Wednesday, May 27
Odisi Bulan Biru
Tajuk Buku : Odisi Bulan Biru
Penulis : John Norafizan
Penerbit : Jemari Seni Publishing
Harga : RM20.00
Cetakan Pertama : 2009
Genre: Pengembaraan
Bintang : 3.5
---------------------------------------------------------------
“setiap dari kita punya kekuatan tersendiri. Tuhan tak pernah biarkan setiap manusia tu hanyut dalam arus dunia begitu sahaja…”
Apa Kata Saya:
Manusia dengan segala sifat kelemahan yang dikurniakan padanya memang tidak sunyi dari menjana kesilapan. Adakalanya kesilapan yang dilakukan akan mengundang penyesalan seumur hidup dan diri akan terbeban dengan perasaan itu selama-lamanya. Masih adakah ruang dan kesempatan untuknya menebus kesilapan itu kerana apa yang telah berlaku tidak mungkin dapat diundur…Hanya pada-Nya sahaja kita sebagai manusia mampu meminta...mampu berserah.
Inilah tema yang dibawakan oleh penulis lewat naskhah terbaru beliau ini; Odisi Bulan Biru (OBB). Kisah yang mengangkat persoalan tentang keinginan seorang insan untuk menebus kesilapan..atau lebih tepat dosa masa lalu terhadap insan-insan yang rapat dengannya. Lalu proses penebusan itu menyeret takdir dirinya untuk dipertemukan kembali dengan kisah hidup insan-insan lain yang punya peristiwa sedihnya yang tidak jauh bezanya dengan dirinya lalu ia bagai lontaran masa lalu yang secara tidak langsung menemukan dirinya pada matlamat dirinya yang asal. Persoalan samada tertebuskah dosa silamnya itu dengan penggantian pertolongan yang dihulur pada insan-insan yang ditemui lewat penjalanannya itu…hanya Dia yang lebih tahu.
OBB juga merupakan naskhah yang membentangkan gambaran puitis tentang rentetan kehidupan manusia di dalam mencari kebahagiaan, rasa kecintaan pada kehidupan dan segala kebalikannya. Gambaran kisah yang berkonsepkan cerita di dalam cerita ini agak asing bagi pembaca di tanahair, saya sendiri memang merasakannya…agak sukar juga saya untuk mencari rentak bagi mengikuti perjalanan kisah yang dibawakan penulis kali ini. Laras bahasanya banyak menyelitkan elemen bahasa yang cukup estetik dengan sisipan metafora dan personifikasi yang sangat bersesuaian dengan kecamukan jiwa-jiwa yang terlibat disepanjang penceritaan didalam naskhah ini.
Plot cerita berkembang sejajar dengan proses penceritaan dan unsur flashback digunapakai bagi penulis menerangkan hubungkait watak utama dengan peristiwa yang berlaku di masa lampau. Penggunaan dialog begitu minima sekali diterapkan dalam naskhah ini dan plot cerita tidak langsung bergantung kepada dialog tapi digerakkan secara keseluruhan dari penceritaan yang disampaikan oleh watak utama.
OBB menyeret pembaca untuk sama-sama mengikuti perjalanan Akira yang penuh berliku...penuh duri merentasi benua dari negara terbit matahari hingga Turki di dalam pencarian dirinya demi sebuah matlamat kehidupan yang mungkin sukar untuk dicapai kesan kesilapan /dosa yang dilakukan dalam hidup. Akira merasakan dirinya penyebab kematian ibu dan adiknya, Umazaki/Oroka juga penyebab bapanya menanggung malu kesan keceluparan lidahnya lalu membawa diri jauh dari kampung halaman dan cuba membunuh diri namun diselamatkan oleh seorang insan istimewa bernama Yamata. Dari kacamata Yamata, Akira dapat melihat kehidupan ini dari sisi yang lain. Setiap yang ditimpa, pasti ada hikmah yang tersirat. Lalu kesilapan itu cuba diperbetulkan untuk kembali pada ayahnya..sayangnya ayahnya telah meninggalkan rumah untuk cuba menjejaki dirinya!. Rentetan perjalanan seterusnya lalu menemukan dirinya Akira dengan Doktor Ayumi dan adiknya Kafka yang amat seiras dengan dirinya…juga menemukan dirinya dengan Nakamura. Dan penemuan ini membawa malapetaka yang cukup besar dalam hidup mereka bertiga. Malapetaka yang telah mengubah diri Kafka secara total hanya kerana hasutan Nakamura untuknya menjejaki kitab yang mengandungi nama Allah yang keseratus. Kitab yang dikatakan mampu menjana kuasa jika pemiliknya dapat mengetahui rahsia nama tersebut. Lalu didalam perjalanan Akira dan Doktor Ayumi menjejaki Kafta, dia ditimpa dan diduga dengan pelbagai kejadian perit di dalam perjalanannya membantu mereka berdua…dan dia dipertemukan juga dengan Qistina, gadis melayu yang terperangkap oleh kedurjanaan Nakamura. Akira tanpa sedar terhumban di dalam permasalahan insan-insan lain yang memerlukan bantuan dirinya untuk dilepaskan dari belenggu kuasa insan berhati syaitan…Nakamura!
Pembinaan perwatakan Akira direalisasikan secara sederhana oleh penulis namun cukup mengujakan dan sifat inilah yang mengundang perasaan ingin tahu di hati pembaca tentang diri Akira. PerwatakanYamata yang misteri cukup menarik perhatian saya. Kemunculannya cukup istimewa dan di waktu-waktu yang cukup cantik tatkala Akira memerlukan pertolongan. Perwatakan antagonis Nakamura cukup berkesan dipenakan penulis…dengan gambaran yang cukup memualkan tentang dirinya, pasti sahaja mengundang kebencian pada wataknya hingga ke noktah terakhir.
Buat penulis, tahniah…anda sangat kreatif dengan keberanian menampilkan satu kelainan pada naskhah terbaru ini..kelainan yang sangat-sangat menguji minda. Semoga anda akan kekal berkarya dengan mencurah idea indah anda untuk dikongsi bersama penggemar naskhah kreatif tanahair yang lain.
Nota buat Penulis:
John,…perlukah metafora yang begitu teknikal sifatnya saat Akira terjun dari gaung tatkala cubaan membunuh diri?...sukar sungguh minda saya menghadam perlambangan yang anda berikan…hehehe.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment