Wednesday, January 14

Sentuhan Cinta


Tajuk : Sentuhan Cinta
Penulis : Haiza Najwa
Penerbit : Alaf21
Harga : RM18.00
Cetakan Pertama: 2008
Genre : Romantik & Kekeluargaan
Bintang : 4



-----------------------------------------------------------------
“ kecantikan sebenar seseorang itu terletak pada hatinya…”

Apa Kata Saya :

Agak lama juga saya mencari naskhah ini dan hanya baru-baru ini menemuinya dan kebetulan ia salinan terakhir yang mereka ada di kedai tersebut…alhamdulillah, memang rezeki saya. Seorang rakan Geng Kicap mencadangkan saya membacanya kerana ia membawa satu tema yang agak berlainan sedikit dan jalan cerita katanya sangat menarik diikuti.

Sentuhan Cinta (SC) merupakan satu percubaan yang cukup baik dari penulis ini bagi menzahirkan sebuah karya yang berteraskan kefahaman psikologi manusia. Konsep dan pemahaman sudut psikologi tersebut diasimilasikan penulis menerusi watak utama novel ini iaitu Hurin Ain dan menerusinya ia dikembangkan dengan cukup baik sekali. Penulis bagi saya membuat kajian rapi tentang tema cerita yang ingin disampaikan beliau menerusi naskhah ini. Mesejnya cukup terkesan di jiwa kita sebagai pembaca, kita turut berkongsi emosi tatkala Hurin dihambat kekejaman mental kesan dari masalah intepritasi mindanya yang teruk dicelarukan…kasihannya Hurin!!

Kalau ada yang berpandangan konsep cerita ini adalah seperti sebuah dongengan versi moden yang cuba dimomokkan penulis, ia sebenarnya kurang tepat. Jangan terkejut jika ia suatu permasalahan kejiwaan yang sedia wujud dalam persekitaran kita..di sekeliling kita, cuma yang membedakannya adalah topiknya sahaja. Di sini topiknya ialah kecelaruan personaliti. Kecelaruan pada minda yang telah tanpa disedari mengendurkan sifat jati diri pada individu berkenaan secara perlahan-lahan.

Naskhah ini menyingkap kisah kehidupan seorang gadis kacukan inggeris-melayu bernama Hurin Ain yang mengalami kecelaruan personaliti kesan dari perbuatan kejam ibu tirinya; Tajiyah sejak dia kecil lagi yang mengadaptasi ke minda anak malang ini bahawasanya dirinya sangat hodoh, matanya nan biru itu umpama mata pontianak dan rambut perangnya nan beralun itu umpama rambut hantu kubur. Kesan dari akal fikiran yang telah dihipnotis dari kecil dia mempunyai tanggapan dan persepsi yang berlawanan sifatnya terhadap fizikal dirinya sendiri walau pada hakikat sebenar ia adalah bertentangan sama sekali... dia kanak-kanak yang sangat comel dan dewasa menjadi wanita yang cukup mempersonakan pada mata yang memandang. Tanggapan ini akhirnya berkembang dalam minda anak kecil ini dan membentuk satu persepsi kejam terhadap dirinya sendiri.Dia merasakan dirinya jelik, buruk dan tidak segandingan dengan orang lain di dunia luar dan perkara ini berlarutan hingga dia menginjak usia dewasa dan terus terpahat kukuh di minda dan sanubarinya tanpa dapat digugat.

Perwatakan dalam SC memberikan tumpuan yang berkesan kepada tonggak utama cerita ini; Hurin Ain Ilham dan penulis menggarap perwatakan Hurin dengan cukup berkesan sekali. Bahasa tubuhnya cukup baik dizahirkan penulis. Tidak ketinggalan watak-watak pembantu lain yang turut merancakkan jalan cerita ini. Steven Zaiful Aman , Redzal Idham. Watak-watak antagonis turut dipersembahkan dengan cukup baik oleh penulis.Tajiyah, Rini & Rima dipotretkan dengan cukup kelam sekali oleh penulis.

Penggunaan terma-terma, istilah atau jargon didalam dunia psikologi yang sedikit sebanyak diselitkan di dalam naskhah ini amat bersesuaian dengan jalan cerita dan bertepatan dengan masa dan keadaannya. Laras bahasa mudah difahami biarpun ada penggunaan unsur-unsur metafora juga personifikasi yang bertujuan mengindahkan suasana dan mood cerita.

Mesej yang jelas menerusi naskhah cantik ini anak-anak umpama kain putih…mereka bersih, tulus, jujur….diserakkan dengan warna putih, tuluslah dia, kalau hitam, maka kelamlah dia. Justeru itu, jiwa anak-anak janganlah dikotori dengan elemen-elemen negatif juga momokan songsang kerana segala apa yang diterapkan dalam minda mereka dari kecil akan memberi kesan pada tingkah-laku juga mempengaruhi persepsi mereka terhadap perkara tersebut apabila dia dewasa kelak.

Buat Haiza Najwa, tahniah atas percubaan anda didalam mengenengahkan permasalahan ini menerusi Sentuhan Cinta. Semoga anda akan terus kreatif berkarya di masa hadapan dan memotretkan kisah-kisah masyarakat untuk dikongsi bersama dengan para pembaca sekalian.

3 comments:

Rinn said...

haaa siap juga akhirnya ya kucc? hehe.. ni nak tumpang tempek review lama aku. One of my favourite review.. review tulis sendiri, suka sendiri, syok sendiri.. tak kisah lerr.. layannn...


Sentuhan Cinta by Haiza Najwa
Terbitan Alaf 21
Tahun 2007


"Walaupun zahirnya tiada getar namun namamu membikin tiap helaan nafasku menderu"


Wah makin ramai ya penulis baru alaf 21. Saya agak sukar nak proses kenyataan yang orang seperti Hurin sanggup menelan bulat2 kata2 ibu tirinya mengenai rupanya yg hodoh sehingga disamakan dgn hantu yg buruk. Hakikatnya Hurin adalah wanita sebaik baik kejadian, sempurna paras dan tubuh badan. Saya mungkin boleh terima fakta yg cuba diketengahkan penulis kalau Hurin menganggap dirinya hodoh apabila dia tidak bercampur langsung dgn orang. mungkin dikurung sehingga dewasa di rumahnya sendiri, mungkin dgn cara itu mental akan lebih kuat menerima sogokan kata2 ibu tirinya yang menyayanginya tetapi meracuni fikirannya. Hurin dlm cerita ini adalah wanita terpelajar dan belajar sehingga ke peringkat universiti. Rasanya kalau dia mendpt pendedahan sehingga ke peringkat setinggi ini, kepercayaannya terhadap momokan ibunya tidak lah sepatutnya sampai ke tahap yg ditonjolkan dalam kisah ini melainkan kalau dia betul2 dipisahkan dari masyarakat.


apa2pun, agak menarik jugak membaca kisah seorang wanita cantik yang merasakan dia hodoh dan sesiapa saja yang mengatakan dia cantik akan dianggap sengaja mengata dan mencerca dirinya dan nahaslah orang tu, kalau tak kena tampar pun mungkin akan kena penendang Hurin Ain. Ibu tirinya (Tajiyah) sengaja mahu Hurin Ain begitu kerana mendendami arwah isteri pertama suaminya (Pamela) yg dicintai sepenuh jiwa oleh Ilham sedangkan dirinya dikahwini hanya sekadar utk menutup malu kerana buntingkan anak kpd abang suaminya tanpa ikatan perkahwinan. Ilham menganggap Tajiyah adik tapi demi menutup malu yg dicipta Idham, Tajiyah dinikah selepas isterinya Pamela meninggal dunia setelah melahirkan Hurin Ain.


Bukan itu saja krisis yg dialami Hurin Ain. dia menyintai Redzal dan Redzal juga menyintai dia tapi dua2 tak luahkan perasaan membuatkan Hurin menerima lamaran Steven kerana bagi Hurin bertuahlah dia kerana orang sekacak dan sekaya Steven sanggup memperisterikan dirinya yg hodoh. Steven pd mulanya ada agenda utk memanipulasi harta Hurin yang mencecah jutaan ringgit. Namun dia betul2 cintakan Hurin yg cantik jelita yang sering dipanggilnya hodoh kerana mahu Hurin mengagungkan dirinya kerana sudi berkahwin dgn wanita hodoh. Geram la kat Redzal tu.. eeeshh slow motion, dah suka cakap la suka dah tentu Hurin akan pilih dia.


Hurin ni pun saya tak sure lah berkahwin utk apa. mungkin sbb takut terlepas peluang berkahwin sekiranya membiarkan lamaran Steven. Lepas kawin Hurin takut nak bersama suaminya so dia buat syarat Steven tak boleh sentuh dia selagi dia belum bersedia. Adus.. bila Steven menuntut haknya secara paksa, Hurin tuduh dia diperkosa suami sendiri dan menyampaikan kisah itu pada Redzal. Ada rasa yang tak kena bila membaca bab ini. Saya sangat2 tak suka watak Steven pada peringkat ini.


Steven dgn berat hati menceraikan Hurin dan Hurin memberi ganjaran 4juta RM kpdnya kerana dia terlalu gembira dpt kawin ngan Redzal. Macam tebus talak la.. tapi jeng jeng jeng.. saya sangat suka kisah Hurin selepas dia berkahwin dgn Redzal. Hurin lahirkan anak steven dan kemudian mengandung anak Redzal, Redzal ditimpa kemalangan lalu meninggal dunia. Kebencian pada Steven berkurangan apabila anak pertamanya yg baru mencecah 6 tahun menjadi tonggak utama dalam keluarga kecik 3 beranak itu kerana Hurin buta sbb byk menangis.. huhu macam kasim selamat! tapi tak der saxaphone dalam citer ni. hehe. I'm looking forward to more karya baru by this writer :)


sure fine whatever
rinn

kucc_aprilsnow said...

haa...jenuh gak aku nk menyiapkan rinn ooi...kena fikir pasai apa jadi lagu tu...

lorr..hang patut paste kat bwh review aku tu..awat kt sini, apa daa weiii......

Rinn said...

malu *nyorok bawah keyboard*