Thursday, July 1

Akan datang dari Fajar Pakeer



Tajuk : Ada Dalam hati
Penulis : Sue Rasmin

Aidid Rayyan dan Jenissa, saling merindu, namun cinta yang tidak sempat diucapkan sering kali menyeksa jiwa. Aidid menyangka Jenissa telah pergi jauh daripadanya walhal keduanya sering berselisih di mana-mana.

Suatu ketika, Jenissa tersedar betapa memuncaknya rasa rindu hingga memaksa diri untuk mengalah. Jenissa hadir tepat pada masanya. Aidid pula sedaya upaya cuba menggunakan kesempatan yang ada. Aidid menuntut jawapan dan balasan untuk cinta yang diungkapkannya. Jenissa yang pemalu akhirnya akur pada kata hati lalu. Bagaimanapun peristiwa itu berlaku jua, membuatkan Jenissa menarik balik semua ayat-ayat cinta yang dinukilkan buat Aidid Rayyan. Hatinya sakit apabila yang ada dalam hati tidak dihargai kekasih hati.

Sejauh manakah kuatnya cinta yang mampu menyatukan dua jiwa, jadi satu hati, sedang pelbagai konflik dikecohkan di sekeliling mereka? Dan benarkah hati seorang perempuan itu umpama kerak nasi yang akan lembut akhirnya? Mungkinkah perasaan yang ada dalam hati bakal melepasi semua gelora diri?



Tajuk : Bertaut Sayang
Penulis : Nisa Humaira

Benarkah cinta sejati itu terlalu sukar untuk dimiliki? Adakah kasih suci itu mampu untuk dikecapi atau semua itu hanya sekadar angan dan mimpi?

Zarynn Nursofeanna, gadis cantik yang memiliki segalanya. Dia punya rupa dan semua yang diimpikan wanita lain. Namun hatinya terlalu sukar untuk dimiliki. Dia tidak percayakan cinta. Kekecewaannya di masa lalu membuatkan hatinya bagai terlalu keras untuk menerima kehadiran seorang lelaki sehingga dia sanggup untuk membuat temu janji demi temu janji dengan lelaki-lelaki yang ditemuinya dalam ruang sembang.

Kauthar Zaffrin, lelaki yang hanya mengimpikan kehidupan yang sederhana. Cintanya pernah dihancurkan oleh wanita bernama Haifa Jameela, membuatkan hatinya tertutup untuk bercinta lagi. Namun, kehadiran Zarynn mengubah segalanya. Hati yang dulu tertutup kembali terusik. Pun begitu, dia tahu Zarynn tidak mampu untuk dimiliki. Gadis itu terlalu sempurna di matanya. Lantas dia sanggup bertaruh dengan nasib hidupnya.

Bagaimanakah berakhirnya sebuah pencarian? Mungkinkah ada mentari esok yang mampu memberi sinar dan membawa pergi mendung luka semalam? Adakah akan bertaut sayang dalam hati dan jiwa mereka?





Tajuk : Hanya Kenangan
Penulis : Sofieza Iskandar


Ikatan persahabatan yang terjalin antara Suraya dan Tasya sejak di bangku sekolah lagi. Malah ikatan persahatan itu semakin kukuh dan kuat apabila Tasya mengahwini abang Suraya, Adam. Mereka berkongsi segala cerita. Suka dan duka.

Pertemuan dengan Mak Leha dan cucunya, Taufiq, melimpahkan belas di hati Suraya. Lalu bantuan dihulurkan tanpa curiga. Mak Leha dianggap bak ibu yang tidak pernah dia ada. Taufiq pula anak yang tidak pernah dilahirkan, adik kepada Hayqal, anaknya bersama suami tersayang, Azman.

Tiada yang menyangka, pencarian Mak Leha ke Kuala Lumpur mempunyai kaitan dengan perempuan yang pernah memecahbelahkan hubungan suami isteri mereka dahulu. Azman bermain kayu tiga dengan perempuan itu dan Suraya bersarang gusar. Bimbang kalau-kalau pertemuan dengan wanita itu bakal memutikkan perasaan sayang Azman kembali, walau suaminya bersumpah sayang dan setia untuknya.

Dan Taufiq, darah daging Azmankah? Sanggupkah pula Tasya mengambil anak kecil itu sebagai anak angkat sedang hati teman baiknya penuh sangsi, sama ada Taufiq anak Azman ataupun tidak? Adam pula, mahukah menerima kehadiran anak angkat hanya kerana perkahwinannya dengan Tasya tidak beriring cahaya mata?


No comments: