Tajuk : Senyum Manismu
Harga: RM19.90
Halaman: 512
Penulis: Rania Firdaus
ISBN: 978-983-124-590-3
Sinopsis: AIN ingin bahagia seperti gadis lain. Kehilangan ibu pada usia yang terlalu mentah, berpisah dengan satu-satunya abang yang dimiliki dan membesar bersama keluarga tiri, memberi banyak cabaran kepadanya. Apatah lagi ayah sendiri bagaikan memusuhi dirinya kerana dialah punca isteri tercinta meninggal dunia.
Lebih malang, apabila dia diusir dari rumah. Membawa diri ke ibu kota adalah jalan sebaik-baiknya. Satu demi satu halangan ditempuhinya dengan hati yang cekal. Di situlah dia belajar erti hidup daripada Fadilah dan Fariz. Ternyata di tempat orang, dia harus berusaha. Bertemu jodoh dengan sepupu sendiri menggamit kemanisan yang diharapkan. Namun, mendung muncul tanpa diduga. Tiba-tiba sahaja Zafran bukan lagi seorang suami yang penyayang. Darlina, bekas teman wanitanya datang mengganggu.
Ain pasrah mengundur diri demi lelaki yang dicintainya. Mungkin kebahagiaan memang tidak akan pernah sebati di dalam hidupnya. Ketika hubungan mereka berdua sedang meruncing, Zafran tersedar akan khilafnya. Dia tahu silapnya membiarkan diri dikaburi oleh perasaan sendiri. Lantas dia berazam untuk memulihkan keretakan rumah tangganya, namun untuk mengubati hati yang luka, banyak dugaannya. Dapatkah Ain menerimanya kembali setelah dia melukai sekeping hati yang cukup luhur?
Tajuk : Cinta Aku Seadanya
Harga: RM19.90
Halaman: 512
Penulis: Murni Aqila
ISBN: 978-983-124-596-5
Sinopsis: ANDAI manusia bisa memilih, tidak mungkin ada yang mahu dilahirkan serba kekurangan, apatah lagi penuh kecelaan. Akan tetapi, mana mungkin itu terjadi. Kuasa ALLAH membataskan segalanya. Kerana itu, Syifa menerima segala ketentuan ILAHI dengan penuh redha. Dipujuknya hati setiap kali dicaci hanya kerana mempunyai tanda lahir di pipi. Apa pun bagi Nafisah, Syifa adalah anugerah istimewa dari TUHAN dengan kelebihan tersendiri hingga dia berhajat menyunting Syifa untuk dijadikan isteri buat anaknya, Muszahri. Dan Syifa, nyata terkejut dengan keputusan Muszahri yang sudi menerimanya.
Duka dan malang datang bertimpa. Entah apa silapnya, Muszahri langsung tidak menyentuhnya selepas mereka diijabkabulkan. Luna, gadis yang memuja Muszahri pula tidak jemu-jemu cuba meruntuhkan istana cintanya. Malah kakak kandungnya sendiri, Zahra sering mencurah bicara berbisa mencacinya. Syifa kelelahan. Kalau bahagia bukan tercipta untuknya, apalah daya. Mungkin itu sudah takdirnya... dipandang tanpa hati, mencintai tanpa dicintai.
Tajuk : Dua Garis Cinta
Harga: RM16.00
Halaman: 368
Penulis: Raiza Ruhila
ISBN: 978-983-124-587-3
Sinopsis: CINTA yang tidak dilafazkan ibarat luka yang membekam. Sanggup menjeruk perasaan sendiri dengan meng impikan sesuatu yang tidak pasti. Begitulah derita yang ditanggung Rosmila sejak sekian lama. Tetapi, Azli, lelaki pujaannya masih tidak mengerti. Mereka akhirnya berpisah membawa haluan sendiri. Suratan takdir menemukan mereka kembali. Rosmila tetap setia menyimpan rasa. Dia masih berteka-teki tentang perasaan sebenar Azli. Akhirnya, lelaki itu melafazkan bahawa Rosmila adalah rindu dan cinta di hatinya sejak dulu lagi.
Namun laut yang tenang, tiba-tiba bergelora diamuk badai. Rosmila ragu-ragu dengan kejujuran Azli. Mulut kata cinta tapi kemesraannya dengan Hidayah, bekas kekasihnya menimbulkan persoalan. Ikhlaskah Azli menerima cintanya? Segala ranjau yang didepani membuatkan Rosmila terfikir sejenak. Sudahkah dia bersedia untuk mendakap cinta yang datang? Atau cinta itu sebenarnya yang cuba menjauh?
1 comment:
Tahniah Murni, Rania dan juga Raiza.
Semoga yang terbaru lebih umpphhh =)
Post a Comment