Thursday, July 29

Kucc Reviews: SweeT SouR...


“...to be upset about what you don’t have is to waste what you do have.”

Apa Kata Saya:

Selamba, ada debaran namun cukup menghiburkan. Tiga elemen menarik ini saya kira bijak diadun mesra oleh penulis lalu terhasillah sebuah naskhah yang boleh diklassifikasikan mampu membuat pembaca tidak lekang pandangan daripada lembar kertas putih bertajuk Sweet Sour ini.

Perjalanan naskhah ini ringkas dan cukup bersahaja terutama dari aspek gerak "lakonan" para pendukung watak utamanya. Ternyata dalam kebersahajaan itu karakter mereka cukup kuat dibangunkan penulis. Suntikan sisipan elemen humornya “hidup” namun jelas punya mesej disebaliknya. Pembaca yang bijaksana pasti dapat melihat dari hijab yang terlindung. Mesej yang tersirat pada diri Joe adalah cerminan untuk sama-sama kita renungkan. Hidayah dari-Nya akan hadir tanpa mampu
diduga kerana hanya Dia yang maha mengetahui.

Kekuatan keseluruhan naskhah ini terletak pada jalinan hubungan dan konflik dalaman yang wujud antara 3 watak utama; Alia, Joe dan Zarul. Aksi yang ditampilkan sesekali menimbulkan debaran pada pembaca biarpun ada suntikan elemen romantik diaplikasikan didalam naskhah ini terutama didalam memperlihatkan hubungan suami isteri antara dua watak utamanya; Alia dan Joe. Suntikan elemen ini bukanlah luar biasa kerana biasa kita temui didalam naskhah–naskhah yang sedia terdampar dipasaran. Saya cuma sedikit rasa terkejut kerana naskhah ini bercop mohor Jemari Seni. Itu yang saya kira sedikit luar biasa kerana sepanjang melayari produk-produk keluaran rumah penerbitan tersohor lagi disegani ini, inilah produk pertama mereka yang saya kira sedikit “daring” sentuhannya. Pemvisualan kemesraan kedua-dua watak utama seakan mampu terlihat dimata biarpun cuma dinyatakan dillembar kertas. Teknik sinematografi yang saya kira sangat hidup dipenakan penulis. Bagi saya tidak perlulah sampai begitu, bahasa tubuh yang baik sudah cukup dan memadai.

Tema dari naskhah sulung penulis ini bukanlah sesuatu yang luar biasa tau pelik kerana konflik kisah cinta tiga segi juga rasa cinta yang wujud selepas kahwin sudah kerap kita tatap sebelum ini pada naskhah penulis-penulis lain. Perbezaan mungkin kita lihat dari pengolahan, jalan cerita juga kaedah ia dipersembahkan dan ternyata penulis ini mengangkat tema biasa ini dengan adunan resipinya yang tersendiri. Bersama rempah ratus istimewa sebagai penambah perisa, teknik yang tersendiri lalu terhidanglah ia didepan mata dan ternyata resipi ciptaaan penulis memang menangkap deria rasa…ia cukup membuka selera pembaca!

Watak Alia saya kira cukup cemerlang dibangunkan penulis. Alia lambang wanita yang penuh emosi yang adakalanya celaru dengan tindakannya sendiri dan rasa itu dizahirkan dengan begitu berkesan sekali. Zarul adalah watak yang saya kira tidak statik. Bukan hero pujaan bak kata teman baik saya, Rinn..hehe. Joe adalah watak hitam yang diangkat penulis didalam naskhah ini dan wataknya dipotretkan melalui proses pemutihan dari budaya kehidupan lampau yang cukup hitam lagi memualkan kearah hidup yang lebih baik dan sempurna .Saya kira watak Joe lebih cemerlang dipotretkan penulis berbanding Zarul. Sikap dan perwatakan bersahaja Joe mungkin mengundang persepsi dari pelbagai sudut. Soalnya dapatkah kita melihat apa yang tertulis dihatinya? Penulis saya kira bijak menjebak pembaca kerana sebagai manusia kita tidak lari dari prasangka kerana...kita cuma insan biasa.

Plot cerita berkembang baik dan tersusun dengan cukup baik. Persembahan plot naratif diselenggara dengan kemas sekali. Plot diteliti dengan sebaik mungkin dengan mengambil kira mood pembaca. Perjalanan plot sangat lancar. Kronologinya 100 peratus. Tiada sekatan. Suntingan saya kira sangat cemerlang diaplikasikan didalam persembahan keseluruhan naratif ini cuma kekerapan adegan "mesra alam" kedua-dua watak itu sahajalah yang sedikit mengganggu pandangan mata, hehe. Laras bahasa yang diaplikasikan adalah gaya bahasa masa kini dengan kewujudan
terma juga ciptaan jargon-jargon baru yang saya kira cukup kena dengan
pergerakan keseluruhan naratif ini. Jangan mimpi untuk berjumpa elemen
melankolik dalam naskhah ini kerana ia tidak akan masuk..janggal!

Siapa kita untuk menidakkan kehendak-Nya yang sudah tersurat sejak azali buat diri kita nan kerdil lagi lemah ini. Larilah jika boleh, sembunyilah kalau mampu, tentanglah jika ada kudrat bagaimanapun, jodoh tetap jodoh dan ketentuan-Nya tidak mampu diubah hingga akhirnya perasaan itu datang, dan terbit dari hati dan sanubari kita. Dipancarkan oleh nur dari-Nya. Seperti yang terjadi pada Lia yang akhirnya disedarkan dan tersedar tentang perihal ini. Naskhah yang penuh rasa masam manis ini membawa pembaca pada seorang Alia Akma @Lia, si lincah yang bersahabat baik dengan teman sepengajian Azarul @ Zarul.Persahabatan akrab yang terbina menerbit rasa kasih antara keduanya namun tidak diluahkan. Baik Lia mahupun Zarul yang menyimpankan kejap di lubuk hati. Hadir Joe @ Faizul yakni abang Zarul yang tanpa diduga Lia jatuh cinta pandang pertama padanya.
Sejak pertemuan pertama tika Lia masih menuntut, Joe seakan sukar melepaskan bayangan wajah Lia. Joe adalah musuh Zarul. Dunia gelap Joe cukup memualkan. Pertemuan secara tidak sengaja yang sering terjadi antara Joe dan Lia membuatkan Joe nekad menjejak latar belakang Lia. Huluran kad undangan Zarul meremukkan hati Lia. Dan tanpa berfikir panjang lamaran Joe diterima. Sakit hati atas perbuatan Zarul seakan mahu dibalas namun langkah Lia sumbang. Tanpa persediaan dan waras akal akhirnya tindakan tergesa-gesanya memakan diri.

Buat penulis anda sememangnya sangat berbakat dan naskhah sulung anda ini telah membuktikannya sebagai penanda aras pencapaian anda di bidang penulisan kreatif ini. Semoga anda akan terus giat dan cemerlang berkarya di masa hadapan.

2 comments:

Unknown said...

cite ni mmg gile2 best!! thumbs up 2 de writer! :)

tzaraz said...

congrats Nasz! SS mmg superb!