Thursday, October 30

Panggil Aku Dahlia


Tajuk Buku :Panggil aku Dahlia
Penulis : Noor Suraya
Penerbit : Jemari Seni Publishing
Harga : RM21.00
Cetakan Pertama : 2008
Genre: Kekeluargaan (Cinta & Kasih Sayang)


---------------------------------------------------------------------------------
kata ayah tentang teh:

tea brightens morning, refreshes afternoons and warms nights…”

Apa Kata Saya:

Cabaran getir bagi setiap penulis tatkala menghasilkan karya terbaru cuma satu; mampukah karya berkenaan mengatasi karya mereka yang terdahulu.Bukan mudah untuk mencapai piawaian dan kehendak pembaca kerana sebagai pembaca kehendak mereka adalah pelbagai, tidak terbatas dan mereka hanya mahukan yang terbaik dari setiap sen yang mereka keluarkan. Maka, inilah tanggungjawab yang harus dipikul dan terbeban di bahu setiap penulis tatkala ingin merealisasikan kehendak itu. Dan ia ternyata bukanlah satu tugas yang mudah.

Sebagai seorang penulis yang cukup berpengalaman di arena dan pentas penulisan kreatif tanahair, kehebatan cetusan idea dan pena Noor Suraya tidak perlu dipersoalkan lagi. Beliau ternyata begitu teliti dan peka dengan apa yang berlaku di dalam masyarakat pembaca tatkala mengerah idea demi melahirkan sebuah karya baru yang benar-benar hebat, berkualiti dan mencapai aras piawaian yang dikehendaki pembaca. Kelahiran novel terbaru beliau yang juga novel kelapan nukilannya ternyata cukup kuat menggamit para pembaca,peminat juga pencinta novel tanahair untuk sama-sama duduk dan menghayati satu kisah, satu cerita yang sungguh dekat dengan kehidupan kita.Satu lagi kejayaan diulangi oleh si pemilik nama Noor Suraya ini.

Panggil Aku Dahlia (PAD), sebuah karya cantik hasil cetusan idea beliau yang tidak perlu dipersoalkan lagi kehebatan pena saktinya tatkala berkarya. Cantiknya PAD pada pandangan saya tersimpul dari cara penulis menggarap cerita ini menjadi sebuah naskhah yang bukan sahaja indah laras bahasa dan persembahannya, namun yang lebih utama isi dan mesejnya cukup terkesan di jiwa tatkala membacanya. Banyak pengajaran berguna yang ditabur olehnya untuk kita kutip sebagai renungan dan panduan. Ada ketika rasa sendu pasti singgah di jiwa melihat perjalanan hidup Putri Dahlia @ Dahlia, watak utama dalam PAD ini yang tidak seindah pelangi. Ada ketika pula senyum dan tawa bertamu di bibir melihat perang teluk antara Dahlia dan musuh tradisinya; Wadi Hannan @ Wadi yang tak kunjung padam. Lucu sekali.

Penulis yang lebih mesra dengan panggilan kaksu ini cukup bijak menebak fikiran dan naluri pembaca yang ketandusan cerita-cerita yang bertunjangkan tema dan mesej mantap tetapi disampaikan dengan cukup puitis, penuh pesona tapi cukup bersahaja. Kehebatan karya terdahulu kaksu, Surat Ungu Untuk Nuha(SUUN) ternyata berjaya diulangi PAD malah ia jauh lebih baik dari setiap aspek; baik persembahan, plot/jalan cerita juga tidak ketinggalan sisipan mesej-mesej berguna yang menyulaminya.

Penggunaan elemen-elemen bahasa yang cantik kerapkali digunapakai di dalam PAD dan ternyata ia sangat mempengaruhi mood pembaca untuk terus terpesona mengikuti perjalanan kisah si Putri Dahlia Megat Qais ini. Kaksu ternyata cukup pintar mengolah kata-kata manis yang penuh personifikasi dalam memakukan pandangan dan minda pembacanya agar tidak terkalih perhatian mereka pada yang lain, tapi hanya pada PAD hingga ke noktah terakhir. Sebagai penulis wanita, cara pengungkapannya lebih halus kerana penulis wanita lebih handal mengartikulasi emosi dengan lebih baik dan jelas berbanding penulis lelaki…(pendapat saya lah, hehehe)

Saya cukup tertarik dengan teknik suntingan dalam PAD ini lebih-lebih lagi apabila ia membabitkan plot cerita yang bukan bersifat jajaran kronologi langsung. Tanpa suntingan yang teliti, imbasan kembali yang dicuba dibawa pasti mengganggu tumpuan pembacaan dan ia pasti menjejaskan mood pembacaan. Kaedah yang digunapakai dalam PAD untuk pembaca kembali ke zaman persekolahan Dahlia, zaman permulaan tercetusnya perang gerila antara Dahlia dan Wadi digarap dengan cukup halus, teliti dan cemerlang sekali sehingga kita tidak sedar kita sedang dibawa ke masa lampau Dahlia.

Jika diperhalusi, kekuatan PAD terletak pada penceritaannya sendiri. MemangIah jika dilihat secara kasar, penceritaan begini bukanlah sesuatu yang baru, namun penulis bagi saya jauh ke hadapan kerana berjaya membentuk satu kesatuan paling integral yang cukup harmonis antara cerita dan penceritaan. PAD membawa pembaca menyusuri perjalanan masa lampau dan kini seorang Putri Dahlia Megat Qais yang disulami pelbagai catatan suka duka, pedih lara yang diungkap dengan permainan kata-kata juga bahasa tubuh yang cemerlang. Perwatakan 2 pendukung utama PAD ini juga istimewa. Saya seperti terpandang Nuha(SUUN) pada Dahlia, terkilas Alang(SUUN) di mata Wadi namun Dahlia jauh lebih ganas, lebih brutal dari Nuha, dan Wadi pula lebih sedikit akal jahatnya dari Alang. Yang nyata persembahan mereka sangat-sangat cemerlang.

Latar cerita yang mengabadikan Tanah Tinggi Cameron sebagai lokasi utama cerita diadaptasikan ke dalam PAD dengan cukup teliti. Ketelitian inilah yang membentuk satu gerak kerja yang menghasilkan gambaran sinematografi yang membanggakan walau cuma dizahirkan dilayar kertas. Kreativiti penulis benar-benar terpamer di sini.

Untuk Noor Suraya a.k.a kaksu yang sangat-sangat saya kagumi bakat penulisannya, sekalung tahniah atas persembahan hebat dan mantap anda dalam Panggil Aku Dahlia. Ternyata pengorbanan anda dalam menghasilkannya cukup berbaloi sekali. Semoga kaksu akan terus berkarya, terus mencurah dan berkongsi idea dan cerita hebat cetusan minda kreatif anda dengan kami, para pencintamu. Terima kasih juga kerana “mengundang” kami membuat penampilan cameo dalam PAD (kaksu tau siapa kami itu kan…hehehe).

Buat pembaca budiman di luar sana, jika anda mencari-cari satu kisah, satu cerita yang akan meninggalkan satu kenangan manis yang tidak akan anda lupakan sepanjang hayat, maka Panggil Aku Dahlia adalah jawapannya.

7 comments:

RinnTis said...

Rinn's Review

alert: review saya ni byk spoiler, so sapa yg nak baca novel ni tanpa tahu apa2 background citer ni boleh skip this part :)

Tajuk Novel: Panggil Aku Dahlia
Penulis: Noor Suraya
Penerbit: Jemari Seni Publishing
Tahun 2008
ISBN: 978-967-5118-09-6


Ceritanya: Cerita benci jadi cinta. Musuh jadi kekasih. Memang saya suka genre yang begini. Yang paling saya suka dlm novel ni, bukan sebelah pihak menjadi mangsa dalam kisah ini. Ada sesetengah kisah, bila menceritakan genre ini, watak heroin selalu terkena dan sentiasa geram dan tertekan. Lain pulak dengan Wadi dan Dahlia. Ada saja serangan balas antara mereka. mereka seperti pahlawan ke medan perang. setiap kali menjejakkan kaki ke perkarangan sekolah, mereka hadir dengan strategi, dengan persiapan untuk serangan balas yg hebat. hehe.. mcm citer perang pulak.


Cerita ini tidak terasa kosong. Ada ilmu disisipkan mengenai sejarah arkeologi malaysia terutama di perak dan johor. Dahlia penah cuba memboring kan Wadi dengan cerita2 lama ini. owh, dan kenali jugak jenis2 teh :)


Permusuhan berpunca dari perusahaan teh yang asalnya satu menjadi dua. Datuk Ma'rof dan Megat Qais meneraju Sykt Teh Sutra dan Syarikat Teh Timor. Datuk Ma'rof mahu memiliki segalanya dari Megat Qais. Even Lorrinda, ibu Dahlia pun dia nak jugak.


Misterinya: Misteri kisah ini melibatkan kes kematian. Kematian Lorrinda, adakah bunuh diri atau dibunuh? kelihatannya dia seperti membunuh diri dengan meminum susu beracun. Dahlia menjumpai ibunya dlm keadaan yg menyayat hati. Lalu dia dihantar ke Australia utk menyambung hidup. Di sana dia menjadi lebih dewasa, menjadi seorg wanita. Misteri Lorrinda dibiarkan sepi. Dahlia juga tak merancang utk kembali, namun panggilan dari bapanya tidak dapat ditolak. Dia kembali dan misteri Lorrinda bakal dibongkar. Dahlia tahu ibunya menjadi mangsa tapi keadaannya telah disalahfaham, sehingga suami sendiri meminggirkan dirinya.


Deliverynya: hmm apa kelayakan saya utk komen cara penulisan seseorg penulis. Namun dari mata saya yang hampir kosong ilmu penulisan (tengok cara saya tulis review pun tau kan?), cara penyampaian Noor Suraya menyerap ke dalam perasaan. membuat kita rasa friendly dgn Dahlia. Bersama-sama dia menghadapi Wadi dan kehidupannya di kawasan tanah tinggi tu. Keresahan Dahlia menjadi keresahan kita.


Penulisnya: Noor Suraya? Dia tahu apa yang nak disampaikan. Teratur bahasa & ceritanya dengan luahan rasa yang membuat kita terangkap dalam ceritanya.


NOvel ini mengingatkan saya kepada: abe dan amek di kg kuala boh. ekspedisi memancing dgn abe laiyin (kitorang yg ikut dia basah dari ujung rambut sampai ujung kaki, abe layin tu ujung kain yg dia pakai jer basah). Saya juga teringatkan bunga2 di Hotel Equitorial Cameron Highlands.


Wadi Hannan - masa sekolah dia ni budak lelaki yg nakal. Dia paling suka mengacau Dahlia. Kalau Dahlia tak datang sekolah, dia jadi tak keruan. Pernah gurauannya menyebabkan gadis itu mendpt parut seumur hidup di bhg bawah wajahnya. Dia panik sehingga pernah berkata pada dirinya sekiranya tak dak orang nak kawin ngan Dahlia disebabkan parut tu, dialah yg akan menjadi lelaki yg mengahwini Dahlia. Di usia 24 tahun dia bertemu semula dengan Dahlia. Parut itu masih di situ dan Dahlia tidak berusaha utk menyembunyikannya. Namun Dahlia yg biasa2 saja tu tak payah buat apa2 utk membuat Wadi jatuh cinta padanya. Tengok Dahlia menguap pun Wadi dah jatuh cinta tergolek-golek. Sabo jer aku.


Dahlia - dia bencikan Wadi hannan yang sentiasa membuat hidupnya kucar kacir. Parut angkara Wadi dijadikan peringatan mengenai lelaki jim-alif-ha-ta tu. harta yg tergadai menjadikan Dahlia kecewa dgn diri sendiri yang tak berusaha menyelamatkan harta keluarganya. Wadi muncul dengan lamaran yg mengejutkan, dia bukan saja menawarkan diri sbg suami, malah harta dahlia yg tergadai sanggup djadikan mahar. Ikutkan hati mati, ikutkan rasa, binasa. jadi nak ikut yang mana satu? Hatinya dijentik cemburu bila terserempak Wadi dengan gadis lain. Kenapa pulak macam tu? Wadi melamar dirinya tapi masih mendampingi wanita lain. Cemburu tandanya sayang? Saya dapati Dahlia yang kembali selepas ke Australia lebih matang berbanding Dahlia zaman sekolah yang cepat melenting. Dia seorg yg pemaaf dan sanggup melupakan, mengabaikan kenangan lalu kerana lebih mementingkan masa hadapan. Ciri ini dalam Dahlia menjadikan Wadi seorg yang bernasib baik di dalam cinta namun ada syarat Dahlia yg wajib Wadi penuhi.


Farhan, Neem, Mia Zara, King Shah - watak-watak sampingan yang menyeri dan memantapkan lagi kisah ini. Ibu Farhan berkenan kat Dahlia. Neem dihantar bersama Farhan dgn misi utk menyatukan Dahlia dan Farhan. Namun hati mereka telah dicuri oleh org lain. Lagipun Neem lebih sibuk memasak daripada menjalankan amanat ibunya. Mia Zara adalah partner in crime si Dahlia, manakala King Shah pulak perancang strategi Wadi. Tak sangka la pulak Shah Botak bekenan kat Neem! :)


Cameron highlands menjadi medan 'pertempuran' mereka. Namun pertemuan kali ini semakin hari semakin mendamaikan. Mereka mungkin menjadi pelerai permusuhan yg diwarisi turun temurun. Namun bapa Wadi makin tamak. Dia tak mahu keluarga Dahlia survive di Cameron Highlands. Malah dia tak kisah sekiranya Wadi mengahwini Dahlia utk mengikis harta bendanya. Idea kahwin tu memang Wadi suka, tapi bab kikis tu, dia ada agenda tersendiri. Dia mahu mengahwinkan Teh Timor dan Teh Sutra dlm ikatan abadi. Dia takkan biarkan Dahlia sengsara. Ibunya kesiankan gadis sebaik Dahlia menjadi mangsa Wadi. Dia suka Dahlia jadi menantunya tapi dia tak mahu Dahlia menjadi mangsa Wadi yg terkenal dgn romeonya. Sejuk hatinya melihat keikhlasan Dahlia melayan bapanya. dia mahu anak yg seperti itu dan dia tak pernah mendapat semua itu dari Wadi.


sure fine whatever
Rinn

jujun said...

rinn aku suka kalo ko buat review..berkobar2 aku nak memiliki buku ni...best2..

kucc_aprilsnow said...

btol boss..lepaih ni aku leh bersara dengan lapang jiwa dan senyum bermunge2 taw..hikhikhik

RinnTis said...

uik? aperlak bersara? review saya lebih kepada apa yg tersurat di mata kasar, lebih pada bercerita semula kisah dlm bentuk summary. kucc nyer review byk menceritakan yg tersirat.

RinnTis said...

tengkiu jujun :) insyallah peh ni leh post review lagi. kempen mari membeli dan membaca buku2 best.

SiTi sUhaili sAriF said...

salam tahniah kpd gengkicap
saya teruja sangat2 sampai tak sabar nak beli buku ni
terima kasih =)

Noor Suraya said...

Kucc, terima kasih untuk review yang manis.

rinn,
:D terima kasih sekali lgi :)

jujun, siti suhaili
:) kucc & rinn memang pandai review... dan biarkan kita di awang-awangan - selamat membaca ya!