Wednesday, October 20

Kucc Reviews: TuHan Masih MencinTaiku...


Resensi Saya:

Tema & Mesej;
Sekuel Mencari Cinta Tuhan ini menjurus pada persoalan kemanusiaan sejagat yang sentiasa melingkari kehidupan. Pasang surut, naik turun carta diri adalah lumrah dunia. Berada dipuncak suatu ketika lalu dipuja dan saat tersungkur dipinggir itu hukum alam ciptaan manusia rakus. Dipersembahkan dengan begitu baik demi membawa mesej indah ini kepada khalayak pembaca.

Perwatakan;
Azrul Rasyid nadi pada Tuhan Masih Mencintaiku. Perubahan diri yang berputar 360 darjah dari kedudukan asal; persoalan sikap dan peribadinya yang tiba-tiba bagai dihembus bayu firdausi mengejutkan seisi pejabat dipotretkan dengan sebaiknya oleh penulis. Namun berhijrah dari kelaziman yang jahil kepada sesuatu yang baru, segar dan lebih putih tidak akan semudah yang disangkakan. Perwatakan Azrul yang mengalami tranformasi diri ini sebaiknya dilayarkan penulis demi menyampaikan mesejnya pada seisi pembaca. Saat mengetahui siapa diri yang sebenar bila terbongkar kisah silam penuh hitam keluarga dipenakan dengan baik oleh penulis. Kita bagai boleh merasakan perasaan hati juga cetusan naluri Azrul dan ibunya saat berdepan kebenaran ini tersingkap juga tohmahan masyarakat sekeliling.

Khalida Atikah yang selamba! saya sukakan cara wataknya dipenakan penulis. Sikap lurusnya, tulus hatinya yang polos, tanpa secubit curiga malah kelam kabutnya yang melucukan dipotretkan dengan cemerlang oleh penulis.

Antagonis Azee dan cik Latifah yang kembali tidak begitu menggugat pada naskhah kali ini. Bagi saya, Cik Latifah lebih cemerlang pada Mencari Cinta Tuhan.

Gaya Bahasa;
Penerapan dan pengaplikasian lenggok bahasa pertuturan harian dengan kemasukan terma-terma moden pad dialog-dialog tertentu yang diterapkan penulis bersesuaian dengan jalan juga latar cerita. Gaya bersahaja yang digunakan begitu kena dan menangkap!

Plot;
Kaedah kronologi yang menguasai hampir seratus peratus perjalanan juga persembahan cerita. Persembahan dari satu bab ke bab yang lain dijalin dengan baik dan pembaca saya kira lancar tanpa sebarang gangguan yang boleh memjejaskan mood pembaca.

Buat penulis, tahniah untuk sebuah sekuel yang sangat indah dari penaan anda. Dari Azrul dan Khalida anda menyalurkan sebuah mesej sejagat yang begitu dekat dalam kehidupan seharian. Azrul dan Khalida lambang ujian juga anugerah Dia pada
hamba-Nya yang sabar dan beriman.

1 comment:

Lily Haslina Nasir said...

Salam sayang buat semua yg ada dalam dunia kicap...

Lama betul tidak menyinggah sini.. rasa malu dan terharu sebenarnya sebab masih ada yg sudi mahu review dan promote novel kecil ini. Terima kasih sebanyak air di tujuh lautan ya!