Tuesday, March 15
Kucc Reviews: Di Sini Luruhnya Musim Kasih
" hatinya luruh disini...lantas kasihpun gugur di luar musim yang silih berganti..."
Kata kucc:
Kepercayaan itu penting didalam sesebuah ikatan dan perhubungan. Jangan sesekali goyah. Jangan mudah prasangka kerana apa yang dilihat dimata tidak semestinya sama tafsiran realitinya. Inilah intipati tema utama yang diangkat didalam naskhah penuh melankolik ini.Tema ini ternyata begitu unggul ditangan penulis hebat yang saya kagumi ini.
Dipenakan dengan cemerlang menerusi garapan jalan cerita yang begitu berkesan sekali plot cerita bergerak dengan begitu lancar. Rantaian kisah diantara satu bab ke bab yang lain dijalin teliti, penuh sentuhan berjiwa. Kesinambungan kisah didalam naratif ini begitu membuai perasaan sehingga kita terikut-ikut merasakan tiap peristiwa yang terjadi didalamnya.
Perwatakan adalah tiang utama sesebuah naratif dan ia juga lah kunci keberkesanan seebuah karya. Watak yang kosong, tiada jiwa maka ia tidak akan berupaya memberikan kesan apatah lagi mempengaruhi pembaca agar sama-sama mengikut perjalanan naratif yang dipersembahan. Katsura Mizushima @ Mahsuri, pelajar dari negara matahari terbit. Menuntut di unversiti tempatan. Pemotretan watak Katsura sangat cantik ditangan penulis. Katsura yang tegas, Katsura yang berani, Katsura yang penuh santun digarap sebaiknya oleh penulis. Penghijrahan Katsura menjadi seorang Mahsuri adalah kemuncak naratif ini dan pengorbanan gadis ini begitu meruntun jiwa. sayang sekali dia gagal mencipta musim bunga yang berwarna-warni biarpun segala usaha dan daya dilakukan.
Iskandar Zakaria; wartawan senior ruangan politik Harian Kebangsaan. Ego lelakinya cukup terserlah. celuparnya menjengkelkan sekali namun jauh disudut hati dia sebenar sama sahaja seperti lelaki-lelaki diluar sana yang mendambakan perhatian dan belaian insan bergelar Hawa. Dianugerahkan Mahsuri yang cukup sempurna namun ego yang menguasai jiwa akhirnya memakan diri sendiri. Sekali tersilap langkah pasti sengsara seumur hidup padahnya. Perwatakan Iskandar adalah contoh yang ada didalam masyarakat. Isteri itu anugerah lalu jika dipersia-siakan maka pastinya akan diambil semula. Penyesalan tiada guna kerana terlajak kata dan perbuatan tidak mungkin boleh diundur.
Kamelia; bekas kekasih Iskandar. Diceraikan suami yang kaya lalu kembali memburu cinta Iskandar. Jala yang ditebar kala ikan yang diumpan sedang leka diamuk rasa yang menggila tepat kesasaran. Menggelupur lalu tersungkur juga Iskandar dikakinya.
Razif; kawan rapat Katsura diuniversiti, dicemburui Iskandar hanya kerana hubungan akrab antara kedua-dua. Perwatakan Razif sederhana namun sumbangannya didalam menghidupkan naratif ini tidak boleh dipertikaikan. Razif adalah kemuncak kegagalan Iskandar mengawal ego, mengemudi emosi lalu tercetus hamburan dan amukan perasaaan yang akhirnya merugikan dirinya sendiri.
DSLMK membawa kisah Iskandar, wartawan senior dari Harian Kebangsaan. Iskandar yang ditinggalkan kekasih; Kamelia kerana kealpaannya sendiri yang tidak prihatin dengan hubungan mereka. Pertemuan tidak sengaja dengan Katsura; gadis Jepun yang menuntut di universiti tempatan sentiasa menimbulkan ketegangan antara kedua. Prejudis dan sentimen Iskandar yang bencikan bangsa Jepun kesan sejarah penjajahan dahulu terpalit pada Katsura. Sinis dan celupar Iskandar ditangani dengan baik oleh Katsura. Kehebatan Katsura membuka mata Iskandar untuk mengenali gadis itu. Tanpa sedar dia jatuh hati pada si gadis yang pernah dimusuhinya itu. Kehilangan Katsura secara tiba-tiba menjadi Iskandar nanar lalu saban waktu gadis itu dirindui. Kepulangan Katsura sebagai Mahsuri yang juga mencintai Iskandar menjadi titik penamat lalu hubungan mereka disatukan walau tanpa restu ibu Iskandar.
Dialog dan lenggok bahasa didalam naratif ini penuh melankolik dengan alunan bahasa sastera yang puitis dan penuh simbolik. Personifikasinya ditangani dengan baik sekali oleh penulis.
Percaya pada pasangan adalah kunci keharmonian sebuah mahligai perkahwinan. Biar apa juga badai dan amukan gelombang kehidupan yang datang, jika rasa percaya itu teguh dan utuh tidak akan runtuh mahligai yang dibina. Ego dan emosi jika keterlaluan boleh memakan diri. Prasangka itu adalah syaitan yang mengheret manusia ke lembah kemusnahan. Saya kira inilah rangkuman mesej tersirat yang terzahir dari naratif hebat dan penuh bermakna ini.
Buat penulis, saya sentiasa mengkagumi sentuhan kreatif anda yang tidak pernah gagal mengoncang nurani tiap kali ia ditelaah, sekalung tahniah buat anda.
Labels:
2011,
4 bintang,
Creative Enterprise,
review,
Siti Rohayah Atan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment