Penulis: Maya Rasyidah
Harga: RM19.90
Halaman: 496
ISBN: 978-983-124-737-2
Sinopsis: Sekiranya mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang kedoktoran, Syira ‘wajib’ berkahwin dengan calon suami yang dipilih ayahnya. Dia terpaksa akur dengan syarat itu demi cita-citanya yang satu.
Belumpun diijabkabulkan, dia bagaikan sudah ‘ditalak’. Airy yang tidak mahu bertemu dengannya sehingga sah menjadi suami isteri, terang-terangan memberitahu sudah ada kekasih yang mengisi jiwanya. Dalam pada diri redha, hati Syira terluka. Dia turutkan jua permintaan Airy untuk ‘berlakon’ sebagai pasangan yang bahagia.
Perwatakan Syira yang bijak dalam segala hal sedikit demi sedikit menawan hati Airy tanpa disedarinya. Syira sangat sempurna sebagai wanita dan isteri. Kerana ego, tergamak dia menghancurluluhkan perasaan Syira. Bersama cinta yang sudah bertunas untuk si suami, Syira tekad membawa diri. Apabila tiba masanya, dia kembali. Namun, mengapa Airy terlalu baik padanya? Mungkin Airy mahu memadukannya. Mungkin juga mahu menceraikannya! Walau apa jua yang terjadi, dipujuk hati agar tabah menghadapi.
Penulis: Rania Firdaus
Harga: RM21.00
Halaman: 528
ISBN: 978-983-124-732-7
Sinopsis: Erina Jelita Putri, gadis biasa yang tidak punya apa-apa kecuali keluarga yang sentiasa mencurahkan kasih sayang kepadanya. Mengenali Azfar menjadi titik tolak permulaan hubungannya untuk mengenali insan bernama lelaki. Lantaran itu, hubungan mereka menjadi lebih akrab. Namun, sesuatu yang tidak pernah diduga merenggut kebahagiaannya. Kematian Azfar mengubah Erina menjadi seorang yang suka menyendiri. Keprihatinan ahli keluarga sempat membawanya kembali menjadi seorang gadis yang ceria. Ketiadaan Azfar dapat diterimanya.
Dia meneruskan hidup seperti biasa sehinggalah Izhar hadir di dalam hidupnya. Hubungan mereka memutikkan bunga-bunga kemesraan sehinggalah Izhar berani menawarkan cintanya kepada Erina. Kemunculan seorang pemuda persis Azfar telah mengelirukan fikiran gadis itu. Tidak mungkin pemuda yang dikenali sebagai Azrul itu Azfar. Sudah bertahun dia menerima hakikat bahawa Azfar sudah mati. Mengapa dia muncul? Aduh, sakit kepala dibuatnya! Konspirasi apa yang sedang mereka mainkan ini? Dia harus mematangkan dirinya. Dia harus mencari jawapan siapa Azrul dan Azfar sebenarnya.
Penulis: Eyman Hykal
Harga: RM17.00
Halaman: 448
ISBN: 978-983-124-743-3
Sinopsis: Demi menyelamatkan ekonomi negaranya yang semakin parah, Presiden Amerika Syarikat, John Martinez menzahirkan komitmennya terhadap sistem kewangan Islam di sebuah persidangan ekonomi Islam di Malaysia. Namun, niat murninya ditentang The Group, sebuah kumpulan kewangan konvensional Amerika yang didalangi puak Zionis.
31 Ogos – Hari Kemerdekaan Malaysia. Di tengah-tengah kemeriahan sambutan yang berwarna-warni dan gegak gempita suara rakyat Malaysia, seorang pembunuh upahan menyasarkan senjatanya ke arah tetamu khas Malaysia, John Martinez. Biro Risikan Negara atau BISIK mendapat maklumat tentang kemungkinan wujud cubaan membunuh lelaki no. 1 Amerika itu. Perisik elitnya, Fariz Zafar diutus untuk menumpaskan rancangan jahat itu. Detik yang berlalu diharungi penuh debaran kerana ia pertaruhan antara hidup atau mati.
Penulis: Hani Fazuha
Harga: RM22.00
Halaman: 560
ISBN: 978-983-124-717-4
Sinopsis: MEREKA rapat kerana berjiran, tetapi rencah hidup mereka adalah pertengkaran. Kata Zhafran, Lya itu perempuan brutal yang sepatutnya menjadi lelaki, namun tersalah dilahirkan sebagai perempuan. Kata Lya pula, Zhafran itu macam Hitler, suka memaksa orang mengikut kata dia. Kemunculan Nurin menarik perhatian Zhafran, tetapi hati Lya pula tiba-tiba jadi penasaran. Entah sejak bila, ada rasa cinta bertapak dalam hatinya. Namun, semua sudah terlewat kerana Zhafran telah memilih Nurin sebagai suri hidupnya.
Saat yang sama, Hareez pula datang bertandang dan kehadiran lelaki kacak berlagak sombong itu menjengkelkan hati Lya. Kali pertama bertemu, dia tahu ada sebuah kebencian di dalam sepasang mata milik Hareez. Tetapi, apa akan jadi jika kebencian Hareez itu tiba-tiba bertukar menjadi sebaliknya? Apa pula yang akan berlaku bila Zhafran mula sedar dia sebenarnya mencintai Lya? Paling rumit, Lya harus memilih satu antara mereka dan perlu tinggal sebumbung di dalam sebuah keluarga.
Kadangkala kuasa memilih bukan di tangan kita, tetapi kita tidak seharusnya menyerah kalah saat takdir menetapkan pilihannya. ‘Kalaulah aku punya berkeping-keping hati, akan kurelakan yang satu itu pergi mengikut Zhafran tanpa perlu kembali lagi’
No comments:
Post a Comment