Thursday, October 29
Percayalah...Akhirnya
Tajuk Buku : Percayalah…Akhirnya
Penulis : Ruby Hazri
Penerbit : Jemari Seni Publishing
Harga : RM22.00
Cetakan Pertama : 2009
Genre : Cinta & Kekeluargaan
Bintang : 5
-------------------------------------------------------
“orang yang mencintai diri kita adakalanya tidak berupaya memberikan alasan kenapa dia mencintai kita. Apa yang barangkali dia tahu ialah, di hati dan di matanya hanya mengalir satu rasa cinta terhadap kita…itupun jika kita menyedarinya.”
Apa Kata Saya:
Penghasilan sebuah sequel sebenarnya bukan mudah. Tanggungjawab yang tergalas di bahu sang penulis juga tidak enteng malahan sangat terbeban dengan segala bentuk kehendak bagi memastikan ia mencapai piawaian pembaca. Silap percaturan, kegagalan pasti menanti di hujung sana. Saya fikir penulis ini juga tidak terkecuali dari melalui frasa tersebut. Rasa takut, rasa khuatir itu pasti bermukim di lubuk hati. Namun setelah menamatkan perjalanan menyusuri naratif sequel Percayalah ini, apa yang saya boleh katakan cuma satu…hanya satu rangkaian kata sahaja…anda memang hebat Ruby!. Anda buat saya terduduk, termangu dan hilang kata-kata…segalanya kerana naratif ini!
Bermula di laman bunga hati, e-novel sequel ini mula menjengah pembaca. Agak lama juga ia terhenti lalu pembaca bagai ternanti-nanti apakah sudahnya kisah dua insan berlainan latar dan budaya dari dua benua ini. Dari Percayalah, penulis ini melakar kisah Nur Atiqah dan Danial Wolfgang yang sungguh indah bunga-bunga perjalanan hidup mereka lalu bila sequelnya ini selamat diversicetakkan perasaan jadi terlalu sukar untuk diterjemahkan dengan kata-kata. Percayalah…Akhirnya sudah kejap berada di tangan.
Saat pertama menyelak helaian, naratif ini sudah menakluk keseluruhan minda. Semakin dibaca, makin meruntun jiwa. Semakin diselami semakin merengut rasa, menggoncang sanubari…hebatnya penangan buah tangan puan penulis nan lemah lembut kali ini ya!. Segala-galanya. Kisahnya, ritma plotnya, suntingannya, latarnya, watak-wataknya, ayun dan lenggok bahasanya usahlah dipersoal..cantik sekali!
Tiga tahun selepas memperkenalkan Percayalah, Ruby kembali dengan sequelnya; Percayalah…Akhirnya yang menjengah pasaran pada 3 Oktober lalu. Sebuah naskhah yang saya kira cukup sarat dengan mesej kehidupan yang diaplikasikan menurut hukum alam dan peraturan hidup. Bagi yang sudah mengenali Nur Atiqah & Danial Wolfgang lewat Percayalah, maka naskhah sequel ini adalah kelangsungan susulan kehidupan mereka yang seterusnya…kehidupan yang cukup berliku, penuh onak getir yang dikepung cabaran dan dugaan yang tidak terucap. Tidak tercapai akal.
Tema cinta sejati yang menjadi tunjang cerita digarap penulis dengan sangat halus dan begitu berhati-hati sekali cukup membuai perasaan pembaca…penulis berjaya mencuri emosi pembaca didalam menyusuri rentetan pengkisahan dua insan ini didalam mereka melayari bahtera perkahwinan yang masih muda..masih hijau.
Takdir kehidupan yang sudah tersurat di lohmahfuz adalah penamat dan jawapan untuk segala-galanya…cantiknya penulis menoktahkan cerita. Itulah mesej yang saya saya fikir tersimpul disebalik naratif hebat ini. Kita mampu merancang, merangka perjalanan hidup ini namun samaada kita sampai ke destinasi yang dituju , Dia lah penentunya.
Plot kronologi dengan sedikit sisipan elemen flashback mendominasi dan mewarnai keseluruhan perjalanan sequel ini. Persembahan plot di mata saya sangat halus dan kemas , begitu juga suntingannya yang cukup teratur dan begitu tertib sekali ia diolah agar rentak cerita nampak hidup sekali biar cuma dihelaian kertas putih yang kaku!.
Perwatakan Nur Atiqah Sulaiman dan Danial Wolfgang adalah dua nadi utama dan merupakan fokus utama sequel ini. Peranan kedua-duanya diseimbangkan dengan cukup berkesan oleh penulis. Penulis bagi saya begitu hebat menyalurkan “roh” pada kedua-dua watak ini hingga segala-gala apa yang mereka lakukan, apa yang terbit dari kedua-dua watak ini begitu menyentuh perasaan pembaca apatah lagi bila kala pembaca melalui frasa-frasa tatkala mereka diduga, ditimpa musibah hati turut jadi walang..pilu sekali!. Mainan emosi antara kedua-dua watak ini digarap dengan cukup cemerlang hingga tempiasnya turut mengheret pembaca seakan-akan kita turut “berada di lokasi”. Beberapakali saya harus berhenti membaca, memejamkan mata seketika dan menghela nafas. Seakan dapat menyelami apa yang dirasai dan dilalui kedua-duanya. Saya harus tabik pada penulis ini kerana sangat berjaya menjiwai dan menyelami watak Danial..biarpun dia cuma seorang penulis wanita jiwa seorang lelaki..naluri seorang insan bernama suami dapat diperhalusi dan dipertontonkan kepada pembaca dengan cemerlang sekali!. Seorang lagi watak yang begitu menyentuh naluri pastilah Khairil. Sukar sekali menggambarkan emosi tatkala membicarakan watak ini..seorang Khairil yang sungguh istimewa, mulia dan tiada cacat celanya…penulis halus mempotretkan seorang Khairil yang bukan sedikit kasih dan simpati melimpah padanya..cuma apalah daya, takdir sudah tersurat demikian rupa. Chik, Dewi juga Kamal dan tidak tertinggal kaum kerabat yang lain adalah warna-warna yang melengkapkan naratif ini untuk diangkat sebagai sebuah persembahan yang cukup kemas dan mantap dari penulis.
Rasanya tidak lengkap kalau tidak membicarakan rentak dan susunan gaya bahasa dalam sequel ini. Penulis bagi saya semakin hebat mengalunkan gaya bahasa mengikut acuannya yang saya rasa sangat indah, terserlah personifikasinya juga hebat metaforanya, Elemen sisipan pantun di setiap penghujung bab bagaikan sebuah irama yang begitu mengasyikkan sekali.
Percayalah…Akhirnya membawa pembaca kembali mendekati kehidupan Nur Atiqah dan Danial Wolfgang di bumi Jerman. Tatkala gembira dengan berita kehadiran orang baru yang bakal mewarnai rumahtangga mereka, ditambah keputusan untuk kembali menetap di Malaysia tanpa diduga mereka diuji dengan ujian yang amat getir. Nur Atiqah ditimpa musibah. Keterlibatannya dalam sebuah kemalangan cukup hebat kesannya dalam kehidupan mereka berdua. Danial ternyata sangat mengerti biarpun tingkah dan caranya sukar dibaca Nur Atiqah. Sabar dan redha dalam apa juga keadaan adalah penawar. Begitu juga pasangan muda ini. Sekali lagi mereka diduga. Disaat menghampiri saat kembali ke bumi kelahiran Nur Atiqah, perihal pernikahan dan dokumentasinya kembali dibangkit lalu sekali lagi mereka diduga. Dan kerana proses-proses yang rumit ini mengambil masa terpaksalah Atiqah pulang dahulu…beratnya hati melepaskan Nur Atiqah pulang sendirian bagaikan sebuah tanda!
Buat penulis cantik ini, tahniah untuk sebuah sequel yang sangat meruntun hati dan terima kasih kerana sudi menoktahkan sebuah kisah yang cukup istimewa ini. Biar kemanapun sirih melangkah pergi, akhirnya pasti kembali ke gagangnya. Disitulah tempat selayak buatnya. Begitu juga lah seorang Nur Atiqah, percayalah…akhirnya disisi Danial jugalah tempatnya dia bersemayam.
Akan Datang dari Fajar Pakeer
Wednesday, October 28
Syurga Kasih Di Kaki Pelangi-Halis Azhan
Tajuk: Syurga Kasih di Kaki Pelangi
Penulis: Halis Azhan
Penerbit : KarnaDya solutions
Cetakan Pertama: 2009
"Aku mencari tempayan emas di kaki pelangi, rupa-rupanya syurga kasih juga menanti di sini."
Monday, October 26
Aisya Sofea - Yang Sebenarnya
Friday, October 23
Bakal Di Pasaran November Ini dari Kaki Novel
Suriani melarikan diri ke Kuala Lumpur demi menyelamatkan masa hadapannya. Dia rela dirinya hanyut dibawa nasib mengenangkan cita-citanya untuk menjadi tentera udara bersama Mahadi tidak kesampaian.
Nasibnya baik kerana bertemu secara tidak sengaja dengan Ian Emran yang sudi membantunya. Bertugas sebagai pembantu Ian Emran telah menimbulkan perasaan cemburu di dalam hati Marina, sahabat karib Ian Emran yang telah tujuh tahun setia di sisi lelaki itu. Begitu juga dengan beberapa kakitangan wanita lain di pejabat hingga menimbulkan gosip tidak baik ke atas dirinya. Lantas, Ian Emran yang mula menaruh hati terhadap Suriani segera menyuntingnya sebagai suri hidupnya.
Sepanjang tempoh pertunangan mereka, pelbagai dugaan dan cabaran harus dihadapi kerana Marina yang mendambakan kasih Ian Emran sentiasa menggugat kepercayaan Suriani terhadap Ian Emran. Tatkala jiwa Suriani berperang sesama sendiri Mahadi muncul kembali, ingin mengotakan janji-janjinya terhadap Suriani untuk membawanya “terbang” bersama. Suriani tersepit di antara tunangnya, Ian Emran dan kekasih lamanya, Mahadi.
Ke manakah haluan hidup Suriani? Ke manakah kapal terbang kertas akan membawanya terbang pergi?
Natasya Shakilla sering meluahkan ketidakpuasan hatinya kepada Amierul Mukminien, pendengar setia yang juga merupakan sahabat karib Harizd. Hubungan rapat mereka berdua telah mengundang perasaan iri hati pelajar-pelajar perempuan di sekolah itu. Maka, timbullah siri pembulian ke atas Natasya Shakilla. Mujurlah Harizd menyelamatkan Natsya Shakilla. Rupa-rupanya Harizd dan Natasya Shakilla pernah ‘berkasih’ semasa mereka masih kanak-kanak dahulu.
Bagaimanakah penerimaan Harizd dan Natasya Shakilla terhadap diri masing-masing sementelah mereka amat membenci di antara satu sama lain?
Blurb Belakang Novel
Kehadiran Natasya Shakilla (Asya / Killa) mendatangkan gimik yang besar di dalah hidup Harizd Hakkam. Status Harizd sebagai Ketua Pengawas bukanlah penggugat untuk dia melawan lelaki itu. Pergaduhan yang tercetus di antara dia dan pengawas besar itu menimbulkan pelbagai masalah. Manakala hubungan baiknya dengan Amierul Mukminien Carl dan Wan Izuan Hafiz menerbitkan cemburu di dalam hati para pelajar perempuan. Secara tidak langsung , Asya telah pun memasuki kumpulan 3K. Tapi bagi peminat setia 3K, Asya adalah musuh utama mereka! Musuh yang sentiasa laparkan sasaran dan hero penyelamatnya – Harizd.
Apabila hatinya mula menerima kehadiran Harizd sebagai rakan sekelas dan hidup sebagai seorang muslimah yang sebenar, dia mendapat tahu lelaki itu ialah ‘Ayez’, kenangan masa silam. Dan dia terpaksa meneruskan pembohongan kepada Harizd atas permintaan Hanis Humaira.
Tegarkah dia meneruskan pembohongan disebabkan Hani Humaira yang dahagakan kasih sayang seorang insan yang bergelar abang? Dapatkah dia berhadapan dengan diri Harizd sekarang, sedangkan kenangan Ayez pada masa silamnya bagaikan berputar di segenap benaknya? Apakah kisah silam yang tersembunyi di antara mereka berdua?
Apakah masih ada gimik yang lebih hebat?
Wednesday, October 21
Bengkel Penulisan Novel AVA 2009 - 12 Disember 2009 - Terbuka
Tuesday, October 20
November 2009 - Samudera Indah Nian
Harga pembelian melalui pos: RM16.00 (mulai 16 Nov 2009)
Saturday, October 17
Thursday, October 15
Bakal Terbit November Ini dari PTS
Tajuk: Titian Nabi
Penulis: Muhammad Masykur A. R. Said
Penerbit: PTS Litera Sdn Bhd
http://www.pts.com.my
Harga: RM 17
RM 19 (Sabah & Sarawak),
isbn: 9789833892556
384 mukasurat
Novel Islami yang mengangkat perjuangan hati dan suci Zahra dan Attar. Namun cinta mereka tidaklah mulus kerana terdera dengan perasaan disebabkan Attar melanjutkan pelajarannya ke Mesir. Apakah kukuh cinta suci yang disaksikan pada tiga negeri, Indonesia, Mesir, dan Tanah Suci Mekah itu? Sanggupkah bahtera cinta mereka menahan amukan badai yang menerjang? Akankah cinta mereka selamat berlabuh ke tepi dermaga atau tenggelam di tengah samudera?
Akan Datang - Terlanjur Cinta
Monday, October 12
Bintang Hati
Tajuk Buku : Bintang Hati
Penulis : Azilawati Nat Angsar
Penerbit : CESB
Harga : RM17.90
Cetakan Pertama : 2009
Genre : Drama & Romantik
Bintang : 3.5
------------------------------------------------------------
“ Jangan lepaskan apa yang ada berhampiran kita dengan bermimpi tentang apa yang berada jauh daripada kita …”
Apa Kata Saya
Kata pujangga “Rumah yang terbaik adalah dihati orang yang kita sayang” melestarikan fokus karya terbaru penulis senior ini dalam menyimpulkan naratif ini kepada khalayak pembaca. Mesej penulis cuba merungkai persoalan hati dan bagaimana elemen ini sewajarnya dilestarikan sebaiknya didalam kehidupan seseorang.
Bintang Hati(BH) membawa tema kesetiaan. Kesetiaan seorang wanita pada rasa cintanya pada bekas tunangan dan biarpun sepuluh tahun berlalu dan walau ada cubaan untuk menakluki hatinya, rasa setia pada yang satu itu mengatasi segalanya. Satu menifestasi cinta seorang wanita yang cuba digarap dengan cukup halus dan penuh emosi kewanitaan oleh sang penulis ini. Sub tema tentang nilai persahabatan juga dipersembahkan dengan baik. Sub tema ini cukup menarik kerana seringkali kita dimomokkan bahawasanya wanita dan lelaki tidak mungkin boleh menjadi sahabat baik jika melibatkan elemen perasaaan didalam persahabatan tersebut. Namun penulis berjaya membuktikan walau mungkin hubungan perasaan itu gagal, persahabatan itu akan tetap kekal berpanjangan.
Naratif kisah ini tidak sepenuhnya kronologi kerana penulis menyisipkan elemen imbas kembali didalam membantu pembaca lebih memahami sebab atau punca konflik yang tercetus didalam penceritaannya ini. Plot cerita agak baik dipersembahkan penulis biarpun sedikit meleret didalam penulis menyudahkan naratif ini. Gaya bahasa didalam naskhah ini tidak begitu melankolik dan puitis tapi tetap cantik persembahannya untuk dihayati pembaca.
Perwatakan Nurul Iman Rasyad Irsyad @ Iman yang diangkat sebagai tunjang cerita dipersembahkan dengan cukup baik oleh penulis ini. Iman dipotretkan sebagai anak dan kakak yang baik, wanita yang cukup sempurna bagi seorang lelaki. Personaliti Iman yang menjadi fokus naratif dipersembahkan penulis dengan sangat baik maka tidak hairanlah dia menjadi rebutan dalam diam oleh 2 jejaka di pejabat namun kesetiaan Iman pada bekas tunangan yang tidak jadi dikahwini sepuluh tahun lalu cukup mengagumkan. Cara penulis merungkai misteri penolakan Iman pada majlis perkahwinannya dahulu cukup mengujakan…tidak sabar mengetahui sebab musabab ia terjadi dan faktor apakah yang mendorong Iman bertindak sedrastik itu. Nafis adalah watak lelaki yang dipotretkan sebagai seorang sahabat yang cukup istimewa, seorang lelaki yang sewajarnya menjadi dambaan wanita namun gagal di mata Iman. Saya sukakan pembinaan perwatakan Nafis yang sederhana, prihatin dan bersifat pelindung. Harith biarpun muncul dalam lingkungan yang terhad, penampilannya cukup cantik dan cara dia dipenakan penulis membuktikan mengapa dialah idaman Iman…sayang sekali melihat hubungan mereka diakhirkan sedemikian. Watak pembantu seperti Ilhan, Nurul Izzah adalah pelengkap naratif ini dan konfik perasaan antara kedua-duanya dipersembahkan dengan baik oleh penulis dan watak Izzah yang berubah 100% hanya kerana kecewa dengan cinta begitu cemerlang dipotretkan penulis. Tiada watak bersifat antagonis yang ditampilkan di dalam naratif penulis kali ini.
BH menyusuri kehidupan seorang gadis yatim piatu berkerjaya di dalam dunia perakaunan; Nurul Iman yang mempunyai 2 orang adik yang masih menuntut di Universiti tempatan dan luar negara; Nurul Izzah dan Nurul Iffah. Iman menggalas tanggungjawab sebagai pengganti ibubapa kepada 2 adiknya dengan baik. 10 tahun dahulu Iman pernah bertunang dengan Harith namun disaat majlis akadnikah Iman menolak untuk diijabkabulkan. Hanya Iman yang tahu mengapa dia bertindak sedemikian…segalanya demi kebaikan Harith, namun Harith yang kecewa membawa diri merantau ke luar negara. Iman yang terpaksa menerima setiap kritikan keluarga terdekat atas tindakan tersebut dan kesannya, setiap kejadian yang menimpa insan–insan terdekat dengannya selepas itu dikaitkan dengan dirinya yang dikatakan "sial" biarpun ia tidak langsung ada hubungkait namun Iman redha dan mengharungi hidup dengan sebaik mungkin tanpa sedikitpun melupakan Harith. Kasih dan cintanya tetap satu untuk lelaki itu biar Nafis dan Ilhan cuba meraih cintanya. Kemunculan Harith yang secara diam-diam sudah lama menjejak Iman begitu memeranjatkan. Nafis, teman akrab yang sedari dulu tidak pernah berputus asa meraih cinta Iman akur dengan pilihan Iman yang tidak pernah berubah. Harith yang juga tidak pernah melupakan Iman ingin menyimpul kembali kasih mereka. Perancangan manusia tidak mampu menolak ketentuan-Nya. Begitu juga kasih Iman dan Harith.
Buat penulis ini, tahniah untuk naskhah terbaru ini. Semoga anda akan terus hebat melontar idea tentang kisah kehidupan untuk tatapan pembaca di masa hadapan.
Saturday, October 10
Review: Sungguh Aku Cinta by Anis Ayuni
Sungguh Aku Cinta
Penulis : Anis Ayuni
Terbitan Alaf 21 Sdn. Bhd
Cetakan Pertama 2009
500 mukasurat
isbn: 9789831244333
RM19.90
Sabah/sarawak: RM22.90
"Walau ke mana kau pergi, dirimu sentiasa hadir di hati ini"
Tidak hilang identiti kisah manis-jiwang dari nukilan Anis Ayuni walaupun ini kali pertama kisah cinta darinya yg digarap degn menggunakan sudut pandangan orang ketiga.
Kisah kali ini tentang Maira dan Fajar yang sama-sama meminati aktiviti lasak. Aktiviti2 sebegitulah yg dimanfaatkan oleh Fajar utk mendekati Maira yg sukar ditawan hatinya. Maira sentiasa mengelak walaupun semua org tahu Fajar mengejar cintanya. Selepas kena blasah dgn bekas suami Maira barulah Fajar tahu kisah sebenar. Maira pernah berkahwin ketika belajar di luar negara dan sekembalinya ke Malaysia, dia diceraikan kerana Azhan nak kawin dgn Sofia yg enggan dimadukan walaupun Maira rela bermadu.
Maira meneruskan hidup dan kerjanya sbg janda muda dan dia sentiasa merahsiakan statusnya supaya kisah sedih tidak diungkit semula. Serangan Azhan tidak mematahkan cinta Fajar, malah dia lebih bertekad utk memiliki Maira. Maira akhirnya menyambut cinta Fajar tetapi ibu Fajar tak mahu anak terunanya memperisterikan janda walaupun dia tahu Maira tu baik dan pernah membantunya semasa diragut.
Fajar diminta memilih sama ada ibu tersayang atau Maira. Fajar akur memilih ibunya namun dia berjanji tidak akan bekahwin melainkan kalau Maira yg menjadi isterinya. Dalam kemenangan, ibu Fajar kalah sebenarnya.
Tragedi yg menimpa adik Fajar, Nur Suria yg sama mcm maknya tak suka Fajar kawin ngan janda. Namun dia kini berada dalam situasi Maira apabila suaminya meninggal dunia dlm sebuah kemalangan. Tinggallah dia bersama anaknya yg masih kecil. Kemudian, seorg jejaka bujang mahu memperisterikannya. Ini membuatkan Nur Suria dan ibunya terfikir begitulah keadaan Maira apabila Fajar mahu memperisterikannya (buat kita tersenyum sinis). Dpt kah Fajar mengejar cinta Maira sedangkan Azhan sudah kembali menagih cinta dari Maira. Tapi Maira sudah serik dgn cinta. Nampaknya mak Fajar la kena ngorat balik Maira.
sure fine whatever
rinn
sinopsis/blurb
Tidak pernah terlintas di fikiran Maira yg janji setia Azhan terhadapnya akan sirna. Sehabis daya Maira memujuk, tetapi lelaki itu tetap mahu menikahi Sofia. Dia ditinggalkan mengutip serpihan harapan yg sudah berkecai.
Maira bangkin mendepani takdir. Bukan serik utk bercinta lagi tetapi salam kasih Fajar dibiarkan sepi. Namun, kesungguhan lelaki itu mendamba cinta, perlahan-lahan melarutkan kedukaannya.
Azhan muncul kembali merayu cinta Maira. Dijaja rasa hati yg tidak bahagia utk meraih simpati, sedangkan bagi Maira, kasih yg sudah terputus takkan ada sambungnya lagi.
Sekali lagi ketabahan Maira diuji apabila Fajar dipaksa membuat pilihan oleh ibunya. Maira pasrah pada takdir ILAHI. Dia menerima hakikat bahawa hidup ini bukan semata-mata kerana cinta...
Pelengkap Trinovel Oktober Alaf: Jiwa Merindu
Penulis: Erin Zehana
Halaman: 424
Harga: RM17.00
ISBN: 978-983-124-469-2
Sinopsis:
PERTEMUAN semula dengan Luqman benarbenar tidak diduga. Natasha pernah terluka kerana jejaka itu. Telah dilempar jauh semua kenangan manis agar tiada rindu mencengkam jiwa. Cinta di hati telah pudar dibawa arus masa.
Tetapi, Luqman tidak pernah berputus asa menjejak cinta Natasha. Dia mahu menjernihkan hubungan, memperbetulkan keadaan. Perpisahan yang terjadi bukan pintanya. Kemaafan Natasha diraih agar terhapus rasa derita.
Suratan takdir itu tiada siapa dapat menentangnya. Demi sebuah maruah yang cuba dipertahankan, Natasha dan Luqman terperangkap. Kerana peristiwa hitam itu, Natasha sah menjadi isteri Luqman tanpa pengetahuan papanya. Dia pasrah dalam duka.
Melayari mahligai dari air mata, tiada restu keluarga, penuh dengan curiga dan tidak sefahaman... bahagiakah yang menanti Natasha? Sedangkan Luqman sungguh-sungguh mengharap cinta Natasha kembali bersemi untuknya.
Friday, October 9
Review: Baju Pengantin Mak Andam by Areila Sahimi
Tajuk: Baju Pengantin Mak Andam
Penulis: Areila Sahimi
terbitan: KakiNovel Enterprise
Cetakan Pertama: 2009
isbn: 9789675067297
524 mukasurat
RM18.00
Sabah/Sarawak: RM21.00
"Zain, sekeras-keras aku, seselamba manapun aku, Zain, aku masih seorang perempuan. Yang tahu rasa malu bila tiba bab nak luahkan isi hati ~Aleeya~
"Biarpun dia srabut, dia kusut, dia jiwa kacau, dia suka teh tarik mamak sekalipun, pada aku dia tetap istimewa." ~Zain~
SEronoknya dpt baca dengan santai, tak payah terkejar2.
Cerita yg disampaikan dalam bahasa yang santai dengan motif utk menghiburkan pembacanya. Kalau dari segi jalan cerita, ini bukanlah jalan cerita baru, ia adalah kisah yg cinta yg sangat biasa, cuma alunan Areila Sahimi menjadikan cerita ini menarik dan subjek utamanya adalah seorang mak andam sambilan menjadikan cerita ini mudah diingati.
Bahasa cerita ini tentu lebih enjoyable buat golongan remaja. Bagi orang lama2 saya tak taulah perasaan diorang biler baca cerita yg ada gaya bahasa santai-modern begini. Saya suka jerrrr :) Makin ramai penulis muda yg menggunakan pendekatan begini utk menyampaikan karya mereka supaya lebih mengikut rentak pembaca2 muda rasanya. Dengan cover yg comel-cute, tajuk yg agak unik, memang mudah memikat hati pembaca utk mencapai novel ini walapun nama Areila Sahimi masih baru dalam dunia penulisan novel.
Cuma pada awal cerita, saya rasa penulis hilang fokus dalam bercerita. Dia tengah cerita tentang satu perkara, tapi tetiba dia termasuk cerita perkara lain sampai beberapa muka surat, and then sambung balik benda yg dia nak cerita mula2. Aku pun jadi hilang fokus and kena flip balik ke muka surat sebelumnya. Tapi memang ralit la baca kisah yg mcm ni sedar2 jer dah abis dah. Dialognya memang sentiasa gila2 dan mengundang tawa. Bahasa-bahasa biasa dan simpulan2 bahasa biasa yg dijumble-rock kan kadang2 nampak pelik dan kadang2 nampak kelakar. Cerita yg ada intipati menarik cuma ada part2 yg 'serabai' yg perlu digunting kemas2.
Cerita ni disampaikan dlm penceritaan orang ketiga tapi kadang2 jadi macam diceritakan oleh ganti nama aku. hmm rasa macam ada masalah editting. Rasanya cerita ini boleh jadi lebih kemas dan tentunya akan lebih menarik. Nasib baik happy ending. tu yg penting tu ;)
apa2pun tahniah buat penulis muda ini dan saya amat menantikan karyanya yg seterusnya.
serba sedikit tentang kisah ini:
Aleeya ni P.A kat jabatan kerajaan yg merupakan partime student dan partime mak andam (kalau cuti sem lah). Pertemuan dgn Zain di sebuah majlis perkahwinan, lebih mencetuskan rasa sakit hati, tapi lama kelamaan mereka menjadi kawan. Zain terlebih dahulu meluahkan perasaan kpd Aleeya. Di saat Aleeya mula yakin dgn perasaannya, timbul salah faham yg menyebabkan mereka terpisah.
Rasanya dengan membaca novel ni pembaca sebenarnya akan merasa lebih mengenali penulis ini dengan lebih dekat dan mesra. Dia seperti menceritakan pengalaman sendiri yg penuh warna warni dan tentulah gila-gila-mengong.
sure fine whatever
rinn
sinopsis/blurb:
Aleeya dan Zain berjumpa di majlis perkahwinan pelanggan Kak Ana. Mereka asalnya bukannya sebulu. Namun Kalau Zain dah menghulurkan salam perkenalan, Aleeya pun tak adalah nak jual mahal sangat. Jalan ajerlah. Sebab Aleeya bukan jenis org yg sombong tak bertempat.
Aleeya dan Zain bermula sekadar kawan biasa, kemudia mereka mula masuk fasa teman tapi mesra. Zain kata sayang, Zain kata cinta. Tapi Aleeya blur tak tau nak kata apa sbb dia tak tau apa yg dia rasa. Yang dia tahu dia fobia utk jatuh cinta sbb dia takut kena tinggal, dia takut kecewa macam apa yg pernah dia lalui sebelum itu. Dia jadi sangat keliru.
Tiba2 badai datang melanda. Dari teman tapi mesra menjadi musuh yg langsung tak boleh tengok muka. Jauh di mata perlukah jauh di hati juga? Namun dalam ribut taufan itu, rindu tetap bertandang di hati, sayang sudah sedia bertenggek di jiwa. Kenapa di bina tembok ego di antara dua hati ini jika bahagia itu sudah di depan mata?
Lalu siapakah yg harus mengambil inisiatif utk menyelamatkan hubungan ini? biar yg simpul dileraikan biar yg kusut dilembutkan, biar yg serabut dirapikan. biar jadi wangi seperti sediakala. Aleeya? Zain? Kak Ana? Rozy? Azizul?
Review: Fitrah Kasih by Ilani Mysara
Tajuk Fitrah Kasih
Penulis: Ilani Mysara (Bonda)
Cetakan Pertama: 2008
Penerbit Alaf 21 Sdn. Bhd
isbn: 9789831243671
463 mukasurat
"Rasa ini menjelma tanpa dipinta menyelinap di kalbu lalu menyelimuti hati"
Bagi yang mencari cerita tangkap nangis yang meruntun kalbu malbu semua, boleh ar baca citer ni. Memang sedih yang amat sangat membaca nasib Murni dalam kisah ini. Ilani Mysara memang dikenali dengan kisah2 alternatif begini yang bukan typikal. Kebanyakan ending kisah2nya aku agak sukar nak terima sbb aku suka happy ending. hehe.. tapi cara bonda end kan kisah ini aku rasa sangat berpuas hati. :)
Bagi aku cerita ini lengkap dan kemas isi dan penyampaiannya. Kita berasa sangat dekat dengan dunia Murni yang penuh cabaran. Dia bukanlah insan yg dilahirkan sempurna atau dalam suasana yg menjadi kebiasaan orang lain. Tapi anak yg tak tau apa2 itu adalah insan yg sangat tabah dan baik hati.
Cerita bermula dengan kelahiran Murni, anak yg dilahirkan Salmah setelah diperkosa bapanya sendiri. Ibu Salmah, Mak Itam malu kerana dia merupakan bidan kampung yg terkenal, dia tak mahu menanggung aib, lalu Murni diserahkan kpd org lain dan Salmah juga dihantar pergi.
Murni bukan sahaja lahir dlm keaiban, dia juga ditakdirkan badan bersisik dan gatal2. Keluarga angkat dia mula2 tak tau. Tapi lepas dah tau tu, mak angkat dia menyisihkan dia. Dia dijaga oleh org gaji. tapi bapa angkat dia baik. Lepas diorang dpt anak lain, Murni dikembalikan kpd Mak Itam. Tapi masa tu Murni dah bleh masuk sekolah la... Tapi kat sekolah Murni dipandang jijik malah digelar anak ular. Memang sedih la keadaan Murni yg sentiasa dipandang serong. Dia decide utk tidak bersekolah dan mula bekerja di ladang sayur Tauke Chong.
Mak Itam menjaga Murni dgn rapi dan menggunakan kepakaran dia dalam perubatan tradisional utk merawat kulit Murni. Menjelang usia 16 tahun, Murni adalah pekebun sayur yg cantik molek. Anak Mak Itam, Omar yg pernah memandang jijik pada Murni pun sudah terpikat dgn kecantikan Murni.
Omar ni la antara watak yg buat aku rasa geram dan berdebar, dah la dia sorang anak lelaki Mak Itam, dan perangai pun ada iras2 suami Mak Itam yg bernafsu binatang tu. Murni dan Mak Itam bekerja utk menyara anak2 Mak Itam yg masih belajar, Saodah, Omar dan Salmiah. Salbiah adalah anak mak itam yg paling rapat dgn Murni.
Suatu hari Murni dikejutkan dgn kepulangan Salmah. Mulanya ia tak tau yg Salmah tu lah ibu kandungnya, tapi lama-kelamaan terbongkar juga kisah sebenar. Salmah mengidap penyakit kelamin dan Murnilah yg menjaganya sehingga dia menghembus nafas terakhir.
Kematian Mak Itam menambah lagi kesengsaraan Murni. Omar menuduh Murni dpt byk harta Mak Itam sedangkan dia dpt duit lebih kurang seribu ringgit sahaja. Apa sangat lah harta yg Mak Itam ada. huh, geram betul dgn watak Omar masa nih. rasa macam nak sumbat masuk dlm blender dan mesen sampai lumat! Dah la Murni yg bersusah payah bekerja utk menyara pelajaran dia, bleh dia tuduh Murni macam2. Dh tu siap bawak balik kawan lelaki sampai 5 orang mai tido rumah dia. Lagi la Murni tak sedap hati. Shah (salah sorang kwn Omar) terpikat dengan kebaikan Murni, tapi Murni sedar keadaan dirinya dan cuba utk tidak menghiraukan Shah. Lepas Murni terpijak parang, Shah yg merawatnya, semakin menyentuh hatinya. Omar mengamuk biler nampak Murni rapat dgn Shah. Dia tuduh macam2. Dalam keadaan luka berdarah, Murni keluar dari rumah dan menumpang di pondok tauke Lim.
whoaaa banyaknya nak citer!! tapi ni baru lebih kurang separuh cerita, banyak lagi yang Murni tempuhi. Cinta Shah pada Murni memang ikhlas, tapi keluarga Shah sendiri tak suka Murni. Sedih betul. Tapi akhirnya diorang bertemu semula dan tanpa disangka-sangka Shah sendiri menyimpan derita dan mereka bersama akhirnya menempuh saki baki hidup dan terbukti Murni adalah menantu yg terbaik.
Aku rasa paling sedih biler Salbiah yg berubah sikap setelah berkahwin dgn org kaya, kalau tak, dia lah yg paling rapat dgn Murni.. Kesian Murni terpaksa membawa diri ke Kundasang.
Tahniah buat penulis, Bonda Ilani Mysara. Semoga cepat sembuh dan teruskan berkarya.
sure fine whatever
rinn
sinopsis/blurb:
Murni ditakdirkan lahir sebagai anak yg tidak suci atau lebih tepat lagi hasil daripada perbuatan sumbang mahram. Walaupun kehadirannya tidak dipinta, namun ujian ALLAH dia rela menerima. Hidupnya setiap hari dihiasi dgn cacian dan hinaan. Lantas, pada siapa dia harus mengadu? Sebagai manusia yg punya perasaan, hatinya sentiasa merintih pedih.
Darahnya dikatakan kotor dan keturunannya dianggap tidak baik utk dijadikan menantu. Disebabkan itu, dia terpaksa melupakan rasa cinta yg mula berputik di jiwa. Dengan memegang status anak tidak sah taraf, dia sering menghumban dirinya ke lembah yg paling hina. Biarlah.. dia rela berkorban andai itu suratannya.
Seandainya dia memng tidak layak utk mengecapi bahagia, mengapa dirinya difitrahkan cinta? Kalau darah ini tidak serupa yg halal, mengapa ada cinta senandung di hati? Biarlah... buat apa hendak diharap burung yg terbang kalau diri merayap di bumi.
"Shah... Apa yg aku buat sekarang adalah sebagai pengorbanan. Aku terpaksa, Shah. Aku gadai cinta aku semata-mata demimu. Ketahuilah, walau apa jua yg berlaku, hati ini tetap milikmu. Aku berharap suatu hari nanti, kau ketemu jodoh yg lebih baik."
Bacalah demi satu keturunan yg bakal anda cipta.
http://www.alaf21.com.my