Monday, March 22

Jumpa RAM pada 28/3/2010 Untuk Pelancaran CINTA SUFI...



Suatu ketika dahulu, ketika menoktahkan cerita Hijab Sang Pencinta, saya mengandaikan itulah pelengkap Trilogi Bagai Puteri (Bagaikan Puteri, Cinta Sang Ratu dan Hijab Sang Pencinta). Namun apabila ramai yang membaca pengakhir novel Hijab Sang Pencinta, telah melahirkan rasa tidak puas hati.

Saya terima SMS dan email yang menzahirkan kekecewaan mereka pada dua faktor – pertama: Saifudin dan Haryani tidak bersatu dan kedua: kenapa matikan watak Saifudin? Malah saya turut menerima email dari Perth Australia yang menyatakan rasa terkilan sangat pada pelengkap trilogi tersebut. Sebagai manusia, saya mula berfikir semula. Sebagai penulis saya merasa bersalah kerana menjadikan ending trilogi tersebut sebagai twist. Berikutan itu juga berulang kali saya menyatakan bahawa Saifudin atau Laksamana Sunan itu tidak mati cuma pengsan saja. Bila saya teliti pengakhir novel Hijab Sang Pencinta itu semula, memang benar Saifudin kelihatan seolah-olah ‘mati’.

Kemudian saya berusaha untuk meraih semangat untuk menjadikan Saifudin muncul semula dalam episod baru. Bagaimanapun tanpa kehadiran dua watak utama sebelum ini iaitu Dani dan Haryani. Maknanya trilogi ini berlanjutan lagi tetapi dalam new session.

Baiklah...mari saya ringkaskan cerita Cinta Sufi:-

Catalina merupakan seorang balu bangsawan Portugis yang kematian suami, belayar ke Tanah Melayu atas saranan Maryam – satu jelmaan berjubah dan berhijab putih yang ditemui apabila Catalina pengsan sahaja. Maryam berjanji akan membongkar satu rahsia besar tetapi pertemuannya mestilah di Hulu Melaka dan Catalina kena mencari seorang lelaki bertanduk dua untuk mengiringi perjalanannya ke Hulu Melaka. Ketika sampai ke Melaka, Portugis sedang menggempur Melaka dan Melaka dapat ditawan. Masa inilah Catalina menemui Saifudin yang pengsan di pantai Punggor. Lalu Laksamana Sunan itu dijadikan hamba sahaya kepada Catalina.

Perjalanan ke Hulu menghadapi bermacam rintangan termasuk huru-hara yang dicetuskan Pangeran Garitno (jelmaan Taghut) dan Puteri Kober Gandring yang hampir putus nyawa dikerjakan Saifudin dalam Hijab Sang Pencinta. Anak keponakan Taming Sari hulubalang terbilang Majapahit itu dibangkitkan semula dalam jelmaan pontianak.

Saifudin pula kehilangan kudrat kerana mengalami proses transformasi dari abad ke 21 yang telah memecahkan sel-sel dalaman. Luna pula muncul menagih kasih kepada Saifudin iaitu bangsa manusia pertama yang berjaya menambat hatinya. Begitu juga dengan Catalina yang lama-kelamaan menyenangi Saifudin kerana akhlak lelaki itu.

Kesimpulannya – banyak nyawa terkorban dalam mengharungi perjalanan ke Hulu Melaka. Persoalannya – siapa Maryam bersama rahsia besarnya? Mengapa Saifudin digelar ‘lelaki bertanduk dua’? Apakah Taghut mampu dibunuh? Bagaimana dengan campur tangan Luna dalam peperangan antara sesama bangsa manusia? Apakah Saifudin berupaya bangkit menjadi Laksamana Sunan semula? Mengapa Taghut terlalu mendendami Saifudin? Siapakah yang mampu menjinakkan Puteri Gunung Ledang yang terkenal sakti itu? Dan...banyak lagilah.

Untuk anda semua...selamat bertemu dengan Laksamana Sunan sekali lagi dan ia tidak akan berakhir begitu sahaja. Seperti kata Saifudin – tiadalah ia diputuskan di dalam hati.



Sumber dan kredit kepada Ramlee Awang Murshid dan RAMFC.

No comments: