Tajuk : Aku Pilih Dia
Penulis: Hezzy Azra
Harga: RM22
Halaman: 560
ISBN: 978-983-124-742-6
Sinopsis:
Pemergian Khalil tiga bulan sebelum diijabkabulkan, mengheret cinta Johana hingga ke pusara. Bertahun-tahun dia merawat duka di hati, namun pengganti Khalil tetap sukar dicari. Bila ada yang bertanya siapa Raif Imran di sisinya, jawapan yang diulang berkali-kali; lelaki itu cuma teman... tapi mesra.
Raif pula tidak pernah meluah rasa kepada Johana. Baginya, walau didampingi ramai gadis sekalipun, Johana tetap ada ruang istimewa di hati. Johana sering menduduki senarai teratasnya biarpun tidak pernah mengisytiharkan gadis itu miliknya. Kemunculan Ian Redza mula mengubah segala-galanya. Kali pertama Raif menonton kemesraan Ian dan Johana, dia dijangkiti virus cemburu.
Raif kata: Ian merampas Johana daripada aku!
Ian balas: Aku tak mencuri hak sesiapa.
Hati Johana berbisik: Hanya aku yang tahu... ada seorang sahaja yang aku cinta.
Tajuk : Mahar Setulus Hati
Penulis: Ayu Emelda
Harga: RM21.00
Halaman: 528
ISBN: 978-983-124-740-2
Sinopsis:
Antara Emir Nazreen dan Chempaka Harlina bezanya bagai langit dengan bumi. Tetapi bila jodoh sudah tertulis, tiada apa yang mampu menghalangnya. Bagi Emir, alangkah bahagianya jika dapat memiliki isteri sehebat Saidatina Khadijah atau sebijak Saidatina Siti Aisyah.
Bagi Harlina pula, hidup hanya sekali. Kehidupannya mesti dipenuhi keseronokan dan hiburan. Perkahwinan merupakan penghalang untuk dia mengecapi syurga dunia yang tiada penghujung itu. Lalu, pelbagai helah dicari untuk menggagalkan niat murni Emir. Tetapi, kesabaran lelaki itu memusnahkan usahanya.
Entah kenapa, sebaik tangan digoncang tok kadi, bahu Emir terasa berat mahu menggalas tanggungjawab. Menikahi Harlina bukannya seperti jinak-jinak si burung merpati, tetapi bagaikan jinak-jinak si kucing Parsi... makan di tangan. Bila ditangkap, dicakar.
"Ya ALLAH… andai aku dijadikan daripada tulang rusuk kirinya... ENGKAU panjangkanlah jodoh kami hingga ke Firdausi...”
Mampukah Emir bertahan dalam pelayaran yang penuh cabaran itu sedangkan kehidupan Harlina sudah jauh tersasar daripada landasan Islam? Adakah kesabaran Emir menjadi titik perubahan dalam hidup Harlina? Hanya DIA yang tahu.
Tajuk : Fiksyen 302
Penulis: Ramlee Awang Murshid
Harga: RM21.00
Halaman: 512
ISBN: 978-983-124-746-4
Sinopsis:
LAN LANI, JIMMY YEOH, PRAKASH KUMAR dan FARID JA’AH membunuh mangsa-mangsa mereka dengan kejam. Masing-masing melakukannya dengan cara yang hampir serupa. Angka 302 dilakar di dahi mangsa. Sejurus itu, mereka menghubungi polis dan melaporkan bahawa hukuman mati telah dilaksanakan. Ketika diberkas, mereka menyerah diri dalam keadaan bertelanjang bulat. Bagaimanapun, motif sebenar setiap pembunuhan sangat kabur. Andai dipadankan dengan psikologi manusia, ternyata mereka yang mengaku bertanggungjawab bukanlah orang yang waras. Kes-kes itu tidak dapat diselesaikan.
Tahun 2032 - seorang peguam, Rita Yuzalina menyertai projek rahsia yang dikendalikan oleh dua orang pakar psikiatri bertujuan untuk merungkaikan misteri pembunuhan itu. Namun, ia disabotaj. Pertukaran watak berlaku. Lebih menakutkan... tragedi lampau berulang lagi. Lebih dahsyat daripada apa yang dijangkakan!
RAMLEE AWANG MURSHID dalam karyanya kali ini mengingatkan bahawa rasa percaya merupakan perangkap yang boleh mengancam nyawa. Apabila tersedar sahaja, maut sudah di hadapan mata. Melarikan diri adalah perkara mustahil. Menyerah begitu sahaja menyebabkan kematian yang sia-sia. Cara paling selamat... jangan sesekali percaya! Sesiapa pun tidak terkecuali daripada pertuduhan, prasangka dan dijadikan suspek utama pembunuhan.
Tajuk : Biru Ungu Cintaku
Penulis: Intan Arnida
Harga: 21.00
Halaman: 512
ISBN: 978-983-124-733-4
Sinopsis:
Siti Julia Sophia benar-benar tertekan apabila ditinggalkan oleh suami yang amat dikasihi. Tiba-tiba saja Faeris Syakim menghilangkan diri tanpa sebarang pesan dan khabar berita. Jiwa Julia bertambah sengsara apabila dibelenggu ketakutan. Berulang kali dia diugut dan terus diburu lelaki misteri sehingga nyawanya terancam.
Kepada kakaknya, Siti Jesnita Shania dia mengadu untuk merungkai segala kekalutan yang dialami. Tapi tanpa diduga, kakaknya itu punya rancangan yang strategik. Tanpa berbincang, dia mengheret Dr. Qairul Arif ke dalam permainan barunya. Dia mahu lihat siapa yang bijak dan siapa yang dungu!
Maruah Syakim semakin tercabar. Dia yang selama ini memendam rasa cemburu dan syak wasangka terhadap Julia terus bertekad untuk menyingkap segala kecurangan Julia dengan menyamar sebagai ‘Prince William’ di dalam Facebook, bertujuan untuk menggoda isterinya sendiri. Namun, tindakannya telah menjerat dirinya. Julia yang tidak tahu apa-apa pula menjadi mangsa keadaan. Haruskah dia berjumpa dan berterus terang kepada isterinya?
Tajuk : Untuk Sekali Lagi
Penulis: Azilah Wahab
Harga: RM21.00
Halaman: 528
ISBN: 978-983-124-734-1
Sinopsis:
Rashidah – Sekalipun dia datang dan pergi sesuka hatinya, namun aku pasrah. Walaupun aku cuba membina tembok kebencian padanya, namun kebencian itu bagai tiada di dalam diri ini. Sejauh mana dia pergi, aku masih tetap mahunya kembali. Aku ingin membina semula mahligai bahagia kami yang sudah goyah walaupun diri ini sakit akibat kekejaman yang dilakukannya. Dan lebih parah lagi… aku difitnah!
Kamal – Kemewahan dan pangkat itulah yang menjadi tunjang untuk aku mencapai matlamat dan cita-cita. Kini, aku berjaya memperolehnya. Perlukah aku kembali ke rumah itu setelah melihat apa yang telah dilakukan olehnya? Adakah aku suami yang kejam? Tidak! Biarkan dia
rasa. Sayang aku padanya sudah pudar!
Syuhadah – Aku cinta padanya walaupun aku dituduh perampas! Tiada niat di hati ini untuk merenggut kebahagiaan orang lain. Aku hanya mahukan lelaki itu bersikap adil. Namun, aku tidak boleh terima dia menyakiti perasaan wanita itu kerana aku juga murah dengan air mata. Rashidah dan Syuhadah menjadi taruhan kasih sayang Kamal. Kedua-duanya saling memerlukan, namun ada sesuatu yang mengejar bayang-bayangnya. Dia tersungkur mencari kebahagiaan yang hilang!
Tajuk : Persis Bidadari Syurga
Penulis : Ummu Wafa
Harga: RM 21.00
ISBN: 978-983-124-739-6
Halaman: ~528
Ketetapan takdir yang tertulis tidak mampu diubah lagi. Nur Asiah terpaksa berserah saat dia dikahwinkan dalam usia muda dengan lelaki yang tidak dicintai kerana tidak mahu menjadi anak derhaka. Sewaktu rakan sebayanya berlumba-lumba memanjat tangga universiti, Nur Asiah berada di ceruk dapur, menjadi isteri yang terdera fizikal dan mentalnya oleh suami yang panas baran serta menjadi hamba kepada madunya di dalam rumah sendiri.
Bayangan nasib malang dan ujian ALLAH sering mengekorinya. Saat dia mendapat kembali cinta, kasih dan sayang suami yang hilang, dia diuji lagi. Suami tercinta pergi menghadap ILAHI. Dalam usia yang masih muda, dia bergelar balu. Dugaan datang dan pergi sehingga Nur Asiah kelelahan. Mampukah Nur Asiah menyambung kembali cinta pertamanya bersama Zarif atau menerima lelaki dari Jerman yang mengirim cinta di angin lalu? Tegakah dia menduakan kasih suaminya yang kini hanya tinggal nama? “Ya ALLAH… berikan aku petunjuk dan hidayah dalam menghadapi dugaan-Mu ini…”
No comments:
Post a Comment