Friday, January 30

Obsesi Cinta


Tajuk Buku :Obsesi Cinta
Penulis : Hanisah Othman
Penerbit : Tintarona
Harga : RM30.00
Cetakan Pertama : 2009
Genre: Drama
Bintang : 3 1/2



-------------------------------------------------------------

'' jangan tersilau oleh kecantikan luaran, lihatlah pada kecantikan hatinya...''

Apa Kata Saya:

Dendam adakalanya boleh memakan diri sendiri juga melukakan hati dan perasaan insan lain tanpa kita sedari. Inilah intipati dari naskhah penulis yang pertama kali saya tatap karyanya.Satu percubaan yang baik dari penulis dalam membicarakan persoalan obses manusia terhadap sesuatu perkara dan dalam naskhah ini ia merujuk kepada perasaan obses insan terhadap insan lain berkaitan cinta.

Obsesi Cinta(OC) menyelongkar misi membalas dendam seorang gadis terhadap seorang pemuda yang 7 tahun dahulu pernah memandang rendah padanya, tidak mengendahkannya, memperlekehkan dirinya dan yang paling tragis dia menjadi bahan hinaan malah dijadikan subjek bualan yang melucukan buat pemuda tersebut dan rakannya di dalam tandas!.Kesan dari insiden yang cukup menyedihkan itu si gadis, Salwani menanam satu azam. Si pemuda, Razi yang pernah dipuja dalam diam itu secara tidak langsung adalah ejen pemangkin untuk dia drastik berubah, mencipta tekad dalam diri, membina kerjaya, mengubah penampilan diri demi membuktikan dia mampu untuk membuatkan pemuda itu sujud di kakinya!. Setelah 7 tahun, Salwani kembali semula ke kilang itu tapi bukan lagi sebagai si gadis tembam nan kusam kulitnya juga berceranggah giginya yang mengusung baldi, memegang batang mop juga dengan tuala di bahu tapi sebagai sang jurutera muda nan cantik jelita, halus gebu kulitnya dan punya senyuman manis dari barisan gigi bak mutiara. Dia berjaya mencipta igauan buat semua para eksekutif muda di situ, sasarannya turut terpanah oleh pesona dirinya tanpa sedikitpun menduga dialah si gadis yang dahulunya tidak dipandang walau dengan ekor mata sekalipun!.

Pembinaan perwatakan dalam OC cukup seimbang. Salwani cukup baik digambarkan sebagai simbol insan yang bangkit kesan dari peristiwa pahit yang menimpa diri, membina azam namun akhirnya terperangkap dalam konflik dalaman diri sendiri menjadikan dia keliru membuat keputusan. Watak Zaki dan Saodah cukup menarik bagi saya, sayangnya penampilan mereka tidak cukup dikembangkan. Razi sangat bagus ditampilkan penulis, lambang lelaki tampan yang mudah tersilau, terpesona oleh kecantikan luaran dan memandang rendah pada kekurangan insan lain.

Mesej penulis di dalam naskhah ini memberi penjelasan tentang perilaku manusia yang adakalanya tika bertindak tidak menggunakan akal waras tapi lebih terdorong oleh tolakan dan hasutan emosi yang bakal menjerumuskan diri sendiri jika tidak bijak mengendalikannya. Manusia juga mudah lupa satu perkara, dalam berkata-kata, biarlah berpada-pada, gunalah akal tika berbicara!.

Saya ingin menyentuh plot cerita yang bagi saya tidak diselenggarakan dengan sebaik-baiknya. Bagi karya yang tidak berjajaran kronologi dan mengggunakan elemen flashback bagi menerangkan sesuatu peristiwa lampau, adalah perlu ia disunting dengan ketelitian yang maksima agar pembaca tidak hilang tumpuan...saya kerap hilang arah bila dipersembahkan dengan elemen berkenaan ketika membaca naskhah ini. Semoga perkara ini diambil perhatian oleh penulis juga pihak editor.Sungguh sayang jika naskhah yang baik sebegini tidak disunting dengan teliti lalu menjejaskan mutunya dimata pembaca!

Buat penulis, tahniah atas persembahan anda yang menarik dalam Obsesi Cinta. Semoga anda akan terus gigih menghasilkan karya-karya yang baik dan hebat di masa akan datang.Buat anda para pembaca, mahu tahu rasanya bila obses pada cinta, Obsesi Cinta ada jawapannya.

DIA DAH MAI DAH....NOVEL BARU DARI ALAF



Tajuk: Menanti Khalidah
Penulis: Ana Balqis
Harga: RM19.90
Halaman: 512

MALAM itu sama juga dengan malam-malam sebelumnya, dia mendengar ayahnya mem bentak-bentak. Kemudian, kedengaran tangisan emaknya sama seperti selalu. Esok, ayahnya sudah pergi buat selamanya. Sebaik sahaja habis idah, emaknya berkahwin lagi. Keputusan ini meninggalkan persoalan dan kedukaan di hatinya. Dia merajuk dan tinggal dengan bapa saudaranya. Tapi hidupnya, bagai dalam neraka.

Seminggu sebelum peperiksaan STPM, gadis itu berkahwin dengan Ustaz Rashdan, sebagai jalan keluar. Malangnya, dia bukan menantu pilihan. Akhirnya, Ustaz Rashdan menjatuhkan talak ke atasnya.

Namun, dia bangkit dan bertatih meneruskan hidup dengan bertemankan air mata. Itulah Asyiqin. Perempuan yang hidup dengan nafas dendam yang perlahan-lahan membakar tulus hati dan waras akalnya. Malah, dendam itu juga memerangkap dia dalam kenangan terhadap seorang wanita bernama Khalidah.

Kenangan yang telah mengurungnya dalam resah berpanjangan. Hidupnya sedih, sepi dan kosong. Yang tinggal hanya harapan untuk bertemu dengan Khalidah. Akan dipeluk wanita itu dengan kata-kata ampun dan maaf. Tapi... bilakah orang yang dinanti akan menjelma? Di mana Khalidah?

Friday, January 23

Tanya Pada Hati


Tajuk Buku :Tanya Pada Hati
Penulis : Iman Xara
Penerbit : Jemari Seni Publishing
Harga : RM20.00
Cetakan Pertama : 2009
Genre: Romantik
Bintang : 4


--------------------------------------------------------------
“bisakah kau berdiri tanpaku disisimu lagi?..
bisakah kau sendiri mengubati luka dihati?…

jika ditanyakan pada diri, masih mampu ia dinafi...
jika ditanyakan pada akal, masih mampu ia dibohongi...
tapi...jika ditanyakan pada hati,mampukah realiti disembunyi?.”


Apa Kata Saya:

Tanya Pada Hati(TPH); seindah tajuk yang diberi pada karya ini, secantik itu juga isi didalamnya. Jika dilihat pada tajuknya sahaja mungkin sudah cukup klise untuk pembaca meramalkan isi didalamnya. Saya juga tidak terkecuali.Kisah Cinta!...betul, ia memang kisah cinta..tapi kisah cinta yang bagaimana?, disinilah kelainan jalan cerita yang diangkat sang penulis ini untuk tatapan pembaca kerana ia tidak “seklise“ yang anda sangkakan.

Saya dimaklumkan bahawa penulis; Iman Xara sebelum ini pernah menghasilkan karya bersama Rhythm Publishing (Sepohon Rindu Terlerai) dengan nama pena Iyza Amyza. Saya tidak berpeluang menatap karya tersebut, namun menerusi TPH ia sudah cukup untuk pembaca menilai potensi yang ada pada penulis muda ini...sangat berbakat !

Aktifkan minda anda sebelum menyusuri kisah nan penuh mesej tersirat ini kerna ia memerlukan sekelumit kudrat untuk berfikir, tapi ini bukan bermakna ia sangat berat untuk dihadam minda pembaca kerna TPH sebenarnya perlukan anda sama-sama “berlakon“ untuk mengetahui jawapan pada persoalan hati yang menjadi fokus penceritaan. Dalam menangani sebuah naskhah yang baik seperti TPH ia bukan sahaja terletak pada betapa baiknya ia ditulis, sokongan elemen suntingan juga kerja-kerja “dibelakang tabir“, namun yang lebih utama adalah memberi kefahaman kepada pembaca dalam menghayati mesej serta nilai sebenar yang cuba ditonjolkan menerusi naskhah berkenaan menerusi jalan cerita dan kesinambungannya, susunan plot juga watak-watak yang dicipta.

TPH menyusuri perjalanan hidup insan-insan yang dihimpit permasalahan yang memerlukan jawapan dari dalam ..jawapan hati. Menerusi naskhah ini, penulis memaparkan dengan penuh emosi kemelut perasaan yang dialami oleh insan yang tidak berani berterus terang hanya kerna takut dengan satu kemungkinan yang akan mengheretnya dengan penyesalan seumur hidup. Kerna berpegang pada konsep teman yg baik susah dicari, lebih sukar ditinggalkan & mustahil untuk dilupakan selamanya, baik Farisya mahupun Fitri mereka berdua lebih rela membuang rasa hati demi kerna tidak mahu menggadai ikatan persahabatan yang terbina sekian lama...mereka berdua sebenarnya adalah antara lambang/contoh insan-insan yang takut dengan kemungkinan yang sebenarnya tidak akan memudaratkan jika ditangani dengan bijaksana.

Pergerakan naratif TPH yang tidak kronologi bijak ditangani penulis dengan begitu baik agar tumpuan pembaca tidak tersasar . Dari satu bahagian ke bahagian yang lain, kesinambungan cerita nampak cukup kemas ditangani, disunting..molek sekali.Penggunaan laras bahasa mudah dengan sesekali sisipan elemen-elemen bahasa cantik cukup mewarnai naskhah ini.

Perwatakan yang dibina di dalam TPH begitu seimbang antara Farisya dan Fitri Hidayat, tidak membayangi antara satu sama lain. Saya melihat pembinaan watak Idayu juga Shima bersesuaian dengan keadaan sosial masyarakat remaja masa kini yang sudah hilang jatidiri ,maruah dan pegangan agama..kerapuhan diri mempertahankan sifat-sifat ini akhirnya memakan diri sendiri!. Begitu juga watak Iskandar yang nampak sungguh tidak terduga sifatnya...namun inilah realiti yang cukup baik dipersembahan penulis buat semua...manusia, sama hitam rambutnya, hati tidak dapat kita tentukan warnanya.

Jodoh itu boleh hadir dalam pelbagai bentuk dan cara, yang penting fahami bahasa hati sendiri…kerna ia tidak mampu untuk menidakkan kebenaran.

Buat saudari Iman Xara, tahniah atas persembahan yang cukup menarik dalam Tanya Pada Hati. Ternyata anda punya bakat yang cukup besar untuk diekplotasi di dalam dunia penulisan kreatif tanahair. Semoga akan terus cemerlang menghasilkan karya-karya yang baik juga hebat di masa hadapan.

Buat anda pembaca jika anda tiada jawapan didalam menangani masalah hati, Tanya Pada Hati ada jawapannya…dan ia pasti tidak mengecewakan anda, selamat menghayatinya.

Monday, January 19

Mulanya Satu Cinta


Tajuk : Mulanya Satu Cinta
Penulis : Rose Harissa
Penerbit : Alaf21
Harga : RM18.00
Cetakan Pertama: 2009
Genre : Romantik
Bintang : 4

-------------------------------------------------------------------------



“...Rindu itu subjektif, sayang itu universal..tapi cinta itu hakiki, tak boleh dijual beli..”

Apa Kata Saya :

Setelah 3 novel dilahirkan penulis muda berbakat besar ini , kemunculan novel ke-4 yang merupakan novel terbaru beliau bersama Alaf21 ini sememangnya mengulangi kejayaan novel-novel beliau sebelum ini. Mulanya Satu Cinta (MSC) amat dekat di hati para peminat novelis comel ini. Saya sangat menggemari gaya penulisan beliau yang sentiasa segar, santai namun mengujakan di samping sulaman elemen-elemen romantik nan cantik dan tidak lupa menyelitkan mesej kekeluargaan cukup bermakna untuk dihayati khalayak pembaca.

MSC membawa pembaca menyusuri kehidupan seorang duda muda ; Eddy Ezli, jurutera rangkaian yang bercerai dengan isterinya; Khairina tatkala masih menuntut di luar negara kerana kecurangan isterinya yang berpaling kasih pada lelaki lain yang lebih berkemampuan dari segi material . Dengan kepayahan hidup di sana, Ezli menjaga satu-satunya anaknya, Adli Afizan a.k.a Afi sejak berusia 2 bulan. Ini menjadikan hubungan antara kedua beranak itu begitu akrab dan sekembali ke tanahair Afi dijaga oleh ibu Ezli hinggalah tatkala Afi mahu memulakan persekolahan, ibunya tiba-tiba ingin pulang dan tinggal di kampung. Disinilah bermulanya masalah Ezli dan pencarian untuk mendapatkan pengasuh untuk anaknya itu menemukannya dengan Iryanie.


MSC membawa tema kasih sayang yang sarat dengan mesej tersirat si penulis berbakat ini .Ia tema yang cukup indah dizahirkan penulis kerana jalan ceritanya penuh elemen kasih sayang yang tidak terbatas sempadannya.Penulis menggarap begitu indah rantaian hubungan istimewa ini sehinggakan kita cukup tersentuh dan merasai tiap detik yang dilalui watak-watak dalam cerita ini.Paling istimewa, paling menyentuh tatkala Ezli berjuang denga tuntutan hadhanah dari bekas isterinya yang cuba sedaya upaya dan pelbagai cara untuk mendapatkan Afi semula dari tangan Ezli.

Plot cerita berjajaran kronologi dan ia disempurnakan dengan begitu baik oleh penulis. Biarpun ada dalam situasi tertentu penggunaan flashback digunakan, ia bersesuaian dengan motif penyampaian jalan cerita agar lebih mudah difahami dan diikuti oleh pembaca.

Perwatakan yang dibina penulis dalam MSC menampilkan sang heronya sebagai peneraju utama. Penulis seperti pro lelaki dalam persembahan dalam naskhah ini namun bagi saya ia bertepatan dengan jalan cerita yang ditampilkan beliau. Eddy Ezli diperlihatkan penulis sebagai lelaki yang agak sempurna pakej fizikalnya namun pengalaman pahit dari perkahwinan pertamanya menbuatkan dirinya agak tidak mesra alam dengan para wanita yang diluar lingkungan kelurganya. Saya cukup tertarik cara penulis menampilkan watak Ezli, sapa tau disebalik kegarangannya yang seperti harimau jadian itu, rupa-rupanya dia anak manja mak!

Begitu juga keterampilan dengan Iryanie yang cukup manis dipotretkan penulis. Perwatakan Iryanie nampak begitu sejuk dimata..kita juga jadi kesian padanya tatkala dia dilanda musibah yang bukan dipintanya dan dia dijauhi semua insan hatta rakan akrabnya, Hana. Perwatakan Afi, budak kecil berusia 7 tahun nampak cukup menyakinkan..penulis bijak menzahirkan perwatakan anak kecil yang ketandusan kasih ibu sejak kecil menerusi watak Afi ini. Watak antagonis Zamri juga cukup berkesan dipersembahkan penulis hingga membuatkan pembaca meluat dan rimas pada wataknya.Tidak ketinggalan watak Khairina yang cukup menjengkelkan sekali..menyampah sungguh!

Penggunaan laras bahasa cukup santai, tiada penggunaan istilah-instilah yang keterlaluan atau memualkan deria telinga. Penulis bagi saya semakin bagus dalam pengolahan bahasa dalam karya beliau dan seperti biasa ada selitan lirik lagu kumpulan muzik sebagai perencah jalan ceritanya, saya rasa penulis ni memang meminati dunia muzik indie agaknya...hehehe

Buat penulis muda dan berbakat besar ini, tahniah diatas kelahiran karya terbaru anda ini. Semoga anda akan terus cemerlang berkarya dipersada seni penulisan kreatif tanahair dan terus gigih memenakan catatan kisah-kisah buat tatapan pembaca juga peminat-peminat anda. Buat pembaca,Mulanya Satu Cinta sememangnya sangat manis dihayati, jika mahu sama-sama merasai kemanisannya, pastikan anda mendapatkan segera.

Terbaru dari Kamsiah Abu...


Penulis: Kamsiah Abu
Harga : RM16.90
Penerbit : Buku Prima Sdn Bhd

Sinopsis:

TIDAK KU PINTA.Pengalaman pahit ketika ghairah memupuk cinta pertama bersama Kamal membuatkan Haryati terpaksa membina tembok yang menutup pintu hatinya dari diterjah lagi oleh perasaan cinta dari insan yang bergelar kekasih. Hancur luluh perasaan Haryati bila Kamal menghilangkan diri. Tambah memeritkan apabila peristiwa hitam yang dilalui bersama Kamal sentiasa memburunya sehingga membuatkan Haryati sering lemas sendirian.

Namun hidup mesti diteruskan walau apa pun badai yang melanda. Pemergian ibu bapanya dalam trajedi hiba turut menjadikan Haryati seorang gadis yang cekal menghadapi segala cabaran hidup ini. Bukan lagi cinta yang dikejar tetapi cita-cita yang menjulang tinggi menjadi sasarannya kini.

Dalam menggapai cita-citanya, pintu hati Haryati sering diketuk oleh lelaki yang sentiasa dahagakan cintanya. Dalam kepayahan Haryati terus cuba mempertahankan tembok yang dibina demi menjaga maruah yang sudah tercalar dari terus menghantui hidupnya.
Kecekalan dan kesabaran Haryati di dalam mengharungi hidup tanpa insan-insan yang disayangi menjadi lebih mencabar apabila ketua dan majikannya juga terus-terusan menduga emosi dan perasaannya. Kehadiran Dato’ Johari, seorang lelaki hartawan yang begitu prihatin terhadap liku-liku kehidupan Haryati benar-benar menduga kekuatan Haryati dari terus mengurung hatinya dalam tembok yang dibinanya.

Demi maruah diri, akhirnya Haryati pasrah akan jodohnya, walaupun dia tahu bukan mudah untuk hidup dengan lelaki itu lantaran terlalu banyak perbezaan dan halangan yang membelenggu mereka.
Dapatkah Haryati membina bahgia bersama lelaki yang telah mula dicintai dengan sepenuh jiwa dan raganya, walaupun setelah mengetahui siapa lelaki itu sebenarnya? Bagaimana pula Haryati mahu menepis segala fitnah yang mendatang lantaran Kamal tiba-tiba muncul kembali dalam hidupnya? Hanya “Tidak Ku Pinta” yang akan dapat memberikan jawapannya kerana apa yang berlaku bukanlah hak kita sebagai makhluk Allah untuk menentukannya!
Selamat membaca!....

* * * * * * *

Karya Terdahulu Kamsiah Abu:

Notapipi:

wa dah rembat kat markas sabtu lepas, ISO kicap weyy!....so dunn my geng...hehehe

sebenarnya banyak gak buku-buku baru keluaran Buku Prima kat kedai tapi awat laa kat website depa tak update langsung...issy sungguh tak berjiwa IT depa ni laa...


Wednesday, January 14

Pesta Buku Alaf

Gapura


Tajuk : Gapura
Penulis : Zehann Ur Rakhie
Penerbit : Pekan Ilmu Publication Sdn Bhd
Harga : RM22.90
Cetakan Pertama: 2007
Genre : Thriller
Bintang : 5


------------------------------------------------------------------
“ Gapura?…”
“ Gapura tu pintu gerbang,".
“Ooo..."


Apa Kata Saya :

Tatkala enak melayan naskhah yang cukup mengujakan ini, saya dikejutkan dengan satu pertanyaan “ Gapura itu apa dik?..”..Menoleh kearah suara yang bertanya, saya melihat seorang petugas di kantin Sekolah Rendah Gombak (2) memandang saya. “Ntah kak, saya pun tak tau..”balas saya sambil tersenyum padanya. Dia tersenyum sama lantas berlalu. Saya membawa naskhah ini menemani saya ke sekolah anak saudara yang baru memulakan alam persekolahan tahun ini. Selain menjalankan tugas “spy’ di situ, masa yang terluang boleh juga diisi dengan aktiviti yang menyegarkan mata. Soalan yang diajukan kakak kantin itu membuatkan saya terfikir lantas membawa saya menyelongkar kamus usang di rumah…ha jumpa!

Gapura dari istilah bahasa bermakna pintu gerbang namun dari konteks naskhah penulis, saya fikir ia membawa pengertian pertubuhan atau gagasan persendirian… (maaf Zehann kalau saya silap....hehehe). Ya, Gagasan yang dibina dan diasaskan oleh seorang bernama Stephen dan Man Jai a.k.a Man Chai...Gagasan yang membina empayar dadah terbesar di Kuala Lumpur yang mempunyai rangkaian ejen-ejen dan sub-sub pengedar yang berantaian di seluruh pelusuk ibu kota.


Usai membaca naskhah ini, terasa benar kelainannya. Bukan kerana penulisnya yang pertama kali saya tatap karyanya tetapi jalan cerita yang ditampilkan mengkagumkan...sangat-sangat mengkagumkan!.Dunia Gangsterisme, dunia jenayah sindiket dadah penuh selut, lumpur diiringi istilah, terma mahupun jargon dunia jenayah yang diperincikan dengan setelitinya penulis lalu dilayarkan ke naskhah bercetak ini... seumpama kita menonton sebuah filem..hebatnya!

Suatu yang paling menarik tentang Gapura adalah pendekatan pembinaan naratifnya yang sangat jarang dibuat oleh penulis-penulis kita. Pembinaan naratif yang dibina penulis ini telah membezakan sekaligus menjadikan Gapura unik sekali. Sesetengah novel membentangkan naratifnya kepada pembaca dan pembaca pula mendapat laluan dengan mudah sekali. Ini tidak terjadi pada Gapura. Jangan bermimpi jika ada fikir akan berjumpa kaedah begitu di dalam naskhah ini. Gapura tidak membentangkan secara percuma pada pembaca tetapi mengheret pembaca sama di dalam jaringan naratifnya yang mungkin bagi sesetengah pembaca mengganggapnya sangat kompleks…mencabar bukan?, tetapi cabaran inilah sebenarnya suatu yang sangat menghiburkan!. Permainan inilah justeru yang mengangkat Gapura menjadi sesuatu yang baru dalam dunia penulisan kreatif tanahair.

Gapura digerakkan secara tidak linear. Penulis menggerakkan Gapura secara bertentangan dari kebiasaan yang acapkali kita temui dalam karya-karya lain di pasaran. Maka, sekiranya pembaca membaca tanpa persiapan fikiran yang sedikit dalam, tersasar tumpuan mereka pasti tersesat di dalam manipulasi Gapura. Sebagai sebuah karya yang naratifnya dibina secara bukan linear, sememangnya Gapura kelihatan agak menyukarkan kepada pembaca yang mencari hujung dan pangkal secara teratur.Malahan tanpa penumpuan yang khusus, terlepas pula tanda-tanda atau “clue” pembaca pasti akan hilang pertalian naratif yang dibina dalam naskhah hebat ini. Penulis bagi saya memberikan banyak papan penunjuk arah supaya pembaca tidak tersesat jalan.

Gapura bukanlah sebuah kelas pendidikan am atau kelas sivik yang memberitahu pembaca tentang bahaya dadah, jenayah dan apa juga urusan yang bersangkutan dengannya. Pesanan itu memang ada diselitkan penulis tetapi tidak berupa sekeping nota penting atau sepucuk telegram yang disampaikan secara langsung dan dengan kaedah yang paling tidak menarik. Gapura ada kenyataan sosialnya tentang amalan buruk dan keji ini tetapi yang lebih besar, lebih utama adalah bagaimana menerusinya pembaca dibawa meneroka dan mengetahui akibat dari perbuatan dan amalan berkenaan. Dibentang secara langsung..di depan mata.

Gapura memaparkan 1 cerita yang mempunyai 2 plot utama yang dibahagikan pula kepada 3 frasa penceritaan. Plot ini dibina supaya bergerak secara berasingan antara satu sama lain dan ditemukan pada satu titik penyelesaian yang dramatik. Frasa penceritaan yang dibahagikan kepada 3 bahagian cukup kemas digarap penulis. Kita melihat tranformasi watak Man Jai di setiap frasa dipersembahkan dengan cukup cemerlang oleh penulis.


Elemen-elemen suspen, aksi hingga ke kehidupan desa di pulau diolah dan digarap penulis dengan cukup cantik sekali. Penulis nyata banyak menaikkan mood suspen apabila setiap babak pembunuhan digambarkan ringkas tetapi cukup teliti dan ia ternyata cukup membuatkan pembaca berhenti seketika dan menarik nafas semula..fuhh!.Garapan “sinematografi’nya sangat-sangat hebat, berkesan dan nampak sangat hidup biarpun cuma di lembaran kertas putih yang bercetak!. Ia memberikan satu rasa, satu perasaan yang cukup nikmat buat pembaca.

Man Jai a.k.a Man Chai atau Jaiko juga dikenali sebagai "a NTLG; a nothing to lose guy "merupakan nadi utama yang menggerakkan Gapura secara total. Perwatakannya yang agak misteri diasimilasikan penulis dengan cukup cemerlang. Tranformasi dari perwatakan Man Jai ke Mansyah sangat cantik digarap penulis.Perwatakan Man Jai cukup mengisi ruang tuntutan gambaran wataknya, dari segi imej, bahasa tubuh, perlakuan juga riak wajah. Saya juga tertarik dengan watak Eddie, Ujang, Bruno juga Acoi. Biar sebentar, cuma seketika namun cukup meninggalkan kesan. Antagonis Andy Loo dan Cheah cukup berjaya dihitamkan penulis. Saya cukup meluat dan geli dengan perwatakan Harun…tapi kenyataannya spesies sebegini memang bersepah di luar sana.

Kebijaksanaan penulis memanipulasi jalan cerita yang secara zahir nampak klise cukup mengkagumkan saya. Acapkali saya terperangkap dengan telahan sendiri yang jauh tersasar dari yang sebenarnya...tidak terduga di minda apalagi merasakan di naluri begitu sudahnya kisah nan cukup mengujakan ini dinoktahkan. Penyudah cerita biarpun ringkas namun cukup meninggalkan kesan yang cukup mendalam..puasnya menatap karya ini!.

Buat Zehann...Gapura anda sungguh hebat, idea dan kreativiti dari penaan anda juga hebat ..anda juga sungguh hebat. Tahniah atas kecemerlang anda memotretkan sebuah karya nan cukup bagus ini buat tatapan kami pembaca sekalian. Semoga anda akan terus menghasilkan karya sehebat ini dimasa akan datang.Terima kasih juga pada rakan kentalan Geng Kicap ;nick dan silencez yang tidak putus asa mempromosi dan menyuruh saya membaca naskhah anda yang hebat ini...thks beb!

Buat anda diluar sana yang belum menatap naskhah ini...anda masih tidak terlewat untuk mendapatkannya...anda perlu membaca Gapura. Ia suatu yang cukup sukar saya gambarkan dengan kata-kata tentang keindahan, tentang nilai estetika kehidupan di dalam naskhah ini. ..yang saya pasti..anda tidak akan sama sekali kecewa membelinya.



Sentuhan Cinta


Tajuk : Sentuhan Cinta
Penulis : Haiza Najwa
Penerbit : Alaf21
Harga : RM18.00
Cetakan Pertama: 2008
Genre : Romantik & Kekeluargaan
Bintang : 4



-----------------------------------------------------------------
“ kecantikan sebenar seseorang itu terletak pada hatinya…”

Apa Kata Saya :

Agak lama juga saya mencari naskhah ini dan hanya baru-baru ini menemuinya dan kebetulan ia salinan terakhir yang mereka ada di kedai tersebut…alhamdulillah, memang rezeki saya. Seorang rakan Geng Kicap mencadangkan saya membacanya kerana ia membawa satu tema yang agak berlainan sedikit dan jalan cerita katanya sangat menarik diikuti.

Sentuhan Cinta (SC) merupakan satu percubaan yang cukup baik dari penulis ini bagi menzahirkan sebuah karya yang berteraskan kefahaman psikologi manusia. Konsep dan pemahaman sudut psikologi tersebut diasimilasikan penulis menerusi watak utama novel ini iaitu Hurin Ain dan menerusinya ia dikembangkan dengan cukup baik sekali. Penulis bagi saya membuat kajian rapi tentang tema cerita yang ingin disampaikan beliau menerusi naskhah ini. Mesejnya cukup terkesan di jiwa kita sebagai pembaca, kita turut berkongsi emosi tatkala Hurin dihambat kekejaman mental kesan dari masalah intepritasi mindanya yang teruk dicelarukan…kasihannya Hurin!!

Kalau ada yang berpandangan konsep cerita ini adalah seperti sebuah dongengan versi moden yang cuba dimomokkan penulis, ia sebenarnya kurang tepat. Jangan terkejut jika ia suatu permasalahan kejiwaan yang sedia wujud dalam persekitaran kita..di sekeliling kita, cuma yang membedakannya adalah topiknya sahaja. Di sini topiknya ialah kecelaruan personaliti. Kecelaruan pada minda yang telah tanpa disedari mengendurkan sifat jati diri pada individu berkenaan secara perlahan-lahan.

Naskhah ini menyingkap kisah kehidupan seorang gadis kacukan inggeris-melayu bernama Hurin Ain yang mengalami kecelaruan personaliti kesan dari perbuatan kejam ibu tirinya; Tajiyah sejak dia kecil lagi yang mengadaptasi ke minda anak malang ini bahawasanya dirinya sangat hodoh, matanya nan biru itu umpama mata pontianak dan rambut perangnya nan beralun itu umpama rambut hantu kubur. Kesan dari akal fikiran yang telah dihipnotis dari kecil dia mempunyai tanggapan dan persepsi yang berlawanan sifatnya terhadap fizikal dirinya sendiri walau pada hakikat sebenar ia adalah bertentangan sama sekali... dia kanak-kanak yang sangat comel dan dewasa menjadi wanita yang cukup mempersonakan pada mata yang memandang. Tanggapan ini akhirnya berkembang dalam minda anak kecil ini dan membentuk satu persepsi kejam terhadap dirinya sendiri.Dia merasakan dirinya jelik, buruk dan tidak segandingan dengan orang lain di dunia luar dan perkara ini berlarutan hingga dia menginjak usia dewasa dan terus terpahat kukuh di minda dan sanubarinya tanpa dapat digugat.

Perwatakan dalam SC memberikan tumpuan yang berkesan kepada tonggak utama cerita ini; Hurin Ain Ilham dan penulis menggarap perwatakan Hurin dengan cukup berkesan sekali. Bahasa tubuhnya cukup baik dizahirkan penulis. Tidak ketinggalan watak-watak pembantu lain yang turut merancakkan jalan cerita ini. Steven Zaiful Aman , Redzal Idham. Watak-watak antagonis turut dipersembahkan dengan cukup baik oleh penulis.Tajiyah, Rini & Rima dipotretkan dengan cukup kelam sekali oleh penulis.

Penggunaan terma-terma, istilah atau jargon didalam dunia psikologi yang sedikit sebanyak diselitkan di dalam naskhah ini amat bersesuaian dengan jalan cerita dan bertepatan dengan masa dan keadaannya. Laras bahasa mudah difahami biarpun ada penggunaan unsur-unsur metafora juga personifikasi yang bertujuan mengindahkan suasana dan mood cerita.

Mesej yang jelas menerusi naskhah cantik ini anak-anak umpama kain putih…mereka bersih, tulus, jujur….diserakkan dengan warna putih, tuluslah dia, kalau hitam, maka kelamlah dia. Justeru itu, jiwa anak-anak janganlah dikotori dengan elemen-elemen negatif juga momokan songsang kerana segala apa yang diterapkan dalam minda mereka dari kecil akan memberi kesan pada tingkah-laku juga mempengaruhi persepsi mereka terhadap perkara tersebut apabila dia dewasa kelak.

Buat Haiza Najwa, tahniah atas percubaan anda didalam mengenengahkan permasalahan ini menerusi Sentuhan Cinta. Semoga anda akan terus kreatif berkarya di masa hadapan dan memotretkan kisah-kisah masyarakat untuk dikongsi bersama dengan para pembaca sekalian.

Tuesday, January 13

SEBUAH LAGI NOVEL UNTUK BULAN JANUARI



Tajuk : Mantera Hitam
Penulis : Serunai Faqir
Penerbit : Alaf 21 Sdn Bhd

MANTERA HITAM... sebuah novel fiksyen fantasi yang akan membawa anda merentasi alam ghaib, sehingga berasa tidak lagi berada di alam realiti!

Sinopsis/Blurb

SPIRIT OF THE COIN... sebuah permainan mistik yang menggunakan duit syiling untuk menyeru roh orang yang sudah mati. Kehadiran roh akan ketahui apabila duit syiling yang digunakan bergerak sendiri.

Pada suatu malam dalam perkhemahan di tepi sungai, Nik mengajak Hizal dan Tunku bermain spirit of the coin.Perasaan takut dan teruja saling berbaur. Walaupun Hizal dan Tunku memperlekehkannya, namun naluri ingin tahu lebih menguasai.

Namun apabila bulu tengkuk meremang, mereka saling berpandangan. Serentak dengan itu, guruh berdentum di langit. Bau kemenyan menyantak ke hidung. Gerimis mula menerjah.Akibatnya, mereka direnggut ke alam yang tidak pernah dialami selama ini. Perbuatan mereka itu mengundang kecelakaan,menjemput malapetaka yang tiada berkesudahan.

Nota : Serunai Fakir bukan nama baru dalam bidang penulisan. Karya-karyanya seperti cerpen dan puisi banyak tersiar di majalah-majalah & akhbar-akhbar tempatan. Bersama Alaf 21 Serunai Fakir telah menghasilkan sebuah novel iaitu Mentera Hitam.

Setulus Hati


Tajuk : Setulus Hati
Penulis : Rozita Abd. Wahab
Penerbit : Alaf21
Harga : RM18.00
Cetakan Pertama: 2008
Genre : Romantik & Kekeluargaan
Bintang : 4 1/2


------------------------------------------------------------------
“... kasih sayang yang tulus umpama air yang mengalir . ..damai dan amat menyamankan jiwa..”

Apa Kata Saya :

Sekian lama menyepi, penulis berbakat besar ini kembali merancakkan persada seni penulisan kreatif tanahair dengan naskhah terbarunya; Setulus Hati (ST). Dari dulu lagi saya sangat menggemari gaya penulisan Rozita yang sentiasa disulami elemen-elemen romantik di samping sisipan nilai-nilai ukhuwah kekeluargaan yang cukup cantik didalam beliau menyampaikan mesej karyanya kepada khalayak pembaca.

ST membawa pembaca menyusuri kehidupan seorang wanita muda; Zulaikha Zakaria @ Ika yang diceraikan suami kerana keengganannya bermadu. Dengan persetujuan perjanjian perceraian yang memberi hak jagaan 2 anaknya; Nur Farisya @ Risya dan Amirul Hakim @ Hakim kepada Zulaikha, episod kehidupan barunya bergelar janda muda bermula.

ST membawa tema kasih sayang yang tidak terbatas dan berbelah bagi antara 2 insan ; antara seorang suami terhadap isterinya juga seorang adik terhadap abang kandungnya. Ia tema yang cukup indah dizahirkan penulis kerana jalan ceritanya penuh nilai kasih sayang dan rasa saling memahami.Penulis menggarap begitu indah rantaian antara kedua-dua hubungan istimewa ini sehinggakan kita tersentuh dan merasai tiap detik indah, manis, ceria, juga ketika sedih dan dugaan datang melanda.

Persembahan “sinematografi” ST bagi saya cukup berkesan sehingga membuatkan pembaca merasa seolah-olah turut berada di "lokasi". Kita turut tidak sabar mengetahui jalan cerita selanjutnya. Penulis berjaya mengheret mata pembaca agar tidak berganjak dari naskhah hitam putihnya ini hingga ke noktah terakhir. Suntingan yang baik banyak membantu keberkesanan naskhah ST agar pergerakkan cerita beralun senada dengan jalan cerita juga mesajnya.


Perwatakan yang dibina penulis dalam ST juga begitu berketerampilan dengan Zulaikha yang menerajui jalan cerita sebagai tonggak utama dibantu watak pembantu utama; Zaidi juga Nik Azahan nampak seimbang sumbangannya di dalam mewarnai keseluruhan jalan cerita. Tidak dinafikan watak-watak pembantu lain yang dicipta penulis juga turut mencantikkan perjalanan ST ini. Zamri, Risya, Hakim turut sama bergandingan memberi impak maksima dalam ST.

Penggunaan laras bahasa amat sederhana, mudah diterima dan dihadam minda pembaca. Adakala tanpa perlu metafora dan personifikasi yang mendayu-dayu, ia tetap mampu membuai perasaan pembaca jika betul teknik dan kaedahnya. ST membuktikannya. Tanpa elemen-elemen berkenaan, naskhah ini tetap hebat membuai rasa, menyentuh naluri pembacanya.


Buat penulis muda nan berbakat yang amat saya kagumi ini, tahniah diatas kelahiran karya terbaru anda ini. Semoga anda akan terus hebat memenakan hikayat kehidupan buat tatapan pembaca juga peminat-peminat anda. Buat pembaca,Setulus Hati sangat indah hujah manusia dan kemanusiaannya, maka rugilah anda jika tidak memilikinya.

Monday, January 12

Novel Cinta Januari 2009



Tajuk : Horizon Cinta
Harga : RM18.00

M/S : 496 Halaman
Terbitan : Alaf 21 Sdn Bhd

Blurb

Zariz seorang pelaut yang cintakan kedamaian dan ketenangan. Hidupnya yang dikelilingi lautan luas menjadikan diri­nya sepi. Temannya hanyalah pukulan ombak dan desiran angin. Cuma sesekali kicauan camar laut hadir menghidupkan hari-harinya. Bibirnya jarang meng­ucapkan kata-kata, hanya telinganya tekun mendengar dan mata yang rajin menilik.

Berbeza dengan Zara, seorang gadis yang lin­cah dan pandai berkata-kata, sesuai de­ngan kerjaya yang menuntutnya bertemu orang ramai. Pesonanya menjadikan Zara cukup mudah didekati. Cuma ada ketika, sikapnya yang terlalu peramah menyusahkan orang lain. Zara senang dikerumuni, di­minati dan gemar berada di antara kelompok manusia lain.

Takdir menemukan mereka. Zara dan Zariz bagaimanapun ibarat anjing dan kucing. Andai berjumpa, pasti bertingkah kata, berselisih pendapat. Ego yang beraja di hati menjadikan mereka tegar me­nyakiti satu sama lain. Tanpa sedar, per­telingkahan demi pertelingkahan mereka mewujudkan kesebatian. Dalam diam, benci menjadi rindu, dendam menjadi sayang.Namun, mudahkah mereka melafazkan kata cinta kerana ma­sing-masing pernah melukai?

Tahniah Rose Harissa a.k.a Nora Ismail


Tajuk : Mulanya Satu Cinta
Harga RM18.00

MS: 496
Penerbit : Alaf 21 Sdn Bhd
Terbitan : Januari 2009
-------------------------------------------------------------------


"Kau nak aku berterus-terang? Ya, kau memang menjadi bebanan aku. Tapi aku perlukan kau sebagai bebanan. Iryanie… aku ibarat kapal. Tanpa bebanan yang dilemparkan di laut, kapal itu akan terumbang-ambing. Kau ibarat sauh. Tanpa sauh, aku akan terumbang-ambing tanpa arah…” - Ezli

“Iryanie… kau tahu tak, bila aku melihat kau, aku rasa aku dah bertemu dengan tulang rusuk aku yang hilang…”
------------------------------------------------------------------------------
Sinopsis
EDDY EZLI dan Khairina berkahwin di luar negara ketika mereka masih bergelar pelajar. Malangnya, ketika anak mereka, Afizan berusia dua bulan, Khairina berlaku curang kerana desakan hidup di rantau orang.
Akibat mengejar cinta lain, Khairina meminta cerai dan hak penjagaan anak diserahkan kepada Ezli. Kerana dikecewakan, Ezli menutup pintu hatinya untuk menerima kehadiran wanita di dalam hidupnya.
Namun, permulaan yang tidak diduga telah menemukan Ezli dengan Iryanie yang diupah untuk mengasuh Afizan. Ibu Ezli terpaut dengan layanan mesra yang ditunjukkan oleh gadis itu.

Hubungan Iryanie dan Afizan semakin rapat sehingga anak itu selesa memanggilnya 'mama'. Akhirnya, Ezli patuh pada fitrah manusia bahawa dia amat memerlukan ibu untuk anaknya dan teman buat dirinya. Cinta dan rindunya mula berputik terhadap Iryanie.

Namun, kemunculan semula Khairina untuk merampas Afizan telah membuatkan Ezli hidup dalam kebimbangan. Pelbagai cara digunakan oleh wanita itu dalam mendapatkan kembali anak itu daripada Ezli.

Konflik dan krisis bagai tak berkesudahan sehingga terbawa ke kamar mahkamah. Namun, dapatkah mereka menerima keputusan pengadilan yang akan melukakan salah satu hati?

Notapipi:
Rose, wa selalu teruja ngan lukisan2 lu aar...cun banget beb...anyway, congrat beb...wa dah rembat semalam buku ni kat markas...

CESB - Januari


Sudah terbit:

akan terbit 15 Januari
sorry.. tak sempat scan malam tadi. later on.

tajuk: sonata kasihku
penulis: siti hazneza abdul hamid
Harga: RM17.90

blurb:

Aku ibarat kuda yang patah kakinya… berlari dalam kesakitan sambil ditemani rintih-rintih hujan… demi meraih sebuah kemenangan cintamu. Namun kemenangan itu nyata bukan milikku bilamana Allah yakinkan aku yang engkau bukanlah diciptakan untukku. Tapi… izinkan aku terus mendoakanmu Yun, mendoakan kebaikan untukmu di dunia dan akhirat. Karena dengan itu roh kita akan saling mengenali.

di sebalik sonata kasihku.. aku cuba mencari kebahagiaan diri bersama adam. seorang suami yang sanggup dimadu oleh isterinya. bilamana aku gelisah ingatkan yun, keutuhan mahligai kasihku bersama adam mula goyah. goyah dilanda badai tatkala cemburu merantai hati. namun demi kasih yang mula berputik.. akan kubajai sehingga ia mekar mewangi.



tajuk: biarlah rahsia
penulis: rosliza razali
Harga: RM16.90

blurb:
Izzah,
Jika pungguk kesepian karena rindukan sang rembulan… aku pula dilanda sepi karena rindukan sang arjuna yang telah ditawan hatinya. Lantas salam yang dihulur bersambut sayang walau telah kutahu hubungan ini tak mungkin ke mana-mana.
Zaki,
kau seharusnya tahu yang dia lebih berhak, biarlah aku mengalah.
Zaki....Izzah… sejak mengenalimu aku berada di antara dua persimpangan sama ada harus meneruskan hubungan ini atau mempertahankan mahligai kasih kami yang telah lama tersergam. Namun setelah kau pergi, hati ini dilanda penderitaan… derita karena tak dapat memiliki ketulusan cintamu. Atas nama cinta akan kucuba menjadikan anyaman mimpi kita sebagai suatu kenyataan. Bersabarlah sayangku…

Tengku Azhar,
Maafkan abang Izzah karena menduakan kasihmu. Abang tak cukup kuat dalam mempertahankan mahligai kasih kita bilamana sekeping hati menjadi taruhan atas budi yang ditabur. Andai sayang pergi jua dari hidup abang, abang terpaksa merelakannya….

Thursday, January 8

Sejuta Nafas Cinta by Shanika Latisha


Tajuk: Sejuta Nafas Cinta
Penulis: Shanika Latisha
Penerbit: Alaf 21 Sdn Bhd
Tahun 2008


"Hadirlah kau ke dalam hidupku, meskipun sebagai mimpi"


Ini bukan kali pertama saya membaca novel by Shanika Latisha. Saya tak pasti sama ada penulis ni ada novel dengan publisher lain selain Alaf21 tapi karyanya dgn alaf rasanya saya dah baca ketiga-tiganya termasuk yang terkini, Sejuta Nafas Cinta. Penulis ini sentiasa berani mencuba memasukkan kisah berat ke dalam karyanya. Dalam 'Selamat Tinggal Memori' beliau menceritakan perjalanan hidup seorg pengedar dadah yg menjadi pelarian, manakala dalam 'Kasihku Abadi' beliau menyelitkan kisah pengidap HIV Aids dan angkara ubat guna-guna dalam rumahtangga pasangan suami isteri yg berkahwin atas pilihan keluarga. Kedua-dua kisah tersebut membuat saya sentiasa ingat pada nama 'Shanika Latisha' walaupun ianya bukanlah cerita favourite saya. NOvel ketiganya sudah tiba di pasaran dan saya baru selesai membacanya semasa cuti krismas yang lalu.


Kali ini Shanika Latisha memilih kisah pasangan suami isteri yang lama menunggu kelahiran cahaya mata sehingga sudah mula disindir org sekeliling.


Buku ni taklah setebal mana, namun terbit kepuasan membacanya. Shanika Latisha kelihatan seperti penulis yang sangat matang dalam karyanya ini. Susunan bahasanya lembut dan mendalam. Gelora jiwa-jiwa dalam watak2 "Sejuta Nafas Cinta" dilakarkan dengan baik sekali sehingga sukar utk melepaskan buku bila membacanya.


Bagi saya kisah sebegini jarang dilakarkan oleh penulis2 muda. Tahniah buat Shanika Latisha kerana berjaya menyampaikan kisah ini dengan cara yang sangat berkesan. Ada nilai yang patut dibanggakan dalam novel ini.


Saya dapat rasakan Shanika sangat akrab dengan watak2 dalam dunia "Sejuta Nafas Cinta". Setiap watak, tak kira kecil atau besar, mempunyai jiwa dan sangat real dalam cerita ini. Bait-bait rasa yang diluahkan dalam perkataan sangat berkesan kpd saya dan membuat saya turut berada dalam dunia "Sejuta Nafas Cinta". Saya masih ingat Wana, arwah Risyam dan anak2 mereka, Rania & Rayyan (dari "Kasihku Abadi) :) Good to see them back. Wana masih lagi kuat mengharung hidupnya tanpa Risyam.


Sekalung tahniah buat Shanika Latisha atas kelahiran "Sejuta Nafas Cinta" ini. Saya sangat puas menatap kisah ini. Kepiluan Carisha dan Ayu dapat saya selami sepenuh hati. Kedua-dua wanita ini bergelut dlm kemelut yang sama; iaitu anak. Mimpi menemukan mereka dan baby2 mereka yg belum lahir. Bagi Carisha mimpi itu bagai satu kemusnahan manakala bagi Ayu mimpi itu adalah suatu pengharapan. Sentuhan scene mimpi tu membuat saya semakin sebak dan menitiskan air mata.


Selain itu turut diselitkan konflik hubungan ayah-anak antara Sean Mukhriz dgn ayahnya dan juga konflik perasaan Aril yang terduga cintanya buat Ayu apabila Marsya muncul dalam hidupnya. Walaupun byk kisah disulam dalam novel ini, ianya sangat kemas dan memberi signifikasi kepada cerita dan tidak berserabut.


Bagi saya ini adalah happy ending. Walaupun Imrana pergi, namun sebahagian kecil dari dirinya membesar dalam Zahin dan pertemuan Zahin dgn seorg budak perempuan dalam mimpinya membuatkan saya meremang bulu roma dan menitiskan air mata. huhu... Bacalah novel ni utk menghayati naluri seorg bakal ibu yang hebat diuji. Bagi yang sudah lama mengulit pelbagai novel2 melayu di pasaran, tentunya anda mencari kelainan dalam kisah yg anda baca. Novel ini mungkin mampu memberi sesuatu yg segar kepada anda :)


Kehilangan itulah yang mencetuskan satu nafas baru yg menjadi satu-satunya permata dalam hidup insan lain. Ternyata ALLAH membalasnya dengan ganjaran yang amat besar. :) Carisha mendapat kasih bapa mertua yg pernah membencinya dan permata baru dalam hidupnya, Imran.


All the best to Shanika Latisha :)


sure fine whatever
rinn


sinopsis belakang buku:


Kata orang, penantian itu satu penyeksaan. Sabar itu separuh daripada iman. Itulah rentetan sebuah kehidupan Nurul dan Aril. Kesabaran mereka diuji apabila permata hati yang bertahun-tahun dinanti disahkan mengalami komplikasi jantung. Terasa luluh dan remuk redam hati apabila impian yang bertahun-tahun dianyam, dicarik tanpa rela.


Di saat getir beginilah, terjadinya satu keajaiban. Pertemuan Nurul dengan Carisha... ibu muda yang disahkan menghamilkan bayi yang tidak dapat dijangka hayatnya. Bukan menyerah kalah, bukan cepat pasrah, tetapi Carisha nekad ingin mendermakan jantung si anak buat mereka yang lebih memerlukan. Tapi, bolehkah? Semudah itukah?


SEJUTA NAFAS CINTA... menyelami erti sebuah kecekalan. Kekuatan hati sepasang wanita melalui segala kemelut... mengenepikan gelojak perasaan semata-mata untuk membahagiakan hati sendiri, juga hati lelaki bernama suami yang adakalanya sukar dimengerti.


Kesabaran apalagi yang diharapkan andai segala pengorbanan telah dipertaruhkan? Segala kesetiaan telah dicurahkan? Segala doa telah dititipkan?

Friday, January 2

takziah

untuk makluman, ayah kucc_aprilsnow telah kembali ke rahmatullah pada malam tadi. moga arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan di sisi orang2 yg beriman.

sis.. kuatkan semangat tabahkan hati.

nick.. thanks much for the info.