Friday, July 3

Detektif Bertudung Hitam


TAJUK: DETEKTIF BERTUDUNG HITAM
PENULIS : BAHRUDDIN BEKRI
PENERBIT : PTS ONE SDN BHD
HARGA : RM17.90
GENRE : REMAJA & THRILLER RINGAN
BINTANG: 4



--------------------------------------------------------

“…Tak ada yang salah. Memang saya sengaja letak jawatan awak sebagai ‘Penyiasat Persendirian’ kerana bekerja di syarikat penyiasat membuatkan awak menjadi penyiasat. Takkan saya hendak letak kerani pula?Kerani buat apa ada kad bisnes?Jadi secara tidak langsung awak dapat mempromosikan syarikat ini..Faham?”

Apa Kata Saya:
Sekiranya orang yang amat kita sayang, orang yang amat bererti di dalam hidup kita ditimpa ujian dari-Nya yang memerlukan kita menjana usaha bagi membantu meringankan ujian tersebut, maka sejauh manakah kita sanggup bertindak demi merealisasikan harapan tersebut. Sejauh manakah sanggup kita berkorban deminya?. Inilah tema dan intipati yang ditampilkan di dalam Detektif Bertudung Hitam garapan penulis muda berbakat besar, Bahruddin Bekri.

Walau tema naskhah kali ini nampak serius dan berat namun penulis seperti juga 2 naskhah sebelumnya; Dunia Ini Sederhana Kecil dan Doa Untuk Aku bijak memanipulasi kisah yang diutarakan hingga akhirnya diadun menjadi hidangan cukup enak untuk dinikmati, santai, bersahaja penuh unsur humor spontan yang begitu mencuit rasa namun cukup kaya dengan mesej-mesej kehidupan yang diselitkan untuk dikutip buat renungan para pembaca.

Detektif Bertudung Hitam (DBH) menemukan pembaca dengan Az Zahra Idwan, seorang gadis berusia 20 tahun lulusan STPM yang mempunyai masalah sifat pemalu yang melampau. Disebabkan sifat tersebut dia sukar mendapat pekerjaan walaupun mempunyai tahap pencapaian akademik yang baik. Keadaan ayahnya yang sakit teruk dan memerlukan pembedahan dengan segera begitu menekan Zahra disamping masalah dirinya yang masih gagal mendapatkan sebarang pekerjaan. Saranan dari teman akrabnya Mia agar Zahra memasuki sebuah kelas bimbingan untuk mengurangkan sifat malunya itu menemukan Zahra dengan Jazzabel, Kamarul, Zamri, Hamidon juga Nico yang kemudiannya menjadi teman akrabnya. Zahra akhirnya diterima menjadi kerani yang juga perlu melakukan tugas-tugas lain dengan gaji RM800 sebulan di Syarikat Siasat Siasat Sdn Bhd yang dipunyai oleh Encik Zabidi . Apabila syarikatnya diupah untuk menyiasat kematian Tan Sri Azman, Zahra telah dilibatkan secara”paksa” oleh ketuanya itu untuk sama-sama turun padang menyiasat dengan disertai oleh seorang lagi penyiasat di syarikat itu; Ram @ Muharam. Walau mulanya Zahra agak keberatan namun bila dia ditawarkan bayaran bonus RM50,000 jika mereka berjaya menyelesaikan kes itu, Zahra merasakan itu adalah peluang untuknya menyelesaikan masalah bayaran pembedahan ayahnya. Bermula dari saat itu, Zahra melangkah menjadi penyiasat dan dengan dibantu oleh teman-teman dari kelas bimbingannya mereka merangka strategi untuk menangkap pembunuh Tan Sri Azman.


Pelbagai insiden juga kejadian lucu yang terjadi di sepanjang tempoh siasatan tersebut memperlihatkan bagaimana penulis bagi saya cukup kreatif didalam mengadun cerita, di dalam kita suspen,kita teruja, kita masih boleh tersenyum dan ketawa dengan aksi-aksi dan dialog humor yang ditampilkan. Bukan mudah untuk mencipta situasi sebegini di dalam penulisan. Naratif ciptaan penulis kali ini cukup menghiburkan sekali. Penggunaan laras bahasa yang cukup ringkas, mudah menjadikan irama naratif ini cukup segar hingga ke akhirnya.

Teknik penyampaian dan pengolahan yang cukup santai membolehkan penulis mengadaptasikan tema yang agak kompleks ini menjadi lebih mudah dihadam oleh minda pembaca. Mesej-mesej yang disampaikan penulis juga cukup santai di mata pembaca biarpun makna yang disisipkan cukup tersirat. Mesej tentang nilai kasih sayang antara anak dan bapa, nilai persahabatan, ketamakan manusia yang akhirnya mengundang padah dipaparkan penulis dengan cukup bersahaja sekali tapi penuh personifikasi yang mewarnainya.

Perwatakan Zahra DBH dipotretkan dengan sebaiknya oleh penulis. Saya tertarik dengan watak Zahra yang mengalami proses asimilasi dari seorang yang pasif kepada yang seorang yang optimis. Dari seorang yang pemalu, tiada keyakinan diri wataknya dikembangkan sedikit demi sedikit menjadi seorang yang punyai semangat dan keyakinan diri hingga berjaya menyelesaikan siasatan kes yang dipertanggungjawabkan kepada dirinya. Perwatakan Zahra yang lurus, tulus sungguh menarik sekali ditangani penulis. Watak Nico paling membuatkan saya tersenyum dengan aksi dan dialog bersahajanya. Penciptaan nama-nama watak sampingan yang cukup unik, juga lucu begitu mengambarkan daya kreativiti penulis yang sangat mengagumkan. Setiap kali berpapasan dengan nama-nama ini, sering kali saya tersenyum sendiri. Kelakar sungguh!

Pergerakan plot cerita dibina penuh sifat kronologi yang cukup santai dan segar laluannya bagi memberikan pembaca peluang menikmati perjalanan naratif ini dengan penuh rasa keseronokan di jiwa.

Sekalung tahniah buat penulis untuk sebuah persembahan yang cukup baik di dalam Detektif Bertudung Hitam. Teruskan usaha anda ini dan semoga terus cemerlang menghasilkan karya-karya unik , hebat dan bermutu di masa hadapan buat pencinta novel tanahair.

Bagi anda yang belum mendapatkan naskhah yang cukup berintisari dengan mesej-mesej kehidupan yang diadun dengan begitu cantik dan bersahaja ini, anda tidak akan sekali-kali kecewa memilikinya. Di samping anda tersenyum, anda ketawa, minda anda disogokkan dengan pengajaran yang baik buat bekalan kehidupan.


No comments: