Thursday, October 29

Percayalah...Akhirnya



Tajuk Buku : Percayalah…Akhirnya
Penulis : Ruby Hazri
Penerbit : Jemari Seni Publishing
Harga : RM22.00
Cetakan Pertama : 2009
Genre : Cinta & Kekeluargaan
Bintang : 5

-------------------------------------------------------
“orang yang mencintai diri kita adakalanya tidak berupaya memberikan alasan kenapa dia mencintai kita. Apa yang barangkali dia tahu ialah, di hati dan di matanya hanya mengalir satu rasa cinta terhadap kita…itupun jika kita menyedarinya.”

Apa Kata Saya:


Penghasilan sebuah sequel sebenarnya bukan mudah. Tanggungjawab yang tergalas di bahu sang penulis juga tidak enteng malahan sangat terbeban dengan segala bentuk kehendak bagi memastikan ia mencapai piawaian pembaca. Silap percaturan, kegagalan pasti menanti di hujung sana. Saya fikir penulis ini juga tidak terkecuali dari melalui frasa tersebut. Rasa takut, rasa khuatir itu pasti bermukim di lubuk hati. Namun setelah menamatkan perjalanan menyusuri naratif sequel Percayalah ini, apa yang saya boleh katakan cuma satu…hanya satu rangkaian kata sahaja…anda memang hebat Ruby!. Anda buat saya terduduk, termangu dan hilang kata-kata…segalanya kerana naratif ini!

Bermula di laman bunga hati, e-novel sequel ini mula menjengah pembaca. Agak lama juga ia terhenti lalu pembaca bagai ternanti-nanti apakah sudahnya kisah dua insan berlainan latar dan budaya dari dua benua ini. Dari Percayalah, penulis ini melakar kisah Nur Atiqah dan Danial Wolfgang yang sungguh indah bunga-bunga perjalanan hidup mereka lalu bila sequelnya ini selamat diversicetakkan perasaan jadi terlalu sukar untuk diterjemahkan dengan kata-kata. Percayalah…Akhirnya sudah kejap berada di tangan.

Saat pertama menyelak helaian, naratif ini sudah menakluk keseluruhan minda. Semakin dibaca, makin meruntun jiwa. Semakin diselami semakin merengut rasa, menggoncang sanubari…hebatnya penangan buah tangan puan penulis nan lemah lembut kali ini ya!. Segala-galanya. Kisahnya, ritma plotnya, suntingannya, latarnya, watak-wataknya, ayun dan lenggok bahasanya usahlah dipersoal..cantik sekali!

Tiga tahun selepas memperkenalkan Percayalah, Ruby kembali dengan sequelnya; Percayalah…Akhirnya yang menjengah pasaran pada 3 Oktober lalu. Sebuah naskhah yang saya kira cukup sarat dengan mesej kehidupan yang diaplikasikan menurut hukum alam dan peraturan hidup. Bagi yang sudah mengenali Nur Atiqah & Danial Wolfgang lewat Percayalah, maka naskhah sequel ini adalah kelangsungan susulan kehidupan mereka yang seterusnya…kehidupan yang cukup berliku, penuh onak getir yang dikepung cabaran dan dugaan yang tidak terucap. Tidak tercapai akal.

Tema cinta sejati yang menjadi tunjang cerita digarap penulis dengan sangat halus dan begitu berhati-hati sekali cukup membuai perasaan pembaca…penulis berjaya mencuri emosi pembaca didalam menyusuri rentetan pengkisahan dua insan ini didalam mereka melayari bahtera perkahwinan yang masih muda..masih hijau.

Takdir kehidupan yang sudah tersurat di lohmahfuz adalah penamat dan jawapan untuk segala-galanya…cantiknya penulis menoktahkan cerita. Itulah mesej yang saya saya fikir tersimpul disebalik naratif hebat ini. Kita mampu merancang, merangka perjalanan hidup ini namun samaada kita sampai ke destinasi yang dituju , Dia lah penentunya.

Plot kronologi dengan sedikit sisipan elemen flashback mendominasi dan mewarnai keseluruhan perjalanan sequel ini. Persembahan plot di mata saya sangat halus dan kemas , begitu juga suntingannya yang cukup teratur dan begitu tertib sekali ia diolah agar rentak cerita nampak hidup sekali biar cuma dihelaian kertas putih yang kaku!.

Perwatakan Nur Atiqah Sulaiman dan Danial Wolfgang adalah dua nadi utama dan merupakan fokus utama sequel ini. Peranan kedua-duanya diseimbangkan dengan cukup berkesan oleh penulis. Penulis bagi saya begitu hebat menyalurkan “roh” pada kedua-dua watak ini hingga segala-gala apa yang mereka lakukan, apa yang terbit dari kedua-dua watak ini begitu menyentuh perasaan pembaca apatah lagi bila kala pembaca melalui frasa-frasa tatkala mereka diduga, ditimpa musibah hati turut jadi walang..pilu sekali!. Mainan emosi antara kedua-dua watak ini digarap dengan cukup cemerlang hingga tempiasnya turut mengheret pembaca seakan-akan kita turut “berada di lokasi”. Beberapakali saya harus berhenti membaca, memejamkan mata seketika dan menghela nafas. Seakan dapat menyelami apa yang dirasai dan dilalui kedua-duanya. Saya harus tabik pada penulis ini kerana sangat berjaya menjiwai dan menyelami watak Danial..biarpun dia cuma seorang penulis wanita jiwa seorang lelaki..naluri seorang insan bernama suami dapat diperhalusi dan dipertontonkan kepada pembaca dengan cemerlang sekali!. Seorang lagi watak yang begitu menyentuh naluri pastilah Khairil. Sukar sekali menggambarkan emosi tatkala membicarakan watak ini..seorang Khairil yang sungguh istimewa, mulia dan tiada cacat celanya…penulis halus mempotretkan seorang Khairil yang bukan sedikit kasih dan simpati melimpah padanya..cuma apalah daya, takdir sudah tersurat demikian rupa. Chik, Dewi juga Kamal dan tidak tertinggal kaum kerabat yang lain adalah warna-warna yang melengkapkan naratif ini untuk diangkat sebagai sebuah persembahan yang cukup kemas dan mantap dari penulis.

Rasanya tidak lengkap kalau tidak membicarakan rentak dan susunan gaya bahasa dalam sequel ini. Penulis bagi saya semakin hebat mengalunkan gaya bahasa mengikut acuannya yang saya rasa sangat indah, terserlah personifikasinya juga hebat metaforanya, Elemen sisipan pantun di setiap penghujung bab bagaikan sebuah irama yang begitu mengasyikkan sekali.

Percayalah…Akhirnya membawa pembaca kembali mendekati kehidupan Nur Atiqah dan Danial Wolfgang di bumi Jerman. Tatkala gembira dengan berita kehadiran orang baru yang bakal mewarnai rumahtangga mereka, ditambah keputusan untuk kembali menetap di Malaysia tanpa diduga mereka diuji dengan ujian yang amat getir. Nur Atiqah ditimpa musibah. Keterlibatannya dalam sebuah kemalangan cukup hebat kesannya dalam kehidupan mereka berdua. Danial ternyata sangat mengerti biarpun tingkah dan caranya sukar dibaca Nur Atiqah. Sabar dan redha dalam apa juga keadaan adalah penawar. Begitu juga pasangan muda ini. Sekali lagi mereka diduga. Disaat menghampiri saat kembali ke bumi kelahiran Nur Atiqah, perihal pernikahan dan dokumentasinya kembali dibangkit lalu sekali lagi mereka diduga. Dan kerana proses-proses yang rumit ini mengambil masa terpaksalah Atiqah pulang dahulu…beratnya hati melepaskan Nur Atiqah pulang sendirian bagaikan sebuah tanda!

Buat penulis cantik ini, tahniah untuk sebuah sequel yang sangat meruntun hati dan terima kasih kerana sudi menoktahkan sebuah kisah yang cukup istimewa ini. Biar kemanapun sirih melangkah pergi, akhirnya pasti kembali ke gagangnya. Disitulah tempat selayak buatnya. Begitu juga lah seorang Nur Atiqah, percayalah…akhirnya disisi Danial jugalah tempatnya dia bersemayam.

2 comments:

Dyea said...

Kucc,
yeapp.. wa pun kasi 5 star..

wa sangat kesian kt danial..
bila chik larang dewi dr berterus terang ttg atiqah..
sedangkn atikah tu satu2 bunga hati dia

huwaaa..
rasa chik kejam ...

kucc_aprilsnow said...

didi - punya nak sorok mcm2 la chik buat ek, tapi kena faham chik pun tersepit...tapi wa salute spring kat Khairil beb..erk Ruby leh kenalkan kucc ngan Encik Khairil tak, ahaaks!