Tuesday, December 29

Terbaru Dari Aina Emir


Sinopsis:

Best Friends Forever (BFF)… merupakan ungkapan yang sering diucapkan dua orang teman baik, juga merupakan sepupu berwajah seiras. Serupa tapi tak sama. Inaz dan Fiya atau Shafinaz dan Lutfiya Zahra, yang sering mendapat gelaran ‘kembar’; ke mana-mana sahaja, mereka selalu berdua. Saling menyayangi, saling menolong dan saling bergantung.

Pun begitu, mereka bagaikan sedang dalam satu pertandingan untuk merebut sebuah trofi. Tanpa disedari, perasaan cemburu terbit di sanubari, masing-masing berentap untuk berada di depan.

Inaz, suka yang rancak dan kecoh, sedang mencari seseorang yang baik budi, menambat hati. Suka kepada yang bertubuh ‘tegap’… asal tidak mengingatkan kepada ayahnya. Dia juga sensitif dan pernah berdepan dengan tekanan. Mampukah Inaz mencari apa yang diimpikan?

Fiya pula, seorang yang pintar, suka kepada ‘nature’, minat aktiviti lasak, sayang kepada haiwan, sudah pun mendapat teman dan kini berada di depan. Mungkin kerana itu, Fiya dan Inaz bagaikan sedang bercakaran.

Munawarah dan Melissa, teman baik yang cuba jadi orang tengah, penasihat… mungkin juga pembelot?

Pertemuan Inaz, Fiya, Muna dan Mel… dengan empat orang jejaka di atas gunung legenda, membawa satu perubahan hidup dan mewujudkan pelbagai soalan dan teka-teki.

Novel ini akan temukan pembaca dengan pelbagai karakter yang berbeza kerjaya, mendekatkan kita kepada wira-wira negara, yang mungkin sebelum ini tak pernah kita kenali. Merasai apa yang dirasai oleh seorang anak angkat yang cuba mencari identiti diri. Siapakah agaknya yang menjadi burung rajawali, penuh perasaan tinggi diri, yang akhirnya terpaksa lakukan transformasi?

Sukarkah untuk menerima kekalahan dan payahkah untuk meluahkan perasaan? Sama-samalah menyelami dan menghayati kisah suka duka kehidupan mereka yang bergelar insan, yang disusun indah dalam novel Terbanglah Sayang.

Monday, December 28

Jaja & Din



Tajuk Buku :Jaja & Din
Penulis : Noor Suraya
Penerbit : Jemari Seni Publishing
Harga : RM20.00
Cetakan Pertama : 2009
Genre: Kasih Sayang & Kekeluargaan
Bintang : 6



---------------------------------------------------------

“…tetapi hendak buat bagaimana kalau rasa itu hadir tanpa boleh dia usir pergi…”

Apa Kata Saya:

Saya pernah dilabelkan sebagai die hard fan penulis ini. Semuanya gara-gara “kasih” saya yang tidak berbelah bagi pada karya-karya beliau. Tak kisahlah hendak dilabelkan atau digelarkan apa saya ini kerana saya ada takal penilaian dan penanda aras saya sendiri pada tiap karya-karya yang saya baca dan ternyata karya-karya penulis yang saya panggil Kak Su ini tidak pernah sekalipun mengecewakan saya. Sentuhan sakti jemari beliau dari dahulu sentiasa membuatkan saya terpukau!

Naskhah terbaru beliau; Jaja & Din (JD) sekali lagi mengulangi keunggulan dan kehebatan penulis ini. Melayari naratif istimewa yang sangat hebat pengkisahan dan keindahan mesej kasih sayang yang diterapkan penulis pada naskhah ini membawa keinsafan yang cukup mendalam di jiwa!. Kelainan pendekatan naratif yang diperkenalkan penulis didalam JD inilah yang membezakan sekaligus menjadikan JD begitu unik dan tersendiri. Penulis tidak membentangkan naratifnya kepada pembaca secara mudah tetapi penulis dengan begitu halus dan bijaksana membawa pembaca sama-sama turut serta di dalam jaringan naratif yang dibinanya ini. Kaedah inilah yang saya kira mengangkat JD menjadi sesuatu yang sangat istimewa dan berada pada kelasnya yang tersendiri. Ia tidak digerakkan secara susun atur yang biasa tapi dikemudikan dengan kaedah yang sedikit bertentangan dari biasa namun ia tidak sesekali menyebabkan pembaca tersesat jalan biarpun berada dilatar masa dan peristiwa yang berbeza-beza.

Kebijaksanaan penulis memanipulasikan antara dua latar yang berbeza dan menggerakkannya secara bersama sangat menarik sekali dan dengan kehalusan juga ketelitian olahan juga sumbangan kerja-kerja suntingan yang cemerlang potensi untuk pembaca tersesat pada lohongan latar masa yang berbeza memang tiada langsung..kosong! Plot naratif ini biarpun dibina dengan sisi yang bercampur-campur tapi kebijaksanaan penulis yang begitu teliti menjaga sempadan aliran kisah di naskhah ini membuatkan pembaca sedikit pun tidak akan tergelincir didalam melayari naratif ini.

Kisah ini memang ditunggu-tunggu kemunculannya. Dimulakan di blog penulis dengan e-novel bertajuk Jaja Menantu Che’Pa lalu kemudian diversicetakkan dengan menggunakan judul Jaja & Din yang sudah melalui proses rombakan dan tambahan sana sini dari teks asalnya. Ia membawa pembaca mengikuti pengkisahan tentang riwayat kisah cinta Jaja @ Faiza yang cukup unik dan menerusi pengkisahan itu pembaca ditarik ke dalam pengembaraan Jaja yang cukup istimewa, tersendiri dan terselit juga insiden lucu didalam misinya “memburu dan menangkap” si dia yang bernama Din @ Burhanuddin Al –Helmy, sang guru sastera arab lulusan Al-Azhar yang menjadi jejaka pertama berjaya membuatkan jantung Jaja terhenti seketika tatkala melihat gambar polosnya yang dirakam lensa teman sepejabat. Tidak disangka bukan gambar si dia yang cuma berkopiah putih dan duduk penuh takzim di pusara itu bisa buat Jaja nanar…nanar peringkat jingga tau! Jaja si media planner yang moden tatacara hidupnya, rambut coklat lurus cantik bak pembaris, kening terbentuk nan cantik menawan, yang punya syarat-syarat ketat untuk panduan mencari teman hidup akhirnya tersungkur pada Din yang bukan siapa-siapa dan tak punya apa-apa! Hebatkan aura sang guru sastera arab ini?.Din membuat Jaja berpusing 360 darjah, berubah dari norma biasa yang sudah menjadi kebiasaannya. Dan kerana Din, Jaja tega menongkah arus adat dan budaya yang kejap dijunjung. Semuanya kerana Din…demi mendapatkan Din! Bunyinya memang seperti Jaja ini perempuan spesies tak malu sahaja tetapi selagi tidak melanggar hukum agama apa salahnya bukan?, lagipun Din itu satu dalam sejuta tau!

Naratif ini mengupas dan mengulas mengenai tema cinta yang bukan sekadar falsafah murahan mengikut dorongan nafsu dan kasih sayang luaran semata-mata tetapi yang lebih utama rasa cinta yang jujur ikhlas kerana Dia. Cinta itu sendiri anugerah dari-Nya dan hanya dengan kefahaman itu baru rasa cinta itu dapat dihayati dengan setulus hati. Manisnya rasa cinta dan dicintai itu ditangani dengan begitu berhemah, bersempadankan agama sebagai tiang serinya.

Perwatakan Jaja adalah nadi yang mendominasikan naratif ini dan ternyata penulis bijak memusatkan watak Jaja untuk cemerlang beraksi di layar ini. Watak Jaja menguasai keseluruhan naratif dan pada tiap ruang yang ada Jaja @ Faiza yang punya pelbagai variasi warna sifat ini cukup mencorakkan wataknya secara tersendiri. Sikap polosnya cukup memikat, selambanya buat senyum tawa pembaca tercetus juga namun yang lebih indah pastinya semangat juang dan keikhlasan dirinya yang saya kira cukup cemerlang sekali dilakarkan penulis. Jaja ibarat permata yang tersembunyi sinarnya dan mata Din lah yang berjaya melihat cahaya itu. Din @ Burhanuddin ini wataknya cukup cantik dipenakan penulis. Din; si guru sastera arab sekolah agama rakyat yang pendiam, tiada apa-apa kelebihan material, naik bas ke sana sini, tiada telefon bimbit pulak tu, cukup serba sederhana sifat dirinya tapi peribadinya cukup terpuji sekali dan hebatnya aura Din ini bisa
membuatkan kita gila bayang padanya! Watak-watak sokongan tidak kurang hebatnya. Kehadiran mereka turut memberi sumbangan mengukuhkan naskhah ini. Lala yang kelakar, Nini yang comel, Doktor Haslinda si mama yang polos, Doktor Badrul Hisyam abah yang baik hati, Wassim si bongsu yang cukup lurus juga tidak ketinggalan hero “lama” pujaan saya yang sudah ada gelaran Dato’ di depan namanya; Dr Aqmar Aziz. Warna-warni persembahan mereka cukup mengindahkan lagi naskhah yang sudah sedia cantik ini.

Bahasa dan pesona kepuitisannya mana mungkin dipisahkan dengan Kak Su dan ternyata Kak Su semakin handal memanipulasi kelebihan ini lalu lihat sahaja hasilnya pada naskhah ini. Kehalusan mainan bahasa penulis ini memang tidak boleh dipertikaikan. Ritmanya tersusun indah biarpun format cerita ini bersifat sebuah pengkisahan semula. Sisipan sirah dan kisah-kisah tauladan terpilih adalah irama yang cukup indah diterapkan penulis dengan cara tersendiri. Kesedaran yang secara halus disematkan penulis pada para pembaca untuk teladan juga renungan bersama. Jika tersasar jalan, kembalilah ke pangkal semula!


Buat penulis yang saya kagumi bakatnya, yang saya sanjungi kehalusan budi perkertinya dan yang saya sayangi ukhuwah persaudaraannya sekalung tahniah atas persembahan paling manis ini. Ternyata perit jerih pengorbanan dalam menghasilkan naskhah ini berbalas sudah. Semoga kaksu yang amat saya kasihi ini akan terus gigih berkarya, terus mencurah ilmu dan berkongsi cerita indah dengan kami, para pencinta dan pengagummu.

Buat anda pembaca diluar sana, sesungguhnya Jaja dan Din boleh dinobatkan sebagai Book of the Year!..ia adalah penutup tirai 2009 yang paling indah dan paling manis dilakarkan oleh seorang penulis hebat bernama Noor Suraya.

Orang dayak ke Indragiri,
Kapal kelok muatannya serai,
Hendak cari lelaki terpuji,
Akhlaknya elok, bijak dan pandai…


Kalau mahu ketemui “lelaki” ini, carilah “dia “ di dalam Jaja & Din dan anda pasti “jatuh cinta” padanya nanti..kerat jari beb kalau tak percaya kata-kata saya ini!

Friday, December 25

Pergilah Air Mata - Hanni Ramsul


Tajuk : Pergilah Air Mata
Penulis : Hanni Ramsul
Penerbit : Kaki Novel
Harga : RM28 ( Sem) & RM31 ( S&S)


Noktah bahagia yang menjadi anganku, ternyata cuma titik mula derita yang tidak bertepi.
Sumpah bukan ini yang aku mahu.
Sumpah juga, aku tidak mahu membuat kau terseksa.
Tidak pernah mahu merobohkan bahagiamu.
Atas rasa bersalah, aku rela melihat kau menganyam bahagia bersamanya.
Namun, mengapa perlahan-lahan layananmu memberi tanda tanya di hati ini?
Mungkinkah kita sama-sama berkongsi rasa?
Mungkinkah kita sudah sama-sama terpaut?
Atau mungkinkah segala yang berlaku tidak lebih hanya mainan perasaanku sendiri?
Mungkin..kerna aku yakin, bencimu tidak mungkin berubah sayang.
Bencimu padaku setinggi awan yang menyapu langit
... SABRINA


Memang aku benci.
Memang aku tidak rela dengan takdir ini.
Namun, kenapa tulusmu terus mengikat aku pada ikatan yang paling ku benci ini?
Mengapa hati ini penasaran setiap kali kau menagih perpisahan yang pernah aku janjikan?
Cintakah ini, apabila aku tewas tiap kali memandang wajahmu?
Sayangkah ini, apabila hatiku digaru resah tiap kali aku cuba lari darimu?
Mustahil cinta kerana cintaku sudah kusimpul kukuh di hati dia.
Lalu, apa yang sebenarnya yang berlaku antara kita?
Bagaimana cara untuk aku hapuskan wajahmu yang terus menemani mimpiku?
Di mana noktahnya mainan perasaan ini
... BADRUL

Thursday, December 24

Nama Atas Kertas - Nasron Sira Rahim


Tajuk : Nama Atas Kertas
Harga : RM2o (Sem) /RM 23 (S&S)
mulai 10 Jan

Sebuah karya thriller yang penuh dengan teka-teki daripada:

NASRON SIRA RAHIM...

Engkau tidak dapat melihat aku,

tapi aku sentiasa wujud;

Engkau boleh bersembunyi di mana saja,

tapi aku akan tetap menjumpaimu;

Engkau boleh menentang aku sehabis upaya,

tapi kau tidak akan dapat mengalahkan aku;

Siapakah aku?

Apa tip yang ada?

“Pada setiap jasad itu, dia meninggalkan satu puzzle

dan mencabar sesiapa saja termasuk ANDA, untuk menyelesaikannya…”

TAWARAN
Buah fikiran anda diperlukan!

Sekiranya anda memiliki IQ yang cukup, otak anda sangat diperlukan untuk menolong Faiz dan Hanim membongkar misteri teka-teki ini! Pembunuh yang sadis itu harus diberkas dengan kadar segera, sebelum ramai yang menjadi mangsanya. BacalahNama Atas Kertas sebagai petunjuk: dan selesaikannya.





Tuesday, December 15

Novel Bonus Disember - Alaf21



Tajuk : Cinta 365 hari
Penulis: Norzailina Nordin
Harga: RM19.90
Halaman: 512
ISBN: 978-983-124-492-0

Sinopsis:
KATA orang, cinta tidak mengenal siapa. Cinta itu perkara biasa bagi makhluk yang bergelar manusia. Mahu bercinta, ingin dicintai – itu sudah pasti! Persis ombak dan pantai yang tidak ingin berpisah walau sesaat. Itulah CINTA!

Cinta yang mendalam pada Erynn membutakan matanya. Kali pertama bertemu, Darren Ho sudah jatuh hati. Perwatakan Erynn yang agak lurus mencuit hatinya. Kelembutan sifat Erynn meruntun jiwanya. Keikhlasan gadis itu menawan sanubari. Namun, latar belakang mereka yang jauh berbeza, apatah lagi perbezaan agama yang dianuti menjadi halangan besar buat mereka meneruskan hubungan.

Madam Ho sama sekali tidak mahu melepaskan Darren kepada Erynn. Maka, dia membuat muslihat untuk memisahkan mereka. Bagi mempertahankan nama keluarga Ho, Madam Ho memaksa Darren mengahwini Tania, gadis sebangsanya. Darren serba salah. Antara ibu dan kekasih, yang mana patut didahulukan? Mempertahankan cintanya atau terus menjadi anak yang patuh? Gila! Memang gila dibuatnya.

Yang pasti, dia tidak pernah berhenti membilang hari... bilakah cintanya dan Erynn bakal bersatu.


Wednesday, December 9

Trionovel Disember - Alaf21





Tajuk : Jika Kau Tiada
Harga: RM19.90
Halaman: 512
Penulis: Elin Nadia
ISBN: 978-983-124-479-1

Sinopsis:
SHAKIRA ILYANA kehilangan kasih ibu bapanya sejak kecil lagi. Lantas, dia dibesarkan oleh keluarga angkat. Namun, Shakira bersyukur dengan limpahan kasih sayang, keikhlasan dan persahabatan yang mengindahkan hari-harinya.

Perkenalan dengan Jimmy Hughes sejak zaman persekolahan membenihkan rasa cinta di hati Shakira. Biarpun banyak perbezaan di antara mereka, Shakira dan Jimmy mengimpikan kebahagiaan hidup bersama. Kerana cinta, Shakira tekad untuk menamatkan zaman gadisnya pada usia yang cukup muda.

Tatkala keindahan cintanya dengan Jimmy diusik dugaan, Shakira dikejutkan pula dengan pengakuan Hakim Shahmi, seorang jejaka yang obses tentang cinta. Dia berharap cintanya pada Shakira akan berbalas sehingga sanggup berbuat apa sahaja untuk memiliki gadis itu.

Shakira sedar, biarpun sukar dia perlu terus melangkah. Namun, mampukah Shakira melupakan segala kenangannya dengan Jimmy dan membuka lembaran baru dengan Hakim?



Tajuk : Cinta Kepala Batu
Harga: RM19.90
Halaman: 512
Penulis: Ayu Emelda
ISBN: 978-983-124-473-9

Sinopsis:
PERTEMUAN Syaira dan Adam bermula dengan salah faham. Akibatnya, Adam memendam gelora rasa dan Syaira pula menyimpul benci di dada. Mereka berbicara, tetapi dengan bahasa tidak sekata dan pandangan berlainan cara.

Hidup Syaira mula huru-hara dengan berita kematian Imran dan Selina. Dia rebah buat seketika, namun atas rasa tanggungjawab, dia bangkit memikul amanat. Nasib anak-anak saudaranya perlu dibela. Namun, semuanya jadi sukar apabila Adam sering mencampuri urusannya.

Tak percaya CINTA! Begitulah pendirian Syaira. Hatinya sekeras batu. Baginya, cinta sekadar mainan jiwa yang tidak membawa sebarang makna. Impiannya... cukuplah bertemu bahagia andai jodoh tiba. Lantaran itu, lamaran Adam diterima dengan reda.

Namun, hidup manusia tidak pernah lari daripada ujian. Ketulusan dan kejujurannya selalu dipertikaikan. Pengorbanan nya sering dibayar dengan hinaan. Dia kian lemah dilanda badai dan gelora. Akhirnya, dia pasrah pada setiap kehilangan... dan ketentuan...



Tajuk : Cinta Seorang Kekasih
Harga: RM19.90
Halaman: 512
Penulis: Elee Mardiana
ISBN: 978-983-124-486-9

Sinopsis:
NADIA keliru pada mulanya. Rezza menghulurkan kasih tatkala dia serabut dengan kekusutan. Cinta sejati Rezza akhirnya mendamaikan jiwa. Walaupun keluarga Rezza menghalang hubungan mereka, lelaki itu tetap mahu bersama dengannya. Tiada siapa yang boleh memisahkan mereka kecuali TUHAN Yang Maha Esa.

Ketika hari bahagia menjelang tiba, Rezza ragu-ragu dengan kebaikan yang dihulurkan Danial kepada Nadia. Dia merasakan dalam diam, Danial menyimpan perasaan pada Nadia. Namun, demi cintanya kepada Nadia, dibuang keraguan itu jauh-jauh.

Bagi Nadia, hanya Rezza yang bertakhta di jiwa. Hatinya telah tertutup untuk insan lain. Kebahagiaanya hanya bila dia dapat hidup bersama Rezza. Bagaimanapun, kebahagiaan itu cuma dapat dikecapi untuk seketika sahaja. Mungkinkah Rezza terus setia?


Friday, December 4

Terbaru Dari KarnaDya


Sinopsis:

Novel ini menceritakan krisis kekeluargaan, pertembungan tradisi Timur dengan unsur-unsur Barat, serta generasi muda di tengah-tengah kemelut kehidupan.

Rafique, pemuda Malaysia yang pernah kehilangan kekasih, menjadikan penghijrahannya ke Jepun sebagai tempat melepaskan diri dari kongkongan memori itu. Berlatarkan kenyamanan Gunung Fuji, kekosongan di hati Rafique diis semula dengan satu kejadian yang tidak dijangka. Hujan lebat bersama ribut taufan, membasuh saki-baki kenangan yang masih merimaskan hatinya. Takdir menghidupkan semula sumbu kasih sayang itu.

Di Gunung Fuji, sekali lagi Rafique kehilangan sesuatu yang tidak ternilai. Apa terjadi di Gunung Fuji? Dapatkah Rafique mencari kehilangan itu?

Pulut Sakura Serunding Kasih memaparkan nilai-nilai sosial dan budaya masyarakat Jepun dan Melayu. Pulut sakura menjadi lambang nilai-nilai Jepun dan serunding mewakili lambang orang Melayu dalam adegan watak-watak di dalam novel ini.



Sinopsis:

“Kamu tahu tak? Seorang teman saya pernah berpesan, jangan pernah takut untuk bermimpi kerana adakalanya mimpi itu adalah cerminan masa depan yang akan mencorakkan perjalanan hidup kita,” ujar Dimas.
“Kenapa kita mesti ada impian? Kenapa tak biarkan saja hidup ini berlalu apa adanya?” soal Hani.

Siapakah Hani, gadis kelahiran Pahang, Malaysia itu? Siapa pula jejaka yang bernama Dimas? Di manakah mereka bertemu? Bagaimanakah terjalinnya pertalian antara dua insan yang mempunyai latar belakang yang berbeza? Adakah hubungan mereka berkekalan ataupun hanya sekadar ‘teman tapi mesra’?
Marilah kita sama-sama ikuti kisah cinta gadis Melayu ini dalam meniti saat-saat bahagia, suka dan duka dalam kehidupannya di samping jejaka Yogyakarta yang menawan itu.

Tuesday, December 1

Akan datang dari Bahruddin Bekri


Tajuk : Di Mana Terangnya Bulan
Penulis :Bahruddin Bekri
Penerbit : PTS

Dalil Tuhan untuk manusia, hidup ini adalah kepingan yang perlu dicantumkan. Mengambil hikmah daripada dalil itu, Kamarul menjejakkan kakinya ke Sarawak bagi melanjutkan pelajaran, kepingan hidup yang sering diangan-angan.

Tanpa Kamarul tahu, di situ dia menemukan lebih banyak kepingan hidupnya. Bermula dengan teman serumah yang diam dan hanya berpakaian hitam. Kemudiannya diari biru milik perempuan Cina yang berwajah ayu. Sehingga kepada lelaki berambut panjang yang menyimpan dendam.

Kamarul yang berwajah polos dan tidak tahu menahu, mendapati kepingan-kepingan hidupnya itu perlu dicantumkan, hanya untuk menjawab satu persoalan, di mana terangnya bulan....



JADUAL KEHADIRAN PENULIS DI PESTA BUKU ALAF

PESTA BUKU ALAF 4-6 DIS 2009

JUMAAT (4 DIS)
Murni Aqila

SABTU (5 DIS)
Aisya Sofea / Ramlee Awang Murshid / Bikash Nur Idris / Wana Amani

AHAD (6 DIS)
Erin Zehana / Hani Fazuha

Monday, November 23

Review: Samudera Indah Nian by Mazni Darwisya



Tajuk: Samudera Indah Nian
Penulis: Mazni Darwisya
Penerbit: Jemari Seni Publishing
Cetakan Pertama 2009
isbn: 9789675118289
RM18.00
Sabah /Sarawak: RM21.00
422 mukasurat



Aku rasa buku ni baru sangat2 di pasaran tapi dah tiga pat orang dok rekemen suruh baca sbb diorang dah baca! fuh laju betui diorang2 ni kalau bab baca buku2 baru. Aku ja yg dah makin slow. Tapi terpengaruh jugak la.. so sebaik saja dapat novel ni by post dari Jemari Seni aku terus la baca. Paaaaaaaaaaatutla ramai suka, citer cinta selepas kahwin! hehe, tentula cerita manis lagi.


Mazni Darwisya membawa kita mengenali dunia 'mat selam', hero cerita ini. Memang terasa suasana cerita yang fresh dan sangat informatif. Membuka minda kita melayari prasarana agak asing bagi org mcm saya dalam dunia keluarga TLDM. Ilmu ini disulam dan diselangseli dengan kisah cinta manis yg mula berputik antara Amru dan Yasmin yang berkahwin atas kehendak keluarga.


Yasmin lebih bersedia utk menjalani hidup sbg isteri yg terbaik untuk Amru tetapi Amru tu la pulak yang tak ready. Pada malam pertama diorang dia meletakkan syarat, sekiranya dlm tempoh setahun diorang tak saling menyintai, perkahwinan mereka akan berakhir. Dalam tempoh itu mereka bebas utk keluar dengan pilihan hati masing2. Yasmin tiada masalah nak menerima syarat2 tu walaupun hatinya sedikit kecewa. Amru yg beria-ia meletakkan syarat, dan dia jugakla yg pertama kecundang. Hatinya helplessly fell in love with Yasmin. Yerla.. Yasmin tu baik, pandai masak dan mempunyai senyuman yang membuat hatinya kembang kecut.


Membayangkan ada lelaki lain bekerja rapat dgn Yasmin pun dah boleh buat dia cemburu tapi Amru ni tak membiarkan cemburu menguasai diri, dia pandai control lah. Kesian pulak kat Amru masa Yasmin kena gi Jepun 3 bulan tu, dah macam mamat gila bayang. Kepulangan Yasmin untuk membalas cinta Amru bertukar menjadi kejutan buat Yasmin apabila Amru terperangkap dijerat Maya. Kejadian itu membuatkan Yasmin meragui perasaan Amru kepadanya. Yg bestnya tu Amru bukan hero tipikal yg hanya berserah bila dipaksa kawin lagi satu. Dia siap bela diri lagi dirinya diperangkap Maya. Memang geram betul kat Maya yg obses sgt ngan Amru dan maknya yg ntah hapa2 nak paksa2 orang. Memang takut la org nak berbesan ngan dia.


Aku teringin pulak nak baca kisah lanjut Izhar ngan Aina. Sweet gak diorang tu ;) Izhar yang macho tu pun boleh jadi malu2 biler cakap ngan Aina yg nama tengahnya adalah 'gedik' hehe. BAgi yang sempat baca awal buku ni, boleh la join kuiz Jemari Seni yang terbaru. TArikh tutupnyanya 13 Disember, lambat lagi tu.. sempat lagi kalo korang nak join. :) Soklan pun sonangbaitu.


sure fine whatever
rinn

sinopsis/blurb:


Ibarat setianya Ali pada Fatimah
Ibarat kasihnya Muhammad pada Khadijah


Itulah yang Yasmin Nur Raihan impikan dalam perkahwinannya bersama Amru walau ikatan mereka diatur keluarga. Yasmin berharap Amru menjadi pendampingannya dunia akhirat. Pada Yasmin cinta kasih dan sayang mampu disemai dipupuk. Berbeza bagi Leftenan Komander Amru Iskandar, hakikat jodohnya bersama Yasmin sukar diterima . Lantas diletakkannya syarat pada malam pertama mereka. Yasmin akur malah bersyukur. Padanya Amru bagai seorg sahabat yg baru dikenalinya.


Segalanya berubah apabila Yasminmenapak buat kali pertama bercuti ke rumah Amru di Lumur. Entah bila pula timbulnya rasa rindu dan sayang di hati Amru; sikap dan keramahan Yasmin telah mengikat hati Amru pada wanita itu. Belum sempat diluahkan rasa hati, segalanya bertukar tragedi apabila Leftenan Maya Athira hadir antara mereka. Tidak seperti perempuan yg suka menyerah, Yasmin nekad mempertahankan rumah tangganya. Tetapi Amru... bagaimana?


Samudera itu indah... sepertimana indahnya cinta yg kita kemudi... ~Amru Iskandar


Nukilan pertama Mazni Darwisya
Samudera Indah Nian
berlatarbelakangkan Pangkalan TLDM Lumur. Kuatkah Yasmin pabila dilambung samudera hati... Berjayakah Amru mengemudi bahteranya? Biarlah Mazni Darwisya yang menjawabnya.

Akan Datang - Dengarlah Duhai Hati


Insyirah selalu menjadi mangsa kebencian emaknya hanya kerana dia tidak sehebat abang-abangnya. Hatinya memberontak dengan sikap emaknya. Hanya ayahnya dan Hadi yang memahami dirinya. Hadi, rakan yang dikenali sejak kecil menjadi tempat dia mengadu. Hubungan rapat antara Insyirah dan Hadi membuahkan satu perasaan aneh dalam diri Hadi namun dipendamkan sahaja. Ternyata Insyirah menganggap Hadi sebagai sahabat apabila memperkenalkan Aiman sebagai teman istimewa.

Perkenalan dengan Aiman merubah semuanya. Pertama kali Insyirah mengenal erti cinta dan pertama kali dia membenarkan hatinya ditakluki. Dengan rela, dia menerima lamaran Aiman tanpa sedar akan perasaan Hadi terhadapnya. Namun, keindahan yang dinikmati hanya sementara.

Insyirah tertekan apabila Aiman menghilangkan diri dan penderitaannya ditambah dengan pemergian ayah yang disayangi. Dugaan demi dugaan membuatkan dia jadi hilang pertimbangan. Dalam menghadapi kemelut itu, Hadi datang menjadi penyelamat. Namun, mampukah dia melupakan Aiman?

Saturday, November 21

Jaja & Din - Noor Suraya


Tajuk : Jaja & Din
Penulis : Noor Suraya
Penerbit : Jemari Seni
Mula Terbit : 15 Disember 2009

Cinta pandang pertamakah ini...


Sekiranya tiba-tiba anda bertemu dengan lelaki yang membuat jantung anda berlari setara dengan kelajuan jet Sukhoi buatan Rusia, dan mata anda pula tak bisa berpaling daripada dia biarpun sedetik, lalu apa tindakan anda?


=A= katakan: lupakan sahaja itu hanya logamaya

=B= rahsiakan perasaan anda dalam diari merah jambu

=C= kenal pasti siapa dia, dan suruh ayah ibu meminang dia

=D= segera periksa jantung, mata dan tekanan darah, ke doktor pakar


Jaja telah memilih =C= sebagai jawapan

cinta telah membuat aku tidak lut lagi dengan segala ‘peraturan hati’ yang selama ini aku junjung!

Implikasinya:

Abah dan uminya rasa


[♪¿∫∞Ωπ䮉¾]


Alahai, anak abah ni, awat la sampai jadi lagu tu!

Mama nak sorok muka ni kat mana, Jaja?

Inilah cerita Jaja yang meminang ustaz Sastera Arab lulusan Universiti al-Azhar sebagai suami. Tegarkah Jaja seorang media planner memilih hidup ala-ala ‘zuhud’ macam Din nanti?

rupa-rupanya cinta telah membawa hatiku terbuai-buai ke sana ke sini tanpa perlu berhenti di mana-mana ‘lampu isyarat’...




Thursday, November 19

Bakal Terbit Disember: Ya Fattah; Cinta Sakti




Tajuk: Ya Fattah; Cinta Sakti
Penulis: Noorfadzillah
Penerbit: BUku Prima
RM17.90
Sabah/Sarawak RM20.90



“Aku menyintaimu kerana agama yang ada padamu, jika kau hilangkan agama dalam dirimu, hilanglah cintaku padamu.”


Sinopsis/Blurb:


"Kerana mimpi yang Fattah alami adalah mainan syaitan laknatullah. Menanam rasa dendam, putus asa dan duka yang berpanjangan. Fattah adalah manusia biasa dlm ujian-Nya. Manusia yang masih banyak kelemahan dan sentiasa memohon kepada Allah. Godaan syaitan itu terus datang tidak kira dlm bentuk apa pun. Bahkan di dalam mimpi kita sekalipun." -Fattah


Fattah duduk di birai jendelanya memandang bulan penuh yang begitu damai pada fikirannya. Namun hanya resah yang terbit di hatinya. Semuanya bermula dengan kehadiran gadis yang sudah dua kali dilihatnya. Hanya kerdipan dan tautan mata saja yg bisa berbicara namun tiada kata yang bisa mengungkapnya.


"Pasti orang tuamu bangga memiliki anak seperti kamu. Kamu bukan saja pintar dan memiliki wajah tampan tapi juga seorg muslim yg rajin beramal ibadah. Nggak seperti aku hanya menjadi beban org tua. Malah aku juga nggak pernah sujud sholat dan utk berdoa bg org tuaku. Aku benar2 jauh dari agama." - Karina


"Karina, aku bukan ahli silap mata apalagi pengamal ilmu hitam. Ilmu yg aku miliki adalah ilmu dari maha suci Allah. Hanya dia yg aku sembah dan junjung. Peganganku ialah agama Islam. Syahadahku tetap percaya kepada keesaan Allah dan Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul-Nya." - Fattah


................................
Terus terang saya seorang peminat filem2 bergenre thriller, sains fiksyen dan seram. Tercetusnya idea karya ini kerana ingin menguji sejauh mana bakat penulisan dlm diri saya. Kemudian terfikir utk mencipta satu watak bernama Fattah yang mempunyai keistimewaan kuasa telekinetik dan minda. Seorg lelaki yg cukup sempurna pada fizikalnya, berakhlak dan bijak. Menyuntik novel ini menjadi novel berunsur Islami. Mengekalkan kisah cinta antara watak. Mencipta pelbagai konflik. Akhirnya lahirlah YA FATTAH: CINTA SAKTI. Semoga novel ini memberi kepuasan kpd peminat novel.


~Noorfadzillah~



---------------------------------
nota penulis:

“Aku menyintaimu kerana agama yang ada padamu, jika kau hilangkan agama dalam dirimu, hilanglah cintaku padamu.”


Di atas adalah sebaris ayat yang akan dijadikan tagline cover novel saya nanti. Novel ke-2 ini saya hasilkan dalam waktu dua bulan lebih saja. Bergenre thriller islamic dan saya menggabungkan pertemuan dua insan dari dua negara.


Watak Fattah~ berasal Malaysia seorang lelaki yang mempunyai kelebihan telekinetis dan kuasa minda. Seorang lelaki yang berakhlak tinggi, bijak dan perwatakan menarik malah beriman. Orang tua kandungnya dibunuh ketika berusia 5thn kerana ingin memiliki kuasa kelebihan di dalam dirinya. DIi akhirnya ditemui oleh sepasang suami isteri yang lain pada suatu malam di tepi jalan. Sehinggalah dia dewasa dan berhadapan dengan pelbagai konflik


Watak Karina~ gadis bercampuran Jawa & Jerman berasal dari Indonesia. Seorang gadis yang menawan dan tidak ada cacat cela fizikalnya. Limpahan kemewahannya dari orang tua menghanyutkan pegangan hidupnya. Dia tidak pernah diajar menjadi seorang muslimah yang sebenar-benarnya. Kekayaan ayahnya mendapat panahan mata seseorang. Ayahnya mati di dalam sebuah kemalangan hasil dari sabotaj orang upahan. Mamanya, Nyonya Ellen Kartini koma. Seseorang ingin menghancurkan keluarganya.


Lantas bagaimana Fattah dan Karina saling mengenali? Bagaimana dua insan ini menghadapi rangkaian konflik dari pembunuhan orang tua mereka? Bagaimana cinta berputik antara dua insan yang berlainanan warganegara? Mereka berdua diburu oleh pemburu yang sama. Pembunuhan yang saling berkait. Hambatan cinta dua insan semakin terasa.



Dapatkan novel ini yang akan ada di pasaran bulan Dec 2009 berjudul YA FATTAH:Cinta Sakti yang bakal diterbitkan oleh penerbit Buku Prima

Tuesday, November 17

Pesta Buku Alaf 21



PESTA BUKU ALAF 21 Ke-7 ... Datang beramai-ramai ke Premis Alaf 21 pada 4,5 & 6 Disember 2009!
9.00 pagi - 6.00 petang / DISKAUN SEHINGGA 30%

ALAF 21 SDN BHD - Lot 12 Persiaran Kemajuan 16/16, Seksyen 16, 40200 Shah Alam Selangor.
Sebarang pertanyaan sila hubungi 03-55118820 / 882

Selamat Hari Lahir, Kaypo

Visit SweetComments.net
Glitter Graphics



99galleries.com | Send this Image


99galleries.com | Send this Image




99galleries.com | Send this Image

JS di Popular Mega Bookfair, Danga City Mall, JB



Jemputlah ke Popular Mega Bookfair di Danga City Mall, Johor Bahru pada 3 Disember 2009 (Khamis) bersama Jemari Seni Publishing.
Jangan lepaskan peluang untuk memeriahkan aktiviti-aktiviti berikut:






Monday, November 16

Kuiz Samudera






Soalan Kuiz:

Senaraikan sebanyak mungkin nama Kapal Diraja (KD) dalam Tentera Laut Diraja Malaysia – yang ada dalam cerita Samudera Indah Nian ini.


1. Hantarkan jawapan anda kepada: jemariseni.kuiz@gmail.com mulai 15 November 2009. Tarikh tutup: 13 Disember 2009.

3. Pemenang dipilih berdasarkan jumlah KD yang terbanyak yang dapat disenaraikan sahaja. Sekiranya ada lebih daripada 10 orang pemenang, undian akan dijalankan.

4. Sekiranya ada nama KD yang tidak tersebut/terdapat/tersenarai di dalam novel Samudera Indah Nian, penyertaan anda tidak diterima (terbatal).


Hadiahnya:

SEPULUH (10) buah novel Jaja & Din karya Noor Suraya untuk diagih-agihkan.

****Good Luck****

Friday, November 13

Bonus November - Ramlee Awang Murshid


9 NYAWA
Harga: RM19.90
Halaman: 518
Penulis: Ramlee Awang Murshid
ISBN: 978-983-124-487-6

Sinopsis:

INTAN SURYANI
Berkali-kali dia koma dan kemudian sedar semula... menyebabkan mamanya percaya bahawa dia mempunyai 9 nyawa berdasarkan sebuah mimpi. Dihitung jumlah ‘nyawa’ yang diambil daripadanya, lalu mengundang trauma. Sungguh dia tidak percaya... ketika koma, rohnya menyaksikan jasad sendiri yang terbujur kaku.

HAKIM
Si buta lagi yatim piatu ini menyara adiknya dengan penuh tanggungjawab. Hatinya sungguh luhur. Sesiapa saja akan terusik melihat keikhlasannya. Anugerah TUHAN... mata hatinya lebih ‘celik’. Dia bisa mendengar suara mereka yang berada di sempadan, antara hidup dan mati. Mereka berdua bertemu jua... di alam paranormal. Pertemuan itu merungkai sebuah kisah di sebalik cerita. Kejutan demi kejutan yang tidak disangka-sangka ter ungkai. Dan satu persoalan lain pula muncul - mengapa mereka tidak dipertemukan lebih awal?


Disember dari Kaki Novel



Tajuk : Kasih Pun Bersatu
Penulis : Izza Aripin
Penerbit : Kaki Novel
Harga : RM24 ( Sem) RM27 ( S&S)

Blurb :


Lanjutan...dan Mimpi Pun Bersatu menyingkap kisah Ayrin dan Zarul yang menyulam cinta dalam penafian. Kasih yang disulam semenjak zaman remaja disangka cinta monyet. Ayrin yang terkesan dengan penolakan Zarul, membawa diri ke Princeton, menyerahkan hatinya untuk dicintai oleh Zaffran.

Saat kasih semakin mekar, Zarul muncul menuntut janji, merampas segala kebahagiaan. Dendam Ayrin terhadap Zarul hampir mengundang pertumpahan darah dua pewaris. Dalam konflik yang tidak berkesudahan, muncul Ellie si penggoda yang meresahkan Ayrin. Dek terikat dengan sumpah setia mengembalikan keagungan keturunan, muncul Laira gadis misteri yang mencurigakan Zaffran.

Antara dendam dan cemburu yang semakin membara, Ayrin dan Zarul terpisah beribu-ribu batu. Namun perpisahan itu mematerikan kasih mereka buat selama-lamanya. Sejarah lama sudah kembali berulang, seolah-olah menjadi legasi al-Muttaqi.

Ketika cinta yang bersemi berada di kemuncaknya, tragedi menimpa merompak kebahagiaan. Ayrin lupa siapa dirinya. Zarul hanyut dalam delusi. Lalu bagaimanakah Zaffran dan Laira mahu menyatukan kasih Zarul dan Ayrin sehingga kembali bersatu....




Tajuk : Sangkar Cinta
Penulis : Diana Derin
Penerbit : Kaki Novel
Harga : RM16 ( Sem) RM19 ( S&S)
Blurb :

Dek telah termakan budi dengan Dato’ No’man yang memeliharanya sebagai anak kandung, Reza rela menggantikan dirinya mengahwini Azril apabila kakak tirinya, Zumera bertindak melarikan diri pada hari perkahwinannya. Azril yang beranggapan Reza sebagai ‘pemain simpanan’ telah menetapkan peraturan; bahawa mereka akan berlakon sebagai pasangan suami isteri di hadapan Dato’ No’man hingga tiba waktu yang sesuai untuk berpisah. Reza yang pasrah menerima sahaja ketetapan peraturan itu.
Azwan yang baru pulang ke tanah air usai menamatkan pengajian di luar negara patah hati menerima berita perkahwinan Reza. Dia menjeruk rasa dengan memerap di rumah hingga menimbulkan keresahan di hati ibunya. Mujurlah Reza memberikannya secebis semangat, pemangkin untuknya bangun semula, menjalani hidup ini. Sekali bah, sekali pantai berubah. Azril mula menyayangi isterinya kerana kelembutan dan kesopanan Reza meladeni kerenahnya.

Badai takdir mula melanda apabila Zumera muncul semula untuk menghancurkan rumah tangga Reza. Zumera yang mendendami Reza sejak ayahnya mengahwini ibu Reza tega menggunakan cara kotor untuk mendapatkan semula Azril. Dia sanggup berbuat apa sahaja asalkan hati Reza hancur kerana dia cemburukan gadis itu akibat ayahnya yang lebih menyayangi Reza berbanding dirinya, anak kandung Dato’ No’man.

Bagaimana kesudahan pancaroba yang harus ditanggung oleh Reza? Bagaimana pula dengan nasib Zumera, wanita cantik berhati busuk itu? Dapatkah dia merebut semula cinta Azril? Berjayakah dia menghancurkan hati Reza? SANGKAR CINTA bakal meleraikan segala persoalan yang ada….

November & Disember dari NB Kara

November
Tajuk : Blog Priasetia
Penulis : Anuar Kamaruddin
Penerbit : NB Kara
Sinopsis : will be updated
Disember
Tajuk : Ranting Cinta Si Plato
Penulis : Norhayati Berahim
Penerbit : NB Kara
Panas siang masih lagi berbahang, walau sepertiga malam sudah menutup tabir siang. Di salah sebuah warung mamak di Sri Petaling, Muaz bertemu dengan Kyrel. Mereka berdua melabuhkan punggung di kerusi yang disusun di bawah pokok bila siangnya dijadikan tempat memarkir kereta.
“Abang tak boleh tuduh saya macam tu sekali. Abang tak boleh cakap saya berzina. Abang ada bukti ke?”Mata mencerlung lelaki itu ditatap oleh Muaz dengan cara yang sama.
“Kyrel. Abang bukan menuduh. Tetapi Suwita beritahu sendiri dengan abang. Kamu tidur dengan dia..”Sengaja Muaz berkata begitu. Mahu melihat lelaki tegar dan tidak pernah sedar diri itu akan mengaku atau tidak.
“Suwita? Mana abang tahu nama dia Suwita?”Mendadak wajah Kyrel berubah. Kelihat sedikit gelisah. Mungkin sekarang baru berasakan kata-kata Muaz itu ada kebenarannya.
“Kau fikir abang bohongkan kau atau menuduh yang bukan-bukan terhadap kau. Perempuan itu perempuan yang tidak tahu malu. Perempuan yang tidak ada maruah diri.”Suara Muaz sedikit tinggi. Radang hati yang disimpan dari tadi apabila melihat keegoan Kyrel. Akhirnya musnah.
“Saya hanya berkawan dengan dia..”Lemah sahaja suara Kyrel. Mata Muaz merayap di wajah Kyrel. Sudah hampir tiga puluh tahun tapi akalnya masih belum penuh. Masih belum dapat berfikir yang mana baik yang mana buruk.
“Berkawan sampai bawa ke katil? Ke tempat tidur?”Benar kata orang, sekuat-kuat lelaki mudah sahaja diperdaya atau dilemahkan hanya dengan rengekan atau godaan seorang wanita.
“Saya bukan orang yang macam tu..”
“Kamu memang boleh perdayakan abang, boleh kau bohongkan abang sesuka hati kau. Tapi kau jangan lupa Kyrel. Tuhan melihat apa yang kau lakukan. Apa yang kau buat..”Diam. Tidak ada keluar apa-apa bunyi daripada mulut lelaki yang bertubuh 6 kaki itu. Mata Muaz merayap di wajah adik iparnya itu. Mungkin ketampanan lelaki ini yang menyebabkan Dian pantas sahaja jatuh hati. Tanpa sempat mengkaji hati budinya tanpa sempat meneliti sedalam-dalamnya kesan berkahwin awal.
“Kau dah ada isteri, sudah ada anak. Kalau kau rasa cinta kau terhadap isteri sudah tidak ada lagi. Lepaskan supaya hati Dian hanya retak sekali. Bukannya berkali-kali..”
“Tidak bang, tidak. Saya masih cintakan Dian..”
Lelaki haloba! Perempuan itu dikejar, perempuan ini masih mahu disimpannya. Kalau sepanjang hidup lelaki itu masih haloba. Sampai bila-bila pun bagi Muaz lelaki ini tidak bahagia

Wednesday, November 11

Lagi dari Alaf untuk November


Tajuk : Puteri Cinta
Penulis: Kreisya Reisya
Harga : RM17
Halaman: 448

Sinopsis:
SEMUSIM telah berlalu, Kristal terus berlari me ninggalkan kenangan cinta yang tidak kesampaian. Walaupun kasihnya terhadap Farish sedalam lautan, dia tahu hanya perpisahan jalan terbaik buat mereka. Duka lara ini tidak mudah untuk diungkapkan, saat senyum dan tangis menyatu. Namun, Kristal tidak mahu berpaling ke belakang lagi.

Persahabatan yang dihulur Melur mengisi separuh kesepian Kristal. Mereka sering berkongsi cerita dan mencurah rasa. Persamaan jiwa wanita keduanya saling memahami. Biarpun sering dipandang sinis oleh segelintir teman dan keluarga, Kristal dan Melur bahagia dengan takdir yang tertulis buat mereka. Malah, Kristal percaya bahawa jodoh pertemuan itu adalah rahsia Yang Maha Pencipta. Hanya DIA yang mengerti betapa berat usikan dan sindiran yang diterima lantaran usia yang semakin ditelan masa.

Menemukan keindahan warna-warna cinta sememangnya satu perjalanan yang jauh dan panjang. Semakin jauh Kristal berlari, semakin dekat rindu itu datang. Sehinggalah pada suatu pertemuan yang tidak diduga, cinta Farish kembali menggugah jiwanya.


Tajuk : Kuserahkan Kasih
Penulis: Fida Rohani
Harga: RM17.00
Halaman: 448

Sinopsis:
BERADA dalam pelukan suami, serasa dunia ini telah dimiliki. Itu yang dirasakan Jasmin sepanjang hidup bersama Farid. Namun, dunianya bergoncang dengan kehadiran Azura sebagai isteri kedua. Ke rana sakit hati suami menduakan kasih, dia bertindak ‘menunduk kan’ Farid supaya tidak lupa jalan pulang.

Tempias orang ketiga turut dirasai Intan Fariha, seorang wartawan majalah. Setiap hari dia melihat deraian air mata isteri-isteri yang dimadukan. Namun, dia sendiri terseksa kerana berkongsi kasih suami dengan dua wanita lain. Badai dan gelora yang melanda di hati hanya dia yang tahu. Terbukti, kata-kata di hujung penanya tentang poligami tidak semudah yang dilakarkan. Manis pada insan lain, tapi tidak di pihaknya...

Sanggupkah Intan Fariha membiarkan dirinya terus terluka sedangkan kebahagiaan itu boleh dimiliki tanpa lelaki bernama suami? Keputusan di tangannya. Atau tunggu saja bila akhirnya ijab kabul yang terpateri berkecai dengan lafaz talak!


saya mahu hadiah pts


Dapatkan Buku Percuma Di Sini!

Tuesday, November 10

Akan datang dari Bikash Nur Idris


Tajuk : Cinta Datang Lagi
Penulis : Bikash Nur Idris
Penerbit : Alaf21
Sinopsis :

Sinopsis:
CINTA bukan sekadar ungkapan kata-kata. Tetapi cinta adalah kejujuran, keikhlasan dan pengorbanan untuk orang yang dicintai. Itulah tanggapan Raisya selama ini terhadap cinta Jaspal. Namun, dia hampa bila lelaki itu memilih gadis lain sebagai isteri. Bukan Raisya seorang yang kecewa. Fariz juga turut terluka bila Shereen, gadis pujaannya menjadi milik lelaki lain. Yang anehnya... mereka hadir menyaksikan perkahwinan bekas kekasih masingmasing dalam majlis yang sama. Satu kebetulan yang kemudiannya melorongkan dua hati yang derita ini menjadi akrab.

Tetapi Raisya sering menjauh kerana takut dikecewakan lagi. Fariz pula tak jemu memujuk, kononnya cinta sejati akan datang sekali lagi. Di saat Raisya menyerahkan hatinya kepada Fariz, pecah rahsia, rupanya lelaki itu mendekatinya untuk memiliki Shereen semula. Dan Raisya pula akan mendapat Jaspal kembali. Inikah namanya pengorbanan cinta?

Namun, bagi Fariz, Shereen cuma kenangan silamnya. Dia sudah terpaut pada Raisya sejak pertemuan pertama mereka. Tapi dapatkah dia meyakinkan Raisya bahawa cinta mereka ada penghujungnya?



Wednesday, November 4

Novel Terbaru BP - Semilir Cinta, Kejoraku Bersatu & Ku Berserah


Semilir Cinta
Qismina Quraisyya
RM18.90
ISBN: 978-967-5234-85-9
544hlm
Tarikh Terbit: 15 Nov 2009

Mengisahkan pergolakan jiwa seorang gadis bernama Maryam selepas diselamatkan oleh Delaila, tuan punya sebuah kelab hiburan. Atas budi baik Delaila, Maryam diterima bekerja sebagai pembantu rumah dengan keluarga tersebut. Suatu hari, Maryam mengenali Akbar, adik ipar Delaila. Maryam mengesyaki Akbar lah lelaki yang memperkosanya pada malam tersebut. Keadaan menjadi sukar apabila tunang Akbar, Tihani melarikan diri pada malam pernikahan dan ini membuatkan Delaila meminta jasa baik Maryam, bagi menggantikan tempat Tihani dengan sejumlah bayaran wang. Maryam terpaksa menerima memandangkan dia memerlukan wang. Perkahwinan tersebut menjadi masalah pada Maryam kerana Akbar mahu mengekalkan perkahwinan mereka sedangkan Maryam tidak bersedia menjadi seorang isteri. Dapatkah Maryam memegang tanggung jawab sebagai seorang isteri? Adakah perkahwinan Maryam dan Akbar menjadi bahagia sedangkan mereka masih lagi bergelumang dengan dosa?






KU BERSERAH
UMMI ARIZA
RM 17.90
ISBN: 978-967-5234-85-9
464 hlm


Tarikh Terbit: 14 Okt 2009


Perkahwinan yang dirancang oleh keluarga bukanlah sesuatu yang mudah diterima oleh Safiyah dan Fahrin. Berat hati menerima keputusan keluarga namun atas desakan dan tidak mahu menyakiti hati keluarga, mereka bersetuju menerimanya. Safiyah berasa amat tertekan dengan kemahuan keluarganya . Amylia, kekasih Fahrin adalah satu-satunya wanita yang diimpikan menjadi suri hidupnya terpaksa berkorban dengan membenarkannya berkahwin walaupun tidak merelakannya.



KEJORAKU BERSATU
AZRA ARYRIESA
RM 19.90
ISBN: 978-967-5234-89-7
656 hlm



Tarikh Terbit: 1 Nov 2009

Nina, seorang gadis bersikap kasar seperti lelaki dan mempunyai bengkel kenderaannya sendiri. Nina mencintai Datuk Rashdan, seorang ahli perniagaan yang berjaya dan jauh lebih tua dari ayahnya sendiri. Bagi Nina, cintanya terhadap Datuk Rashdan takkan mampu digugah oleh sesiapa pun.

Tengku Anuar, seorang pemuda yang bekerja di luar negara merupakan anak kepada Tengku Adnan, sahabat baik kepada Datuk Nasir, ayah Nina. Pertemuan pertamanya dengan Nina telah menerbitkan rasa cintanya terhadap gadis itu. Dalam diam, Tengku Anuar menyimpan hasrat untuk mengahwini Nina.

Kemalangan jalan raya yang berlaku pada Datuk Nasir dan Shahrul telah menyebabkan Nina terpaksa mengambil alih tugas ayah dan abangnya di syarikat keluarga mereka. Sekaligus merapatkan hubungannya dengan Tengku Anuar hingga menimbulkan harapan pada kedua-dua buah keluarga untuk menyatukan mereka. Datuk Rashdan kematian isteri dan anak perempuan tunggalnya suatu masa dulu menganggap Nina seperti anaknya sendiri dan ingin menjadikan Nina sebagai anak angkatnya.

Masih kekalkah cinta Nina pada Datuk Rashdan?