Monday, January 25

Street Vendetta


TAJUK BUKU : STREET VENDETTA
HASIL NUKILAN : ANITA ARUSZI
PENERBIT : BUKU PRIMA SDN BHD
HARGA : RM19.90
CETAKAN PERTAMA : 2009
GENRE : ROMANTIK & PRA KOMEDI
BINTANG : 3.5



-------------------------------------------------------
‘..Cinta itu adakala sangat aneh..ada masam dan manisnya.’

Apa Kata Saya:

Street Vendetta (SV) ; Ini percubaan pertama penulis untuk beralih ke genre yang berbeza dari stereotaip beliau yang sudah menjadi trademark dirinya dipasaran. Secara umum saya melihat kesungguhan beliau untuk mencabar diri mencuba genre baru ini namun secara khusus jika penulis mahu lagi menghasilkan karya yang berkonsepkan genre ini saya fikir beliau harus lebih peka kepada faktor-faktor yang menjadikan sesebuah karya tu komedi yang bersifat semulajadi…bukan yang dibuat-buat atau komedi plastik. Struktur bahasa yang digunapakai juga nilai moral didalam sesebuah karya tidak harus diketepikan hanya kerana ia berkonsep humor dan santai. Setiap penulis ada tanggungjawab sosial mereka pada masyarakat khususnya pada khalayak yang membaca karya mereka. Jangan sesekali diabaikan perkara ini kerana sebuah karya itu bagai cerminan diri penulis itu sendiri.

Jika dinilai pada judulnya yang ada aura “brutal”, kita mungkin menyangkakan ia kisah berat namun apa yang tersembunyi disebalik naskhah berdurasi 636 halaman ini sebenarnya ringan sahaja. Kisah pertembungan perasaan uda dan dara yang akhirnya mengheret pada rangkaian kisah kehidupan manusia yang bermacam rencam Seperti baisa penulis gemar sekali mengaplikasi konflik dalaman sesebuah keluarga yang diselubungi elemen rahsia yang tersembunyi namun kali ini rahsianya bagaikan sudah dapat dijangka dari awal lagi…hilang sudah nilai thrillernya. Justeru itu saya tidak mahu meletakkan label thriller pada naskhah ini.

Plot cerita romantik selalunya tidak jauh berbeza antara satu sama lain. Pengemukaan tema pertentangan dan perebutan cinta yang kemudiannya dibina dengan penuh dramatik sekali untuk memagut perhatian pembaca. SV juga tidak terkecuali cuma ditambah dengan suntikan elemen humor yang bertujuan untuk lebih menyegarkan pembacaan. Jalinan plot digarap dengan baik oleh penulis. Hubungan antara satu kisah dengan kisah yang lain disulam erat bagi mengukuhkan lagi persembahan naratif ini. Tiada lompang yang terbentang yang mungkin menimbulkan persoalan pada pembaca. Ternyata pengalaman menjadikan penulis bijak membina sebuah garapan plot naratif yang mantap.

Bahasa santai, pertuturan harian yang diaplikasikan didalam naratif kali ini sememangnya bersesuaian dengan kisah yang dipaparkan. Seperti saya kata kan diawal tadi struktur bahasa perlu diambilberat biarkan konsep karya ini bersifat santai. Penggunaan perkataan yang saya fikir agak kasar bunyinya, keterlaluan maksudnya tidak sewajarnya ada didalam naratif ini. Boleh sahaja diganti dengan perkataan lain yang lebih molek didengar. Penulis dan editor saya kira perlu peka didalam perkara ini.Aspek ini seharusnya dititikberatkan kerana perlu diingat remaja adalah golongan terbesar khalayak pembaca negara ini dan kita pasti tidak mahu ia menjadi ikutan mereka nanti. Begitu juga aspek moral hubungan lelaki dan perempuan yang harus diambilkira. Jangan kerana leka ketawa kita terlupa akan persoalan ini.

Perwatakan cermin sesebuah karya. SV menampilkan Anabella Ibrahim gadis muda kuat berangan yang bukan-bukan, yang sakan bergaya walau harus papa kerana gengsi paling utama. Anabella yang tidak statik pendirian diawal kemunculan namun pantas sedar akan kesilapan diri lalu berubah mencari identiti diri. Pemotretan watak yang saya kira sangat baik dari penulis. Kojie @ Fakurazi/Feiruz Dato Abdullah si selekeh penarik kereta yang sederhana dan baik hati, dari keluarga mewah namun ego diri pantang mengalah walau dengan bapa sendiri, tinggal bersama bekas pembantu rumah keluarganya yang sudah dianggap seperti ibu sendiri. Fragmen Kojie hilang dan diganti Fakurazi yang beza bagai langit dan bumi cuma wajah sahaja tidak mungkin diubahganti.Pembentukan watak Kojie yang kurang gula itu lalu kemudian diganti Fakurazi yang bagai madu itu sangat cantik dilakar penulis. Furqan, Tumirah, Iqbal, Dian, Nora adalah watak-watak sokongan yang bagai melengkapi citra penulis.

Aspek suntingan dalam SV harus diberikan pujian apabila berjaya mengadunkan pergerakan cerita dengan tempo suntingan yang selari, tidak bercelaru yang akan menjejaskan perjalanan cerita.

SV membawa kita kepada satu insiden perbalahan yang menemukan Annabella Ibrahim @ Bella dan Kojie. Kojie yang ditugaskan menarik kereta Bella yang sudah berbulan tidak berbayar ansurannya tertipu dengan helah lucu Bella yang pelbagai. Bila mereka bertemu sahaja pasti ada yang tak kena. Percubaan seterusnya mengheret Kojie ke Cherating bila dia yang tertidur didalam kereta Bella yang mahu merancang mahu menggagalkan hubungan lelaki yang dicintainya sejak zaman sekolah; Iqbal bersama musuh tradisinya, Mira @Tumirah Kuncup. Plebagai insiden yang berlaku yang disini jugalah akhirnya Bella dan Kojie mula menyedari tentang wujudnya perasaan antara mereka. Kerana mengejar sebuah cinta kedua-duanya dapat merasai keserasian dan kesefahaman antara mereka. Kemuncak peristiwa di Cherating membawa kesimpulan pada Bella bahawasnya perasaan cinta yang dikejar itu sudah lama berlalu.Perpisahan antara Bella dan Kojie di Cherating mula membuahkan perasaan aneh pada Bella..mungkin rindu, mungkin cinta lalu bila muncul Fakruzi didepan mata yang punyai iras Kojie, Bella mula jadi keliru. Siapa Fakruzi sebenarnya, adakah dia sememangnya Kojie yang sengaja mahu balas dendam lalu cuba berlagak tidak mengenalinya.

Kepada penulis, tahniah atas percubaan pertama anda ini, satu anjakan berani yang harus diberikan pujian. Moga akan lebih alert tentang beberapa perkara yang wajib tidak diabaikan didalam sesebuah naskhah. Selamat maju jaya untuk anda dan moga terus cemerlang di masa hadapan.

---------------------------------------------------------------------

Saya ada kemusykilan : Tolong Jawap Anita.

1.m/surat 109
“ ….semua orang di kg ini bertemu jodoh dgn pasangan masing2 sebab dialah, termasuk makcik…”

“ biar betul makcik” ujar Anabella melahirkan kekaguman.

2. m/surat 110
“….dgn guru inilah dia belajar membaca nasib seseorang melalui wajah…”
“…mana2 yg dicarikan jodohnya pasti akan gembira dgn pilihan itu & hidup bahagia sehingga kini..

3. m/surat 200 & 201
“bagaimana kalau nenek kata kamu & budak perempuan tu ada jodoh?”
“Kojie, kalau kamu benar2 sukakan Bella, ikut cakap nenek ini, pergi balik ke KL dan ikut takdir kamu…”

4. m/surat 598 & 599
“kamu nak kata yang tilik aku ni silap?...”
“hairan..aku langsung tak nampak aura kematian dekat dengan kamu ni, kecuali kematian abang kamu..”
“tapi nenek cakap betul ni. Nenek tak nampak apa2 yang “mati” disekeliling kamu…”

Apa yang dapat saya simpulkan dari dialog-dialog yang disenaraikan diatas, semua ini adalah mengenai satu perkara yang sangat dilarang didalam islam ; ramalan masa depan. Ia adalah antara 7 dosa besar yang disebut didalam al-quran. Jika membaca sahaja ramalan masa depan (ramalan bintang/ziodak) sudah dikira berdosa apatah lagi mendengar lalu melahirkan kekaguman pula!

Jika diselidiki dari segi watak nenek Telangkai ini, beliau jelas bukan golongan insan istimewa yang dianugerahkan Allah kebolehan melihat masa depan ( tidak perlu menuntut/berguru) lalu sangat terang perbuatan beliau ini sudah dikira bertentang dengan islam dan orang yang mempercayai kehebatan ilmunya itu sudah dikira syirik. Syirik kerana percaya ada kuasa lain yang dapat mengatur kejadian di mukabumi ni kecuali Dia yang satu! Lalu dimana relevannya watak ini didalam SV jika kewujudan boleh menggugat akidah pembaca secara tidak disedari?.
Saya bukanlah ahli agama untuk meletakkan hukum atas sesuatu perbuatan tetapi berdasarkan apa yang saya tahu dari pengetahuan yang amat tipis ini frasa dialog-dialog diatas membawa subliminal mesej yang sangat jelas. Ia juga nanti seakan-akan menyokong apa yang dibawa didalam frasa tersebut, nauzubillah. Saya tidak berniat apa-apa, cuma apa yang saya tampilkan disini kemusykilan saya untuk penulis berikan maklumbalas. Alhamdulillah kalau penulis lakukan tanpa pengetahuan atau secara tidak sengaja. Sebagai muslim, kita dituntut saling menegur kerana pasti kita tidak ingin disoal di sana nanti, waallahualam.

2 comments:

Mazni Aznita said...

Salam kucc,

Jujurnya masa menulis SV ni, sy banyak terlepas pandang dialog-dialog nenek telangkai ni. Mungkin sebab saya tak concentrate sgt dengan watak ni berbanding kojie dan anabella yang menjadi watak utama. Lagipun sudah kebiasaan saya untuk tidak membaca kembali manuskrip ini setelah sampai ke tangan penerbit. Mungkin penerbit sendiri terlepas pandang hal ini.

Saya sendiri pun tidak mahu disoal di Padang Mashyar nanti, apatah lagi saya tidak ada niat langsung untuk mengugat kepercayaan dan akidah seseorang. Sebab tu saya terlepas pandang semua ini. Watak Nenek Telangkai adalah watak yang diambil dari seorang wanita di Johor yang diceritakan oleh salah seorang teman saya yang berasal dari situ. Hanya dialog-dialognya sahaja yang mungkin tidak kena dan kurang bertepatan hanya kerana saya memasukkan sedikit unsur fantasi dalam novel ini mengenai ramalan tentang cinta.

Buat pembaca-pembaca SV di luar sana, maaf kerana tidak peka pada hal Nenek Telangkai. Abaikan dialog-dialog Nenek Telangkai yang berupaya mewujudkan persepi negatif dan concentrate sahaja pada kisah Anabella dan Kojie okie…Insya Allah saya akan cuba lebih peka lagi di masa hadapan tentang isu-isu ini.

kucc_aprilsnow said...

Nita - terima kasih atas maklumbalas & penjelasan. Berpesan dan saling mengingati itu adalah tanggungjawab sesama islam. Semoga dimasa depan Nita bolehlah adakan sesi bacaan kali ke-2 dan sesi perbincangan dgn editor/penerbit terhadap manuskrip yg dihantar. Mungkin dengan cara itu akan lebih mudah melihat kesilapan yg terlepas pandang di peringkat awal.

Jika manuskrip yg mahu diterbitkan menyentuh sesuatu elemen yang bersifat tidak jelas dari sudut pandangan mata dan akal juga agama maka sebaik-baiknya mintalah pandangan dari orang yg arif berhubung perihal tersebut agar kita tidak tersasar tujuan. Yang baik datang dari-Nya, dan yang jelek itu datang dari kita, waallahualam.