Monday, December 28

Jaja & Din



Tajuk Buku :Jaja & Din
Penulis : Noor Suraya
Penerbit : Jemari Seni Publishing
Harga : RM20.00
Cetakan Pertama : 2009
Genre: Kasih Sayang & Kekeluargaan
Bintang : 6



---------------------------------------------------------

“…tetapi hendak buat bagaimana kalau rasa itu hadir tanpa boleh dia usir pergi…”

Apa Kata Saya:

Saya pernah dilabelkan sebagai die hard fan penulis ini. Semuanya gara-gara “kasih” saya yang tidak berbelah bagi pada karya-karya beliau. Tak kisahlah hendak dilabelkan atau digelarkan apa saya ini kerana saya ada takal penilaian dan penanda aras saya sendiri pada tiap karya-karya yang saya baca dan ternyata karya-karya penulis yang saya panggil Kak Su ini tidak pernah sekalipun mengecewakan saya. Sentuhan sakti jemari beliau dari dahulu sentiasa membuatkan saya terpukau!

Naskhah terbaru beliau; Jaja & Din (JD) sekali lagi mengulangi keunggulan dan kehebatan penulis ini. Melayari naratif istimewa yang sangat hebat pengkisahan dan keindahan mesej kasih sayang yang diterapkan penulis pada naskhah ini membawa keinsafan yang cukup mendalam di jiwa!. Kelainan pendekatan naratif yang diperkenalkan penulis didalam JD inilah yang membezakan sekaligus menjadikan JD begitu unik dan tersendiri. Penulis tidak membentangkan naratifnya kepada pembaca secara mudah tetapi penulis dengan begitu halus dan bijaksana membawa pembaca sama-sama turut serta di dalam jaringan naratif yang dibinanya ini. Kaedah inilah yang saya kira mengangkat JD menjadi sesuatu yang sangat istimewa dan berada pada kelasnya yang tersendiri. Ia tidak digerakkan secara susun atur yang biasa tapi dikemudikan dengan kaedah yang sedikit bertentangan dari biasa namun ia tidak sesekali menyebabkan pembaca tersesat jalan biarpun berada dilatar masa dan peristiwa yang berbeza-beza.

Kebijaksanaan penulis memanipulasikan antara dua latar yang berbeza dan menggerakkannya secara bersama sangat menarik sekali dan dengan kehalusan juga ketelitian olahan juga sumbangan kerja-kerja suntingan yang cemerlang potensi untuk pembaca tersesat pada lohongan latar masa yang berbeza memang tiada langsung..kosong! Plot naratif ini biarpun dibina dengan sisi yang bercampur-campur tapi kebijaksanaan penulis yang begitu teliti menjaga sempadan aliran kisah di naskhah ini membuatkan pembaca sedikit pun tidak akan tergelincir didalam melayari naratif ini.

Kisah ini memang ditunggu-tunggu kemunculannya. Dimulakan di blog penulis dengan e-novel bertajuk Jaja Menantu Che’Pa lalu kemudian diversicetakkan dengan menggunakan judul Jaja & Din yang sudah melalui proses rombakan dan tambahan sana sini dari teks asalnya. Ia membawa pembaca mengikuti pengkisahan tentang riwayat kisah cinta Jaja @ Faiza yang cukup unik dan menerusi pengkisahan itu pembaca ditarik ke dalam pengembaraan Jaja yang cukup istimewa, tersendiri dan terselit juga insiden lucu didalam misinya “memburu dan menangkap” si dia yang bernama Din @ Burhanuddin Al –Helmy, sang guru sastera arab lulusan Al-Azhar yang menjadi jejaka pertama berjaya membuatkan jantung Jaja terhenti seketika tatkala melihat gambar polosnya yang dirakam lensa teman sepejabat. Tidak disangka bukan gambar si dia yang cuma berkopiah putih dan duduk penuh takzim di pusara itu bisa buat Jaja nanar…nanar peringkat jingga tau! Jaja si media planner yang moden tatacara hidupnya, rambut coklat lurus cantik bak pembaris, kening terbentuk nan cantik menawan, yang punya syarat-syarat ketat untuk panduan mencari teman hidup akhirnya tersungkur pada Din yang bukan siapa-siapa dan tak punya apa-apa! Hebatkan aura sang guru sastera arab ini?.Din membuat Jaja berpusing 360 darjah, berubah dari norma biasa yang sudah menjadi kebiasaannya. Dan kerana Din, Jaja tega menongkah arus adat dan budaya yang kejap dijunjung. Semuanya kerana Din…demi mendapatkan Din! Bunyinya memang seperti Jaja ini perempuan spesies tak malu sahaja tetapi selagi tidak melanggar hukum agama apa salahnya bukan?, lagipun Din itu satu dalam sejuta tau!

Naratif ini mengupas dan mengulas mengenai tema cinta yang bukan sekadar falsafah murahan mengikut dorongan nafsu dan kasih sayang luaran semata-mata tetapi yang lebih utama rasa cinta yang jujur ikhlas kerana Dia. Cinta itu sendiri anugerah dari-Nya dan hanya dengan kefahaman itu baru rasa cinta itu dapat dihayati dengan setulus hati. Manisnya rasa cinta dan dicintai itu ditangani dengan begitu berhemah, bersempadankan agama sebagai tiang serinya.

Perwatakan Jaja adalah nadi yang mendominasikan naratif ini dan ternyata penulis bijak memusatkan watak Jaja untuk cemerlang beraksi di layar ini. Watak Jaja menguasai keseluruhan naratif dan pada tiap ruang yang ada Jaja @ Faiza yang punya pelbagai variasi warna sifat ini cukup mencorakkan wataknya secara tersendiri. Sikap polosnya cukup memikat, selambanya buat senyum tawa pembaca tercetus juga namun yang lebih indah pastinya semangat juang dan keikhlasan dirinya yang saya kira cukup cemerlang sekali dilakarkan penulis. Jaja ibarat permata yang tersembunyi sinarnya dan mata Din lah yang berjaya melihat cahaya itu. Din @ Burhanuddin ini wataknya cukup cantik dipenakan penulis. Din; si guru sastera arab sekolah agama rakyat yang pendiam, tiada apa-apa kelebihan material, naik bas ke sana sini, tiada telefon bimbit pulak tu, cukup serba sederhana sifat dirinya tapi peribadinya cukup terpuji sekali dan hebatnya aura Din ini bisa
membuatkan kita gila bayang padanya! Watak-watak sokongan tidak kurang hebatnya. Kehadiran mereka turut memberi sumbangan mengukuhkan naskhah ini. Lala yang kelakar, Nini yang comel, Doktor Haslinda si mama yang polos, Doktor Badrul Hisyam abah yang baik hati, Wassim si bongsu yang cukup lurus juga tidak ketinggalan hero “lama” pujaan saya yang sudah ada gelaran Dato’ di depan namanya; Dr Aqmar Aziz. Warna-warni persembahan mereka cukup mengindahkan lagi naskhah yang sudah sedia cantik ini.

Bahasa dan pesona kepuitisannya mana mungkin dipisahkan dengan Kak Su dan ternyata Kak Su semakin handal memanipulasi kelebihan ini lalu lihat sahaja hasilnya pada naskhah ini. Kehalusan mainan bahasa penulis ini memang tidak boleh dipertikaikan. Ritmanya tersusun indah biarpun format cerita ini bersifat sebuah pengkisahan semula. Sisipan sirah dan kisah-kisah tauladan terpilih adalah irama yang cukup indah diterapkan penulis dengan cara tersendiri. Kesedaran yang secara halus disematkan penulis pada para pembaca untuk teladan juga renungan bersama. Jika tersasar jalan, kembalilah ke pangkal semula!


Buat penulis yang saya kagumi bakatnya, yang saya sanjungi kehalusan budi perkertinya dan yang saya sayangi ukhuwah persaudaraannya sekalung tahniah atas persembahan paling manis ini. Ternyata perit jerih pengorbanan dalam menghasilkan naskhah ini berbalas sudah. Semoga kaksu yang amat saya kasihi ini akan terus gigih berkarya, terus mencurah ilmu dan berkongsi cerita indah dengan kami, para pencinta dan pengagummu.

Buat anda pembaca diluar sana, sesungguhnya Jaja dan Din boleh dinobatkan sebagai Book of the Year!..ia adalah penutup tirai 2009 yang paling indah dan paling manis dilakarkan oleh seorang penulis hebat bernama Noor Suraya.

Orang dayak ke Indragiri,
Kapal kelok muatannya serai,
Hendak cari lelaki terpuji,
Akhlaknya elok, bijak dan pandai…


Kalau mahu ketemui “lelaki” ini, carilah “dia “ di dalam Jaja & Din dan anda pasti “jatuh cinta” padanya nanti..kerat jari beb kalau tak percaya kata-kata saya ini!

5 comments:

Elly Jade said...

salam..saya da khatam cerita ni..sangat mengkagumkan.sebelum baca buku ni lagi,saya da rasa buku ni lain dari yang lain.ternyata saya benar..bercampur baur perasaan bce JD.gelak,menangis..sume ade.
habis baca,bengkak2 mata dibuatnye =p
kak su,tahniah ya
dan saya boleh katekan,resensi dari GK membuatkan saya tertunggu utk mengetahui pndangan dr GK..ternyata resensi GK sgt2 terbaik =D

Kay said...

salam... saya belum khatam lg novel ni... saja baca lambat2, byk yg hendak dihayati... tp dh baca separuh, mmg sebuah kisah yg sgt sweet!

saya juga peminat kak suraya... mmg tak pernah mnghampakan!

kaknOOr said...

Yup sokong kucc... Best novel of the year.... Dah baca baru tahu apa itu gelak guling2. Akak suke dlm ni ada lorat orang kedah..memang best.

Tazkirah dan talbiah yg mendalam.
Macam2 rasa ada..
Cume watak Dr Haslinda & Wassim tu buat akak teringat kat seseorg di Kedah *** pewiittt......

Kalau betul lah ada Ustaz Din tu...akak pun nak jadi Dr. Aqmar Aziz nak meminang buat menantu.. Calun memantu yg terbaik.....

Ju'A said...

tahniah untuk kak su..."Jaja & Din" sebuah novel yang benar2 umphhhh...penantian yang berbaloi2,banyak yang dipelajari di dalam novel Jaja & Din...

jaja yang berambut karat jatuh cinta pada ustaz din, seorang yang blh membimbing kejalan Allah...

kak noor...saya pun sanggup meminang buat menantu klu calon spt ustaz din....

kucc_aprilsnow said...

pearl - ya, kita punya rasa sama..

kehelan - pi cepat habiskan na!

Bonda Qim & Kak Jua - hamboiii kemain lagi ye..oit, jangan potong ana punya jalan laa, citt!..bakal mak mertua berdua, sila meminang ustaz lain ye, ini ustaz dah ada yang punya tau!