Thursday, June 6

Novel Baru: Alaf 21 Sdn Bhd

untuk mendapat updates terkini novel-novel terbitan alaf21, boleh terus ke website rasmi alaf21.com.my
 
Sinopsis
Sebaik sedar daripada koma, kehidupan Keyra Adeela menjadi huru-hara. Ironinya dia terlupa tentang hubungannya dengan Hardy Mirzal. Keyra cukup terderanya kerana realitinya dia seorang isteri dan suaminya adalah lelaki itu.

Ingatannya hilang dalam ruang masa enam tahun sebelum itu. Betapa percaturan takdir cukup mengelirukan. Imran Hafiz, lelaki yang pernah diminati suatu ketika dulu muncul semula. Di hatinya mula berputik rasa sayang dan cinta.

Siapa yang sebenarnya bertakhta di hati Keyra? Segalanya kian rumit dan bercelaru. Mampukah memori yang hilang menyinari kembalimenyingkap rahsia antara dia dan Hardy?
 
Sinopsis
HAIFA hanya gadis biasa. Tidak sesempurna mana. Harta tiada. Pelajaran apatah lagi. Justeru, beza dia dengan Iman bagai langit dan bumi. Haifa yang tidak pernah sedar diri, tetap bersikap ‘hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong’. Sangkanya, kasih yang bertunas bakal mekar hingga ke penghujung. Mana sangka ia layu sebelum berkembang. Haifa merana sehingga pinggang rampingnya bertukar menjadi ‘papan sekeping’. Sejak itu diharamkan mulutnya daripada menyebut nama Iman.

Ketika akalnya merangkak-rangkak melupakan Iman, Nazim muncul merayu kasih. Puas ditolak, Nazim tetap buat tak faham. Mana mungkin dia menerima lelaki itu? Nazim lebih pelahap daripada buaya Bujang Senang. Jika diterima, bimbang hatinya dilapah-lapah sampai lumat. Sudahlah begitu, perangainya pula tidak menepati kriteria lelaki idaman. Namun, jangan harap Nazim mahu mengalah. Selagi Haifa tidak berkata “Ya!”, selagi itulah dikejarnya Haifa sampai dapat.

Ketika fikirannya bergelut, Iman ingin kembali padanya. Biarpun sudah beristeri, Iman tetap tidak sedar diri. Jemu dia berkata “Tidak!” tetapi Iman tetap mendesak. Di antara Iman dan Nazim, Haifa jadi buntu. Puas dia lari ke kiri dan ke kanan. Malangnya, dia tersepit di tengah-tengah. Ah! Siapakah yang harus dia pilih?
Sinopsis
Tiba-tiba saja Kamal Hanafi hendak kahwin! Dia nekad mahu menjadi suami terbaik. Sejak pertemuan secara tidak sengaja, puas dia mencari rumah si gadis. Tidak sangka, Sharina si gadis manis itu adik kepada kawan baiknya sendiri.

Tanpa rasa malu, dia meluahkan rasa suka kepada Sharina melalui Hisham. Hisham yang sudah tahu hati budi Kamal, memberi jaminan bahawa adiknya pasti akan hidup bahagia di samping lelaki itu.

Sebagai adik yang taat, Sharina setuju mengikut kehendak abangnya. Namun, terselit juga rasa ingin membalas dendam. Kenal pun tidak, macam mana hendak bertentang mata? Kamal Hanafi harus diuji.

Selepas hidup bersama, ternyata Kamal suami yang baik, tetapi keluarga mertuanya cukup merimaskan. Kerana rasa sayangnya yang tidak ternilai, Sharina sanggup menjadi mangsa keadaan.

“Dalam genggaman rindu, Kamal terus menunggu. Ke bahagiaan yang pernah dikecapi, mungkinkah hadir kembali?”
Sinopsis
Dian Qarmila dan Iskandar memang tidak serasi. Iskandar seolah-olah cili padi pada Dian. Bertembung saja dengan Iskandar, dia akan kepedasan. Pedihnya yang meresap hingga ke ulu hatin. Bencinya Dian pada ‘Encik Beruang’ yang penuh berlagak itu. Perang mulut antara mereka tidak pernah putus.

Namun, ada suatu rasa di hati Iskandar. Makin Dian marah, makin dia suka. Malah makin merindu pula. Inikah dinamakan cinta? Opps… mana boleh? ‘Cik Singa’ ini mana kenal erti cinta. Lagi haru kalau dia meluahkan perasaan itu. Apa-apa pun dia perlu juga menyatakan hasrat hati kepada gadis itu. Dia perlu melamar Dian. Mana tahu selepas berkahwin nanti, Dian akan jadi lembut.

Sebenarnya, dalam diam Dian turut merindui lelaki itu. Ah, takut berterus terang! Anehnya, mengapa Iskandar kian bertandang di ingatan? Siapa yang gila sebetulnya? Lama juga dia hendak memberi jawapan. Tekadnya mahu kahwin tanpa cinta. Padanya, itu lebih baik dan penuh berkat.

“Abang ni kiranya macam TNB, ya?”
“TNB di hati Dian Qarmila.”
Sinopsis
Antologi Romantika adalah cerita pendek daripada lima orang novelis yang begitu mahir mentafsir makna cinta. Kisah cinta ini digarap dengan indah dan dipenuhi elemen-elemen kasih sayang, pengorbanan, pengertian dan penyesalan. Cinta adalah hak milik setiap insan. Carilah cinta kerana cinta ada di mana-mana.

JIKA ITU MAHUMU- EKA FAHARA
“Mungkin bila kita berjauhan, kita akan lebih menghargai hubungan ini. Jika suatu hari nanti, kita ditakdirkan bertemu kembali, mungkin itu petanda yang kita memang serasi untuk hidup bersama,” ulas Zara sayu.

BULAN MADU DI YARRA VALLEY – IRIS IXORA
“Biarpun saya kehilangan dia, tetapi saya masih punya mama, permata yang akan terus memancarkan cahaya dalam hidup saya. Saya tidak akan tunduk pada kekecewaan ini. Biarlah segala itu berlalu kerana saya akan pastikan semua ini tidak akan berulang kembali. Saya tidak akan jadi tuli dan buta lagi. Pengajaran yang terlalu pahit dan mahal harganya!”

MAWAR TIGA WARNA – PUTERI ANDALAS
“Aku tak berapa suka bau orkid, kekwa atau lili. Aku jatuh hati dengan bunga mawar. Yang merah, yang samar, yang kuning… tiga warna ni yang aku suka. Hmm… mawar lebih wangi dan cantik pada aku.”

API CINTA LANDO – NURASSYI RASHID
Aku selalu berdoa semoga Sephia gadis terakhir yang akan kucintai. Tapi apabila muncul Hanna, hatiku sedikit songsang pada kesetiaan cinta. Beberapa kali aku mengutuk diri sendiri kerana jatuh cinta lagi. Sememangnya, aku bukan lelaki yang setia. Mungkin begitulah lazimnya seorang lelaki. Senang jatuh cinta tanpa memikirkan risiko yang menantinya.

KASIH TERCIPTA UNTUKMU – DAMYA HANNA
“Jujur aku cakap, Hawa! Bayang-bayang Raif ada dalam diri dia. Mungkin sebab tu aku sukakan dia. Tapi, aku tak nak perasaan ni lagi. Aku nak hidup macam biasa. Aku tak nak jadi orang yang tak mampu lupakan kenangan lama. Hawa... kau tolonglah aku! Apa patut aku buat? Kenapa susah sangat aku nak lupakan Raif? Kenapa mesti Fairuz wujud dalam hidup aku dan buatkan aku teringat lagi pasal Raif?”

No comments: