Tuesday, June 2

Cinta Di Hati.


Tajuk Buku : Cinta Di Hati
Penulis : Nor Rafishah Md Hassan
Penerbit : Fajar Pakeer Sdn Bhd
Harga : RM22.90
Cetakan Pertama : 2009
Genre : Kekeluargaan
Bintang : 3.5


-------------------------------------------------------------
“…ada perkara yang hanya akan kita fahami apabila menempuhnya sendiri. Itu sebenar-benarnya pelajaran & pengajaran…”

Apa Kata Saya:

Apa bezanya antara sayang dan cinta?. Garis sempadan antara kedua-dua perasaan ini cukup tipis sekali jurangnya hinggakan kita adakala boleh tersasar, terjerumus, tersalah tafsir akan kedudukannya…tersalah anggap akan hati kita sendiri. Kata penulis, cinta itu datangnya dari mata dan rasa manakala sayang itu datangnya dari hati dan jiwa. Bersama dengan yang tersayang lautan menjadi tenang beralun dan bila bersama yang tercinta lautan sentiasa bergelora!, benarkah begitu?...lalu kata penulis lagi, tempuhinya dan alami sendiri untuk kita bisa menafsir dan membezakan kedua-dua perasaan ini.

Naskhah terbaru penulis ini; Cinta Di Hati (CDH) cuba membawa pembaca menyelami kedua-dua perasaan ini menerusi pengalaman dua watak utama yang mendukungi naratif beliau kali ini. Cinta dan sayang adakala bisa menghancurkan diri seseorang jika tidak dikendalikan dengan bijaksana. Lebih buruk ia juga boleh memporakperandakan sebuah kehidupan..kehidupan insan yang tidak bersalah!. Rasa sayang dan cinta ini kadangkala bisa membuatkan kita jadi manusia yang kejam, manusia yang memikirkan kepentingan dirinya sahaja. Dan kadangkala sebagai manusia kita seringkali gagal memanafaatkan juga menghargai anugerah yang dikurniakan oleh-Nya pada kita hinggalah ia diambil semula dari kita. Saat itu segala rasa penyesalan, kedukaan sudah tidak bererti lagi.

Sebagai sebuah kisah yang bertemakan kekeluargaan sebagai teraju utama dengan sisipan hubungan kasih sayang sesama keluarga dan rakan, CDH membawa pembaca menyusuri kisah Nashran seorang graduan yang merajuk atas sikap ayahnya yang dianggap curang pada ibunya; Aliza yang membawa kepada kemalangan yang meragut nyawa ibunya itu. Lebih tragis, kekasih ayahnya adalah Shana; gadis yang menjadi pujaan hatinya dalam diam!. Sukar untuk Nashran menerima hakikat yang Shana bakal bergelar ibu tirinya!. Masalah tambah rumit bila identiti adiknya terbongkar. Seri Shahirah rupa-rupanya cuma anak angkat dalam keluarganya. Kecewa dengan semua yang berlaku, Nashran nekad keluar dari rumah. Rajuk yang akhirnya membawa dirinya terdampar ke Kampung Tok Raja, Naka, Kedah. Disana kehidupan barunya bermula dengan menjadi anak angkat kepada Pak Shuib dan Mak Nab yang kebetulan tiada mempunyai anak. Disana jugalah dia diperkenalkan dengan kehidupan kampung yang serba serbi sederhana. Menerusi keluarga angkatnya dia diperkenalkan dengan keluarga Alang Adol dan Alang Bunga juga anak-anak mereka, Noti/Hanafi, Myuji/Tarmizi, Uzi/Fauzi dan Ain Najwa. Hubungan akrab antara mereka tambah mesra dengan penglibatan Nashran dalam projek penanam jagung yang diusahakan Noti. Musibah yang menimpa Ain Najwa ketika dalam tempoh bertunang angkara rasa tidak puas hati pada Myuji telah membabitkan Nashran secara tidak sengaja. Demi membalas budi juga rasa kasihan pada Najwa yang tidak bersalah, Nashran nekad mengahwini Najwa namun kesilapan Nashran didalam melayari kehidupan barunya sebagai suami membawa padah bila Najwa merasakan Nashran bagai enggan menerima diri, lebih buruk kata-kata yang terlepas dari mulut Seri saat mereka berdua bertengkar membawa kepada rajuk Najwa yang berakhir dengan tragedi. Tragedi yang akhirnya juga membongkar identiti sebenar Seri…identiti sebenar Shana!.

Plot cerita ini berpaksikan jajaran kronologi dengan sedikit sisipan teknik imbasan kembali yang digunapakai penulis di dalam mengimbau perjalanan watak-watak di dalam CDH ini terutama Nashran dan Seri .Plot cerita berkembang dengan cukup berwarna-warni didalam menyusuri pergerakan kisah hidup Nashran yang cukup dramatik ini. Paling menarik bila kisah sebenar terbongkar. Tabir di singkap satu persatu secara perlahan-lahan membuat pembaca cukup tidak sabar dan tidak menduga begitu rupa kisah sebenarnya...sangat menarik bagi saya cara yang diguna penulis di dalam merungkai kisah sebenar disebalik kemelut keluarga Nashran dan kisah cinta ayahnya...

Perwatakan Nashran sebagai teraju utama dipotretkan dengan baik oleh penulis. Wataknya sebagai anak muda yang pendiam namun punya sifat memberontak dalam diam digambarkan dengan baik sekali. Nashran adalah contoh pemuda yang kadangkala keliru dengan perasaan hatinya sendiri yang tanpa disedari telah menguris hati orang lain dan disaat dia menyedarinya, ia sudah terlewat. Saya sukakan watak Ain Najwa, biarpun cuma seketika, wataknya cukup berkesan dipenakan penulis…dia lambang gadis malang yang cuba berjuang mendapatkan hak dan kedudukannya sebagai isteri biarpun dipinggirkan suami…sayang sekali wataknya diakhirkan sedemikian. Watak Tuan Abdullah cukup mengundang perasaan yang pelbagai. Ada rasa meluat, menyampah, sakit hati juga simpati pada nasib dirinya. Dia adalah contoh lelaki yang kurang bijak mengendalikan kehidupannya…kekhilafan masa silam yang tidak dijejaki untuk diperbetulkan itu membawa padah pada diri sendiri akhirnya.

Buat penulis, tahniah atas penghasilan sebuah kisah yang cukup memberi tauladan, cukup mengujakan sekali. Semoga anda akan terus cemerlang memenakan kisah-kisah kehidupan yang menjadi pedoman dan panduan masyarakat seperti ini di masa akan datang.

No comments: