Monday, March 14
Kucc Reviews: Juara Carta Cinta
"dalam hukum persaingan cinta, bukankah yang menang pasti akan dinobat sebagai
sang juara?"
Kata Kucc:
Membaca naskhah penulis pastinya tidak boleh tidak kita akan membayangkan personalitinya dan mengaitkannya dengan lenggok dan gaya naratif ini. Menyusuri naskhah berdurasi 494 halaman ini saya boleh membayangkan betapa penulis ini semestinya seseorang yang ceria. Lalu tidak hairanlah betapa karya ini kaya dengan elemen-elemen keceriaan yang bukan dibuat-buat. Nampak semulajadi!
Juara Carta Cinta (JCC) membawa tema cinta. Tema sejagat yang begitu sinonim didalam penulisan kreatif. Komedi romantik ini ringkas, segar dan bersahaja terutamanya daripada aspek garapan dialog yang dibina penulis, lenggok bahasa santainya serta tidak ketinggalan pergerakan tiap wataknya yang penuh kredibiliti biarpun dibina atas landasan yang cukup ringkas.
Juara Carta Cinta (JCC) meneruskan legasi penulis yang begitu sinonim dan tampak selesa dengan genre sebegini dan sisipan tambahan unsur suspen/thiller yang diselitkan sebagai plot sampingan didalam naskhah ini ternyata tidak mengecewakan. Mengujakan sekali. Mungkin dimasa hadapan penulis boleh mencuba menghasilkan karya penuh yang berformatkan genre suspen/thiller pula.
Jalinan plot dan sub plot yang ringkas tapi selari di samping pembentukan watak-watak utama; Maya Hanum dan Haiqal yang cukup berjaya melahirkan roh menerusi karektor masing-masing banyak membantu menimbulkan perasaan dan jiwa pada keseluruhan naratif JCC. Penghayatan watak yang baik banyak membantu kelancaran lenggok cerita ini. Baik watak utama yakni Maya dan Haiqal juga watak pembantu lain seperti Haqeem, Laila, Julie, Intan, Adnan saling berdiri menyokong antara satu sama lain sehingga ia hidup mengikut keperluan watak masing-masing.
Penggunaan laras bahasa yang mudah, ringkas tanpa perlu sisipan istilah-istilah cinta yang memualkan cukup meletakkan cerita ini pada kelasnya yang tersendiri. Penulis mengadaptasikan lenggok bahasa tersendiri yang dirasakan bersesuaian dengan perjalanan naratif yang dipersembahkannya dan saya kira beliau sudah membuat pilihan yang terbaik untuk naskhah beliau ini.
Watak dan perwatakan adalah tunjang didalam setiap naratif tidak kiralah dari kelompok mana sekalipun ia didatangkan. Maya Hanum; keceriaannya, gila-gilanya, kelam kabutnya, perihatinnya juga kewanitaannya nampak natural ditangan penulis. Maya lambang gadis semasa yang berjuang untuk memperoleh bahagia didalam hidup dan kehidupannya. Misteri Haiqal memikat. Saya sukakan cara penulis mempotretkan watak Mr Stranger ini. Dalam penuh kebersehajaaan, dia sungguh mengujakan sekali. Haqeem memualkan. Begitu juga Adnan yang begitu mementing diri sendiri.
Inilah stok-stok lelaki yang perlu dijauhkan saya kira..hehehe. Intan penuh simpati wataknya.
JCC membawa pembaca pada seorang Maya Hanum; seorang novelis yang juga pemilik kedai cenderahati . Dengan dibantu Laila dan Julie suasana dunia di kedai cenderahatinya penuh warna-warna ceria. Tanpa diduga hidup cerianya tiba-tiba terganggu dengan kehadiran jiran-jiran baru yang tidak terduga; bekas kekasih yakni Haqeem dan bekas tunangannya Adnan. Haqeem yang dicintai sepupunya Mimi dan Adnan yang sudah beristerikan Intan. Haqeem yang terang-terangan masih memburu cinta Maya dan menyesali tindakannya meninggalkan Maya dahulu. Kekurangan Intan mendorong Adnan cuba memikat semula Maya. Merimaskan. Menyesakkan. Itu yang dirasakan Maya. Apatah lagi kesan kerana perkara ini dia dimusuhi Mimi dan Intan hingga tergamak pula cuba mengenakannya. Namun kemunculan Mr Stranger bagai penyelamat padanya biarpun pada awalnya dia juga tidak disenangi Maya yang masih ragu dan fobia kesan dari pengalaman pahit yang pernah dilaluinya. Perhubungan yang makin erat menyakinkan Maya untuk menerima diri jejaka yang mula mkendapat tempat dihatinya namun rahsia siapa sebenarnya Mr Stranger yang akhirnya terbongkar membuatkan Maya rasa tertipu.
Buat penulis berbakat besar ini, sekalung tahniah atas persembahan anda dalam Juara Carta Cinta ini. Semoga peluang dan ruang yang diberikan kepada anda saat melangkah dalam gelanggang penulisan kreatif ini dimanipulasikan sebaik mungkin dengan cetusan idea yang lebih baik di masa hadapan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment