Thursday, July 29

Kucc Reviews: sEikaT KeMbanG MeRah...


"cinta itu adalah nikmat yang tersendiri dan eksklusif yang tidak mungkin sama antara setiap rasa cinta. Cinta juga boleh merubah seseorang;negatif ke positif,pesimis ke optimis...bergerak dari gelap malam kepada cerah matahari."



Apa Kata Saya:



Kreativiti itu anugerah. Dan bukan semua penulis ada nilai ini didalam diri mereka tatkala menurunkan pena ke lembar kertas untuk melakar landskap bernama manuskrip. Kreativiti itu membolehkan seseorang penulis menyatakan atau menyampaikan sesuatu pandangan dengan begitu bersahaja, santai, lucu malah pedas atau kadangkala retorik tanpa sedikit pun khuatir akan menjadi sasaran bom plastik dari segelintir golongan pembaca walaupun memang pasti isu yang diangkat dan diulas itu agak sensitif kepada sesetengah pihak. Saya kira penulis ini adalah antara pengkarya yang membuktikan kebenaran kenyataan ini. Lihat sahaja
barisan karya-karyanya dari dahulu hingga kini. Sinonim sekali dengan lenggok begini. Itulah dirinya..taglinenya yang tidak pernah berubah. Yang membezakan karya-karyanya berbanding karya penulis-penulis aliran semasa.



Seikat Kembang Merah (SKM) adalah sebuah manifestasi penulis tentang falsafah dan pengertian cinta. Saya suka kaedah dan aliran yang dibawa beliau didalam naskhah ini. Cinta diterjemahkan dari sudut pandangannya sebagai penulis dan dengan manipulasi kuasanya sebagai penulis, beliau menggunakan sepenuhnya peluang dan ruang yang ada untuk mentarbiahkan pembaca tentang isu utama ini yang diangkat beliau sebagai pokok perbincangan. Apakah konsep dan pengertian cinta yang ada diminda kita selama ini benar-benar menepati saranan atau sekadar untuk kepentingan diri kita semata-mata. Pembaca diumpan dan diasak dengan cara yang cukup berhemah. Berfikir dan berfikir. Perkara utama yang cukup menarik
adalah bagaimana penulis memaparkan karyanya tanpa menjerat pembaca didalam perangkap khayalan tegar dengan sajian gugusan kisah cinta yang memaksa pembaca untuk berfantasi bersama lalu pembaca jadi khayal umpama terhidu candu yang melalaikan!



Penulis menerusi SKM menampakkan bagaimana dirinya begitu peduli dan ambil tahu tentang apa yang berlaku dipersekitarannnya lalu mengemukakan teori dan pandangan mengikut pemahamannya.Persoalan semasa diungkit dan dibangkit secara santai namun penuh bermatlamat dan ada tujuan. Pembaca yang prihatin saya kira sewajarnya sudah dapat menangkap destinasinya. Soal sama ada pembaca bersetuju atau menolak teori dan aliran fahamannya adalah perkara yang berbeza..tepuk dada
tanya kepala! Tetapi penulis bagi saya seorang yang menghasilkan karya yang berpijak pada bumi yang nyata..bukan kosong tapi penuh pengisian. Dalam santai ia sarat leluconnya dengan tujuan menyiku pihak tertentu...siapa yang makan mangga muda dialah yang rasa masamnya bukan?



Plot SKM berkembang dengan landskap yang begitu teratur, digarap kemas menerusi teknik suntingan yang sangat teliti dan cemerlang. Tiada lompang untuk pembaca tercicir dari menyusuri rantaian kisah yang dibentangkan. Pengaplikasian gaya bahasa serasi dengan pola cerita. Sesekali dialog lucu romantisnya begitu mencuit hati!


Perwatakan adalah medan utama sesebuah naratif. Ia warna utama yang mencorakkan hamparan dimensi sesebuah kisah. Hail Amir aka Gary adalah si penyangak bijak yang diangkat sebagai teraju utama naratif ini. Sebenarnya saya sudah tersenyum dan ketawa kecil tatkala membaca nama sebenar si Gary ini. Boleh terbayang empunya nama yang cukup terkenal di zamannya itu, hehe. Dan nama Gary itu sendiri ada sejarah lukanya, kalau mahu tahu carilah sendiri ya kisah tersebut didalam SKM. Gary bijak, aliran pengurusan perniagaan dari universiti tertua tanahair tapi sejarah malang menjebak dirinya ke lohong gelap...menjadi
penyeludup. Kalau difikirkan logik memanglah Gary ini tolol kerana semudahnya membiarkan dirinya terjun ke lembah kotor sedemikian tapi itulah realiti kehidupan. Kita boleh bercakap tapi belum tentu dapat bertindak dan berfikir waras bila terdesak, terasak dan terhimpit. Gary adalah contoh segelintir manusia yang sanggup berdepan risiko biarpun menyedari langkahnya itu jika silap percaturan pasti membawa padah. Namun itulah jalan yang dipilih. Inilah konflik watak Gary yang begitu baik dilakarkan penulis. Begitu juga saat Gary jatuh cinta pada Tahani. Kesanggupannya mengharungi segala kesukaran, melakukan apa sahaja biar terpaksa menipu dan rasa malu yang ditolak ke tepi demi memastikan Tahani menjadi miliknya adalah kedangkalan yang membuta tuli tapi itulah realiti bila rasa cinta itu menghambat jiwa tanpa pemahaman tepat yang disalurkan ke minda. Manusia jadi buta. Nina aka Siti Nina Suriani sangat polos wataknya. Biarpun perwatakan gadis kota miliknya dipotretkan kelam ditambah peria sifat tidak malu dan gedik yang terlebih namun wataknya saya lihat lebih ikhlas, jernih...tiada nilai hipokrit yang tersembunyi. Watak Gary juga Nina adalah cerminan bahawasanya siapa kita untuk menjatuhkan hukuman kerana hidayah itu milik-Nya dan Dia juga lah yang maha berhak menentukan siapa insan istimewa yang akan dipancarkan nur itu. Hani aka Tahani adalah watak sampingan yang mewarnai naratif ini. Nuur Tahani adalah contoh segelintir manusia yang sukar menerima sisi gelap orang lain biarpun orang itu sudah insaf. Hukuman yang dijatuhkan kekal tanpa kompromi. Tiada sesi bela diri. Ilmu itu perlu difahami dan diamal tanpa pemahaman tentang ilmu yang dipelajari maka hijab tidak akan terbuka.
Namun begitu Tahani adalah simbolik penyatuan antara Gary dan Nina yang berwajah baru.

SKM mengenalkan pembaca kepada Gary si penyeludup minyak ke sempadan. Lulusan aliran perniagaan ini terjebak ke kancah kerja jenayah kerana kecewa dengan malang yang menimpa dirinya yang gagal memperolehi sebarang kerja biarpun berkelulusan. Kerja jenayah memberi pulangan yang baik ditambah kebijaksanaannya maka kerja-kerja penyeludupan yang dibantu rakan; Joe berjalan dengan baik. Demi
menutup aktiviti punca pendapatan tidak halal dari diketahui masyarakat
sekeliling Gary membuka perniagaan yang nampak halal di mata masyarakat; kedai dobi. Perkenalan dengan Nuur Tahani si ahli Farmasi bertudung labuh yang tiba-tiba membuatkan Gary jatuh cinta pandang pertama padanya. Kesannya dia berubah dan mahu berubah demi mahu memikat dan memiliki Tahani. Perubahannya yang mendadak mengejutkan Joe teman perniagaan juga rakan serumah.Walau punya teman wanita; Nina namun Gary menyedari rasa cinta itu hadir untuk Tahani. Ditolak, ditepis dan dihinadari Tahani langsung tidak mematahkan semangat Gary
yang sudah mabuk asmara. Demi teman rapat, Joe menghulur bantuan..jumpa bomoh! namun gagal juga lalu demi memastikan Tahani jadi milik Gary rancangan lebih extreme digerakkan..rompakan bersenjata di farmasi milik Tahani!

Seperti selalu membaca karya seni penulis pastinya membawa pemikiran baru didalam kepala ini yang sudah tepu dengan karat karat karya pop yang terlambak dipasaran. Menatap karya penulis seringkali membuat diri bermuhasah. Faedah yang diselitkan, mesej yang ditinggalkan seakan suatu keseronokan dan kepuasan didalam melayari sebuah naskhah. Itulah yang saya rasai setiap kali usai melayari karya penulis. Anda bagaimana?. Apa-apa pun saya sangat mahu mengesyorkan anda sekalian membaca naskhah ini dan lihatkan cinta penulis disebalik jambangan merah nan seikat ini.

1 comment:

silencez said...

ending dia best kannnn hehe