Friday, January 30

Obsesi Cinta


Tajuk Buku :Obsesi Cinta
Penulis : Hanisah Othman
Penerbit : Tintarona
Harga : RM30.00
Cetakan Pertama : 2009
Genre: Drama
Bintang : 3 1/2



-------------------------------------------------------------

'' jangan tersilau oleh kecantikan luaran, lihatlah pada kecantikan hatinya...''

Apa Kata Saya:

Dendam adakalanya boleh memakan diri sendiri juga melukakan hati dan perasaan insan lain tanpa kita sedari. Inilah intipati dari naskhah penulis yang pertama kali saya tatap karyanya.Satu percubaan yang baik dari penulis dalam membicarakan persoalan obses manusia terhadap sesuatu perkara dan dalam naskhah ini ia merujuk kepada perasaan obses insan terhadap insan lain berkaitan cinta.

Obsesi Cinta(OC) menyelongkar misi membalas dendam seorang gadis terhadap seorang pemuda yang 7 tahun dahulu pernah memandang rendah padanya, tidak mengendahkannya, memperlekehkan dirinya dan yang paling tragis dia menjadi bahan hinaan malah dijadikan subjek bualan yang melucukan buat pemuda tersebut dan rakannya di dalam tandas!.Kesan dari insiden yang cukup menyedihkan itu si gadis, Salwani menanam satu azam. Si pemuda, Razi yang pernah dipuja dalam diam itu secara tidak langsung adalah ejen pemangkin untuk dia drastik berubah, mencipta tekad dalam diri, membina kerjaya, mengubah penampilan diri demi membuktikan dia mampu untuk membuatkan pemuda itu sujud di kakinya!. Setelah 7 tahun, Salwani kembali semula ke kilang itu tapi bukan lagi sebagai si gadis tembam nan kusam kulitnya juga berceranggah giginya yang mengusung baldi, memegang batang mop juga dengan tuala di bahu tapi sebagai sang jurutera muda nan cantik jelita, halus gebu kulitnya dan punya senyuman manis dari barisan gigi bak mutiara. Dia berjaya mencipta igauan buat semua para eksekutif muda di situ, sasarannya turut terpanah oleh pesona dirinya tanpa sedikitpun menduga dialah si gadis yang dahulunya tidak dipandang walau dengan ekor mata sekalipun!.

Pembinaan perwatakan dalam OC cukup seimbang. Salwani cukup baik digambarkan sebagai simbol insan yang bangkit kesan dari peristiwa pahit yang menimpa diri, membina azam namun akhirnya terperangkap dalam konflik dalaman diri sendiri menjadikan dia keliru membuat keputusan. Watak Zaki dan Saodah cukup menarik bagi saya, sayangnya penampilan mereka tidak cukup dikembangkan. Razi sangat bagus ditampilkan penulis, lambang lelaki tampan yang mudah tersilau, terpesona oleh kecantikan luaran dan memandang rendah pada kekurangan insan lain.

Mesej penulis di dalam naskhah ini memberi penjelasan tentang perilaku manusia yang adakalanya tika bertindak tidak menggunakan akal waras tapi lebih terdorong oleh tolakan dan hasutan emosi yang bakal menjerumuskan diri sendiri jika tidak bijak mengendalikannya. Manusia juga mudah lupa satu perkara, dalam berkata-kata, biarlah berpada-pada, gunalah akal tika berbicara!.

Saya ingin menyentuh plot cerita yang bagi saya tidak diselenggarakan dengan sebaik-baiknya. Bagi karya yang tidak berjajaran kronologi dan mengggunakan elemen flashback bagi menerangkan sesuatu peristiwa lampau, adalah perlu ia disunting dengan ketelitian yang maksima agar pembaca tidak hilang tumpuan...saya kerap hilang arah bila dipersembahkan dengan elemen berkenaan ketika membaca naskhah ini. Semoga perkara ini diambil perhatian oleh penulis juga pihak editor.Sungguh sayang jika naskhah yang baik sebegini tidak disunting dengan teliti lalu menjejaskan mutunya dimata pembaca!

Buat penulis, tahniah atas persembahan anda yang menarik dalam Obsesi Cinta. Semoga anda akan terus gigih menghasilkan karya-karya yang baik dan hebat di masa akan datang.Buat anda para pembaca, mahu tahu rasanya bila obses pada cinta, Obsesi Cinta ada jawapannya.

1 comment:

Jemiro said...

for ur wishes, i just say "amin" sip, tetap berkarya, muculkan karya2 unik dan bermanfaat lainnya :) saya dukung