Monday, September 8

Hijab Sang Pencinta

TAJUK: HIJAB SANG PENCINTA
PENULIS : RAMLEE AWANG MURSHID
PENERBIT : ALAF21
HARGA : RM19.90
HALAMAN : 503 MUKASURAT
GENRE : FANTASI & EPIK TRILLER

*****
--------------------------------------------------------------------------------------
“Tiada yang mustahil bila ALLAH menghendaki sesuatu…”
“ Mati itu pasti…hidup INSYA-ALLAH…”

Apa Kata Saya

Sebagai mukadimah, pastikan anda telah membaca dan menghayati naskhah Bagaikan Puteri dan Cinta Sang Ratu sebelum menyentuh Hijab Sang Pencinta. Persiapan ini penting agar minda anda tidak tersesat mencari hujung dan pangkal secara teratur didalam menyusuri keindahan dan debaran kisah kali ini.

Hijab Sang Pencinta (HSP) memang ditunggu-tunggu oleh para peminat Ramlee Awang Murshid.Meminjam kata-kata seorang teman Geng Kicap; nickyazrai setelah 1 tahun 6 bulan menanti, akhirnya penantian beliau tersebut terlerai jua akhirnya. Penantian yang agak panjang membuatkan para pengikut Trilogi Bagaikan Puteri ini menjangkakan dan mengharapkan sesuatu yang “luar biasa” hebatnya akan menutup tirai kisah Sang Puteri ini…Dan sememangnya kisah kali ini luar biasa hebatnya.

Adakalanya menghasilkan sequel kerapkali tidak dapat menyaingi kehebatan cerita yang terdahulu ditambah dengan kekangan beberapa faktor yang sedikit sebanyak mencabar penulis didalam menzahirkan kisah selanjutnya dimana jika tidak berhati-hati mungkin akan menghilangkan aura sentuhan yang terdahulu. Akibatnya penulis akan gagal menjejaki fokus penceritaannya dan subjek cerita akan jadi goyah. Ditangan penulis hebat ini serta dibantu barisan editor yang berpengalaman pihak penerbit, HSP berjaya dibentangkan dan diangkat agar para pembaca dapat sama-sama dibawa menyusuri jaringan kisahnya.

Sebagai sebuah naratif yang dibina bukan secara linear kerana perletakan latar cerita yang membabitkan lebih dari 5 lokasi, tanpa penumpuan yang khusus, terlepas tanda-tanda atau clue pembaca pasti akan hilang mencari pertalian naratif yang membina cerita ini. Namun begitu, penulis bagi saya banyak membantu dengan memberi “papan tanda” agar pembaca tidak tersesat jalan, sama ada dalam dialog mahupun penceritaan. Pengolahan cerita yang mantap, tidak meleret-leret menjadikan perjalanan cerita lancar dan lebih berkesan di mata pembaca.

HSP memaparkan satu cerita yang mempunyai dua plot utama. Plot ini dibina supaya bergerak secara berasingan antara satu dengan lain dan dipertemukan pada satu titik penyelesaian yang sangat dramatik. Ada cerita mengemukakan 2 plot selari tetapi dalam HSP kedua-dua plot ini tidak selari kerana masing-masing mewakili zaman yang berlainan namun tidak sekali-kali menghuru-harakan fokus pembaca. Penulis begitu teliti didalam memastikan hal ini tidak berlaku yang pastinya akan mencacatkan tumpuan pembaca.

Biarpun “lakonlayar” cerita ini berdiri atas elemen fantasi, namun ia banyak menyuntik nilai positif yang ditunjangi watak utamanya, Saifudin @ Laksamana Sunan. Nilai-nilai murni seorang manusia berjaya diserlahkan menerusi perwatakan sederhana Saifudin. Didalam mengharungi situasi maha getir sifat keinsanannya berjaya diserlahkan penulis dengan begitu baik sekali. Sokongan watak-watak sampingan lain banyak membantu menaikkan martabat watak utama ini di kacamata pembaca. Lanskap sosial masyarakat melayu dahulukala juga begitu cantik dizahirkan penulis. Mungkin sokongan penyelidikan yang teliti oleh penulis berjaya melayarkan kehidupan masyarakat melayu dahulukala dengan begitu baik sekali. Begitu juga penggunaan dialek melayu lama & Indonesia yang banyak menwarnai HSP.

Keseluruhan, cerita ini memperlihatkan penghasilan hebat dari aspek penceritaan, plot, tempo dengan selitan mesej yang sarat buat renungan pembaca. Walaupun HSP berdiri atas landasan sebuah epik triller, penghasilannya penuh nilai artistik dan pautan nilai estetika yang indah dan elemen ini sememangnya menjadi kunci kecemerlangan naskhah penutup Trilogi Bagaikan Puteri ini.

Buat penulis, tahniah atas kelahiran naskhah yang amat saya tunggu-tunggu ini. Walau agak terkilan dan sedih pada mulanya dengan penamatnya, namun kesempatan bertemu muka dengan penulis di hari pelancaran Trilogi Bagaikan Puteri dan mendengar sendiri kata-kata yang terzahir darinya kembali menceriakan perasaan saya….hehehe


Kisahnya

Pengembaraan Saifudin @ Laksamana Sunan untuk pulang ke tanah kelahirannya di Kg Punggor, Johor dari Tanah Rencong penuh laluan berliku. Berhadapan dengan pelbagai halangan yang mendatangi insan terpilih ini baik secara zahir mahupun halus cabarannya cukup getir…hanya bekalan ilmu di dada dimanafaatkan Laksamana hebat ini agar perjalanannya dapat diteruskan ke destinasinya.

Didalam kisah kali ni juga pembaca dilayarkan dengan jelas sejarah nan terperinci dan asal-usul Manggala yang diperkenalkan wataknya dalam cerita terdahulu. Didalam HSP juga lah Manggala dinoktahkan sepenuhnya.Di dasar Kawah Gunung Berapi Anak Krakatoa berakhirnya riwayat sang Manggala durjana di tangan Laksamana Sunan.

Ketibaan Saifudin di tanah kelahirannya agak terlewat kerana ibu tercinta terlebih dahulu menyahut panggilan ilahi. Walaupun telah diberikan gambaran menerusi mimpu juga imbasan bayangan tentang perkara ini, kepulangannya menzahirkan apa yang dialaminya sebelum ini adalah suatu firasat berbentuk pemberitahuan tentang perkara ini. Walau dimaklumkan pemergian ibu tercinta bukan seperti biasa tetapi melibatkan campurtangan unsur tidak nyata, Saifudin tidak mendendami sesiapa cuma terkilan tidak sempat berjumpa ibu buat kali terakhir. Kisah pemergian ibunya menyeret Saifudin ke permasalahan yang menjadi tunjang perkara tersebut. Bantuannya diminta untuk membebaskan Melur(wanita yang pernah memfitnah beliau) dan puteranya dari pengaruh sihir Puteri Kober Gandring yang ingin membalas dendam ke atas Sultan Melaka setelah gagal menjejaki Laksamana Hang Tuah. Berbekalkan ilmu dan kebijaksanaan, sang puteri tewas. Walau telah berjaya menyelamatkan Melur dan putera, beliau dikhianati ayahanda Melur sendiri yang menyampaikan berita kepulangan Saifudin pada Sultan Melaka. Sultan yang sememangnya mendendami Laksamana ini kerana kegagalannya menikahi Haryani dalam kisah terdahulu menitahkan Saifudin ditangkap dan dibunuh.

Enggan menyerah kerana berdiri atas paksi kebenaran, Saifudin diburu. Persembunyiannya di sebuah gua yang dicadangkan bapanya menyaksikan keajaiban dengan izinNya berlaku. Beliau “ditidurkan” dan hijab alam baru terbuka. Saifudin “dibangunkan” di abad 21…melangkau 5 abad selepas zamannya. Ada kejadian lucu yang diselitkan sebagai mengambarkan kehairan Saifudin berhadapan dengan persekitaran baru dihadapan matanya.

Kemuncak cerita adalah pertemuan semula Saifudin bersama Haryani dan Dani hinggalah membawa kepada majlis pernikahan antara Saifudin dan Haryani. Manusia merancang tapi Dia lah penentu segalanya pada tiap kejadian dimuka bumi ini…

Buat pembaca sekalian, selamat menghayati pengembaraan penuh debaran Sang Laksamana nan terbilang ini.

5 comments:

NickyAzrai said...

Mantap seh hang punya review. Very well done cik Kuc :D

Karya hebat dr RAM. 4.5 bintang aku bagi. W/p ending sentap tp boleh diabaikan sb Lelaki Berduka dr Tanah Rencong dpt jumpa juga ngan Sang Puteri. Hrp ade lg sambungan *wink*

kucc_aprilsnow said...

yang ni paling mantap bagi wa...xleh kalih bijik mata dibuatnyer, hehehe

weii tang sambungan tu..off topic beb, taw2 udah lerr iye, kui kui kui...

NickyAzrai said...

Harapan aku pun kalo ckp kena off topik gak ke *jongket kening*

kucc_aprilsnow said...

yang tu biarkan ia jadi rahsia antara kita...wakakaka

akimsensei said...

hi, review yg mantap. hantar ulasan ni kt www.simurl.com/ram ada pertandingan ulasan. hantar jgn xhantar. mantap gila ko ulas :) tabik spring..