Sunday, September 11

Terbaru daripada Galeri Ilmu


Keimanan Cinta
Pengarang : Munie Asra
Tebal : 276
ISBN : 978-983-097-333-3
Harga : RM18.00 E/M:RM20.00
SINOPSIS

“Cinta kepada isteri kamu tidak seharusnya melebihi cinta kepada Allah dan Rasul.”
Mendengar kata-kata Tan Sri Koh, Alan tersedar. Dia lupa menyandarkan harapan hanya kepada Allah. Alan beristighfar, moga Allah tidak menarik kembali keimanan cinta kepada-Nya.

Fazura, seorang novelis muda memenuhi masa lapang di Rumah Anak Yatim Baiduri. Di situ, dia berkenalan dengan seorang lelaki Cina tua. Fazura tidak menyedari bahawa lelaki itu adalah Tan Sri Koh, seorang hartawan Malaysia.
Alan Koh, cucu Tan Sri Koh dipaksa berkahwin dengan Fazura. Sekiranya dia ingkar, datuknya mengugut untuk menarik kembali harta dan perniagaannya. Fazura menghidap leukemia tetapi merahsiakan penyakitnya daripada pengetahuan Alan kerana dia tidak inginkan cinta yang lahir dari simpati.
Pada saat Fazura dan Alan mula rapat, muncul Andy Azman, seorang pemuda yang Islam hanya pada nama, menaruh perasaan pada Fazura. Adakah Alan akan melepaskan cintanya? Mampukah Fazura bertahan dengan penyakit leukemianya? Mampukah Andy menghadapi ujian cinta dari-Nya?


SYAHADAH RINDU
Pengarang : NURIN HANNA
Tebal : 300
ISBN : 978-983-097-283-1
Harga : W/M:RM18.00 E/M:RM20.00

Rahsia salasilahnya telah terbongkar walaupun sedaya upaya disembunyikan oleh keluarga. Kehidupan semasa kecil yang diwarnai keceriaan sebenarnya mencatatkan rentetan peristiwa penting meniti liku-liku perjalanan menuju alam kedewasaan. Tiga jejaka bersaing untuk merebut kasih daripadanya. Perebutan yang menyerlah kebaikan dan keburukan. Menyingkap kelebihan dan kekurangan tingkah laku manusia yang bergelar insan. Ujian serta dugaan yang mendatang, cuba dirungkai dengan ketabahan dan petunjuk dari Yang Maha Esa. Siapakah yang dirindui kehadirannya pada perjalanan itu? Hati manakah yang akan memenangi kemelut perasaan dan persaingan kasih-sayang?. Dalam pencarian atas nama keredhaan Ilahi, kerinduan tetap menerjah di sanubari, kekal mengisi ruangan hati, dalam menuju kehidupan yang kekal abadi.


Hani
ISBN: 978-983-097-311-1
Nurulsham Saidin
408ms
RM19

Novel Hani adalah karya terbaru Nurulsham Saidin hasil kolaborasi beliau dengan Zabidi Mohamed, penulis skrip Hani, drama 13 episod yang ditonton lebih dua juta penonton setiap minggu sewaktu ditayangkan di TV.



Hani mengisahkan cabaran hidup seorang remaja perempuan bernama Ummu Hani yang periang dan cemerlang dalam akademik dan kokurikulum. Dia berazam menyambung pelajaran di luar negara.

Hani yang selalu sakit kepala dan pening telah disahkan mempunyai ketumbuhan dalam otak sebelum menghadapi peperiksaan SPM. Dia perlu menjalani pembedahan otak tetapi akan menerima satu kesan sampingan – menjadi buta!

Berita itu umpama hukuman mati kepadanya dalam menggapai cita-cita menjadi pensyarah dan mengejar cintanya kepada seorang pelajar bernama Irfan.


Andai Bavaria Takdirku
Pengarang : NURULSHAM SAIDIN
Tebal : 296
ISBN : 978-983-097-275-6
Harga : W/M:RM18.00 E/M:RM20.00

Aisya, seorang wanita Melayu yang berpendidikan tinggi dan menyandang jawatan yang baik telah bertemu dengan seorang lelaki Jerman, Olaf yang ditugaskan ke Malaysia untuk jangka masa dua tahun.

Pertemuan yang pada mulanya sebagai sahabat itu kemudiannya membuahkan rasa cinta dan berakhir ke gerbang perkahwinan dua tahun kemudian.

Kisah bermula apabila Aisya perlu mengikut suami pulang ke negara asalnya, dan tinggal di sebuah kampung pedalaman di Obermichelbach, Bavaria, Jerman. Di sinilah Aisya mula merasai cabaran sebagai seorang Muslim yang hidup di kalangan penduduk beragama Kristian yang sangat tradisional.

Namun, dia mendapat kekuatan untuk menyesuaikan diri kerana suaminya yang penyayang dan sangat memberati agama Islam. Kala itu, Aisya berpendapat bahawa dia harus berada di sisi suami kerana satu lagi tanggungjawabnya adalah untuk membantu suaminya mempelajari syariat seperti solat dan membaca Al Quran.

Dari segi ketauhidan, suaminya tiada keraguan lagi.
Kekuatan Aisya adalah abangnya, Ustaz Ashrof yang telah mengingatkannya untuk bersabar, menjadi cerdik dan mengambil keputusan yang betul apabila telah berkeputusan untuk berkahwin dengan seorang yang situasi hidupnya seperti Olaf itu.

Novel ini juga menceritakan tentang perspektif popular masyarakat Eropah mengenai Islam dan kaitannya dengan perang salib. Ia juga memaparkan keadaan cuaca dan musim di Jerman serta masyarakat Islam di sana. Juga diselitkan cara penyediaan makanan orang-orang di sana.



Lentera Cinta Albaicin
Pengarang : Mazni Md Ramly
Tebal : 506
ISBN : 978-983-097-266-4
Harga : W/M:RM21.00 E/M:RM23.00

Muhammad Salehuddin menjejaki bumi Granada kerana dua tujuan. Pertama, untuk mengotai janji kepada sahabat baiknya Abdul Hakeem; seandainya peluang pekerjaan yang sengit di Malaysia tidak menjanjikan apa-apa, dia akan mencuba nasib di sana. Keduanya, dia harus melunasi ikrar jihad yang sudah terpateri bersama beberapa orang rafik.

Sallehuddin akan membantu mereka untuk memastikan cahaya dari obor Islam terus menerangi lorong-lorong suram di tanah al-Andalus itu.

Adat orang berdagang, pelbagai pengalaman pahit manis yang terpaksa ditempuhinya. Pandangan sinis masyarakat barat yang menganggap agama Islam sebagai agama yang mengekang hak-hak asasi individu dan keghairahan mereka melabelkan Islam sebagai agama teroris dan agama orthodoks yang memundurkan peradaban, membuatkan semangat Salehuddin berkobar-kobar untuk memerdekakan pemikiran orang-orang yang skeptikal terhadap Islam, baik dari pihak luar mahu pun dari kalangan orang-orang Islam Granada sendiri.

Salehuddin sedar, dia bukan seorang graduan dari Timur Tengah. Juga bukan seorang ustaz yang layak bersyarah. Namun nur hidayah yang diperoleh hasil acuan keluarga membuatkan dirinya menjadi seorang yang berani dan istiqamah dalam bermujahadah.

Dia ingin berkongsi cahaya itu dengan orang-orang di sekelilingnya. Itulah antara sebab mengapa Abdul Hakeem memilih Salehuddin. Akhlak dan budinya menambat hati. Islam itu bukan sekadar menghiasi sepotong nama atau terukir di dada segulung ijazah tetapi dijiwai dan menjadi amalan yang membenteng diri!

Namun tidaklah ada seorang pun di dunia ini yang beriman tanpa diuji. Janji-janji Allah kadang kala penuh teka-teki. Kemunculan watak-watak insani seperti Siham yang pendiam, Majeed yang kacak, Mourad yang agresif dan Imam Habib Kassem yang penuh wawasan memeriahkan hari-hari Salehuddin di Lembah Albaicin.

Anehnya, kehadiran Leyla Zulaikha yang pantas menjadi pesona Albaicin hampir-hampir mengundang satu tragedi!

Berjayakah Salehuddin menggaul semua rempah ratus permasalahan Albaicin untuk memasakkan sebuah ukhwah Islami?
Dan siapa pula Raden Nur Karmila yang namanya kian terukir indah di persada hati?


Kasih Terpilih
Pengarang : Ummu Itqan
Tebal : 260
ISBN : 978-983-097-263-3
Harga : W/M:RM17.00 E/M:RM19.00

Ketika Misali menyertai sebuah pasukan penyelidik untuk menyiapkan tesis sarjananya, dia tidak terfikir bahawa dia akan menghadapi konflik komunikasi dengan seorang rakan penyelidik yang ego.

Dia juga tidak terfikir bahawa misi penyelidikan madu di belantara Tasik Pedu akan menjadi titik penentu kepada perubahan status gadisnya. Malah dia tidak terfikir, misi penyelidikan itu akan bertukar menjadi misi penemuan jodoh buatnya.
Lebih Misali tidak terfikir, di satu tahap dia harus membawa watak kaum Ansar yang membela kaum Muhajirin.

Dia tidak terfikir ada ‘Muhajirin’ yang akan melintasi hidupnya dan mendamba kasih daripadanya ketika dia sudah di ambang jalinan ikatan suci dengan jejaka pilihan. Apakah Misali cukup kuat untuk menjadi ‘Ansar’? Apakah si dia juga bersedia untuk berkorban demi seorang ‘Muhajirin’?

Dua jejaka mengharap pada kasih yang satu. Dua ‘Ansar’ berdepan dengan seorang ‘Muhajirin’. Kasih siapakah yang ‘terpilih’?

Di Sini Kami Berteduh
Pengarang : Nurulsham Saidin
Tebal : 368
ISBN : 978-983-0097-261-9
Harga : W/M:RM18.00 E/M:RM20.00

Tasnim Jawahir, seorang guru tuisyen, berhajatkan pendidikan agama yang mantap untuk anaknya. Namun suaminya Azam menentang hasratnya menyekolahkan anak mereka di sekolah agama yang mundur.

Azam juga memandang sinis usaha isterinya membantu anak-anak sekolah itu dalam akademik. Kehidupan keluarga yang mewah, diduga Allah dengan masalah kewangan yang teruk apabila Azam tersalah langkah. Berdepan dengan tarbiah daripada Allah, mahukah Azam membuang ego dan menerima bantuan isterinya untuk membetulkan kesilapan?

Cikgu Shamsiah, graduan universiti yang melupakan kepentingan diri demi memajukan akademik sekolah, berdepan dengan cabaran besar ekoran keadaan pelajar-pelajar yang amat ketinggalan dan masalah peribadinya sendiri. Dia begitu sabar dan tenang, hinggalah kemarahannya meledak pada suatu hari.

Ustaz Daud, mudir sekolah, tampil dengan sikapnya yang berhemah. Tetapi sekolah yang semakin maju itu tergugat juga apabila ada individu yang suka popular dan mencari pengaruh.


SINERGI
Hilal Asyraf
ISBN: 978-983-097-250-3
Tebal: 512 ms
Harga: RM23

Dua sahabat, Rasyid Zakwan (Asid) dan Irfan Hakimi (Irfan), belajar di University of Yarmouk, Jordan.Ukhuwah mereka memberikan kesan kepada masyarakat sekeliling. Konflik mula timbul dengan kehadiran Sara Nasuha.

Konflik ini bukan konflik dengki-mendengki tetapi konflik untuk menjaga kelangsungan ukhuwah itu. Mereka jatuh cinta kepada Sara Nasuha, dan masing-masing tidak pernah meluahkannya.Hinggalah satu hari, Irfan menceritakan rasa hatinya kepada Asid. Asid untuk beralah dalam senyap tetapi cintanya juga amat mendalam membuatkan dia sukar untuk kekal tenang. Lalu ukhuwah mereka berdua terganggu.

Sekumpulan pelajar bermasalah – Disaster Five – tidak senang dengan imej bersih Asid dan Irdan. Konflik dua sahabat diambil sebagai peluang keemasan bagi merosakkan ukhuwah mereka.
Kes menjadi rumit apabila muncul watak misteri di sebalik kejadian pecah rumah.
Tambahan pula Irfan terjebak dalam perangkap...

No comments: