Thursday, July 16

Terbaru Dari Ramlah Rashid


Lestary, anak Hanan Alaa bersama Daud, perkahwinan campur antara 2 negara (Malaysia + Dubai). Nama Lestary bererti murni dan abadinya cinta ke dua suami isteri itu.

Disangkakan panas hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari. Sewaktu Lestary berusia 5 tahun, dia dan ibunya diperkenalkan pada orang tua Daud. Dua beranak itu terus dibenci dan disiksa jiwanya oleh Wan Bada. Wan Bada tidak menerima kehadiran menantu dan cucunya bukan sahaja kerana Hanan Ala’a bukan gadis pilihannya tetapi juga perasaan cemburunya pada kasih Daud yang tumpah penuh pada isteri yang jelita. Saban hari dia merangka pelbagai agenda supaya Daud berpisah dengan isterinya dan melenyapkan Lestary dari keluarganya. Wajah kacukan Lestary menyakitkan hatinya.

Di satu senja, selepas Daud menikahi Milah, gadis pilihan Wan Bada, Hanan Alaa yang sarat hamil anak ke dua telah diceraikan dengan talak 3. Bersama Lestary, Hanan Ala'a meninggalkan rumah Wan Bada. Dalam kepayahan itu mereka dibantu imam dan seorang wanita berhati mulia di kampung itu. Fitnah terus membutakan hati Daud yang berantakan kesal menceraikan isteri tercinta lalu dengan senapang patah peninggalan ayahnya dia berusaha menembak imam yang membantu isterinya. Malangnya terkena Hanan Ala'a yang sedang berwudhuk untuk solat subuh.

Hanan Ala'a menghembuskan nafas terakhir dan organnya didermakan, bertepatan dengan amanatnya. Injap jantung dan hati diberi kepada Dafiezudin, buah pinggang untuk anak Tuan Kamal.

Keluarga Dafiezudin dan Tuan Kamal cuba menjejak anak Hanan Ala'a yang sudah ditempatkan di rumah anak-anak yatim tetapi gagal. Dan Lestary pula melanjutkan pelajaran keluar negara sewaktu berusia 17 tahun. 10 tahun pula tinggal di sana sebelum mengambil keputusan kembali ke Malaysia.

Dalam hambatan rindu pada ibunya,dia turut didera kenangan bersama ibu dan ayahnya. Penderitaan dia dan ibunya di tangan Wan Bada dan percintaan orang tuanya yang menjadi duri kehidupan. Lestary seakan gila setiap kali terkenang peristiwa hitam yang meragut nyawa ibunya. Meski benci pada Wan Bada, namun Lestary berusaha memadam dendam itu. Dia mahu menjadi gadis yang hidup tanpa kenangan hitam. Demi merialisasikan impian itu, Lestary membuat keputusan menetap di Malaysia dan bekerja di puncak Cameron Higland.

Takdir sudah ditentukan, dia menemui penerima injap jantung dan hati ibunya selepas bertunang dengan Razrim. Tanpa sengaja, dia jatuh cinta pada Dafiezudin dan cinta itu kian mendalam setelah mengetahui milik ibunya ada di dalam diri lelaki itu. Dafiezudin juga berasa terhutang budi dan ingin sekali berbakti pada anak pemilik hati dan jantungnya. Cinta bersemi kian kukuh dan berlakunya tarik menarik (perasaan), persaingan secara sihat antara dua sahabat karib – Dafiezudin dan Razrim, demi memenangi hati Lestary.

Lestary diculik, dilarikan ke Dubai oleh orang2 suruhan datuknya (ayah Hanan Ala'a) Dafiezudin dan Razrim terbiar duka menunggu keajaiban Lestary selamat kembali. Masa senggang tanpa Lestary itu membuat perhubungan Dafiezudin dan Tania (pembantu Lestary) semakin erat. Dalam diam, Tania jatuh cinta pada Dafiezudin. Dafiezudin tidak menolak cinta Tania namun masih berharap Lestary kembali bersama cintanya. Tania kekadang cemburu pada bayang-bayang Lestary, namun menyembunyikannya. Dia terus mengembirakan Dafiezudin dengan merangka angan-angan Lestary akan kembali dengan selamat. Hari demi hari Tania kian menyedari, tidak mudah baginya menggantikan tempat Lestary di dalam hati Dafiezudin. Dia pasrah dalam derita.

Bagi Razrim juga, dia terus berharap agar Lestary kembali. Namun setelah jerih menunggu, dia tidak lagi mengharap gadis itu pulang bersama cintanya. Dia sudah pasrah, Lestary bukan jodohnya. Dengan memegang prinsib, menyerah bukan bererti tewas, dia akur pada murninya cinta Dafiezudin dan Lestary yang diikat dengan hati milik Hanan Ala'a. Dengan ikrar akan menyerahkan Lestary kepada Dafiezudin, dia berdoa agar Lestary kembali. Demi sayangnya pada Dafiezudin.

Apabila berita Lestary selamat di Dubai dan akan kembali ke Malaysia disampaikan kepada Dafiezudin dan Razrim, pihak perubatan pula menyedari jantung Dafiezudin sudah dalam keadaan kritikal. Injap yang digunanya, yang dipindah milik dari Hanan Ala'a, sudah tidak boleh bertahan lagi. Pembedahan perlu dijalankan segera bagi menukar injap jantung itu. Harapannya untuk diselamatkan terlalu tipis. Razrim dihambat bimbang, Lestary tidak berkesempatan bertemu Dafiezudin.

Lestary pulang sewaktu geruhnya Dafiezudin berjuang di katil pembedahan yang berlangsung lebih 6 jam.
Semalam
Cinta bersemi
Ria di sini
Di bumi ini mengutip kasih, menyulam bahagia
Menghimpun seranjang cerita gembira
Tanpa sekelumit duka, hanya tersenyum dan tertawa
Bersaksi mentari, bulan purnama - bersumpah setia
Bisiknya :
Nasi lemak buah bidara
Sehidup dan semati kita berdua
Realisasikan cinta dua benua,
Seteguh Uda dan Dara.
Risensi Lestary bukti agungnya cinta
Kini
Lestary hanya sendiri
Kembali ke sini menginjak permatang yang pernah dilalui
Mencari cinta sejati, makna kasih yang pernah bersemi
Demi masa yang berganti
Segalanya tidak bererti kini.
Kosong, sepi.
Yang ada hanya kesan cinta yang sudah dinodai.
Namun titis-titis bahagia terus dicari
Meski telah jauh dihanyuti
Dibawa arus terusan masa yang tidak reti berhenti.
Yang di sini hanya dendam yang menyakiti, melukai!
Mahligai cinta yang dicari
Korban cinta ditemui, pusara sepi, nisan yang membedi
Sebagai bukti cinta sejati terus abadi…
Senaskah sirah yang gagal dilupai kembali menemani
Memaksa hati kekal membenci.
Esok
Nanti di nanti
Cari mencari
Sebuah ceritera yang penuh erti
Mahligai cinta yang harum lagi berseri
Sewangi mawar berduri
Sebiru lavenda yang lebah kerumuni.
Ingin sekali Lestary merealisasi
Sebuah istana cinta di benua hati
Diharap kekal bersemi
Dalam dua jiwa bercantum hati
Injap dan hati milik si mati,
Cinta nan murni untuk lestary…
(Infor dari blog Ramlah Rashid)

4 comments:

Dyea said...

Tahniah Kak Ramlah!!
Moga terus cemerlang bersama karya terbaru
:)

kaknOOr said...

Tahniah Ramlah Rashid...hu hu baca sinopsis pun dah teruja mesti berdebar-debar dan tangkap leleh....

jujun said...

Jun harap hepi ending je...apa2 tahniah buat Ramlah Rashid.

p/s dd apasal la buku ni tk jual time jun kat kl ahad lepas, kalo tak bleh rembat sekali hihi....

Ju'A said...

Tahniah Ramlah utk kelahiran novel baru ni, dgn harapan berkarya dan terus berkarya...

kak qimi...tangkap leleh x pe janji ending ISO....