Wednesday, June 29
Kucc Reviews: Langsir Biji Remia by Noor Suraya
kucc aprilsnow: LanGsiR BiJi ReMia...
"apa yang saya hendak kata ini, tak perlu tulis. Sudah ada dalam hati, lama
sudah."
Kata Kucc:
Membaca dan menikmati hasil karya adalah dua perkara yang berbeza. Membaca secara biasa hanyalah sekadar memerhati dan memahamkan apa yang tertulis pada lembar kertas. Sementara menikmati hasil sesuatu karya ialah membaca secara memahamkan makna naskhah berkenaan dengan penuh perasaan dan membuat kesimpulan tentang isi karya yang dibaca. Dan bagi saya, sesuatu yang merugikan jika karya penulis ini sekadar dibaca sahaja oleh para pembaca tanpa mahu menikmati hasil karyanya. Terlalu banyak yang dapat dikutip setiap kali kita menikmati karya penulis hebat ini. Segala yang dizahirkan begitu dalam maknanya untuk kita renungkan didalam kehidupan seharian.
Sastera itu adab persuratan,
Pelbagai makna serta tafsiran,
Namun bakat serta indah penulisan,
Tentang Tuhan, makhluk-Nya dan pemikiran. (petikan pidato SN ke 10)
Karya terbaharu penulis; Langsir Biji Remia(LBR) sekali lagi mengangkat tema kehidupan didalam skop yang begitu indah tafsirannya. Setiap sisi karya ini biarpun diolah dengan mood santai tetapi penulis seperti biasa tidak akan pernah gagal memanfaatkan kuasa pena beliau didalam menyalurkan pemikiran tentang metafora kehidupan untuk dikongsi bersama para pembaca. Menerusi watak utamanya Duha Hafa, naratif ini menggarap makna kasih sayang dan hubungkaitnya didalam kehidupan manusia juga masyarakat. Duha Hafa selaku subjek utama diadun penuh indah didalam versi yang tersendiri. Indah dan cantik Duha Hafa perlu dihayati dan difahami. Mesej penulis biarpun bersulamkan personifikasi, saya kira jika anda sudah biasa dengan karya beliau tidak sukar menjejaknya.
Plot sesebuah karya adalah cermin jiwa dan perasaan seseorang pengarang dalam apa juga keadaan. Saya rasa kenyataan ini tepat. Menghayatinya bagaikan kita mendalami hati budi pengarang itu sendiri yang terpancar cahayanya didalam karya tersebut. LBR tidak terkecuali. Jiwa dan rasa penulis dicurahkan sepenuhnya kala dia bercerita didalam naskhah ini. Lihat sahaja sebagai contoh perjalanan watak Duha Hafa dan babahnya; prof Hud ke tanah suci untuk mengerjakan umrah. Pengalaman penulis ke sana saya kira digunakan sepenuhnya didalam menzahirkan perasaan mengerjakan ibadah tersebut kepada pembaca. Indah dan tertib penceritaan penulis pada bab-bab ini berjaya membuatkan pembaca bagaikan merasa turut berada disana. Biarpun plot linear dan imbas kembali saling beriringan, perjalanan LBR ternyata lancar sahaja tanpa sebarang komplikasi yang memungkinkan mood pembaca terganggu. Suntingan yang baik, teliti adalah antara faktor kejayaan ini.
Persuratan itu mengandungi ilmu,
Juga mendidik tiadalah jemu,
Mutiara kata dapat ditemu,
Yang indah-indah dan merdu turut diramu. (petikan pidato SN ke 10)
Bila memperkatakan tentang bahasa dan penggunaan sistem juga peraturannya didalam naratif ini, maka kesimpulannya mudah sahaja. Tiada apa yang perlu diperkata. Bahasa dan segala hukum juga susunaturnya adalah dunia penulis ini. Beliau orang bahasa maka apa yang ditemui didalam LBR ini adalah jalinan bait-bait yang memukau. Lihat sahaja bait yang ini; "kalaulah hati ini memang sebatang pena, tintanya tentulah daripada pelangi tujuh warna". Sisipan Doa Duha saya kira antara yang paling indah dititipkan penulis buat pembaca. Saya tidak akan menulisnya disini. Bagi yang mahu menghayati keindahan doa ini dan bahasanya, maka sila dapatkan LBR ye.
Perwatakan LBR memberikan satu jalinan rasa yang begitu berkesan. Penulis hebat didalam mencipta, membangun dan menggerakkan tiap watak agar peranan mereka tidak kira besar atau kecil, utama atau sampingan memberikan persembahan yang mantap agar diri mereka akan diingati pembaca sampai bila-bila. Bukan setakat berhenti disini sahaja. Habis baca, maka hilanglah bayang mereka.
Duha Hafa Hud. Si pemilik mata cantik sayu persis unta dipadang pasir. Si cantik berdarah Melayu-Gujerati yang lahir kala renyai menimpa bumi diwaktu duha. Si cantik yang diduga hidupnya didalam satu kejadian lalu berselindung disebalik purdah demi menyembunyikan. Cantik itu dinilai dari mata hati dan Duha Hafa, dia tetap cantik dengan hati yang luhur. Perwatakan utama LBR garapan penulis ini cukup mempersona sekali. Sisi pilunya kala dilagukan penulis begitu menyentuh hati. Duha yang bangkit dari persembunyian teliti sekali dipenakan penulis. Duha yang bersemangat baru, Duha yang lebih redha, Duha yang tenang. Semuanya dipotretkan dengan cemerlang.
Ahmad Muhsin Hj Amiruddin. Si peguam syarie ini punya aura yang tersendiri. Watak ini walau tidak banyak ceritanya didalam LBR namun kemunculannya yang sedikit itu terlalu besar maknanya. Perwatakan Ahmad Muhsin buat kita sedar diri. Buat kita bersyukur. Bilah kata-katanya penuh bermakna. Ahmad Muhsin lambang lelaki yang melihat keindahan itu dengan mata hati dan tidak mudah terpesona dengan kilauan kaca. Duha Hafa dan Ahmad Muhsin adalah mesej penulis bahawasanya manusia itu tidak sempurna.
Umair Johan. Akauntan berpangkat penolong pengarah ini sukakan kecantikan dan kesempurnaan. Melihat kesempurnaan itu satu kemestian tanpa memikirkan manusia itu tiada yang sempurna selain Dia. Perwatakan Umair yang memikat diawal namun mengundang benci dipertengahan cerita dan menerbitkan rasa kasihan pembaca padanya dipenghujung kisah dijalin denga baik sekali oleh penulis. Hebatnya penulis mempermainkan pembaca. Namun itulah mesejnya. Jangan mudah terpesona pada lelaki sebegini. Umair ini ramai diluar sana.
Prof Hud, Puan Taslima, Dadi juga Tok begitu mewarnai LBR. Biar sekadar pembantu, merekalah pelengkap yang tambah mengindahkan LBR. Watak-watak begitu hidup dimata.
Aduhai, kemunculan Ain Najwa dan Nik Adam bagai ditunggu-tunggu sekian lama. Sedihnya membaca kisah mereka bertiga. Cameonya bagai penamat Kebun Mimpi yang tergantung. Maka tahulah kita apa yang sudah terjadi pada pasangan ini.
Bakat dan karya ada tanggungjawab,
Berbuat di dunia balasannya di alam baqa,
Diingatkan Allah menjadi khalifah-Nya,
Bantu membimbing umat manusia. (petikan pidato SN ke 10)
LBR menyusuri kisah dua insan yang bersahabat sejak kanak-kanak. Duha Hafa dan Umair Johan. Persahabatan mereka yang mula terjalin dari bicara dijendela membibitkan rasa indah dihati Umair terhadap Duha. Umair suka pada Duha! dan rasa itu dia semai hingga ia mekar. 10 tahun berlalu, Umair masih teguh rasa sukanya pada Duha. Tidak sedikit berubah. Melihat Duha yang tidak seperti dahulu, jiwa Umair jadi tidak keruan. Duha harus didekati...mesti! Umair tidak tahu sepanjang 10 tahun ketiadaannya, si buah hati masa kecilnya itu sudah tiada. Dia bukan Duha yang dahulu. Dia Duha yang sudah berubah. Perubahan yang terselindung disebalik purdahnya!
Penulis sebenarnya bukan sekadar mencipta ceritera semata-mata bersandarkan bakat yang dianugerah atau yang digilap. Lebih dari itu, penulis juga ada tanggungjawab kepada pembaca menerusi karya yang dicipta. Penulis ini saya kagumi kerana beliau adalah antara penulis yang tidak pernah lupa tanggungjawabnya kala berkarya. Sejak dahulu karya-karya beliau penuh ilmu dan pengisian berguna. Langsir Biji Remia meneruskan kecemerlangan legasi beliau didalam melaksanakan tanggungjawabnya sesama manusia. Moga usaha beliau ini yang disandarkan daripada bakat istimewa anugerah dari-Nya ini akan sentiasa diberkati. Insyaallah.
Buat penulis yang saya panggil kaksu, sekalung tahniah untuk sebuah lagi naskhah hebat dari anda yang begitu saya kagumi sejak dahulu. Moga-moga kaksu akan terus berkarya demi mendidik anak bangsa untuk menghargai dan menggagumi hasil seni sastera kreatif tanahair.
Psst : Kaksu, kisah Ain dan Nik Adam dah ada penamat, kisah Kamal bila nak buat, hehehe...
Rinn Reviews: Baju Melayu Hijau Serinidit by Syud
Baju Melayu Hijau Serindit
Penulis: Syud
Terbitan Jemari Seni
Editor: Noor Suraya binti Adnan Sallehudin
RM19.00
Sabah/Sarawak: RM22.90
9789675118593
430 mukasurat
Tak start baca lagi pun dah senyum :) Bila dah abis baca, lagi la senyum. :)
Kalau sesiapa yang sudah pernah membaca karya-karya Syud mungkin Pacai bukan nama asing lagi.
Watak Wardah pada permulaan cerita (sebelum berinteraksi dengan Pacai/Firas) kelihatan biasa-biasa sahaja. Tetapi apabila dia mula berinteraksi secara langsung dengan Pacai, keseluruhan jalan cerita yang kelihatan agak tipikal menjadi sangat istimewa dan manis :) Syud menggunakan keistimewaannya dalam mencetuskan dialog manis untuk menangkap perhatian pembaca. Tanpa dialog menarik seperti itu, jalan cerita ini akan kelihatan tipikal.
Pertemuan pertama sibaju hijau dan si kasut merah di kedai buku mungkin kelihatan biasa-biasa saja di mata kasar tetapi bermula di saat itulah kedua-dua mereka mula merasai kehadiran satu sama lain dalam pertemuan demi pertemuan yang berikutnya. Si dia yang tak bernama mula dirujuk sebagai Shrek dan Dorothy (dari Wizard of Oz) sebagai tanda pengenalan yang hanya mereka yang tahu.
Apa terjadi apabila Shrek dan Dorothy mula mengenali nama sebenar masing-masing (Firas dan Wardah)? Haha... love is in the air :)
Mengapa Wardah perlukan bantuan Firas yang baru diketahui namanya? Dia memerlukan seorang 'stranger' lelaki untuk diperkenalkan kepada ibunya sebagai teman istimewa demi untuk mengelak dirinya dari dipasangkan dengan Ilham, seorang lelaki yang baru putus tunang. Dia tidak mahu menjadi seseorang untuk 'fill in the blanks' walaupun hakikatnya dia terpersona dengan perwatakan Ilham.
Firas? Pucuk dicita ulam mendatang. Tak susah nak jadi 'boyfriend' kepada Wardah asalkan mereka tidak jadi 'bestfriend' macam Teja Aulia dan Adil dulu. Jadi boyfriend yang prihatin lebih mudah dari jadi bestfriend yang memendam perasan cinta. Kan? Ketika diperkenalkan ketika kenduri doa selamat di rumah keluarga Wardah, Firas sudah diuji untuk menjadi imam. Whoaaa, good luck Firas.
Firas tak dapat mengawal diri dari mencemburui Wardah yang kelihatan rapat dengan Abang Hanan. Dah pandai merajuk dah si Firas. Wardah pun dijentik cemburu sehingga terbeli beg berharga RM600 selepas terserempak dengan Firas dan ibunya bersama seorang gadis yang sangat jelita (yang rupa-rupanya seorang doktor). Comel pula tengok diorang cemburu. Semakin terserlahlah perasaan sebenar mereka.
Sesuatu akhirnya terjadi sehingga memaksa Wardah meluahkan perasaannya. Apa ya terjadi sampai Firas menerima 105 missed calls dari Wardah? Baca lah sendiri dan senyumlah seindah suria. hehehehehe *senyum*
sure fine whatever
rinn
blurb/alongside/sinopsis
Dia ibarat seperti orang yg sedang berjalan di lantai dapur selepas ada pinggan pecah... harus berhati-hati dia, kerana kaca yang tidak nampak dek mata itu boleh melukakan kakinya.
I
Hidup seorg Wardah senang sahaja. Dia bersyukur kerana dia tidak pernah menghadapi situasi yang sukar (setakat inilah).
Hidupnya menjadi drama apabila mama mula campur tangan. Dia tidak mahu jadi anak tak dengar kata. Jadi harus bagaimana dia, untuk menghalang rancangan 'mencari jodoh' mama itu?
"Mama, janganlah libatkan Ilham. Biarlah lelaki tu nak pilih suka siapa pun."
II
Dia bukanlah lelaki yang mudah jatuh cinta; namun tak ramai yang percaya akan hal itu. Dulu, hatinya juga pernah 'hilang' daripada dirinya. Sekali. Tak ramai yang tahu tentang itu!
"Apa yang I dapat kalau I tolong you?"
"You dapat jadi boyfriend I."
Tapi apabila dia betul-betul jatuh hati pada seseorang, orang itu pun tak nak percaya. Sedihlah :(
-----------------
SYUD selalu menulis dalam bahasa segar dengan gaya yg memikat. Ceritanya tentang jodoh, sentiasa manis. Baju Melayu Hijau Serindit sekali lagi membuktikan kalau jodoh tidak ke mana!
Rinn Reviews: Ops! Pintu Hatiku by Noraz Ikha
Ops! Pintu Hatiku
Penulis: Noraz Ikha
Editor: Jabatan Editorial KNE
Terbitan Kaki Novel Enterprise
RM18.00
Sabah/Sarawak: RM21.00
9789675067723
374 mukasurat
"Aku telah jatuh cinta? Oh... indahnya..."
Ini kisah Eika - Hakimi dan Sheila - Hazami.
Kimi ni ada kembar, Hazami yang selalu kelihatan bersama Sheila, kawan baik Eika. So Eika ni sering salah faham yang Kimi ada affair dengan Shiela and at the same time cuba mengorat dia. Aku tak faham kenapa Kimi nak rahsiakan siapa Hazami. Kalau dia clear things out awal-awal mungkin tak lah rumit sangat hubungan Kimi dan Eika.
Kisah love-hate antara Eika dan Kimi bermula dari zaman sekolah. hampir separuh dari buku ini adalah kisah mereka di zaman persekolahan dan kisah zaman dewasa diorang bermula 5 tahun selepas SPM.
Kebetulan yang terlalu ketara pula bila Kimi jadi bos Eika dan Hazami jadi bos Sheila. Kehadiran watak Tengku Anis meributkan lagi hubungan Eika-Kimi. Kimi sudah mula salah faham dengan kehadiran Haikal di sisi Eika lalu cuba merapati Tengku Anis mungkin dgn tujuan utk menjauhi Eika. Tak sangka Tengku Anis tu sampai sanggup upah orang untuk mencederakan Eika dalam sebuah kemalangan yang dirancang, tetapi Kimi yang kena teruk kerana cuba menyelamatkan Eika.
Group pengusik di zaman sekolah tu rasanya tak derlah jenis pengusik sangat sehingga boleh mendapat gelaran Group Pengusik. Aku agak kurang senang dgn grup tu yang mengusik atau lebih kepada menyindir seorang guru di depan kawan-kawan yang lain. Aku rasa agak kurang sopan untuk pelajar bertindak demikian terhadap seorang guru di depan orang ramai walaupun dengan alasan untuk bergurau. Guru kita kena hormat, jangan malukan dia depan orang ramai. Baru belajar dapat keberkatan. (ni kesan sampingan lepas baca buku protokol. haha)
tapi scene Eika buli Tengku Anis dan rakannya tu aku suka. Masa tu sesuailah :)
sure fine whatever
Rinn
blurb/novelcinta@multiply/sinopsis
EIKA: Perasaan cinta yang berakar umbi terhadap Hakimi cuba dinafikan. Biarlah semua orang menganggapnya ego. Dalam mas ayang sama, kehadiran seseorg tanpa wajah, tanpa suara dan tanpa jasad bernama PSH telah membuka hatinya. Unik sungguh.
"Heee... budak tu? Hai sorrylah beb. Kalau dah dasar playboy tu playboy juga. Kirim salam jelah kat dia yek!"
HAKIMI: Dia sibuk ber'perang' dengan Eika. apakah yang dia cuba lakukan? Identitinya sering dibayangi seseorg sehingga ramai yang tidak menyedari bahwa satu wajah itu mempunyai dua jiwa yang berlainan.
"Kalau kau mampu, berilah sepuluh kelemahan aku yg boleh dijadikan alasan kenapa kau tak suka aku?!"
TENGKU ANIS: Cinta yang mahu dihulurkannya itu tulus. Namun sayang, emosi dirinya sering melampaui akal warasnya.
"Kenapa? Tak puas hati ke? Hei... perempuan, bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi tau. Sia-sia saja menepuk angin!"
Bagaimana mungkin Eika menyintai PSH? Siapakah yang sebenarnya beraja di hati?
Monday, June 27
Rinn Reviews: Bukan Cinta Monyet by Hasliza Ismail
Bukan Cinta Monyet
Penulis: Hasliza Ismail
Terbitan Kaki Novel Enterprise
Cetakan Pertama Mei 2011
Editor: Jabatan Editorial KNE
9789675067716
RM19.00
Sabah/Sarawak: RM22.00
"Walaupun gelap, bayangan dirinya masih mampu kulihat. Jika ini bukan cinta, mungkin juga aku yang sudah gila"
Ini kali pertama aku membaca karya penulis ini. Semasa membaca ruangan biodata penulis barulah aku tahu yang penulis ni sudah ada dua karya terbitan Kaki Novel sebelum ini. Membaca 'Bukan Cinta Monyet' membuat aku teringin nak baca 'Kapal Terbang Kertas' dan 'Mencari Jalan ke Syurga' :). Hasliza Ismail kelihatan selesa melayarkan kisah cinta manis.
Kehadiran Kamal Ilham ke dalam keluarga Siti Rahmah setelah kehilangan anak sulung kesayangan bagai membawa rahmat kepadanya. Nurul Suhana turut bahagia menerima seorg abang yang mengambil berat tentang dirinya. Kamal Ilham sebenarnya mahu menebus dosa silam tetapi rahsia itu disimpan kejap dari pengetahuan sesiapa. Dia berazam akan menjaga Siti Rahmah dan Nurul Suhana sebaik-baiknya. Setelah tamat persekolah, Kamal Ilham melanjutkan pelajaran ke luar negara. Setelah 8 tahun dia kembali dan orang pertama yang dicarinya adalah ibu angkatnya, Siti Rahmah. Ibu kandungnya adalah seorang wanita yang sibuk dengan kerjaya. Dia hanya merasa kasih sayang seorg ibu dari ibu angkatnya. Pertemuan semula dgn Nurul Suhana, si manis 17, sedikit janggal kerana dahulu mereka sangat akrab dan mesra. Nurul Suhana sudah lama memendam rindu buat Kamal Ilham tetapi Kamal Ilham menganggapnya sebagai adik sendiri malah dia sudah pun ada makwe, Anne. Anne sebenarnya muncul dengan agenda ciptaan ayahnya yang mahu menumpang kekayaan Kamal Ilham tetapi Anne kalah dengan perasaan sendiri dan benar-benar jatuh cinta pada Kamal Ilham. Anne bimbang dengan kehadiran Nurul Suhana yang kelihatan teruja dengan Kamal Ilham.
Kejadian kebakaran di kampung telah meragut harga benda Nurul Suhana dan Siti rahmah yang tidak seberapa. Apa yang lebih mengharukan, Nurul Suhana mengalami kecederaan kaki yang teruk sehingga meninggalkan parut kekal. Ibu Kamal Ilham, Datuk Noura, melihat kejadian itu sbg peluang untuknya mengikat Kamal Ilham agar meluangkan lebih masa di rumahnya. Beliau mengajak Siti Rahmah dan anaknya tinggal di rumahnya. Siti Rahmah tidak dapat menolak. Pertunangan antara Anne dan Kamal Ilham telah melukakan perasaan Nurul Suhana. Siti Rahmah cuba mencari tempat tinggal lain supaya Nurul Suhana dapat melupakan perasaannya kepada Kamal Ilham tetapi gagal.
Kehadiran sepupu Kamal Ilham, Alvin sedikit sebanyak menghiburkan Nurul Suhana. Alvin hadir sekadar memenuhi jemputan ibu saudaranya, Datuk Noura, utk berkenalan dengan Nurul Suhana, tetapi setelah mengenali Nurul Suhana yang polos, dia telah jatuh cinta. Keakraban Nurul Suhana dan Alvin membuat Kamal Ilham tidak senang duduk. Dia sendiri tidak mengerti mengapa dia harus cemburu sedangkan dia hanya menganggap Nurul Suhana sebagai adiknya. Kehadiran Alvin telah membuat Kamal Ilham mengkaji semula perasannya tetapi lamaran Alvin membuat Kamal Ilham macam nak pengsan. Fuh mau tak pengsan, Alvin tu dah la berganda-ganda hensem, bawa lamborghini pulak tu. Dia bawak Suhana gi 'dating' guna helikopter tuuuuuu. Dan yang paling penting, Alvin tidak pernah memandang rendah pada kekurangan Nurul Suhana yang berparut hodoh di kakinya.
Bagi aku kisah ini menarik, tapi watak Nurul Suhana tu macam terlalu muda. Alvin dan Kamal Ilham tu berebut budak sekolah. Adusss, haha. Aku suka cara penulis merubah pandangan pembaca terhadap watak Datuk Noura. Pada mulanya dia kelihatan seperti watak tipikal ibu hero yang kaya dan bekenankan bakal menantu yang sofistikated. Kehadiran Siti Rahmah dan Nurul Suhana merubah tanggapan stereotype itu. Datuk Noura adalah seorang yang sangat rasional.
Memang terkejut bila tau yg kebakaran menimpa kampung Siti Rahmah tu sebenarnya adalah rancangan buruk seseorang dan apakah punca sebenar Kamal Ilham betul-betul berubah dari seorang kaki buli di sekolah kepada seorang anak muda yang sangat mengambil berat dan protektif terhadap Siti Rahmah dan Nurul Suhana?
sure fine whatever
rinn
blurb/novelcinta@multiply/sinopsis
Kepulangan Kamal Iham ke tanah air selepas lapan tahun belajar di UK menemukannya semula dgn keluarga angkatnya, umi dan Nurul Suhana yg berusia 17 tahun. Pertemuan setelah sekian lama itu membuatkan jantung Nurul Suhana berdegup kencang. Apa benar dia sudah dilamun cinta atau ianya sekadar cinta monyet?
Namun begitu satu tragedi telah merubah Nurul Suhana yang dahulunya periang, menjadi pendiam dan semangatnya turut melayang pergi. Kamal Ilham benar-benar terasa kehilangan.
Di waktu Nurul Suhana terumbang-ambing melayari kenyataan hidup, muncul pula Alvin, membantunya untuk berdiri semula.
Pergolakan perasaan mula melanda Kamal Ilham yg cemburu melihat hubungan kedua-duanya. Dia mula keliru siapakah sebenarnya yang bertakhta di hatinya? Benarkan cinta itu boleh wujud tanpa batasan usia? Haruskan dia mengakui yang dia sudah lama meletakkan Nurul suhana di satu sudut yang istimewa dalam hatinya? Kalau benar, bagaimana dia harus menjelaskan sedangkan dahulu dialah yang telah melukai hati Nurul Suhana dan sudikan Nurul Suhana menerimanya kembali setelah ada pengganti yang jauh lebih baik daripada Kamal Ilham?
Sunday, June 26
Rinn Reviews: Kau Selalu Ada by Durrah Fatiha
Kau Selalu Ada
Penulis: Durrah Fatiha
Editor: RUzita Awaludin
Terbitan Alaf 21 Sdn Bhd
RM18.00
Sabah/Sarawak: RM21.00
479 mukasurat
9789831245378
"Indahmu persis kerlipan bintang melatari pekat malam..."
Menarik juga kisah tiga gadis nakal ni. Keakraban mereka disenangi keluarga malah mereka kelihatan lebih akrab daripada adik beradik. Qayyim yang merupakan abang kepada Malihah secara tidak langsung turut memainkan peranan sebagai seorang abang juga kepada Syahindah dan Nurnisa. Qayyim memang arif benar dengan kerenah tiga gadis itu yang kadang-kadang tidak terduga. Pukul 3 pagi sambut birthday sbb mak dia bagitau dia dilahirkan jam 3 pagi. Setelah tamat belajar, ketiga-tiga mereka bekerja di syarikat Qayyim.
Malihah kurang berkenan pada Syiqin, gadis yang berjaya mencuri hati Qayyim. Dia nampak sendiri sikap sebenar Syikin yang disembunyikan di sebalik senyuman manis. Malihah mencadangkan agar Syahindah dan Nurnisa mengorat abg Qayyim supaya perhatian Qayyim dapat dialihkan dari Syiqin. Tanpa mereka ketahui, Qayyim terdengar rancangan licik mereka dan bersedia menghadapi pelaksanaan misi menggodanya oleh si Indah dan Nisa dengan hati yang senang :) Qayyim memberi kerjasama yang sangat baik sehingga Indah dan Nisa sendiri terkejut dgn respond dari Qayyim. Permainan bertukar menjadi sesuatu yang serius apabila ketiga-tiga hati telah tersentuh oleh perasaan halus. Qayyim memutuskan hubungan dengan Syiqin dan memilih Nisa menjadi tunangannya. Indah yg lebih pendiam menyembunyikan kekecewaan agar persahabatan mereka terjaga. Pertunangan dengan Nisa telah menjauhkan Indah dari Qayyim. Qayyim baru menyedari yang dia lebih selesa bersama Indah berbanding Nisa. Indah merupakan teman berbual yang sangat baik. Malah aktiviti kemasyarakatan yg sering disertainya menunjukkan keikhlasan hati Indah yang sangat luhur. Selepas bertunang dgn Nisa tu barulah 'chemistry' antara Indah dan Qayyim terserlah.
Syarikat Qayyim dilanda masalah apabila isteri muda bapanya berpakat dgn abgnya untuk mengikis wang syarikat. Qayyim tidak mahu kehilangan sesuatu yang telah diusahakan mereka sekeluarga sekian lama. Syiqin tampil dengan menawarkan bantuan yang tidak dapat ditolak dengan syarat Indah dan Nisa mesti diberhentikan. Syiqin memang cemburu sangat dengan kemesraan mereka bersama Qayyim. Pertunangan dengan Nisa akhirnya senyap begitu saja dan Syiqin mengambil alih. Perkahwinan dengan Syiqin memberi ruang yang luas untuk Syarikat Qayyim bangun semula. Dia tidak sampai hati memberhentikan Indah lalu menghantar gadis itu untuk bertugas di ladang miliknya yang tidak diketahui Syiqin. Nisa pula mahu berniaga sendiri.
Syiqin mengamuk apabila mengetahui Indah masih bekerja dengan Qayyim dan menghasut Mak Mah supaya menggalakkan Bidin mengorat Indah. Bidin keterlaluan apabila cuba memperkosa Indah. Indah menghadapi trauma dan keluarganya bimbang tiada lelaki yang mahu memperisterikan Indah lagi jika mengetahui apa yang telah terjadi. Indah tidak pernah menjalani pemeriksaan dan tidak menceritakan apa yang telah terjadi dengan Bidin. Qayyim tampil menawarkan diri untuk melindungi Indah dan memperisterikannya. Indah mendapat sokongan penuh dari Malihah dan Nisa. Mereka mahu Indah segera sembuh dari trauma yang dihadapinya. Walaupun Qayyim cuba mengelakkan menyebut tentang Bidin, dia sendiri ragu-ragu dengan kesucian isterinya.
Takdir untuk watak Syiqin agak 'predictible' tetapi terasa terlalu tergesa-gesa sehinggalah ke detik penamat kisah ini. Apa-apapun, it's a happy ending :)
sure fine whatever
Rinn
blurb/AlongSide/sinopsis
Malihah, Syahindah dan Nurnisa sering mencuri perhatian Qayyim lewat kerenah manja dan nakal mereka. Biarpun hanya Malihah sahaja adik kandungnya, Syahindah dan Nurnisa juga punya tempat istimewa di hati Qayyim. Kenakalan mereka terbawa-bawa apabila masing-masing sepakat melaksanakan satu misi rentetan idea Malihah yg mahu memisahkan ikatan cinta antara Qayyim dan Syiqin. Mereka jelik dengan sikap manja Syiqin. Lantas, Indah dan Nisa cuba untuk mengalihkan perhatian Qayyim.
Ternyata misi mereka tidak semudah yg dirancang. Perasaan cinta yg sengaja dibuat-buat oleh Indah dan Nisa dalam menjayakan misi mereka telah meresap jauh ke dasar hati masing-masing. Mereka benar-benar jatuh cinta dengan Qayyim!
Dan, Qayyim juga menyedari dia telah tertarik dgn dua teman adiknya itu. Penantian cinta mereka ternyata mendera perasaan apabila masing-masing enggan meluahkan. Indah atau Nisa? Qayyim bingung mahu membuat pilihan!
Rinn Reviews: Kurela Cinta ini Bertamu by Nuril Bahanudin
Kurela Cinta Ini Bertamu
Penulis: Nuril Bahanudin
Terbitan Kaki Novel
RM24.00
Sabah/Sarawak: RM27
Editor: Jabatan Editorial KNE
9789675067747
721 mukasurat
"Tatkala cinta mengetuk hati,
Aku masih dalam terpinga,
Perlukah kuterima takdir ini,
Yang aku dan kau perlu bersama..."
Perjalanan kisah Qish dan Daniel dalam kisah ini agak klise jika diletakkan sebaris dengan mana-mana kisah novel cinta selepas kahwin. Bagi yang menggemari kisah-kisah genre ini mungkin takkan jemu menjadikan novel ini sebagai santapan mata.
Daniel seorg jejaka kaya yg ada ramai kekasih. Qish pula seorang gadis biasa yang tiba-tiba menjadi tanggungjawab Daniel setelah Daniel tersalah masuk bilik ketika sedang mabuk dan Qish pula tengah weng lepas makan ubat selsema. Setelah mengetahui Qish mengandung, Daniel menjaga kebajikan Qish tetapi kedua-duanya merahsiakan perkahwinan mereka dari keluarga Daniel. Sepanjang tempoh Qish mengandung mereka mula merasa keserasian walaupun masing-masing ada kekurangan.
Rahsia mereka terbongkar apabila Daniel sendiri terpaksa menyambut kelahiran anak mereka di tepi jalan dan kejadian itu dilaporkan dalam berita perdana. Walaupun terkilan, ibu bapa Daniel gembira menerima cucu dan menantu serentak. Ketika usik-usik membawa bahagia, Suhail mencemarinya dgn mengaku anak dikandungnya milik Daniel. Ketika berada dalam keadaan meragukan itu, Daniel seperti tidak bersungguh-sungguh mempertahankan diri. Seolah-olah membenarkan saja tuduhan Suhail tanpa berusaha menidakkannya. Di hari pernikahan, Ricky muncul menyelamatkan keadaan dgn mengahwini Suhail tetapi Qish melarikan diri kerana merasa sudah tidak diperlukan lagi dalam keluarga kaya itu. Daniel berjaya menjejak Qish dan berusaha memulihkan semula hubungan mereka.
Masa baru nak mengecap bahagia lagi sekali, Haizam pulak tiba-tiba sedar dengan perasaannya terhadap Qish selama ini adalah cinta. Tindak tanduknya telah melukakan hati tunangnya dan hati Daniel yang sudah salah faham dengan kedudukan Qish dalam kejadian itu. Tanpa mahu mendengar apa-apa penjelasan, Qish dihalau dan tidak lama selepas itu bayi mereka disahkan sakit dan memerlukan pemindahan hati. Kebetulan Qish hospitalized selepas kemalangan, jadi secara sorok-sorok dia mendaftarkan diri sebagai penderma hati untuk anaknya. Tetapi pembedahan gagal dan anaknya meninggal dunia.
Qish sudah tawar hati untuk menerima Daniel dan membawa diri. Tetiba jer Qish tu rupa-rupanya pandai melukis dan buka galeri. Sepanjang penceritaan sebelum ni tak der pulak menunjukkan bakat-bakat seni Qish. Tup-tup ujung-ujung timbul pulak galeri lukisan. Daniel tidak pernah menandatangani tuntutan cerai Qish dan cuba membawa Qish kembali ke rumahnya tetapi pada masa yang sama dia mencemburui Adri yang kelihatan rapat dengan Qish di galeri. Ibu Daniel berjaya memaksa Qish kembali dan terserahlah kepada Daniel untuk memastikan isterinya terus berada di situ sebagai isterinya dalam erti kata sebenar.
Bagi aku cerita ini mempunyai jalan cerita yang bergerak laju dan tidak membosankan. Binaan cerita terasa menaik tetapi pada masa yang sama terasa seperti ada kekurangan emosi dalam penceritaan. Ia lebih kepada bercerita dan memberitahu apa yang terjadi. Past and Present kadang-kadang bercampur aduk membuat aku berpatah balik ke muka surat sebelumnya untuk memastikan aku tak terskip muka surat. Sayang pula kisah yang ada binaan cerita sebaik ini tidak diperkemaskan. Looking forward to her next novel :)
yang penting, happy ending :)
sure fine whatever
rinn
blurb/novelcinta/sinopsis
Kurela Cinta Ini Bertamu... hidup ini banyak sangat rahsianya sehingga kadang-kadang kita tak jangka orang yg selalu kita jumpa, terlanggar bahu dengan kita itulah jodoh kita. Eh, eh macam-macam ada kan? Qistina Balqish gadis biasa, hidup sederhana, susah utk jatuh cinta. Namun sekali bercinta... selamnya tetap cintanya. Berbeza dgn Daniel Muaz, cintanya murah, sehingga kepada semua yg ditemuinya ingin diberi segalanya rasa yg ada. Modalnya mudah. Wang, kedudukan dan raut wajah.
Pertemuan tanpa diduga telah mewujudkan sebuah ikatan yg rumit, masing-masing belum bersedia dengan rasa dan beban yg perlu digalas, namun terlanjur perbuatan, selamanya terikat dgn sebuah ikatan melainkan lafaz cerai yan gdiberikan. Namun, nikah cerai bukan mainan, banyak maruah yg perlu dijaga. Masing-masing serba salah, rumit dan argh pening kepala!!!
Qistina Balqish: Arghhh... tanya pada hati, hati kata tak tahu. Namun kau tak kulihat sehari jiwa sudah berlagu rindu, bagaimana? apakah yg perlu kubuat demi mempertahankan mahligai ini? Sedangkan ada benih yang kian bercambah di dalam rahimku.
Daniel Muaz: Huh, kenapalah sikap kau selalu menduga sabarku? Kau ingat aku ni kejam sangat ke sampai gelaran itu kau berikan? Kau tak cantik, kau bukan wanita idaman aku, tapi aku dah mula angaukan kau Qish!
Haizam: Kenapa baru sekarang kusedar yg kau sebenarnya kucintai? Bolehkah kita bersama? Aku sanggup menunggu seberapa lama pun demi cinta ini.
Yasmin: Aku perempuan... aku faham renungan matanya, aku tahu erti pandangan itu. Kenapa kau tak mahu percaya sayangku???
Mampukah mereka mencapai bahagia sendiri? Entahlah , biarlah masa menentukan tapi bukankah bahagia itu perlu dicipta, bukannya datang bergolek begitu saja.
Tuesday, June 21
Buku-Buku Baru di Pasaran
SETULUS JANJI EDISI TERBITAN SEMULA! SIAPA YANG TAK SEMPAT COLLECT SEMASA DITERBITKAN ALAF21 DULU, BOLEH LA DAPAT KAN EDISI TERBITAN SEMULA INI.
BOLEH CARI DI PESTA BUKU SELANGOR HUJUNG MINGGU INI!
BAKAL MENEMUI ANDA JULAI INI :)
BAKAL MENEMUI ANDA DI PASARAN JULAI INI
SUDAH BERADA DI PASARAN
SUDAH BERADA DI PASARAN :)
Labels:
Alaf 21,
Jemari Seni,
Kaki Novel,
KarnaDya,
NB Kara Sdn Bhd
Subscribe to:
Posts (Atom)