Showing posts with label Iffa Zalia. Show all posts
Showing posts with label Iffa Zalia. Show all posts

Sunday, February 13

Trionovel Februari daripada Alaf21


Tajuk : Biar Jadi Kaktus
Harga: RM19.90
Halaman: 512
Penulis: Iffa Zalia
ISBN: 978-983-124-653-5

Sinopsis: Cinta Syakila dan Firdaus ibarat bintang-bintang yang bergemerlapan. Namun perjalanan hidup sebenarnya tidaklah seindah impian dan harapan. Dek tidak tahan menanggung penderitaan demi penderitaan, Syakila mencari keadilan dan kebenaran yang seakan-akan tersembunyi. Namun pencariannya terkandas bila dia diburu oleh Datin Habsah, seorang wanita korporat yang bersikap mata duitan. Tawaran satu juta Ringgit Malaysia daripada Dato' Tengku Amir membuatkan Datin Habsah ingin terus memburu gadis itu hingga ke lubang cacing.

Syakila ibarat kaktus yang teguh walaupun kemarau melanda. Dia meneruskan langkah dengan hati yang kental. Tika dirinya longlai, muncul Azlan yang berhati mulia. Lelaki budiman itu sering menghulurkan bantuan tanpa mengharapkan balasan. Pengorbanan setinggi gunung itu membuatkan Syakila dalam dilema. Dia tahu lelaki itu mencintainya sampai mati. Tetapi bagaimana pula dengan Firdaus? Lelaki itu nyawanya!


Tajuk : Nyanyian Syahdu
Harga: RM19.90
Halaman: 512
Penulis: Weeda Airiza
ISBN: 978-983-124-647-4

Sinopsis: Kasih yang bertaut di antara Khazrul dan Shazrin di zaman remaja terlerai begitu sahaja apabila Khazrul nekad mengejar cita-citanya dalam bidang hiburan penuh glamor. Perwatakan Khazrul yang seakan bermain tarik tali meresahkan jiwa Shazrin.

Sementara itu, perkenalan tanpa sengaja dengan seorang wartawan kacak, telah mula mengelirukan makna cinta dan kasih di hati Shazrin. Di saat mahu belajar menerima hakikat bahawa cintanya perlu diberikan kepada yang lebih berhak, Khazrul datang merayu cintanya. Mampukah Khazrul berjuang mendapatkan cintanya semula dan sanggupkah Shazrin menduakan cinta barunya untuk lelaki itu dalam percintaan penuh egoistik ini?

Tajuk : Irama Semalam
Harga: RM16.00
Halaman: 400
Penulis: Yatie Atiqa
ISBN: 978-983-124-655-9


Sinopsis: MENERIMA seorang lelaki yang tidak dicintai sebagai suami, perkara yang paling tidak disukai seorang gadis. Apa yang mampu Sara lakukan andai ibu dan ayah memilih Azry sebagai calon menantu dan merestui pernikahan mereka? Dia terpaksa redha. Melayari bahtera rumah tangga bersama Azry yang dulu pernah menjadi teman sepermainan tidak pernah dia fikirkan. Mereka bahagia. Memang benar kata orang, cinta selepas berkahwin indahnya sukar diungkap dengan kata-kata.

Namun kehadiran Irfan, kekasih yang pernah menghancurkan hati Sara membuatkan dia kembali mengingati cinta lamanya itu. Sanggupkah dia meninggalkan Azry dan berlari mendapatkan Irfan yang pernah membuatkan hidupnya tidak keruan dan menangis siang malam? Azry pula mula berubah, tidak seperti di awal perkahwinan mereka. Tiada lagi rasa manisnya cinta. Sara buntu. Dia mengharapkan ketulusan dalam sebuah cinta. Masih adakah lagi cinta sejati dalam dunia ini?

Friday, May 28

AKAN DATANG - TRIONOVEL JUN

Harga: RM19.90
Penulis: Ainul Hazrah
Halaman: 504
ISBN: 978-983-124-551-4

Sinopsis: LUQMAN HARIEZ disuruh memilih salah seorang daripada tujuh cucu perempuan mak tok untuk dijadikan isteri, sementelah hatinya masih kosong. Malangnya, dia cuma diberi masa seminggu untuk mengenali hati budi mereka. Semua ini dilakukan demi menghormati permintaan opah dan mak tok.

Sejak mula lagi, Hariez dapat merasakan bahawa Husna, gadis yang paling cantik dan lemah lembut, seakan-akan sudah mengisi ruang di hatinya. Pada masa yang sama, dia turut terpaut pada Tija, cucu perempuan bongsu mak tok yang bersifat keanak-anakan, namun hatinya penuh dengan kasih sayang dan keceriaan. Bila masanya tiba, Hariez telah memilih salah seorang daripada mereka berdua. Namun pilihannya telah mendapat tentangan hebat. Bagi Hariez, itulah pilihan yang paling tepat dan dia tidak mahu berganjak lagi dari keputusannya.

Dapatkah Hariez dan pilihannya disatukan? Mampukah perkenalan yang singkat menghidupkan suasana indah dalam rumah tangganya? “Cinta datang sendiri, ia satu anugerah dan aku tak perlukan sebab untuk mencintainya. Setiap kali aku pandang wajahnya, aku tahu itulah wajah kesayanganku. Aku cuma mencari kasih sayang di situ, mencari sesuatu yang membuatkan aku rasa bahagia...” -Luqman Hariezwww

Harga: RM16.00
Penulis: Azilah Wahab
Halaman: 416
ISBN: 978-983-124-559-0


Sinopsis: Lelaki yang serba kekurangan. Ketempangannya menjadikan dia sering dihina dan dianggap menyusahkan orang tua. Selayaknya, dia diberi lebih perhatian, tetapi dia makin jauh tersisih dan tersingkir dari kasih sayang ibu dan ayah.

Khadijah - Sanggup berkorban demi kesenangan adik-adiknya. Kerana itu, ibunya melepaskan tanggungjawab menjaga urusan rumah tangga ke atas bahunya.
Dan kerana itu juga, dia menjadi mangsa! Maruah dirinya direnggut sewenang-wenangnya.

Hasnah - Membawa diri jauh ke luar negara berbekalkan kepintaran yang dianugerahkan oleh ALLAH kepadanya. Sungguh dia kecewa dengan kepincangan institusi keluarganya. Impiannya hanya satu. Mahu merasa bahagia bersama ibu, ayah serta adik-beradiknya dan dia berazam untuk meraih impian itu!

Ramlah - Dimanjai ayah lebih daripada adik-beradiknya yang lain. Bangga dengan kelebihan yang diperolehi membuatkan dia alpa dan gagal menilai baik buruk sesuatu. Sehinggalah dia ditinggalkan terkontang-kanting sendiri...

Mereka adalah empat beradik yang ketandusan kasih sayang orang tua. Salah merekakah bila ibu bapa gagal menjalankan tanggungjawab mendidik dan mencorak masa depan anak-anak?

Harga: RM19.90
Penulis: Iffa Zalia
Halaman: 544
ISBN: 978-983-124-565-1

Sinopsis: ALLYZA terperangkap dalam dunia cinta remaja. Cinta pandang pertama memusnahkan dirinya. Insan yang ingin dikasihi untuk selamanya mengkhianati kepercayaan yang diberi. Natijahnya, hati yang naif dan rapuh itu tidak mampu menanggung kehampaan dan kekecewaan. Dia dan Erry berpisah jua akhirnya.

Masa yang berlalu tetap tidak dapat memadamkan ingatan lampau. Dirinya yang tidak suci dirasakan tidak layak berdampingan dengan lelaki budiman. Sekeping cinta yang dihulurkan Haziq, tidak mampu dibalas. Dia malu untuk berterus terang mengenai keaiban kisah silamnya.

Tanpa disangka, Erry hadir semula dalam hidup Allyza untuk membuktikan keikhlasan janji yang pernah dilafazkannya dulu. Gadis itu gembira dengan kehadiran Erry di sisi. Barulah dia tahu bahawa Erry tidak bersalah dalam kejadian hitam yang menghantui dirinya. Kebahagiaan yang diimpikan, tetapi keperitan yang diperolehi. Saban hari dirinya dilukai dan disakiti. Akhirnya dia membawa diri. Allyza redha dengan apa yang bakal terjadi...