Tuesday, January 13

Setulus Hati


Tajuk : Setulus Hati
Penulis : Rozita Abd. Wahab
Penerbit : Alaf21
Harga : RM18.00
Cetakan Pertama: 2008
Genre : Romantik & Kekeluargaan
Bintang : 4 1/2


------------------------------------------------------------------
“... kasih sayang yang tulus umpama air yang mengalir . ..damai dan amat menyamankan jiwa..”

Apa Kata Saya :

Sekian lama menyepi, penulis berbakat besar ini kembali merancakkan persada seni penulisan kreatif tanahair dengan naskhah terbarunya; Setulus Hati (ST). Dari dulu lagi saya sangat menggemari gaya penulisan Rozita yang sentiasa disulami elemen-elemen romantik di samping sisipan nilai-nilai ukhuwah kekeluargaan yang cukup cantik didalam beliau menyampaikan mesej karyanya kepada khalayak pembaca.

ST membawa pembaca menyusuri kehidupan seorang wanita muda; Zulaikha Zakaria @ Ika yang diceraikan suami kerana keengganannya bermadu. Dengan persetujuan perjanjian perceraian yang memberi hak jagaan 2 anaknya; Nur Farisya @ Risya dan Amirul Hakim @ Hakim kepada Zulaikha, episod kehidupan barunya bergelar janda muda bermula.

ST membawa tema kasih sayang yang tidak terbatas dan berbelah bagi antara 2 insan ; antara seorang suami terhadap isterinya juga seorang adik terhadap abang kandungnya. Ia tema yang cukup indah dizahirkan penulis kerana jalan ceritanya penuh nilai kasih sayang dan rasa saling memahami.Penulis menggarap begitu indah rantaian antara kedua-dua hubungan istimewa ini sehinggakan kita tersentuh dan merasai tiap detik indah, manis, ceria, juga ketika sedih dan dugaan datang melanda.

Persembahan “sinematografi” ST bagi saya cukup berkesan sehingga membuatkan pembaca merasa seolah-olah turut berada di "lokasi". Kita turut tidak sabar mengetahui jalan cerita selanjutnya. Penulis berjaya mengheret mata pembaca agar tidak berganjak dari naskhah hitam putihnya ini hingga ke noktah terakhir. Suntingan yang baik banyak membantu keberkesanan naskhah ST agar pergerakkan cerita beralun senada dengan jalan cerita juga mesajnya.


Perwatakan yang dibina penulis dalam ST juga begitu berketerampilan dengan Zulaikha yang menerajui jalan cerita sebagai tonggak utama dibantu watak pembantu utama; Zaidi juga Nik Azahan nampak seimbang sumbangannya di dalam mewarnai keseluruhan jalan cerita. Tidak dinafikan watak-watak pembantu lain yang dicipta penulis juga turut mencantikkan perjalanan ST ini. Zamri, Risya, Hakim turut sama bergandingan memberi impak maksima dalam ST.

Penggunaan laras bahasa amat sederhana, mudah diterima dan dihadam minda pembaca. Adakala tanpa perlu metafora dan personifikasi yang mendayu-dayu, ia tetap mampu membuai perasaan pembaca jika betul teknik dan kaedahnya. ST membuktikannya. Tanpa elemen-elemen berkenaan, naskhah ini tetap hebat membuai rasa, menyentuh naluri pembacanya.


Buat penulis muda nan berbakat yang amat saya kagumi ini, tahniah diatas kelahiran karya terbaru anda ini. Semoga anda akan terus hebat memenakan hikayat kehidupan buat tatapan pembaca juga peminat-peminat anda. Buat pembaca,Setulus Hati sangat indah hujah manusia dan kemanusiaannya, maka rugilah anda jika tidak memilikinya.

3 comments:

kaknOOr said...

Setulus Hati Novel terbaru dari Rozita Abdul Wahab setelah dua tahun menyepi diri. Kisah kasih sayang keluarga memang menarik.
Bahasa yg mudah faham. Bab pertama membaca terus ke penamat. Sebab nak mengetahui apa yg terjadi seterusnya.
Akak memang peminat Rozita semua novelnya menjadi koleksi.
Utk bln December 2008 & Jan 2009 Dua buah novel alaf yg akak baca kisah kasih sayang keluarga, ibu tunggal & bapa tunggal.

1) "Setulus Hati" - Rozita Abdul
Wahab.
Kisah Zulaika ibu tunggal
akhirnya menemui kebahagian
dgn Nik Azahan.Zulaika yg
begitu manja dgn abangnya Zaidi.
Kes rebutan anak diantara
Zamri (bekas suami ika)

2) "Mulanaya satu cinta" - Rose
Harisaa.
Kisah Eddy Ezli seorang baba
tunggal akhirnya menemui
kebahagian dgn Iryanie.
Eddy Ezli seorang anak yg manja
dgn ibunya Faridah.
Kes rebutan anak diantara
Khairina (bekas isteri ezli)

Ha ha ha cume dlm kedua-dua
novel ni terdapat nama yang
sama ZAMRI (watak yg buat org
tak suka geram & marah)

Setulus Hati - Zamri bekas
suami zulaika yg x bertanggung
jawab.

Mulanya satu cinta - Zamri
bekas abang ipar tiri dan juga
bekas suami Iryanie

kucc_aprilsnow said...

hohoho dah khatam buku rose ek kak noor..dasat aar akak..berdesup tu...

agaknya kan utk 2009 tema cerita kehidupan ibu dan bapa tunggal muda akan jd trend kot kak...hikhikhik

kaypo said...

cing...aku pun dah berdesup gak cak akak sorang tu.
Agaknya bulan ni musim cite Mr Dud & Ms Jan kot..apa pun dua dua cite Rozita & Rose..eh dua dua penulis startnama R ler ..memang superb..best..Nik Azhan & Ezli..hero malatopssss.