Wednesday, March 17

Terbaru dari NB: Layang-Layang Bertali Kaca


Novel terbaru Norhayati Berahim ni boleh dapat di booth NB Kara di Pesta Buku Antarabangsa PWTC dari 19 Mac - 28 Mac ini.


LAYANG-LAYANG BERTALI KACA
Penulis Norhayati Berahim
RM29.90
922pages


"Sakit tangan digerit kaca, sakit lagi hati yang terluka"


Sinopsis/Blurb


Manja, si anak kecil Tengku Shariman yang dikurung dalam sangkar emas sering bermimpi dapat bermain layang-layang sepuas hati. Apabila dia mendapat peluang dengan bantuan Pak Jusuh, pemandunya, kesempatan itu digunakan sepenuh hati. Sesekali dia melihat layang-layang itu mundur dan sesekali maju. Kadangkala dia terkejar-kejar dan kadangkala dia cuma berdiri tegak. Ketika itu barulah Manja tahu, mengendalikan layang-layang bukanlah mudah. Tidak bijak menganggar, layang-layang akan terjunam. Tidak pandai memegang tali, layang-layang akan mati. Hidup bagi Manja, seperti layang-layang. Memerlukan kebijaksanaan, memerlukan kesabaran. Bagi Manja, bermain layang-layang adalah satu kebebasan yang hakiki. Di padang itu dia boleh berlari, terbang bebas sepuasnya. Dan... di situlah dia bertemu cinta sejati.

---------
Petikan dari blogspot norhayatiberahim:

Tidak tahu kenapa apabila mahu menggetus sampul surat tersebut, hatinya sedikit berdebar.
Lantas gerakan tangannya yang mahu menggetus kad itu, terhenti. Dirabanya kad tersebut. Kad apakah ini? Seperti keras sahaja?
“Takut saya nak bukanya.”
Dia merenung Adli yang berdiri di hadapannya.
“Kenapa?”
“Entahlah. Saya tak pernah menerima kad seperti ini. Ditulis tangan pulak tu. Mungkin bukan untuk saya tak?”
Sedikit teragak-agak Tengku Shariman. Adli ketawa kecil. Sudah nyata di sampul surat itu ditulis nama Tengku Shariman.
Adli menghulurkan tangannya. Tanpa meminta izin daripada Tengku Shariman, kad sudah bertukar tangan.
“Saya bukak, ya?”
Pertanyaan itu menyebabkan Tengku Shariman menganggukkan kepalanya. Dengan perlahan Adli sudah menggetus sampul surat tersebut dan menarik kad yang terkandung di dalamnya.
“Oh… Kad hari jadilah, Tengku…”
“Kad hari jadi?”
Berkerut dahi Tengku Shariman mendengar ucapan yang keluar daripada pembantunya itu dan matanya pantas sahaja tertancap pada kad yang sedang dibuka oleh pembantunya itu.
“Hmm… Dari Manja ni…”
Adli meletakkan kad tersebut di hadapan Tengku Shariman. Orang kaya memang mudah risau dan takut tidak tentu fasal.
Agaknya Tengku Shariman berasakan ada racun di dalam kad tersebut untuk membunuhnya. Sebab itu dia takut untuk membukanya.
“Manja bagi saya kad hari jadi?”
Entah mengapa hati Tengku Shariman seperti ada perasaan yang sukar untuk diucapkan. Perasaan tidak percaya, sedih dan mahu menangis, berbaur menjadi satu.
“Hmm… Bukankah hari jadi Tengku dua hari lagi?”
Walau Tengku Shariman tidak pernah mahu mengingati hari jadinya, tetapi Adli selalu ingat. Tengku Shariman tahu, satu-satunya manusia yang sering mengucapkan selamat hari lahir kepadanya adalah pembantunya itu.

“The greatest gift from ALLAH and I call him papa…”

Terbuka sahaja kad tersebut, Tengku Shariman sudah terbau wangi bunga mawar. Walau tidak kuat, tetapi masih sempat ditangkap hidungnya.
“Manja buat sendiri…”
Suara Tengku Shariman sedikit menggeletar. Ada rasa hiba yang membalun dadanya dan seperti tidak boleh disorok lagi.
Hatinya berulang kali membaca ayat-ayat yang ditulis tangan oleh Manja dengan hati separuh tidak percaya.
“The greatest gift from ALLAH and I call him papa…”
Tanpa sedar, Tengku Shariman menyebut bait-bait kata yang berada di dalam kad tersebut.
“Manja yang bagi...”
Adli dapat mengesan perasaan tidak percaya Tengku Shariman itu.
“Cantik!”
Ada terselit perasaan bangga di sudut hati Tengku Shariman. Bangga seorang ayah yang mendapat kad hari jadi buatan tangan anaknya sendiri.
“Memang cantik, Tengku. Agaknya dia rindukan Tengku.”
“Mana dia tahu hari jadi saya?”
“Seorang anak pasti tahu hari jadi ibu bapanya sendiri, Tengku.”
Balas Adli. Dia melihat mata Tengku Shariman berkaca. Kasihan lelaki ini… mempunyai segalanya tetapi kurang kasih sayang. Bagaimana tidak kurang kasih sayang kalau susah mahu mempamerkan kasih sayang… getus hati Adli.
“Cantik…”
Sekali lagi kata-kata itu keluar daripada mulut Tengku Shariman yang akhirnya tidak dapat menahan perasaan. Diletak kad tersebut di dadanya dan dipeluknya dengan rasa hiba yang kemudian menghasilkan sedikit tangisan.

No comments: