Wednesday, August 17

Peraduan Cinta Pandang Ke-2

aku jumpa poster ni masa jalan2 makan angin kat website alaf 21 tadi :)




Review: Hati Bergetar Rindu by Dhiya Zafira


Hati Bergetar Rindu
Penulis: Dhiya Zafira
Editor: Mazuen Yahaya
Terbitan Alaf 21 Sdn Bhd
RM21.00
Sabah/Sarawak: RM24.00
530 mukasurat


"Mengapa gemar mencetuskan pertelingkahan sedangkan manusia sendiri lahir daripada sebuah kemesraan?"


Kalau anda kali pertama membeli dan membaca karya Dhiya Zafira, tentunya tak menyangka ianya novel romantis thriller kerana kulit buku ini tidak langsung menggambarkan sentuhan thriller dalam novel ini.


Awal-awal lagi kita sudah diperkenalkan kepada 'Angel' pembunuh bersiri. Dia adalah pemburu wanita-wanita cantik yang curang. Ari yg berada di tempat yang salah, di waktu yang tak kena, menyebabkan dia turut terseret sama dalam senarai buruan Angel. Kes ini juga membawa kita mengenali Sid yang bertanggungjawab untuk kes Angel. Ari yang ditemui dalam keadaan separuh mati membawa kita menyusuri kisah silam yang terselindung antara Sid dan Ari. Kisah Angel, Sid dan Ari diceritakan secara bersulam dalam teknik 'flashback' yang disusun kemas. Bukan senang nak menceritakan 'past' dan 'present' secara 'back to back' seperti ini tanpa mengelirukan pembaca. Terima kasih kepada penulis dan editor kerana sangat teliti dalam menyusun kronologi kisah ini dan membuat aku tidak pening malah merasa untuk terus membaca hingga helaian terakhir :)


Kisah silam Sid-Ari yang disulam dengan aktiviti-aktiviti Angel yang mendebarkan membuat pembacaan menjadi rancak dan lancar. Rasa tak sabar nak menyingkap rahsia pertelingkahan Sid dan Ari. Segalanya didedahkan sedikit demi sedikit seperti mengumpan kita untuk terus menyelak setiap helaian novel ini dengan penuh rasa ingin tahu. Aku faham apa yang Fauzan rasa bila Sid tu asyik buat cerita tergantung saja. Memang rasa nak sekeh kepala Sid :) kenapa la Fauzan tak tolong kita sekeh Sid sedas.


Selepas Angel tertangkap, terasa rentak cerita ini jadi tidak meriah dan jalan cerita jadi biasa-biasa, mungkin kerana dah selalu jugak baca novel yg ada kisah watak-watak utama dibawa ke Tanah Suci menunaikan umrah. Kemunculan semula copycat Angel setelah Ari dan Sid kembali dari mengerjakan ibadah umrah menghidupkan semula suasana bertenaga kisah ini. Bab-bab terakhir memang mendebarkan dan happy ending di penghujung ceritakan merupakan hadiah yang paling manis buat pembaca yang penat-penat tumpang panik.


Kalau nak banding kisah 'Hati Bergetar Rindu' dengan 'Jauh Kau Pergi', aku lebih suka JKP. JKP telah meletakkan penanda aras yang agak tinggi buat Dhiya Zafira.


Reunion watak-watak hero & heroin dari novel-novel Dhiya Zafira yang lalu kelihatan meriah :) Scene Jimmy tengok mms anak-anak buahnya yang dihantar oleh Afi kelihatan tidak ada kena mengena dengan kisah dalam Hati Bergetar Rindu. Bagi yang tidak mengikuti kisah mereka dalam 'Jauh Kau Pergi' mungkin akan berasa keliru mengapa scene itu menumpu kepada mereka 'out of the blue'. Apa-apa pun memang tak sabar nak baca kisah Jimmy :)


sure fine whatever
Rinn


blurb/novelcinta @ multiply/sinopsis belakang buku:


Hidup ini adalah rangkaian perjuangan demi perjuangan. Maka, jangan ada yang menyerah, berputus asa dan menganggap perjuangan hidup adalah satu yg sia-sia. Tetaplah tegar meskipun yg lain berguguran. Tetaplah tersenyum walau perjuangan ini terasa pahit dan berliku. Sesungguhnya, DIA tidak akan mensia-siakan usaha kita.


Ari ~ Bersamamu aku memahami makna bahagia, tetapi mengenalimu juga membawa aku ke lembah derita. Dalam dunia ini, tiada insan yg mahu dikhianati. Lebih-lebih lagi daripada orang yg paling dipercayai dan disayangi.


Sid ~ Segala jerih yang kita lalui, semoga ada senyum pada esok hari. Percayalah... kita semua hanya mahu bahagia. Percayalah... kebenaran hanya mampu dilihat oleh mata hati, dan Ari... yakinlah ALLAH sudah memilih yg terbaik buat kita.


Ini kisah mereka yg mencari kebahagiaan. Kisah mereka yg terbeban dengan dosa silam. Kisah mereka yg mencari keampunan. Kisah mereka yg mahu mencari jalan pulang. Kisah mereka yg harus mengerti dan memahami apa makna sebuah perjuangan.



Review: Anaknya Anakku Jua by Anarif


Anaknya Anakku Jua
Penulis: Anarif
Terbitan Kaki Novel Enterprise
Editor: Jabatan Editorial KNE
RM22.00
Sabah/Sarawak: RM25
9789675067785
662 mukasurat


"Indahnya cinta... pada yang memberi dan menerima"


Kisah Nisa' yang tiba-tiba menjadi ibu segera kepada Hana, anak kepada bekas teman lelakinya, Badri yang telah meninggal dunia. Isteri Badri menjejak Nisa' kerana percaya Nisa' dapat menjaga Hana sebaiknya. Isteri Badri menghembuskan nafas terakhir setelah menyampaikan amanatnya. Hana, anak yatim piatu telah memaut kejap hati Nisa'.


Nisa' yang sudah merancang untuk bertunang dengan Daniel akhirnya tidak menjadi kerana Daniel tidak dapat menerima hakikat yang Nisa' mahu menjaga anak kepada Badri, memori lama yang mahu dipadamkan dari ingatan Nisa'. Dia tidak mahu Hana menjadi bayangan Badri dalam rumah tangga mereka nanti.


Nisa' dibenci ibu sendiri kerana menolak lelaki sesempurna Daniel semata-mata untuk Hana, anak kecil yang ibunya bekas seorang GRO manakala ayahnya adalah Badri yang pernah mengecewakan Nisa'.


Demi Hana, Nisa' berdikari sebagai ibu tunggal. Hana yang diserah kepada pengasuh yang dipanggil mak su telah memikat hati Irfan, anak saudara maksu. Nisa' juga telah berjaya mencuri hati Irfan tanpa sedar. Irfan pernah kehilangan isteri tercinta bersama anak dalam kandungan dalam sebuah kemalangan. Kehadiran Nisa' dan Hana bagai mengembalikan apa yang dia telah hilang.


Cadangan maksu agar mereka berkahwin dianggap gurauan oleh Nisa' namun cadangan itu dianggap serius oleh Irfan. Dia memberanikan diri untuk melamar Nisa' dengan alasan agar Nisa' dapat mengambil Hana sebagai anak angkat secara sah (setelah permohonan Irfan ditolak kerana lelaki yang tidak berkahwin tidak dibenarkan mengambil anak angkat perempuan). Nisa' akan diceraikan setelah segala urusan selesai. Cadangan itu menarik perhatian Nisa' tetapi dia tidak mahu ada ikatan hati dengan Irfan kerana dia tidak mahu melukakan hati seorang lagi lelaki yang baik. Irfan meyakinkan Nisa' yang dia tak akan dan tak pernah jatuh cinta dengan Nisa' malah membawa Nisa' berjumpa dengan 'kekasihnya'.


Berkahwin untuk bercerai kemudiannya adalah haram dalam Islam. Irfan tak sepatutnya menyuarakan rancangan ini dan Nisa' sepatutnya tidak bersetuju untuk meneruskan perkahwinan dengan alasan ini. Mungkin penulis sepatutnya menggunakan pendekatan yang berbeza untuk 'memaksa' Nisa' bersetuju berkahwin dengan Irfan dan bukannya dengan alasan mereka akan bercerai setelah berkahwin.


Perkahwinan Nisa'-Irfan telah membuka mata dan hati banyak pihak. Hana tidak lagi dipandang serong walaupun masih ada mulut jahat berkata-kata. Irfan tidak kekok menjalankan peranan sebagai seorang bapa dan ketua keluarga. Hati Nisa' amat tersentuh dengan sikap prihatin Irfan. Gambar Shila dalam bilik Irfan telah membuat Nisa' merasa tertipu. Siapa Shila?


Interaksi Nisa'-Irfan ketika persiapan perkahwinan dan selepas berkahwin memang menarik untuk dibaca dan mengundang senyum :)


Cara penceritaan penulis ketika Suraya menyerahkan Hana kepada Nisa' kelihatan tidak realistik dan terlalu mudah. Badri sengaja berpisah dengan Nisa' setelah tahu dirinya sakit akan meninggal dunia, tetapi berkahwin dengan Suraya yang ditemui di kelab malam dan dia meninggal dunia ketika Suraya sedang mengandungkan anak mereka. Dengan Nisa' dia tak nak kawin, dengan Suraya nak pulak. Macam tak konsisten pendirian Badri, tapi kalau dah jodoh nak buat macam mana ya? :)

sure fine whatever
rinn

http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/isu-nasional/366-2009-07/3971-03-julai-islam-larang-kahwin-kontrak.html
http://altazkirah.blogspot.com/2010/08/kahwin-mutaah-adalah-haram.html


sinopsis/blurb/novelcinta @ multiply


Nisa'... hidupnya normal, mempunyai pekerjaan tetap serta perhubungan yang direstui dengan teman lelaki yang bakal bergelar tunangannya beberapa bulan saja lagi. Satu panggilan telefon di hening pagi mengubah segala-galanya. Silamnya menjengah kembali, cuma kali ini, bukan tanpa kesan. Hadirnya bersama seorang bayi yang kini berada di dalam tangannya. Luka lama berdarah kembali, bicara hati mula berbisik songsang. Apakah semuanya akan kembali normal? Mampukah Nisa' membuang prasangka silam dengan kehadiran Hana? Adakah Hana akan kekal bersama Nisa' walaupun ditentang hebat oleh uminya sendiri, Hajah Rubiah? Yang mana satukah pilihan Nisa'? Menjadi anak yang soleh, atau menjadi ibu mithali?


"Sampai hati umi... Hana anak yatim piatu, umi. Berdosa kita membencinya!"


Irfan... silamnya, itulah hidupnya. Kali pertama bertatap wajah, hatinya sudah terpaut. Bayi itu membuatkan dia tersenyum kembali. Pertemuan demi pertemuan membuatkan hati bertambah sayang. Sukarnya untuk dia melepaskan, sukar lagi untuk dia mengakui apa yang terlintas di hati. Tapi dia mula keliru. Kerana Hana dia begitu, atau kerana Nisa' dia berubah? Irfan tiada jawapan pasti, namun dia yakin. Hana dan Nisa' harus dilindunginya selagi nyawa dikandung badan, walau apa juga taruhannya, walaupun dirinya menjadi korban.


"Lepas kahwin, kita cerai. Jadi awak boleh jaga Hana, kan?"



Friday, August 12

Selamat Hari Lahir, Kak Jua Darling

Happy Birthday Myspace Comments



Baru dari Kaki Novel: Ogos dan September 2011



Bos memang macam tukan?
Apa sahaja yang dia katakan, kita wajib jawab, “yes, boss!”

Sinopsis:-

Tak sesuai bekerja di Pizza Hut, Aryana masuk McDonald’s. Tak sesuai di McDonald’s dia pergi pulak ke Jaya Jusco. Sudahnya setiap tempat tu pun paling-paling lama pengalaman yang berjaya dikutip adalah selama dua bulan sahaja. Bukannya dia koman sangat. Lulusan universiti tu… tetapi nasib tidak menyebelahinya terutama sekali ketika sesi temu duga pegawai kerajaan.

Berkat ‘kabel’ mak ngahnya di Wisma Alam, Aryana akhirnya berjaya menjawat jawatan setiausaha di situ. Sangkanya dia bekerja dengan Datuk Maarof, rupa-rupanya dia adalah setiausaha kepada Ilham Irfan, anak Datuk Maarof. Pulak tu, Ilham merupakan kasanova yang punya ‘stok’ edisi model keliling pinggang.

Selain menjalankan tugas rasmi seorang setiausaha, Aryana juga dikehendaki menjalankan tugas ‘tak rasmi’ seorang setiausaha. Kena cover line untuk bosnya setiap kali bosnya mengular, juga ketika teman-teman wanita bosnya merajuk, perlu dipujuk dan sebagainya. Setiap arahan bosnya wajib dijawab dengan:- Yes, boss! Pening kepala Aryana meladeni setiap kerenah bosnya itu. Tetapi, boleh pula Aryana bertahan dengan sikap bosnya itu, hinggakan mereka semakin rapat.

Hati dan perasaan… siapalah yang dapat mengawalnya…. Dalam diam, Aryana telah jatuh hati dengan bosnya tetapi dipendamkan sahaja. Dia sendirian makan hati dengan sikap hidung belang bosnya itu.

Dan bila Aryana tiada di sisi, Ilham mula terasa kehilangan. Tatkala dia sedar bahawa dia memerlukan Aryana lebih daripada seorang bos memerlukan setiausaha, dia terpaksa pula berdepan dengan mantan mat rempit di kampung Aryana yang kini sudah bertukar menjadi tauke bengkel dan kolam ikan keli.

Berjayakah Ilham menambat hati Aryana yang sedia terluka dengan sikapnya yang hidung belang itu? Bagaimana pula dengan Aryana? Siapakah yang menjadi pilihan hatinya? Bosnya ataupun mat rempit otai yang telah berubah menjadi ikon belia berjaya di kampungnya itu?




Apabila pandang bertukar sayang, siang terbayang malam termimpi, BILA ingatan sering terbayang, CINTA kan membara sehangat api.

Sinopsis:

Fatin;

Hidup cukup indah kalau kita bijak menghias pandangan kita. Ahli sihir? Huh, mamat tu? Entah la. Cinta??? Hmmm… aku pernah dengar la orang kata, kalau kita suka dekat seseorang tu… luahkan! Kalau tidak… kita mungkin akan terlepas. Tapikan, macam mana kalau kena reject? Tolong la… walaupun tak pernah kena, tapi dengar pun dah cukup menyeramkan! Atas sebab tu aku rasa cukup gembira menerima kata cinta Azlan.

(Wahai ahli sihir dunia kegelapan! CINTAkah aku pada kau? Kalau betul, BILA?)

Hafez Azfar;

Bukan cinta tak pernah memahat. Malah serik pernah terpaku. Tapi kenapa la dengan budak seorang ni kata cinta seperti hilang pronunciation? Dia yang tak ubah seperti caffeine! Tapi tu la… macam aku pernah cakap, mungkin masa bertingkah dan takdir di tempat lain. Maafkan Hafez, kalau benar aku menjadi penghalang.
(Aku telah jatuh CINTA padamu, Fatin. Tapi tolong jangan tanya sejak BILA. Aku sendiri tak pasti.)

Haikal Azlan;
Perempuan? Cinta? Aku langsung tak dapat terima definisi yang mereka semua bagi. Maaf mungkin aku sukar untuk terima. Tapi cukup la perit jalan yang aku tempuh semua sebab dia. Dia yang sepatutnya melindung bukan melepaskan. Tapi aku dah jumpa seseorang yang secara tidak sedar mengalih persepsi aku. Fatin, terima kasih. Tapi mungkin ke aku yang terlewat atau semuanya memang langsung tak bermula?

(BILA semua ni akan tamat? Ataupun semua ni adalah satu tanda CINTA baru bermula?)

----
AKAN DATANG SEPTEMBER 2011



Marahlah sepuas hatimu, caci makilah selagi kau terdaya, hinalah aku selagi kau mampu. Tapi aku hanya ingin tahu, kenapa aku tak pernah mampu untuk membencimu?

Sinopsis:

Mya Arlissa terperangkap dengan permainan dunia yang kejam. Dia tercampak ke dunia yang kelam dan gelap tanpa kerelaan hatinya. Tangan yang disangka boleh memimpinnya ke arah yang lebih lurus, rupanya tidak berbeza seperti lelaki lain yang hidup berajakan nafsu. Dirinya tergadai kepada Mikail, lelaki tampan yang kaya-raya dan menjadi buruan ramai wanita.

Dua tahun menghamba diri di dalam penjara yang dibina oleh Mikail dengan bertemankan dosa, Mya mula mencari arah hidupnya. Kehadiran Adam yang kejam, Shamil yang menagih janji silam, Suzanne yang menyakitkan hati dan Datin Adiba yang sinis membuatkan hidup Mya semakin sempit. Sikap Mikail yang semakin aneh dari sehari ke sehari membuatkan Mya keliru. Dalam resah ada debar, dalam benci ada rindu, dalam marah ada tenang. Mikail mendera hati dan perasaannya.

Sampai kemuncaknya, Mya tekad. Dia mahu menoktahkan semua catatan noda dan dosa dalam diari hidupnya sebagai seorang perempuan simpanan, tapi bagaimana? Kaki ingin berlari menjauhi Mikail, tetapi hati mengikat janji secara sembunyi.

Mengapa membina harapan jika penghujungnya tidak seindah impian? Dan… cukupkah tempoh dua tahun untuk memastikan debaran di hati mereka melagukan rentak yang sama?




Cinta ini mungkin tidak layak untuk mengintai ruang di hatimu, sayang ini juga mungkin tidak pantas untuk bersemi di lembah rasamu….

Sinopsis:-

Perkahwinan itu tiada kekurangan langsung.Hisyam bahagia menjadi suami kepada Idayu dan Idayu sepuluh kali bahagia bergelar isteri kepada lelaki yangdicintai sepenuh jiwanya itu, walau perkahwinan mereka bukan berlandaskan perasaan cinta pada mulanya. Kebahagiaan hampir menjadi sempurna dengan kehadiran seorang anak lelaki yang cukup keletah.

Namun di pihak Hisyam, bagai ada satu kekosongan di hatinya. Kekosongan yang dia rasakan perlu diisi dengan kehadiran seorang gadis manis bernama Maisara. Maisara mengajarnya erti rindu. Maisara juga berjaya membawa debar di hatinya apabila mata saling bertaut. Yakin, itu adalah cinta yang dia cari, Hisyam nekad mahu bersama dengan Maisara.

Namun… satu hakikat yang mula dia sedar, desakan demi desakan daripada Maisara agar Idayu disingkirkan di antara mereka, telah membuka satu dilema baru. Walau dia yakin hubungannya dengan Idayu hanya berlandaskan rasa tanggungjawab, satu kenyataan yang perlu dia hadapi… dia tidak mampu untuk berpisah dengan Idayu.

Lalu, benarkah ada cinta yang mekar di hatinya untuk Maisara, dan benarkah juga hubungannya dengan Idayu hanya kerana tanggungjawab semata-mata? Mampukah dia menerima hancur sekeping hati milik Idayu dengan kecurangannya dan mampukah Maisara terus membawa bahagia di jiwanya? Siapakah sebenarnya yang benar-benar dia cinta?