalam mencorakkan bentuk akhirnya.

"Nafsu mengatakan wanita cantik atas dasar rupanya, akal mengatakan wanita cantik atas dasar ilmu dan kepandaiannya, dan hati mengatakan wanita cantik atas dasar akhlaknya". Inilah cabaran dan dugaan yang diharungi watak utama naskhah ini; Imran Mohamad didalam mengharungi kehidupan, didalam mengenal wanita dari perspektif yang tersirat. Perwatakan Imran cukup tulus di mata saya. Jujur dan penuh takzim orangnya. Saya sukakan watak Imran. Dia ikon lelaki yang sangat menarik. Maka tidak hairanlah dia jadi buruan para siswi tidak kira yang bertutup mahupun yang terdedah!. Imran dipotretkan tidak melihat dan menilai wanita secara zahir sahaja. Dia ada kayu pengukurnya yang tersendiri di dalam melihat wanita dari kacamata seorang Imran.


"Kecantikan yang abadi terletak pada keelokkan adab dan ketinggian ilmu seseorang, bukan terletak pada wajah dan pakaiannya." Inilah wajah yang ditemui Suzila, si ratu kampus @ Pelangi dalam diri Imran. Perwatakan si ratu kampus ini cukup menarik sekali digambarkan penulis. Dia yang terkenal dengan imej ala ala artis sewaktu di kampus seringkali mencetuskan tanggapan yang kelam dikalangan mahasisiwa yang dangkal mindanya. Sedari awal dia bagai si kunang-kunang yang tidak disedari kelipan cahayanya, namun hanya yang punya mata hati mampu melihat kejernihan hati dan kemurnian sifatnya yang cantik itu, seindah wajah yang memayungi dirinya dan Imran sudah melihatnya sedari awal. Perwatakan Suzila bagai cermin untuk kita tidak sesekali menilai insan lain hanya bersandaran penampilan luaran, kerana kita bukan siapa-siapa. Perwatakan Hamzah cukup comel sekali. Lucu sekali mendengar dialog Terengganunya. Dia sahabat yang sukar kita temui di dalam dunia realiti, mungkin satu dalam seribu. Nazira sedari awal terkeluar dari senarai watak kegemaran saya. Cukup menjengkelkan sekali gadis ini, tetapi memang ada manusia sebegini di luar sana. Saya sukakan watak pakcik Mat, ayah Imran. Dia ikon seorang ayah mithali yang tiada tandingannya. Cukup prihatin, tidak melatah penuh dengan sifat diplomasi.

Keindahan naskhah ini juga banyak didasarkan pada gaya bahasa yang mewarnai kisah ini. Sisipan elemen personifikasi, gambaran kehidupan yang penuh metafora , aluanan dialog bahasa yang adakalanya sangat puitis begitu mencantikkan naskhah ini. Cerita yang mengadunkan adegan-adegan kehidupan manusia yang dicipta secara terus, jujur bersesuaian dengan latar cerita yang memperlihatkan perjalanan kehidupan seorang anak kampung yang penuh onak ranjau didalam mendaki kejayaan dalam hidupnya. Satu paparan realiti kehidupan yang cukup menarik untuk diteladani.

BBKS memperkenalkan pembaca pada seorang Imran Mohamad pemuda kelahiran negeri Kelantan, graduan kejuruteraan dari USM yang diduga dengan kegagalan cinta pertama; Aisyah dan dalam masa yang sama berjuang menghadapi cabaran sekeliling bila gagal memperolehi pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusannya. Demi tidak menyusahkan ibu dan ayahnya, dia mengikut ayahnya ke Sungai Siput bekerja secara sambilan sebagai buruh di kilang papan. Kesukaran bekerja di kilang memberikan Imran gambaran betapa pengorbanan ayahnya selama ini membesarkan diri dan ahli keluarga yang lain mencetus semangat diri untuk membela nasib keluarga. Di kilang ini jugalah dia berkenalan dengan teman karib ayahnya; Pak Hab yang tanpa diduga menyukainya hingga dia cuba digandingkan dengan puteri Pak Hab; Nazira bakal guru yang masih menuntut di UPSI. Nazira secara luaran memang calon pilihan mertua, tapi tidak di dalam…banyak kepincangan sifat diri yang sedikit demi sedikit terserlah warna sebenarnya!.

Di sini juga didalam majlis ulangtahun yang dianjurkan kilang tempat dia bekerja dia dipertemukan semula dengan Suzila, si ratu kampus yang sama-sama belajar dengannya di USM. Suzila yang tanpa diduga Imran merupakan anak pemilik hotel tempat majlis itu berlangsung. Kerdil diri dirasakan saat berganding bersama si cantik jelita itu namun Suzila tidak sedikit terkesan dengan perbezaan tersebut. Jurang sosial antara dirinya dan Suzila bagai menyedarkan dirinya untuk tidak lena dengan anganan sendiri sedangkan tanpa dia ketahui si ratu kampus itu sudah lama memujanya dalam diam!. Berkat kesabaran , Imran berjaya memperolehi jawatan jurutera di sebuah kilang di Pulau Pinang dan hubungannya dengan Suzila kian mekar namun rintangan yang terpaksa ditempuh tidak sedikit malah hampir mengaibkan maruah diri Imran!

Dunia ini umpama lautan yang luas dan kita -kita ini umpama kapal yang sedang belayar dilautan tidak bertepi, telah ramai kapal karam didalamnya..andai muatan kita adalah iman,dan layarnya takwa,nescaya kita akan selamat dari tersesat di lautan hidup ini.Inilah intipati mesej penuh tersirat penulis di dalam naskhah ini buat renungan , buat pedoman juga panduan khalayak pembacanya.

Ambillah waktu untuk berfikir, itu adalah sumber kekuatan. Ambillah waktu untuk berdoa, itu adalah sumber ketenangan. Ambillah waktu untuk belajar, itu adalah sumber kebijaksanaan. Ambillah waktu untuk mencintai dan dicintai, itu adalah hak istimewa yang diberikan Tuhan kepada sekalian hambanya di dunia ini. Ambillah waktu untuk bersahabat, itu adalah jalan menuju kebahagiaan. Ambillah waktu untuk tertawa, itu adalah muzik yang menggetarkan hati. Ambillah waktu untuk memberi, itu akan membuat hidup lebih bererti. Ambillah waktu untuk bekerja, itu adalah nilai keberhasilan dan ambillah waktu untuk beramal, itu adalah kunci yang menggamit tangan menyentuh bintang menuju ke syurga.

Bagi anda yang gemarkan sesuatu yang berlainan pada bahan bacaan kreatif , Bintang-Bintang ke Syurga ada jawapannya. Jangan lepaskan peluang memiliki naskhah sulung penulis muda nan berbakat ini. Buat penulis, tahniah dari saya…karya anda ini penuh nilai kehidupan yang begitu menyentuh sanubari . Semoga anda akan terus cemerlang berkarya di masa hadapan.

Friday, July 3

Detektif Bertudung Hitam


TAJUK: DETEKTIF BERTUDUNG HITAM
PENULIS : BAHRUDDIN BEKRI
PENERBIT : PTS ONE SDN BHD
HARGA : RM17.90
GENRE : REMAJA & THRILLER RINGAN
BINTANG: 4



--------------------------------------------------------

“…Tak ada yang salah. Memang saya sengaja letak jawatan awak sebagai ‘Penyiasat Persendirian’ kerana bekerja di syarikat penyiasat membuatkan awak menjadi penyiasat. Takkan saya hendak letak kerani pula?Kerani buat apa ada kad bisnes?Jadi secara tidak langsung awak dapat mempromosikan syarikat ini..Faham?”

Apa Kata Saya:
Sekiranya orang yang amat kita sayang, orang yang amat bererti di dalam hidup kita ditimpa ujian dari-Nya yang memerlukan kita menjana usaha bagi membantu meringankan ujian tersebut, maka sejauh manakah kita sanggup bertindak demi merealisasikan harapan tersebut. Sejauh manakah sanggup kita berkorban deminya?. Inilah tema dan intipati yang ditampilkan di dalam Detektif Bertudung Hitam garapan penulis muda berbakat besar, Bahruddin Bekri.

Walau tema naskhah kali ini nampak serius dan berat namun penulis seperti juga 2 naskhah sebelumnya; Dunia Ini Sederhana Kecil dan Doa Untuk Aku bijak memanipulasi kisah yang diutarakan hingga akhirnya diadun menjadi hidangan cukup enak untuk dinikmati, santai, bersahaja penuh unsur humor spontan yang begitu mencuit rasa namun cukup kaya dengan mesej-mesej kehidupan yang diselitkan untuk dikutip buat renungan para pembaca.

Detektif Bertudung Hitam (DBH) menemukan pembaca dengan Az Zahra Idwan, seorang gadis berusia 20 tahun lulusan STPM yang mempunyai masalah sifat pemalu yang melampau. Disebabkan sifat tersebut dia sukar mendapat pekerjaan walaupun mempunyai tahap pencapaian akademik yang baik. Keadaan ayahnya yang sakit teruk dan memerlukan pembedahan dengan segera begitu menekan Zahra disamping masalah dirinya yang masih gagal mendapatkan sebarang pekerjaan. Saranan dari teman akrabnya Mia agar Zahra memasuki sebuah kelas bimbingan untuk mengurangkan sifat malunya itu menemukan Zahra dengan Jazzabel, Kamarul, Zamri, Hamidon juga Nico yang kemudiannya menjadi teman akrabnya. Zahra akhirnya diterima menjadi kerani yang juga perlu melakukan tugas-tugas lain dengan gaji RM800 sebulan di Syarikat Siasat Siasat Sdn Bhd yang dipunyai oleh Encik Zabidi . Apabila syarikatnya diupah untuk menyiasat kematian Tan Sri Azman, Zahra telah dilibatkan secara”paksa” oleh ketuanya itu untuk sama-sama turun padang menyiasat dengan disertai oleh seorang lagi penyiasat di syarikat itu; Ram @ Muharam. Walau mulanya Zahra agak keberatan namun bila dia ditawarkan bayaran bonus RM50,000 jika mereka berjaya menyelesaikan kes itu, Zahra merasakan itu adalah peluang untuknya menyelesaikan masalah bayaran pembedahan ayahnya. Bermula dari saat itu, Zahra melangkah menjadi penyiasat dan dengan dibantu oleh teman-teman dari kelas bimbingannya mereka merangka strategi untuk menangkap pembunuh Tan Sri Azman.


Pelbagai insiden juga kejadian lucu yang terjadi di sepanjang tempoh siasatan tersebut memperlihatkan bagaimana penulis bagi saya cukup kreatif didalam mengadun cerita, di dalam kita suspen,kita teruja, kita masih boleh tersenyum dan ketawa dengan aksi-aksi dan dialog humor yang ditampilkan. Bukan mudah untuk mencipta situasi sebegini di dalam penulisan. Naratif ciptaan penulis kali ini cukup menghiburkan sekali. Penggunaan laras bahasa yang cukup ringkas, mudah menjadikan irama naratif ini cukup segar hingga ke akhirnya.

Teknik penyampaian dan pengolahan yang cukup santai membolehkan penulis mengadaptasikan tema yang agak kompleks ini menjadi lebih mudah dihadam oleh minda pembaca. Mesej-mesej yang disampaikan penulis juga cukup santai di mata pembaca biarpun makna yang disisipkan cukup tersirat. Mesej tentang nilai kasih sayang antara anak dan bapa, nilai persahabatan, ketamakan manusia yang akhirnya mengundang padah dipaparkan penulis dengan cukup bersahaja sekali tapi penuh personifikasi yang mewarnainya.

Perwatakan Zahra DBH dipotretkan dengan sebaiknya oleh penulis. Saya tertarik dengan watak Zahra yang mengalami proses asimilasi dari seorang yang pasif kepada yang seorang yang optimis. Dari seorang yang pemalu, tiada keyakinan diri wataknya dikembangkan sedikit demi sedikit menjadi seorang yang punyai semangat dan keyakinan diri hingga berjaya menyelesaikan siasatan kes yang dipertanggungjawabkan kepada dirinya. Perwatakan Zahra yang lurus, tulus sungguh menarik sekali ditangani penulis. Watak Nico paling membuatkan saya tersenyum dengan aksi dan dialog bersahajanya. Penciptaan nama-nama watak sampingan yang cukup unik, juga lucu begitu mengambarkan daya kreativiti penulis yang sangat mengagumkan. Setiap kali berpapasan dengan nama-nama ini, sering kali saya tersenyum sendiri. Kelakar sungguh!

Pergerakan plot cerita dibina penuh sifat kronologi yang cukup santai dan segar laluannya bagi memberikan pembaca peluang menikmati perjalanan naratif ini dengan penuh rasa keseronokan di jiwa.

Sekalung tahniah buat penulis untuk sebuah persembahan yang cukup baik di dalam Detektif Bertudung Hitam. Teruskan usaha anda ini dan semoga terus cemerlang menghasilkan karya-karya unik , hebat dan bermutu di masa hadapan buat pencinta novel tanahair.

Bagi anda yang belum mendapatkan naskhah yang cukup berintisari dengan mesej-mesej kehidupan yang diadun dengan begitu cantik dan bersahaja ini, anda tidak akan sekali-kali kecewa memilikinya. Di samping anda tersenyum, anda ketawa, minda anda disogokkan dengan pengajaran yang baik buat bekalan kehidupan.


Wednesday, July 1

Akan Datang dari Bahruddin Bekri...Puisi Untuk Nadina



blurb

Tuhan,
berikan aku cinta
yang tidak perlu aku memilih
antara dua keindahan
dan, terima kasih kerana berikan aku dia
cinta yang tidak perlu
aku pilih...

Nota:

cover ini belum lagi difinalkan ....hehehe (tapi bagi kucc, cover ni sudah cun banget deh cik din...)

Terima kasih cik din atas informasi yang diberi dan tahniah atas kelahiran Puisi Untuk Nadina...