Tuesday, December 29

Terbaru Dari Aina Emir


Sinopsis:

Best Friends Forever (BFF)… merupakan ungkapan yang sering diucapkan dua orang teman baik, juga merupakan sepupu berwajah seiras. Serupa tapi tak sama. Inaz dan Fiya atau Shafinaz dan Lutfiya Zahra, yang sering mendapat gelaran ‘kembar’; ke mana-mana sahaja, mereka selalu berdua. Saling menyayangi, saling menolong dan saling bergantung.

Pun begitu, mereka bagaikan sedang dalam satu pertandingan untuk merebut sebuah trofi. Tanpa disedari, perasaan cemburu terbit di sanubari, masing-masing berentap untuk berada di depan.

Inaz, suka yang rancak dan kecoh, sedang mencari seseorang yang baik budi, menambat hati. Suka kepada yang bertubuh ‘tegap’… asal tidak mengingatkan kepada ayahnya. Dia juga sensitif dan pernah berdepan dengan tekanan. Mampukah Inaz mencari apa yang diimpikan?

Fiya pula, seorang yang pintar, suka kepada ‘nature’, minat aktiviti lasak, sayang kepada haiwan, sudah pun mendapat teman dan kini berada di depan. Mungkin kerana itu, Fiya dan Inaz bagaikan sedang bercakaran.

Munawarah dan Melissa, teman baik yang cuba jadi orang tengah, penasihat… mungkin juga pembelot?

Pertemuan Inaz, Fiya, Muna dan Mel… dengan empat orang jejaka di atas gunung legenda, membawa satu perubahan hidup dan mewujudkan pelbagai soalan dan teka-teki.

Novel ini akan temukan pembaca dengan pelbagai karakter yang berbeza kerjaya, mendekatkan kita kepada wira-wira negara, yang mungkin sebelum ini tak pernah kita kenali. Merasai apa yang dirasai oleh seorang anak angkat yang cuba mencari identiti diri. Siapakah agaknya yang menjadi burung rajawali, penuh perasaan tinggi diri, yang akhirnya terpaksa lakukan transformasi?

Sukarkah untuk menerima kekalahan dan payahkah untuk meluahkan perasaan? Sama-samalah menyelami dan menghayati kisah suka duka kehidupan mereka yang bergelar insan, yang disusun indah dalam novel Terbanglah Sayang.

Monday, December 28

Jaja & Din



Tajuk Buku :Jaja & Din
Penulis : Noor Suraya
Penerbit : Jemari Seni Publishing
Harga : RM20.00
Cetakan Pertama : 2009
Genre: Kasih Sayang & Kekeluargaan
Bintang : 6



---------------------------------------------------------

“…tetapi hendak buat bagaimana kalau rasa itu hadir tanpa boleh dia usir pergi…”

Apa Kata Saya:

Saya pernah dilabelkan sebagai die hard fan penulis ini. Semuanya gara-gara “kasih” saya yang tidak berbelah bagi pada karya-karya beliau. Tak kisahlah hendak dilabelkan atau digelarkan apa saya ini kerana saya ada takal penilaian dan penanda aras saya sendiri pada tiap karya-karya yang saya baca dan ternyata karya-karya penulis yang saya panggil Kak Su ini tidak pernah sekalipun mengecewakan saya. Sentuhan sakti jemari beliau dari dahulu sentiasa membuatkan saya terpukau!

Naskhah terbaru beliau; Jaja & Din (JD) sekali lagi mengulangi keunggulan dan kehebatan penulis ini. Melayari naratif istimewa yang sangat hebat pengkisahan dan keindahan mesej kasih sayang yang diterapkan penulis pada naskhah ini membawa keinsafan yang cukup mendalam di jiwa!. Kelainan pendekatan naratif yang diperkenalkan penulis didalam JD inilah yang membezakan sekaligus menjadikan JD begitu unik dan tersendiri. Penulis tidak membentangkan naratifnya kepada pembaca secara mudah tetapi penulis dengan begitu halus dan bijaksana membawa pembaca sama-sama turut serta di dalam jaringan naratif yang dibinanya ini. Kaedah inilah yang saya kira mengangkat JD menjadi sesuatu yang sangat istimewa dan berada pada kelasnya yang tersendiri. Ia tidak digerakkan secara susun atur yang biasa tapi dikemudikan dengan kaedah yang sedikit bertentangan dari biasa namun ia tidak sesekali menyebabkan pembaca tersesat jalan biarpun berada dilatar masa dan peristiwa yang berbeza-beza.

Kebijaksanaan penulis memanipulasikan antara dua latar yang berbeza dan menggerakkannya secara bersama sangat menarik sekali dan dengan kehalusan juga ketelitian olahan juga sumbangan kerja-kerja suntingan yang cemerlang potensi untuk pembaca tersesat pada lohongan latar masa yang berbeza memang tiada langsung..kosong! Plot naratif ini biarpun dibina dengan sisi yang bercampur-campur tapi kebijaksanaan penulis yang begitu teliti menjaga sempadan aliran kisah di naskhah ini membuatkan pembaca sedikit pun tidak akan tergelincir didalam melayari naratif ini.

Kisah ini memang ditunggu-tunggu kemunculannya. Dimulakan di blog penulis dengan e-novel bertajuk Jaja Menantu Che’Pa lalu kemudian diversicetakkan dengan menggunakan judul Jaja & Din yang sudah melalui proses rombakan dan tambahan sana sini dari teks asalnya. Ia membawa pembaca mengikuti pengkisahan tentang riwayat kisah cinta Jaja @ Faiza yang cukup unik dan menerusi pengkisahan itu pembaca ditarik ke dalam pengembaraan Jaja yang cukup istimewa, tersendiri dan terselit juga insiden lucu didalam misinya “memburu dan menangkap” si dia yang bernama Din @ Burhanuddin Al –Helmy, sang guru sastera arab lulusan Al-Azhar yang menjadi jejaka pertama berjaya membuatkan jantung Jaja terhenti seketika tatkala melihat gambar polosnya yang dirakam lensa teman sepejabat. Tidak disangka bukan gambar si dia yang cuma berkopiah putih dan duduk penuh takzim di pusara itu bisa buat Jaja nanar…nanar peringkat jingga tau! Jaja si media planner yang moden tatacara hidupnya, rambut coklat lurus cantik bak pembaris, kening terbentuk nan cantik menawan, yang punya syarat-syarat ketat untuk panduan mencari teman hidup akhirnya tersungkur pada Din yang bukan siapa-siapa dan tak punya apa-apa! Hebatkan aura sang guru sastera arab ini?.Din membuat Jaja berpusing 360 darjah, berubah dari norma biasa yang sudah menjadi kebiasaannya. Dan kerana Din, Jaja tega menongkah arus adat dan budaya yang kejap dijunjung. Semuanya kerana Din…demi mendapatkan Din! Bunyinya memang seperti Jaja ini perempuan spesies tak malu sahaja tetapi selagi tidak melanggar hukum agama apa salahnya bukan?, lagipun Din itu satu dalam sejuta tau!

Naratif ini mengupas dan mengulas mengenai tema cinta yang bukan sekadar falsafah murahan mengikut dorongan nafsu dan kasih sayang luaran semata-mata tetapi yang lebih utama rasa cinta yang jujur ikhlas kerana Dia. Cinta itu sendiri anugerah dari-Nya dan hanya dengan kefahaman itu baru rasa cinta itu dapat dihayati dengan setulus hati. Manisnya rasa cinta dan dicintai itu ditangani dengan begitu berhemah, bersempadankan agama sebagai tiang serinya.

Perwatakan Jaja adalah nadi yang mendominasikan naratif ini dan ternyata penulis bijak memusatkan watak Jaja untuk cemerlang beraksi di layar ini. Watak Jaja menguasai keseluruhan naratif dan pada tiap ruang yang ada Jaja @ Faiza yang punya pelbagai variasi warna sifat ini cukup mencorakkan wataknya secara tersendiri. Sikap polosnya cukup memikat, selambanya buat senyum tawa pembaca tercetus juga namun yang lebih indah pastinya semangat juang dan keikhlasan dirinya yang saya kira cukup cemerlang sekali dilakarkan penulis. Jaja ibarat permata yang tersembunyi sinarnya dan mata Din lah yang berjaya melihat cahaya itu. Din @ Burhanuddin ini wataknya cukup cantik dipenakan penulis. Din; si guru sastera arab sekolah agama rakyat yang pendiam, tiada apa-apa kelebihan material, naik bas ke sana sini, tiada telefon bimbit pulak tu, cukup serba sederhana sifat dirinya tapi peribadinya cukup terpuji sekali dan hebatnya aura Din ini bisa
membuatkan kita gila bayang padanya! Watak-watak sokongan tidak kurang hebatnya. Kehadiran mereka turut memberi sumbangan mengukuhkan naskhah ini. Lala yang kelakar, Nini yang comel, Doktor Haslinda si mama yang polos, Doktor Badrul Hisyam abah yang baik hati, Wassim si bongsu yang cukup lurus juga tidak ketinggalan hero “lama” pujaan saya yang sudah ada gelaran Dato’ di depan namanya; Dr Aqmar Aziz. Warna-warni persembahan mereka cukup mengindahkan lagi naskhah yang sudah sedia cantik ini.

Bahasa dan pesona kepuitisannya mana mungkin dipisahkan dengan Kak Su dan ternyata Kak Su semakin handal memanipulasi kelebihan ini lalu lihat sahaja hasilnya pada naskhah ini. Kehalusan mainan bahasa penulis ini memang tidak boleh dipertikaikan. Ritmanya tersusun indah biarpun format cerita ini bersifat sebuah pengkisahan semula. Sisipan sirah dan kisah-kisah tauladan terpilih adalah irama yang cukup indah diterapkan penulis dengan cara tersendiri. Kesedaran yang secara halus disematkan penulis pada para pembaca untuk teladan juga renungan bersama. Jika tersasar jalan, kembalilah ke pangkal semula!


Buat penulis yang saya kagumi bakatnya, yang saya sanjungi kehalusan budi perkertinya dan yang saya sayangi ukhuwah persaudaraannya sekalung tahniah atas persembahan paling manis ini. Ternyata perit jerih pengorbanan dalam menghasilkan naskhah ini berbalas sudah. Semoga kaksu yang amat saya kasihi ini akan terus gigih berkarya, terus mencurah ilmu dan berkongsi cerita indah dengan kami, para pencinta dan pengagummu.

Buat anda pembaca diluar sana, sesungguhnya Jaja dan Din boleh dinobatkan sebagai Book of the Year!..ia adalah penutup tirai 2009 yang paling indah dan paling manis dilakarkan oleh seorang penulis hebat bernama Noor Suraya.

Orang dayak ke Indragiri,
Kapal kelok muatannya serai,
Hendak cari lelaki terpuji,
Akhlaknya elok, bijak dan pandai…


Kalau mahu ketemui “lelaki” ini, carilah “dia “ di dalam Jaja & Din dan anda pasti “jatuh cinta” padanya nanti..kerat jari beb kalau tak percaya kata-kata saya ini!

Friday, December 25

Pergilah Air Mata - Hanni Ramsul


Tajuk : Pergilah Air Mata
Penulis : Hanni Ramsul
Penerbit : Kaki Novel
Harga : RM28 ( Sem) & RM31 ( S&S)


Noktah bahagia yang menjadi anganku, ternyata cuma titik mula derita yang tidak bertepi.
Sumpah bukan ini yang aku mahu.
Sumpah juga, aku tidak mahu membuat kau terseksa.
Tidak pernah mahu merobohkan bahagiamu.
Atas rasa bersalah, aku rela melihat kau menganyam bahagia bersamanya.
Namun, mengapa perlahan-lahan layananmu memberi tanda tanya di hati ini?
Mungkinkah kita sama-sama berkongsi rasa?
Mungkinkah kita sudah sama-sama terpaut?
Atau mungkinkah segala yang berlaku tidak lebih hanya mainan perasaanku sendiri?
Mungkin..kerna aku yakin, bencimu tidak mungkin berubah sayang.
Bencimu padaku setinggi awan yang menyapu langit
... SABRINA


Memang aku benci.
Memang aku tidak rela dengan takdir ini.
Namun, kenapa tulusmu terus mengikat aku pada ikatan yang paling ku benci ini?
Mengapa hati ini penasaran setiap kali kau menagih perpisahan yang pernah aku janjikan?
Cintakah ini, apabila aku tewas tiap kali memandang wajahmu?
Sayangkah ini, apabila hatiku digaru resah tiap kali aku cuba lari darimu?
Mustahil cinta kerana cintaku sudah kusimpul kukuh di hati dia.
Lalu, apa yang sebenarnya yang berlaku antara kita?
Bagaimana cara untuk aku hapuskan wajahmu yang terus menemani mimpiku?
Di mana noktahnya mainan perasaan ini
... BADRUL

Thursday, December 24

Nama Atas Kertas - Nasron Sira Rahim


Tajuk : Nama Atas Kertas
Harga : RM2o (Sem) /RM 23 (S&S)
mulai 10 Jan

Sebuah karya thriller yang penuh dengan teka-teki daripada:

NASRON SIRA RAHIM...

Engkau tidak dapat melihat aku,

tapi aku sentiasa wujud;

Engkau boleh bersembunyi di mana saja,

tapi aku akan tetap menjumpaimu;

Engkau boleh menentang aku sehabis upaya,

tapi kau tidak akan dapat mengalahkan aku;

Siapakah aku?

Apa tip yang ada?

“Pada setiap jasad itu, dia meninggalkan satu puzzle

dan mencabar sesiapa saja termasuk ANDA, untuk menyelesaikannya…”

TAWARAN
Buah fikiran anda diperlukan!

Sekiranya anda memiliki IQ yang cukup, otak anda sangat diperlukan untuk menolong Faiz dan Hanim membongkar misteri teka-teki ini! Pembunuh yang sadis itu harus diberkas dengan kadar segera, sebelum ramai yang menjadi mangsanya. BacalahNama Atas Kertas sebagai petunjuk: dan selesaikannya.





Tuesday, December 15

Novel Bonus Disember - Alaf21



Tajuk : Cinta 365 hari
Penulis: Norzailina Nordin
Harga: RM19.90
Halaman: 512
ISBN: 978-983-124-492-0

Sinopsis:
KATA orang, cinta tidak mengenal siapa. Cinta itu perkara biasa bagi makhluk yang bergelar manusia. Mahu bercinta, ingin dicintai – itu sudah pasti! Persis ombak dan pantai yang tidak ingin berpisah walau sesaat. Itulah CINTA!

Cinta yang mendalam pada Erynn membutakan matanya. Kali pertama bertemu, Darren Ho sudah jatuh hati. Perwatakan Erynn yang agak lurus mencuit hatinya. Kelembutan sifat Erynn meruntun jiwanya. Keikhlasan gadis itu menawan sanubari. Namun, latar belakang mereka yang jauh berbeza, apatah lagi perbezaan agama yang dianuti menjadi halangan besar buat mereka meneruskan hubungan.

Madam Ho sama sekali tidak mahu melepaskan Darren kepada Erynn. Maka, dia membuat muslihat untuk memisahkan mereka. Bagi mempertahankan nama keluarga Ho, Madam Ho memaksa Darren mengahwini Tania, gadis sebangsanya. Darren serba salah. Antara ibu dan kekasih, yang mana patut didahulukan? Mempertahankan cintanya atau terus menjadi anak yang patuh? Gila! Memang gila dibuatnya.

Yang pasti, dia tidak pernah berhenti membilang hari... bilakah cintanya dan Erynn bakal bersatu.


Wednesday, December 9

Trionovel Disember - Alaf21





Tajuk : Jika Kau Tiada
Harga: RM19.90
Halaman: 512
Penulis: Elin Nadia
ISBN: 978-983-124-479-1

Sinopsis:
SHAKIRA ILYANA kehilangan kasih ibu bapanya sejak kecil lagi. Lantas, dia dibesarkan oleh keluarga angkat. Namun, Shakira bersyukur dengan limpahan kasih sayang, keikhlasan dan persahabatan yang mengindahkan hari-harinya.

Perkenalan dengan Jimmy Hughes sejak zaman persekolahan membenihkan rasa cinta di hati Shakira. Biarpun banyak perbezaan di antara mereka, Shakira dan Jimmy mengimpikan kebahagiaan hidup bersama. Kerana cinta, Shakira tekad untuk menamatkan zaman gadisnya pada usia yang cukup muda.

Tatkala keindahan cintanya dengan Jimmy diusik dugaan, Shakira dikejutkan pula dengan pengakuan Hakim Shahmi, seorang jejaka yang obses tentang cinta. Dia berharap cintanya pada Shakira akan berbalas sehingga sanggup berbuat apa sahaja untuk memiliki gadis itu.

Shakira sedar, biarpun sukar dia perlu terus melangkah. Namun, mampukah Shakira melupakan segala kenangannya dengan Jimmy dan membuka lembaran baru dengan Hakim?



Tajuk : Cinta Kepala Batu
Harga: RM19.90
Halaman: 512
Penulis: Ayu Emelda
ISBN: 978-983-124-473-9

Sinopsis:
PERTEMUAN Syaira dan Adam bermula dengan salah faham. Akibatnya, Adam memendam gelora rasa dan Syaira pula menyimpul benci di dada. Mereka berbicara, tetapi dengan bahasa tidak sekata dan pandangan berlainan cara.

Hidup Syaira mula huru-hara dengan berita kematian Imran dan Selina. Dia rebah buat seketika, namun atas rasa tanggungjawab, dia bangkit memikul amanat. Nasib anak-anak saudaranya perlu dibela. Namun, semuanya jadi sukar apabila Adam sering mencampuri urusannya.

Tak percaya CINTA! Begitulah pendirian Syaira. Hatinya sekeras batu. Baginya, cinta sekadar mainan jiwa yang tidak membawa sebarang makna. Impiannya... cukuplah bertemu bahagia andai jodoh tiba. Lantaran itu, lamaran Adam diterima dengan reda.

Namun, hidup manusia tidak pernah lari daripada ujian. Ketulusan dan kejujurannya selalu dipertikaikan. Pengorbanan nya sering dibayar dengan hinaan. Dia kian lemah dilanda badai dan gelora. Akhirnya, dia pasrah pada setiap kehilangan... dan ketentuan...



Tajuk : Cinta Seorang Kekasih
Harga: RM19.90
Halaman: 512
Penulis: Elee Mardiana
ISBN: 978-983-124-486-9

Sinopsis:
NADIA keliru pada mulanya. Rezza menghulurkan kasih tatkala dia serabut dengan kekusutan. Cinta sejati Rezza akhirnya mendamaikan jiwa. Walaupun keluarga Rezza menghalang hubungan mereka, lelaki itu tetap mahu bersama dengannya. Tiada siapa yang boleh memisahkan mereka kecuali TUHAN Yang Maha Esa.

Ketika hari bahagia menjelang tiba, Rezza ragu-ragu dengan kebaikan yang dihulurkan Danial kepada Nadia. Dia merasakan dalam diam, Danial menyimpan perasaan pada Nadia. Namun, demi cintanya kepada Nadia, dibuang keraguan itu jauh-jauh.

Bagi Nadia, hanya Rezza yang bertakhta di jiwa. Hatinya telah tertutup untuk insan lain. Kebahagiaanya hanya bila dia dapat hidup bersama Rezza. Bagaimanapun, kebahagiaan itu cuma dapat dikecapi untuk seketika sahaja. Mungkinkah Rezza terus setia?


Friday, December 4

Terbaru Dari KarnaDya


Sinopsis:

Novel ini menceritakan krisis kekeluargaan, pertembungan tradisi Timur dengan unsur-unsur Barat, serta generasi muda di tengah-tengah kemelut kehidupan.

Rafique, pemuda Malaysia yang pernah kehilangan kekasih, menjadikan penghijrahannya ke Jepun sebagai tempat melepaskan diri dari kongkongan memori itu. Berlatarkan kenyamanan Gunung Fuji, kekosongan di hati Rafique diis semula dengan satu kejadian yang tidak dijangka. Hujan lebat bersama ribut taufan, membasuh saki-baki kenangan yang masih merimaskan hatinya. Takdir menghidupkan semula sumbu kasih sayang itu.

Di Gunung Fuji, sekali lagi Rafique kehilangan sesuatu yang tidak ternilai. Apa terjadi di Gunung Fuji? Dapatkah Rafique mencari kehilangan itu?

Pulut Sakura Serunding Kasih memaparkan nilai-nilai sosial dan budaya masyarakat Jepun dan Melayu. Pulut sakura menjadi lambang nilai-nilai Jepun dan serunding mewakili lambang orang Melayu dalam adegan watak-watak di dalam novel ini.



Sinopsis:

“Kamu tahu tak? Seorang teman saya pernah berpesan, jangan pernah takut untuk bermimpi kerana adakalanya mimpi itu adalah cerminan masa depan yang akan mencorakkan perjalanan hidup kita,” ujar Dimas.
“Kenapa kita mesti ada impian? Kenapa tak biarkan saja hidup ini berlalu apa adanya?” soal Hani.

Siapakah Hani, gadis kelahiran Pahang, Malaysia itu? Siapa pula jejaka yang bernama Dimas? Di manakah mereka bertemu? Bagaimanakah terjalinnya pertalian antara dua insan yang mempunyai latar belakang yang berbeza? Adakah hubungan mereka berkekalan ataupun hanya sekadar ‘teman tapi mesra’?
Marilah kita sama-sama ikuti kisah cinta gadis Melayu ini dalam meniti saat-saat bahagia, suka dan duka dalam kehidupannya di samping jejaka Yogyakarta yang menawan itu.

Tuesday, December 1

Akan datang dari Bahruddin Bekri


Tajuk : Di Mana Terangnya Bulan
Penulis :Bahruddin Bekri
Penerbit : PTS

Dalil Tuhan untuk manusia, hidup ini adalah kepingan yang perlu dicantumkan. Mengambil hikmah daripada dalil itu, Kamarul menjejakkan kakinya ke Sarawak bagi melanjutkan pelajaran, kepingan hidup yang sering diangan-angan.

Tanpa Kamarul tahu, di situ dia menemukan lebih banyak kepingan hidupnya. Bermula dengan teman serumah yang diam dan hanya berpakaian hitam. Kemudiannya diari biru milik perempuan Cina yang berwajah ayu. Sehingga kepada lelaki berambut panjang yang menyimpan dendam.

Kamarul yang berwajah polos dan tidak tahu menahu, mendapati kepingan-kepingan hidupnya itu perlu dicantumkan, hanya untuk menjawab satu persoalan, di mana terangnya bulan....



JADUAL KEHADIRAN PENULIS DI PESTA BUKU ALAF

PESTA BUKU ALAF 4-6 DIS 2009

JUMAAT (4 DIS)
Murni Aqila

SABTU (5 DIS)
Aisya Sofea / Ramlee Awang Murshid / Bikash Nur Idris / Wana Amani

AHAD (6 DIS)
Erin Zehana / Hani Fazuha