Thursday, April 22

Rumput Masih Hijau


Tajuk Buku :Rumput Masih Hijau
Penulis : Iman Xara
Penerbit : Jemari Seni Publishing
Harga : RM20.00
Cetakan Pertama : 2010
Genre: Romantik
Bintang : 4

------------------------------------------------------------
“dia hanya segumpal rumput yang hanyut di sungai, tersangkut sebentar di ranting kasih...”

Apa Kata Saya:

Akan patahkah hati saat cinta yang begitu didamba selama ini beralih arah. Pungguk yang disangka turut merindu rupanya mengejar bulan yang lain. Bulan yang lebih tinggi. Bulan yang lebih memahami. Rasa malu usah dihitung. Rasa sedih pilu sudah selaut. Kata pepatah takdir penentu segala. Kalau sudah jodoh tidak akan kemana. Hikayat cinta penyudahnya belum tentu manis sebagaimana yang terawang di mata, terbayang diminda. Inilah saya kira mesej yang ingin digambarkan penulis pada naskhah ketiga beliau ini.

Rumput Masih Hijau (RMH) melankolik yang menyusuri hidup seorang Wafa Rashdan; gadis yatim piatu yang bertugas sebagai pegawai analisis darah. Status diri menjadi punca pertunangan dengan teman sepengajian; Ikram kala di univertiti terputus. Keturunan diri dipertikai lalu terlerai sebuah ikatan. Mimpi ngeri ini menghantui sepanjang perjalanan hidupnya lalu diri jadi sangat takut dihampiri insan bergelar lelaki. Tidak mahu lagi duka lama tercarik kembali. Cukuplah sekali maruah diri dipijak sewenangnya tanpa mampu diri bangkit untuk menangkis. Dikuburkan rasa itu kejap-kejap. Namun siapalah diri mahu menolak takdir. Rasa itu menjelma kembali tanpa diundang. Naim hadir bersama si comel Nurul Asikin. Hati gadisnya terpaut. Sungguh-sungguh terpaut. Lirikan mata juga bahasa tubuh sang arjuna menyakinkan diri tangan tidak bertepuk sebelah. Lalu salam sang adam yang lain tidak diendah. Hatinya sudah bulat pada yang satu. Makin pasti saat lamaran dari ibu sang arjuna yang sangat menyukai dirinya datang ke riba. Padang rumput yang disangka tiada penghuni lalu menjemput dirinya datang mencemar duli rupanya hanya impian zahir semata. Bukan dirinya yang dinanti selama ini.

RMH, sebaris kata yang ditinta pada tajuk mengukir tema kisah cinta yang cukup melankolik. Meruntun perasaan. Lara hati yang dicipta penulis begitu menjadi. Saya sendiri terasa tempias pilu, malu dan duka jiwa Wafa. Kisah cinta yang nampak klise, tapi berpusing 360 darjah di penghujungnya. Kalau ditanya pedapat saya, tidak mahu penamat begini, lebih rela tragis Wafa dibiarkan sahaja, pasti akan diingati minda sampai bila-bila...tapi apalah daya, hidup mati naratif ditangan penulis penentunya.

Pergerakan plot RMH kronologi yang begitu linear persembahan naratifnya bijak ditangani penulis dengan begitu baik agar tumpuan pembaca tidak menjadi bosan. Dari satu bahagian ke bahagian yang lain, kesinambungan cerita nampak cukup kemas ditangani, disunting. Penggunaan laras bahasa mudah dengan sesekali sisipan elemen-elemen bahasa cantik cukup mewarnai naskhah ini.

Wafa Rashdan menguasai keseluruhan naratif dengan begitu baik sekali. Emosi gadis malang ditangani dengan begitu cemerlang oleh penulis. Keluh kesah, gelodak jiwa wanita, rasa yang membalut jiwa dikuasai dan dilayarkan dengan sebaiknya oleh penulis. Naim menguasai naratif dengan misteri dan kesenyapan tersendiri. Sang arjuna yang cukup memikat diawal tapi ternyata penulis cukup berjaya menimbulkan rasa benci yang melampau pada Naim kesan tindakannya pada Wafa. Saya sukakan watak Hajah Naimah. Keibuannya cukup mendamaikan jiwa. Wataknya dilukiskan dengan begitu indah sekali. Rasa kesal yang bermukim di jiwa, rasa bersalah yang menggunung di lubuk hati direalisasikan penulis sebaiknya. Pilu jiwa , malu dan bersalah yang bermukim di jiwanya bagai dapat saya selami. Humairah saya kira watak sampingan yang cantik dibina penulis. Jiwa wanitanya nan halus dipotretkan dengan begitu harmoni. Perwatakan kanak-kanak juga ditangani sebaiknya oleh penulis. Keletah Asikin begitu hidup dipenakan, keceriaannya nampak jelas dibayangan mata. Aisyah, Raihana adalah penambah perisa cerita. Safuan hadir dihujung pena sebagai pelengkap cerita.

Buat penulis, tahniah atas persembahan yang cukup menarik dalam naskhah terbaru anda ini. Semoga akan terus cemerlang menghasilkan karya-karya yang baik juga hebat di masa hadapan.

Tuesday, April 20

Versus


Tajuk Buku : Versus
Penulis : Hlovate
Penerbit : Jemari Seni Publishing
Harga : RM19.00
Cetakan Pertama : 2010
Genre : Remaja & Pembangunan Diri
Bintang : 5

---------------------------------------------------------
bukan mudah untuk berubah…bukan senang untuk jadi baik .. it cost you hell to change!”
“ versus…the hardest battle is when you’re against yourself.”
Apa Kata Saya:
Jadi baik tidak semudah lafaz. Jadi baik tak semudah yang dilihat dengan mata zahir. Tanggungjawab untuk berubah ke arah menjadi insan yang berpaksikan amar makruf nahi mungkar itu sangat berat. Berat bagi diri yang selama ini tidak ambil pusing hal-hal hubungan dengan Dia. Berat bagi diri yang selama ini merasakan kiblat hidup hanyalah pada apa yang dilihat didepan mata sahaja. Bila diri melihat addin dari skop yang sebenar-benarnya alangkah kerdilnya diri. Mengislahkan diri itu ibadah yang mulia, wajar dan wajib demi hidup yang lebih sempurna, diredhai dan diberkati oleh yang maha Pencipta. Rangkuman mesej inilah yang saya kira melingkari naskhah berdurasi 432 halaman nukilan penulis yang terbaru menjengah para pengkagumnya.

Versus; sebuah lagi karya penulis muda ini yang sentiasa segar didalam membawa dimensi pemikirannya kearah matlamat yang begitu murni bersesuaian dengan landasan hidup muslim menerusi idea, kaedah juga olahan kisah kehidupan remaja yang bersahaja namun penuh pengisian. Pengisian yang dicetus bukan semudahnya dituntas akal. Ia penuh hujahan dan sokongan ayat-ayat cinta-Nya sebagai bukti. Sampingan kumpulan hadis serta cetusan kisah para ilmuan yang diselitkan demi pengukuhan sebuah matlamat di penghujung noktah para pembaca. Tanggungjawab sebagai penulis disudahi dengan cukup cemerlang; kisah dibentang buat tatapan, ilmu ditabur buat panduan juga renungan. Hidup menjadi insan yang gemilang di dunia dan akhirat itu tuntutan, kejarlah dunia hingga ke hujungnya asal sahaja diri tidak lupa akan adanya hari di sana.

Tema cinta dari skop pena penulis ini sentiasa mendamaikan jiwa. Perasaan cinta itu fitrah kejadian manusia. Tidak salah. Tiada dosa untuk rasa itu kerna ia kurnia dari-Nya. Cinta dari kacamata sesiapa pun hatta lelaki atau perempuan sememangnya tiada beda. Indah. Penuh warna. Lalu penulis menebarkan jalan bagaimana rasa itu direalisasikan dengan langkah yang betul , dilestarikan dengan akuran hukum dan adat yang menunjangi hidup manusia. Itulah cinta yang direstui, itulah cinta yang diberkati.

Plot naratif Versus konsisten pergerakannya dari mula hingga ke akhir cerita. Teknik flashback yang diaplikasikan penulis disebahagian cerita mewarnai plot dengan begitu kemas. Persembahan yang sangat cemerlang ini juga disumbangkan oleh susunan teknik olahan dan suntingan yang cukup teliti yang membuat bacaan tidak terganggu.

Bila berbicara soal aplikasi laras bahasa penulis ini wajar kiranya minda dibebaskan dengan belenggu ortodok kerana gaya bahasa penulisan kreatif tidak hanya tertumpu kepada satu konsep sahaja. Gaya bahasa perlu kena dengan lantai cerita, perlu sesuai dengan konsep naratif jika tidak pasti canggung jadinya naskhah, sakit telinga pula bila membacanya. Penulis bagi saya mencipta gaya bahasanya yang tersendiri. Tiada palagiat. Tiada klon. Inilah keunikan gaya bahasa ciptaan beliau. Ia berdiri pada kelasnya yang tersendiri.

Perwatakan di dalam Versus memfokuskan pada dua watak utama; Minn@ Minn Edina dan AO@ Ashraff Omar. Watak Minn juga AO adalah nadi keseluruhan naskhah ini. Dua remaja ini adalah potret insan yang ditiupkan cahaya kesedaran dalam memacu diri kearah addin yang sbenarnya. Minn dan AO cemerlang dilakar pena penulis. Perwatakan kedua-dua bekas jagoan skater ini hidup pada paksi tersendiri didalam mewakili emosi gender masing-masing. Berjuang dan berperang dalam penuh kesukaran dan keperitan demi sebuah penghijrahan yang hakiki, penghijrahan yang lebih bermanafaat, penghijrahan yang sangat dituntut, penghijrahan yang membawa seribu kemanisan di penghujung kehidupan. Ked @ Khalid Faizal yang menunjangi Ked’s story dari naskhah Pelangi adalah watak sampingan yang cukup mewarnai Versus. Peranannya tidak sedikit didalam memantapkan naskhah ini. Di dalam naskhah ini jugalah kesudahan Ked dan Nawal diumumkan penulis. Misteri Jasmin sangat manis terungkai, Che’ E sungguhlah comel dengan keletah dan manjanya,

Versus menyusuri hidup seorang bekas jagoan skater; Ed’Sassin of Wrath @ Minn Edina yang menukar kompas hidup demi sebuah wasiat. Berjuang untuk berubah daripada sebuah kehidupan yang sudah menjadi darah daging kepada yang baru dan mencabar bukan mudah. Perit. Siksa. Sukar sekali. Namun dengan izin-Nya, alhamdulillah, cahaya itu ditiupkan. Lupakan skater. Lupakan deck. Lupakan rail. Lupakan semuanya tentang kehidupan dahulu. Lembaran baru yang dibuka membawa dirinya pada seorang Minn Edina. Dugaan tiba. Di kolej, Minn dipertemukan dengan si tinggi lampai Ashraff Omar of Bronx, skater yang terbilang juga namanya. Tidak diduga AO, ustazah garang yang menjadi mentornya itu adalah Ed’Sassin; si genit cantik seksi berlesung pipit yang dipuja dahulunya dalam diam. Dalam diam AO mengenal seorang Minn Edina dari sisi seorang Ed’Sassin. Rasa itu hadir. Ketidakpastian itu lumrah. Terpisah. Jarak yang jauh mendekatkan rasa itu. Cemburu itu biasa. Hukum alam memang begitu. Pertemuan semula di bumi kanggaru begitu manis.Tersurat janji seperti yang termetri di loh mahfuz adalah penamat teka-teki di hati selama ini.

Siapapun diri kita,muhasabah dan istiqamahlah selalu. Hidup ini sudah dibentangkan landasan dan jalannya, kitalah yang memilih dan memutusnya. Jika mahu berubah, berazamlah dan teguhkan niat ke arah itu.

Buat penulis, anda sentiasa mengagumkan. Tahniah buat sebuah perjuangan diri yang pastinya akan terukir indah di memori para pembaca. Buat pembaca, bacalah Versus jika mahu tahu apa itu erti sebuah perjuangan diri.

Monday, April 19

Review: Bidadari Hujan by Noor Azzahra


Bidadari Hujan
Penulis: Noor Azzahra
Terbitan Jemari Seni
Cetakan Pertama 2010
RM20.00
Sabah/Sarawak: RM23.00
isbn: 9789675118340
508 mukasurat


Bidadari Hujan diceritakan dari persepsi seorang lelaki awal 30-an. Rain membuat kita faham gelora jiwa seorg jejaka yg inginkan cinta dlm hidupnya. Qamalia adalah idaman ramai jejaka. Sesiapa saja boleh jatuh cinta pandang pertama pada dia. Gadis 21 tahun itu membuat Rain dilamun cinta. Dan Rainlah paling bahagia apabila cintanya bersambut.


Di saat Rain bahagia dilamun cinta Qamalia, dia tersungkur tatkala dipaksa menerima Sufi Sofea sebagai isteri.


Kisah cinta Rain-Lia memang sangat manis dan membuai perasaan, namun cinta begitu kelihatan biasa2 dan berlaku pada siapa saja yg jatuh cinta pandang pertama. Bidadari Hujan betul2 menangkap perhatian saya apabila Rain bermimpi selepas istiqarah. Ternyata bukan seorang saja Bidadari Hujan di luar sana. Mimpi itu betul2 membuat saya tak sabar nak mengetahui perjalanan hidup Rain sbg suami terpaksa.


Dia memilih utk menyakiti hati Sufi. Layanan Sufi tidak pernah diambil peduli. Rain heran bagaimana Sufi boleh tetap tenang dan tersenyum hingga dia rasa tercabar malah merasakan Sufi adalah pelakon yg terbaik.


Sufi tidak pernah mencanangkan keburukan Rain, malah dia menceritakan yg baik2 aja. Masing2 mahu menjaga hati ibu bapa masing2.


Kemalangan yg meragut nyawa ibu bapa Sufi telah menyentap Rain ke realiti sebenar hidup seorg Sufi. Sedih giler masa kita mula mengenali Sufi yg selama ini tenang. Kini wajah Sufi kelihatan paling ikhlas di mata Rain. Mungkin kerana sebelum ini Sufi belum pernah menangis di hadapannya maka dirasakan Sufi pandai berlakon. Air mata itu telah membuat Rain mencari kisah di sebalik ketenangan Sufi yg dilihatnya sebelum ini.


Kalau Rain rasakan kebahagiaan cintanya diragut, Sufi lebih jauh menderita angkara cinta. Arwah Nenek sungguh2 memaksa dia mengahwini Sufi demi menjaga maruah keluarga Sufi yg pernah mendermakan buah pinggang buat nenek meneruskan hidup di dunia. Rain merasakan dia sudah membuat pengorbanan besar, tetapi sekarang siapa yg lebih byk berkorban?


Diari Sufi menyingkap rahsia hati seorg isteri membuat rasa kasihan Rain bertukar menjadi kasih. Tetapi Sufi sudah bersedia utk ditinggalkan kerana sudah tiada hati yg hendak dijaga apabila ibu bapanya sudah pergi utk selama-lamanya. Sepanjang cerita kita memang hanya tahu perasaan Rain. Perasaan Sufi hanya diselami melalui catatan diari Sufi yg dibaca senyap2 oleh Rain.


Gila bayang Rain pada Lia dulu terasa sgt berbeza dgn gila bayang Rain pada Sufi. Bukan senang nak pujuk Sufi yg bijak menyembunyi rahsia hati. Bila doktor lelaki cek degup jantung bini dia dgn stetoskop pun dia dah rasa jeles. Apersal cek lama sangat?


Dan nasib baik lah muncul sekor lembu yg menyelamatkan rumah tangga Rain. haha! Lembu? yep lembu, bukan 'lembu' tapi lembu yg suka makan rumput tu. haha... dlm sedih2 rasa lawak lah pulak.


Saya setuju dgn kak noor, pemilihan editor lelaki utk novel ini adalah sangat tepat dan membuatkan kisah ini jadi istimewa dan lain dari yg lain. Terima kasih utk Bidadari Hujan. :)


Teknik cerita seperti opposite of Teluki itu utk Aku. Dlm TIUA diceritakan dari persepsi heroin dan luahan hati Firdaus kita cuma tahu melalui diarinya. MAnakala dalam Bidadari Hujan ni, diceritakan dari persepsi heronya dan luahan hati Sufi cuma diketahui melalui diarinya jugak.


sinopsis / blurb


Kasihan itu salah satu cabang cinta!


Tanpa diduga tatkala hujan sedang turun pada suatu pagi, aku terpanah dek kasmaran utk pertama kali. Dia Bidadari Hujan yg memayungi aku dgn payung cintanya! Aku terpesona pada kejelitaannya. "Harap2 esok pagi hujan lagi!" kataku sambil menghadiahinya senyum. Matanya memanah hatiku dgn busur arjuna. Lalu hari2 selepas itu aku bukannya lagi Raimy Haidar yang dulu.


Hujan mencurah lagi. Diberinya aku sekaki payung. "Macam mana saya nak pulangkan?" Langkah dia terhenti. Aku menanti. Perlahan-lahan dia berpusing kembali menghadap aku. Oh dia bukannya Bidadari Hujan aku yg dahulu. Tingkahnya penuh pekerti senyumnya penuh erti."Simpanlah andai awak rasa mahu menyimpannya. Buanglah andai awak rasa mahu membuangnya."


Apa jawab hati aku pada saat ini?

-----------


Tulisan Noor Azzahra buat yg mahu mentafsir cinta dari sudut yg lain. Benarkah lelaki tidak halus hatinya dlm menzahirkan cinta? Bolehkah cinta datang utk kali keduanya? Tanyalah kepada Bidadari Hujan, biarlah dia yg menjawab semua persoalan anda itu!

Sunday, April 18

Mei 2010: Sweet Sour - Nasz Dari Jemari Seni


A – Yang manis, harum lagi wangi itu Zarul


“Kira orang ni taraf cincin gula-gula ni ajelah.”

“Sepuluh ringgit tu.” Sungguh-sungguh dia cakap.

“Berkira... baru sepuluh dah kecoh... bukannya seribu pun.” Aku jeling dia.

“Banyak cakap pula... kalau tak nak bagi balik.” Dia hulur tangan kiri.


Tak tahu pula macam ni punya seronok apabila dapat cincin... walaupun hanya cincin gula-gula.

“Ni kira orang ‘cuplah’ ni.” Sambung dia lagi.

Aku simpan senyum. Tak boleh senyum depan-depan ni, nanti dia perasan!


B – Yang pahit, masam, masin, payau itu Joe Jambul


“Bayar cincin ni.” Kata dia. Betul ke ni, apa yang aku tengah dengar ni.

“What?” aku terjerit di situ.

“Pay for this.”Relaks aje dia mengarah aku lagi.

“Okey... saya bayar!” Aku jeling dia.


Tapi kan, juling biji mata aku tengok bil RM10 000 kat Tiffany tu. Gila ke apa? Batu planet mana dia pakai buat cincin bodoh ni!

* * *

Kenapa Zarul dan Joe Jambul sangat berbeza di hati Lia?

Gali jawapannya dalam Sweet Sour. Karya NASZ ini sungguh warna-warni dan santai persembahannya, anda tentu terpesona!

Saturday, April 17

Akan Datang Dari Prima


Coklat, Bunga & Si Cupid
Terbitan Buku Prima
Cetakan Pertama 2010
Penulis: Zara Amani


Tiga orang pemuda yang datang mengetuk pintu hati membuatkan Amelia Rania Qaisara resah. Zarul Haidi Fahimi muncul bargaya mengisi kamar hati. Wajahnya yang tampan membuatkan hati jatuh tertawan. Senyumannya mampu mencairkan hati yang gundah gulana. Semakin dia menjauh, semakin ia mendekati. Cinta dinikmati sekelip mata. Namun ego yang bermaharajalela menyukarkan segala. Rifdi Hakimi membantu di kala sunyi. Dirinya pernah menjadi igauan malam suatu ketika dahulu. Namun hati yang menderita tiada siapa yang tahu. Fakhrul Qazril Amani muncul dengan membawa mentari indah. Dirinya sememangnya memenuhi ciri-ciri lelaki idaman. Apatah lagi wajahnya yang mirip dengan Haidi membuatkan dirinya sentiasa dibuai asmara. Siapa sangka pemuda itu mampu menggoncang hati yang semakin berbelah-bagi. Pahitnya hempedu ditelan sendiri. Tanpa ada yang memahami.

Terbaru Dari Prima


Cinta Dua Benua
Aliaa Rohani
RM 18.90
ISBN: 978-967-5489-31-0

Di universiti, Farah Amira mengenali Amer. Empat tahun mereka menjalinkan hubungan cinta, akhirnya mereka terpisah akibat salah faham dan buruk sangka. Kerana terlalu kecewa, Farah lari membawa diri ke Kota London. Di sana, dia bertemu dengan seorang jejaka bernama Ikmal. Tanpa dia sedari, Ikmal juga menaruh perasaan terhadapnya. Masa berlalu pantas, akhirnya tiba masa untuk Farah kembali semula ke tanah air. Hatinya masih mengingati Amer. Namun, dalam pada masa yang sama, Ikmal terus setia menanti, mengharapkan cinta Farah. Farah lemas dan keliru apakah rasa sebenar hatinya.

Thursday, April 8

Akan Datang Dari Alaf 21


Harga: RM18.00
Halaman: 480
Penulis: Ryana Adrina
ISBN: 978-983-124-513-2

Sinopsis:

BERADA di dalam lingkung an keluarga sendiri, terasa diri bagaikan orang a sing. Sejak kecil, jiwa Wafi ya men derita. Diri seolah dinafi kan hak sebagai anak kandung apabila ibu bapa sendiri menyayangi orang luar melebihi dirinya sendiri.

Entah apa silapnya hingga dia terpaksa membayar harga yang mahal demi meraih sebuah kebahagiaan. Dia didesak berkahwin dengan Arsyad, teman lelaki sepupunya. Walaupun berat hati, dipaksa juga diri menerima pinangan tersebut. Dia yakin, Arsyad tidak mencintainya, malah pasti bahtera rumah tangga mereka tidak akan ke mana-mana!

Ternyata alam rumah tangga merubah segalanya. Dalam marah dan dendam, masing-masing saling mencuit hati, mengusik rasa. Wafi ya yang sengaja mengasingkan diri, tanpa sedar menyentuh jiwa Arsyad. Dalam keras, ciri-ciri kelembutannya tetap terserlah.

Namun, bila harapan itu ada, badai taufan mula menampakkan diri, menghempas pantai, menjahanamkan sinar. Bisakah dia mengecap nikmat bahagia, atau bahagia itu sememangnya tidak tercipta untuknya?


Harga: RM18.00
Halaman: 496
Penulis: Durrah Fatiha
ISBN: 978-983-124-537-8

Sinopsis:

MALIHAMALIHAH, Syahindah dan Nurnisa se - ring mencuri perhatian Qayyim le w at kerenah manja dan nakal mereka. Biarpun hanya Malihah sahaja adik kan - dungnya, Syahindah dan Nurnisa juga punya tempat istimewa di hati Qayyim.

Kenakalan mereka terbawa-bawa apabila masing-masing sepakat melaksanakan satu misi rentetan idea Malihah yang mahu memisahkan ikatan cinta antara Qayyim dan Syiqin.

Mereka jelik dengan sikap manja Syiqin. Lantas, Indah dan Nisa cuba untuk mengalihkan perhatian Qayyim. Ternyata misi mereka tidak semudah yang dirancang. Perasaan cinta yang sengaja dibuat-buat oleh Indah dan Nisa dalam menjayakan misi mereka telah meresap jauh ke dasar hati masing-masing. Mereka benar-benar jatuh cinta dengan Qayyim!

Dan, Qayyim juga menyedari dia telah tertarik dengan dua teman adiknya itu. Penantian cinta mereka ternyata mendera perasaan apabila masing-masing enggan meluahkan.

Indah atau Nisa? Qayyim bingung mahu membuat pilihan!


Harga: RM18.00
Halaman: 480
Penulis: Amiza Anaz
ISBN: 978-983-124-531-6

Sinopsis:

AMRIL NUQMAN menyimpan dendam terhadap lelaki yang di sangka telah menyebabkan kematian kembarnya. Namun, hasratnya untuk membalas den dam tidak kesam paian kerana lelaki itu telah meninggal dunia. Dia kemudian menggunakan Aimi Rozana, adik lelaki tersebut sebagai galang gantinya.

Namun, Amril silap perhitungan. Dia terjerat dengan pe rasaan sendiri apabila jatuh cinta dengan gadis itu. Aimi Rozana pula menerima cinta Amril dengan ikhlas. Baginya, Amril seorang lelaki yang bisa membahagiakan dirinya. Akhirnya, mereka dijodohkan oleh keluarga masing-masing.

Kebahagiaan yang diharapkan rupa-rupanya menjadi duri dalam hidup Aimi. Apa yang diangankan kosong sematamata. Dirinya dilayan seperti patung bernyawa. Hanya dipandang, tapi tidak bisa disentuh. Sikap Amril semakin lama membuatkan Aimi menjadi sangsi dan kecewa.

Sanggupkah Aimi meneruskan hidupnya sebagai isteri Amril setelah lelaki itu meletakkan dirinya di tahap yang paling bawah?

Wednesday, April 7

Damai


Tajuk Buku : Damai
Penulis : Saidatul Saffaa, Noor Suraya & Syud
Penerbit : Jemari Seni Publishing
Harga : RM21.50
Cetakan Pertama : 2010
Genre : Cinta & Kekeluargaan
Bintang : 4


--------------------------------------------------------------
Apa Kata Saya:

Ceritera I: Damai oleh Saidatul Saffaa


“Damai itu kan dalam hati…”

Selepas novel pertama beliau; Kemilau Mutiara Raudhah kali ini penulis mempersembahkan sebuah catatan kembara seorang Naseema di bumi Turki yang menunjangi sejarah kegemilangan empayar islam Uthmaniyyah . Melayari naskhah ini seumpama membaca sebuah journal sejarah islam bergerak yang memfokus kepada maklumat, fakta serta tinggalan silam empayar Uthmaniyyah di negara Turki. Tidak ketinggalan selingkar kisah para syuhada juga para sahabat junjungan besar kita, nabi Muhammad S.A.W yang turut sama mencurah bakti didalam menegakkan syiar islam di bumi Turki.

Saya sendiri secara jujur sudah ingat-ingat lupa tentang empayar kerajaan Uthmaniyyah ini sewaktu mempelajarinya ketika di tingkatan enam suatu masa dahulu namun yang pasti naskhah ini lebih mendalam kupasannya. Satu pendedahan berbentuk maklumat yang saya kira cukup baik untuk tatapan para pembaca khusus kepada mereka yang kurang tahu tentang susur galur pembentukan empayar Uthmaniyyah ini. Naskhah yang saya kira boleh mendidik pembaca tentang betapa gemilangnya sejarah islam suatu masa dahulu.

Sebuah naskhah yang bertema kisah kasih sayang biasa. Sangat biasa dari kacamata zahir pencinta kisah cinta kerana plot utama naratif ini begitu dominan terarah kepada penjejakan sejarah empayar Uthamniyyah sebagai pelengkap kertas ilmiah Naseema lalu kisah lain sudah menjadi sub plot sahaja didalam naratif ini.

Plot kronologi mendominasikan hampir keseluruhan naskhah ini. Suntingan yang cukup teratur. Perwatakan saya kira adalah dominan kepada Naseema dan watak-watak lain hanyalah sampingan. Saya kira Zubeyda sudah menjadi watak kedua terpenting didalam naskhah ini lalu menenggelamkan si Yusuf Islam Naseema . Sayang sekali watak Sadiq si Yusuf Islam ini begitu terbatas peranannya didalam naskhah ini. Cameo Raudhah yang kini sudah punya puteri; Maryam pasti mengubat rindu pembaca pada si cantik bermata hijau ini.

Gaya bahasa mudah yang diterapkan penulis dalam naskhah beliau ini cukup bersesuaian dengan corak persembahan naratifnya.

Buat penulis tahniah dan semoga akan terus memperbaiki mutu persembahan and auntuk karya akan datang . Buat pembaca, hayatilah sebuah momentum kegemilangan sejarah islam dari kembara seorang Naseema.

Ceritera II: Yang Jauh di Pulau oleh Noor Suraya

“saya juga tidak ingin berkahwin jika bukan dengan d ia yang memanggil saya “pyar”…”

Kata pepatah tiada kata seindah bahasa, tiada cantik seindah rupa. Inilah Noor Suraya. Jemari saktinya pasti tidak sesekali mengecewakan para pembaca juga pencinta beliau. Dari sebuah catatan Ceritera Cinta Marhaen dengan Tajuk Piyah & Piyan, di blog penulis ,naskhah indah ini akhirnya dipindahkan ke versi cetak dengan judul baru; Yang Jauh di Pulau.

Tajuk ini sebenarnya mengingatkan saya pada sebuah puisi nukilan Chairil Anwar; Cintaku Yang Jauh Di Pulau. Sebagaimana indahnya puisi ini ditangan Chairil Anwar, begitu juga indahnya kisah Yang Jauh di Pulau ini ditangan Noor Suraya. Penulis yang saya kagumi ini sentiasa berjaya melakar kisah yang pasti menyentuh jiwa dan perasaan hati pembaca. Perincian beliau sangat menakjubkan. Naskhah ini buktinya.

Yang Jauh di Pulau membawa pembaca mengenali jiwa halus milik seorang Piyah/ Piya/Pyar atau nama lengkapnya Ainnul Suffiah Syuhada Burhan. Gadis manis yang menanti keputusan STPM ini dikirim ayahnya ke kampung toknya nun jauh di pulau lagenda. Misi untuk belajar menjadi seorang perempuan dibawa seliaan tok cik Nahnya menemukan dirinya dengan si penjual ikan nan kacak; Piyan aka Sophan Sophian. Lalu di sinilah bermulanya sebuah kisah antara Piyah dan Piyan. Sebuah jalinan kasih sayang marhaen yang begitu menyentuh naluri biarpun dipersembahkan dengan rentak yang begitu santai. Inilah kehalusan karya Noor Suraya.

Naskhah yang di warnai ilmu masakan sebagai sub plotnya ini diperhalusi dengan penuh teliti tanpa sedikitnya menjejaskan plot utamanya. Ternyata pengalaman penulis berjaya mencorakkan naskhah ini dengan begitu indah sekali.Pelbagai tips masakan diperturunkan penulis untuk dikongsi juga sebagai pengetahuan kepada para pembaca.

Genre cinta dari air tangan penulis hebat ini sentiasa lain dari yang lain. Bukan lah cinta yang asyik masyuk tapi cinta yang tulus di jiwa! Cinta yang digarap dengan penuh susila, penuh adab bertunjangkan adat dan berteraskan hukum yang dijunjung.

Perwatakan yang dilakar penulis begitu cemerlang sekali. Penulis begitu hebat memberi jiwa pada tiap watak yang dicipta didalam naskhah ini tidak kiralah sama ada watak utama atau watak sampingan. Ainnul Suffiah sebagai tunjang naratif sangat cemerlang dipotretkan penulis. Halus jiwa perempuannya diangkat dengan penuh emosi, sifat diri wanitanya diserlahkan dengan begitu cantik dan memikat sekali. Pelarian diri tatkala salah sangka menguasai jiwa lantaran kekasih hati disangka mempermainkan kasih sucinyaditerjemahkan ke teks dengan penuh melankolik. Syahdu sekali! Perwatakan Piyan sedari awal sudah terserlah kematangannya. Saya sukakan cara penulis membina watak hero nan manis ini. Sopan dan santunnya cukup menawan hati. Siapa sangka ye dia penjual ikan berstatus jurutera berijazah! Tok cik Nah adalah watak yang saya kira sangat penting didalam naskhah dan watak nenek kesayangan Piyah ini dipotretkan dengan cukup teliti hingga saya kira berjaya mencetuskan rasa kekaguman pembaca padanya. Liciknya Busu sungguh tidak disangka!

Kalau berbicara tentang penulis ini, tidak lengkap rasanya tanpa membicarakan alunan gaya bahasanya. Bahasa dan kaksu ibarat aur dan tebing. Gaya bahasa yang penuh personifikasi, elemen bahasa tersusun indah rima dan ritmanya adalah identity Noor Suraya. Maka tiada apa yang perlu saya diperkatakan lagi tentang keindahan laras bahasa yang diaplikasikan beliau untuk karya terbaru ini. Saya sentiasa terbuai dengan keasyikan lenggok bahasa kaksu yang memukau. Suntingan pada naskhah ini cemerlang direalisasikan kepada pembaca demi memberikan sentuhan yang lebih sempurna pada pembaca.

Bermesejkan kasih sayang sebagai paksi cerita, plot naratif penulis bergerak dengan cukup teralun, kemas digarap. Kasih sayang yang diterjemahkan dengan dimensi yang lebih halus, lebih sensitif namun cukup bermakna didalam kehidupan manusia sekeliling.

Buat penulis tersohor yang amat saya kagumi ini, tahniah dan terima kasih kerana mempersembahkan sebuah jalinan sebuah kasih sayang yang sangat indah .


Ceritera III: Langit Tetap Biru oleh Syud

“dia yang aku hampir-hampir lupakan kewujudannya…dia yang telah bermastautin diingatan tanpa aku sedari…”

Menerusi Langit Tetap Biru, penulis muda ini membawa pembaca menerjah ke dasar hati seorang Nurul Zahra. Rasa yang sekian lama terpendam , rasa yang begitu kejap tersimpan di ujana hatinya tiba-tiba mekar bila tersua kembali si dia yang pernah suatu waktu dahulu menyentuh hati perempuannya dan hingga ke saat ini si dia masih kejap merantai pintu hatinya dari diketuk oleh arjuna yang lain.

Tema cinta yang dilayarkan penulis di dalam naratifnya kali ini begitu santai namun saya kira inilah cara penulis menyampaikan mesej naratifnya kepada pembaca. Tidak keterlaluan dengan unsur-unsur yang memualkan mata juga telinga, konflik jiwa remaja Zahra berjaya diterokai penulis sebaiknya.

Plot naratif ini konsisten pergerakannya dari mula hingga ke akhir cerita. Persembahan yang baik ditambah susunan teknik olahan dan suntingan yang cukup teliti membuatkan naskhah ini tampak indah dimata. Gaya bahasa penulis ini semudah dirinya yang sangat santai dimata saya. Laras bahasa yang dipilih saya kira tepat untuk kisah remaja sebegini.

Perwatakan di dalam Langit Tetap Biru memfokuskan pada dua watak utama Nurul Zahra Abd Malik juga Fikri Adlan Ahmad Ismail. Watak Zahra dibangunkan dengan cukup santai kepada pembaca. Zahra adalah simbol perempuan yang saya kira bijak menyimpul rasanya dari pengetahuan luar, hanya yang rapat sahaja tempat dia mencurah rasa itu. Fikri Adlan yang misteri begitu mengujakan, juga memikat! Umaira, Azri juga Banie bagaikan percikan warna yang mengindahkan lagi naskhah ini.

Buat penulis, tahniah untuk sebuah kisah yang begitu tenang, setenang langit nan biru di atas sana.

Monday, April 5

Review: Ruang Rindu by Rozita Abd Wahab


Ruang Rindu
Penulis: Rozita Abd Wahab
isbn: 9789831245149
RM19.90
sabah / sarawak RM22.90
504 mukasurat


"Bibir tak bisa berbicara bahasa rasa"


Ruang Rindu bagi aku kisah yang manis dan menarik. Walaupun Halil tu kaki perempuan tapi ntah kenapa aku rasa Nik Azhan (Setulus Hati) jauh lebih miang dari Halil.


Halil ni walaupun tukar2 makwe tapi dia tak membantah pulak kehendak ibu dia. SElepas tembelang Halil pecah, keluarga Lia macam tak kisah pulak Halil nak pikat Lia kembali walaupun sudah tau perangai sebenar Halil. Semua org macam yakin jer Halil akan berubah.


Camelia seorg gadis tomboy. Ibunya takut dia tidak akan bertemu jodoh lalu pandai2 tunangkan dia dgn Halil, anak kpd seorg guru yg pernah mengajar Lia semasa darjah 4. cikgu tu tak kisah dgn sikap kasar Lia malah dia rasa sikap itu sepadan dgn Halil yg suka tukar2 makwe yg langsung dia tak berkenan nak buat menantu.


Halil menurut kata ibunya, lagipun tak rugi apa sbb Lia pun cantik orgnya, cuma tomboy ja. Dia cuba memikat tunangnya setelah 3 bulan bertunang. Tapi masa Lia outstation kat JB, dia dah kantoi. Lia bertembung dgn Halil bersama 'tunang' lain di JB. Lia sgt gembira sbb skrg dia ada bukti yg kukuh utk membatalkan pertunangan dgn Halil walaupun dia sgt sygkan ibu dan bapa Halil yg baik hati tu.


Sebaik saja putus tunang, Halil dipindahkan ke pejabat KL betul2 dekat dgn ofis Lia sbb dulu dia memang nak dekat dgn tunang dia, tapi sekarang dah break, Halil menggunakan peluang itu utk keluar ngn lain2 perempuan utk buat Lia cemburu. Masalahnya Lia tak cemburu pown. Lia semakin jauh tapi Halil pulak dah makin syok kat Lia. Halil sanggup membuang rasa malu dan cuba meminta bos Lia utk menyuarakan hasrat hatinya utk kembali pada Lia. haha silap banyak!!! rupa2nya boss Lia tu pun syok kat Lia dan melamar Lia utk diri sendiri, bukan utk Halil! haha padan muka Halil, dia ingat kalau dia tak nak kat Lia, takkan ada org lain yg nak kawin dgn Lia. Tomboy2 Lia tu pun ramai gak yg berkenan.


Bila tau Lia dilamar boss tu, Halil terus gi debik mamat tu. sabo jer aku. dia risau kot sbb bos Lia tu walaupun duda, tapi hensem. anak2 boss tu pun rapat giler ngan Lia, lagi la dia bimbang.


Lia memang penah ada pakwe dulu (namanya Tuan Amir) tapi mak Amir tu Datin, dia tak suka Lia yg tomboy tu. Dia kata tak sesuai buat menantu. dia siap hina2 si Lia tu. Kesian. Yg dia bekenan, mak nyer tak suka pulak. Yg dia tak berkenan, maknyer suka sangat2 la pulak.


Halil panik bila rumah Lia ada kenduri selepas beberapa hari Lia memperkenalkan Tn amir sbg bakal suaminya. Dia nekad gi rempuh bilik Lia dan nak pujuk Lia sampai stuju kawin ngan dia.


Bagi aku kisah selepas itu menjadikan cerita ini cute dan menyentuh perasaan :)


Kenapa ek skrg aku senang nak suka dgn cerita yg buat aku nangis? Adeh la... dan nampak sangat sekarang ni citer yg aku rasa sedih, org lain baca tak sedih pun. Cemana bleh jadi mcam tu. heh heh. something is wrong somewhere upstairs?


Kat kulit buku jer nama Rozita Abd Wahab tercatat. Kat bahagian dalam semuanya ditulis 'Rozita Wahab'. Macam nama org lain pulak sbb dah biasa tengok nama penulis berbakat ni adalah Rozita Abd Wahab. kan? kan?

Thursday, April 1

Novel baru KN utk April 2010!


Ku Percaya Ada Cinta
Penulis: Rudi Hirdy
Terbitan Kaki Novel
Cetakan Pertama 2010
SEMENANJUNG: RM20 AHLI: RM16
SABAH & SARAWAK: RM 23 AHLI: RM 19


"Kadangkala... kebetulan itu satu detik permulaan yang indah"



Kupercaya Ada Cinta menyingkap kisah Hazz yang agak terkebelakang dalam berfesyen serta digelar sebagai ‘wanita sihir’ oleh pelajar-pelajarnya di kolej disebabkan sikapnya yang tegas dan garang ketika mengajar.


Perjalanan hidupnya mula berputar tiga ratus enam puluh darjah selepas dia bertemu dengan Fakhri, seorang pereka fesyen akibat kemalangan sewaktu ingin ke tempat kerja. Mereka berdua bagaikan seteru dan berdendam di antara satu sama lain akibat kemalangan itu lalu terjadilah peristiwa yang mengaibkan Hazz sepanjang hidupnya hingga memaksa beliau menyaman Fakhri. Fakhri yang tidak mahu naik turun di mahkamah rela dijadikan sebagai ‘hamba tebusan’ dengan syarat dia harus menukar imej Hazz dalam tempoh enam bulan.
Dalam masa yang sama, papa Hazz dan mama Razznal ingin menyatukan mereka berdua. Tetapi Hazz tidak mahukan sebuah perkahwinan tanpa sebarang cinta. Razznal pula telah pun mempunyai ‘kekasih gelapnya’ – Gabriel.

Kepada Witch (rakan chatting di alam maya) Razznal meluahkan permasalahannya kerana hanya Witch yang bisa membuatkannya tertawa dan melupakan sementara tekanan hidupnya. Kepada Fakhri Hazz meluahkan ketidakpuasan hatinya terhadap papanya yang mengongkong hidupnya.
Bagaimanakah kesudahan kisah Hazz? Siapakah jodohnya? Razznal? Fakhri? Atau Zaidib… pujaan hati Hazz secara senyap-senyap itu?


Hmmm… bagaimana pula dengan Razznal? Adakah cinta songsangnya utuh bersama Gabriel? Siapakah identiti sebenar teman chatting Razznal di alam maya itu? Siapakah Witch yang sebenarnya?


----------



Anugerah Cinta
Penulis: Nurul'Ain
Terbitan Kaki Novel
Cetakan Pertama 2010
SEMENANJUNG: RM19 AHLI: RM15
SABAH & SARAWAK: RM 22 AHLI: RM 18


Cinta yang ada pada hati adakalanya satu, tapi boleh jadi dua. Kadangkala boleh pergi kepada cinta ketiga, keempat dan kelima.


Tapi pada diri gadis kacukan Roman ini, cinta pertamanya sudah kuat seperti tembok besi, inikan pula ingin membuka cintanya buat kali yang kedua. Seorang anak gadis yang mengunci cinta pertama di hatinya begitu dalam sehingga sukar untuk dibuka untuk insan lain. Haikal, cinta pertamanya ini pernah hilang dengan tiba-tiba satu masa dahulu, kemudian tiba-tiba muncul semula. Tetapi hadirnya hanya untuk menagih kemaafan atas baki kesilapan yang ditinggalkan. Namun, kemunculan itu tidak berpanjangan...


Jika rumah gadis lain yang sebaya dengannya indah dihiasi belaian ibu dan ayah, cantik dihamparkan permaidani kasih dan sayang, tapi rumah lindungannya sentiasa berpaksikan kesengsaraan dan kisah hitam. Puan Muna dan Rozana manusia yang bertopengkan syaitan menyeksa gadis ini. Namun dia reda kerana masih punya seorang abang tiri yang sayangkannya.


Pergi ke dunia pengajian tinggi, hadir pula seorang lagi jejaka kacak dan tampan yang cuba menguntum kasih di hati gadis yatim piatu itu. Pelbagai pergolakan dialaminya sehingga hilang kewarasan diri dan membuatkan gadis itu tumbang dan tidak mampu berdiri kuat lagi. Hanya rakan-rakan sahaja yang mampu memimpinnya kembali teguh berdiri. Belum sempat dia bernafas lega, ada lagi dugaan yang mendatang. Jika dicucuk duri sudah terasa pedihnya, inikan pula hatinya seperti dibelah pisau. Darah dan dagingnya dimamah oleh kecurangan dan kecemburuan sahabat baiknya sejak di zaman sekolah. Hayatilah pergolakan kisah suka dan duka, gelak dan tawa di dalam Anugerah Cinta.